KEWAJIPAN SOLAT JUMAAT
Oleh: Bahagian Buhuth & Istinbath, Jabatan Mufti Negeri Perlis
Kata Syed Sabiq RH:
أجمع العلماء على أن صلاة الجمعة فرض عين، وأنها ركعتان لقول لله تعالى: (يأيها الذين آمنوا إذا نودي للصلاة من يوم الجمعة فاسعوا إلى ذكر الله وذروا البيع ذلكم خير لكم إن كنتم تعلمون).
Maksudnya: “Para ulama ijma’ bahawa solat Jumaat adalah fardhu ain dan ia sebanyak dua rakaat, berdasarkan firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah jual-beli, demikian itu adalah lebih baik untuk kamu semua jika kamu mengetahuinya.” (Surah al-Jumu’ah: 9)
Huraian:
Kalimah al-Jumu‘ah (الجُمُعَة) boleh dengan dibaris dhammah huruf “Mim), disukun, dan boleh juga dengan fathah. Namun yang masyhur adalah dengan dibariskan dhammah huruf “Mim” dan dengan baris inilah dibaca menurut qira’at yang tujuh. Hari Jumaat di zaman jahiliyyah dinamakan sebagai al-‘Urubah (العُرُوبَة).
Hukum wajib ke atas setiap individu yang cukup syarat menunaikan solat Jumaat diambil dari ayat ke sembilan dari surah al-Jumuah ini dari sudut terdapat perintah فاسعوا yang diterjemahkan sebagai “bersegeralah”. Asalnya dari kalimah al-Sa’y (السعي) yang bermaksud “pergi”. Perintah “pergi” di sini membawa hukum wajib, kerana tidak wajib “pergi”, melainkan kepada sesuatu yang wajib juga.
Demikian juga di dalam ayat al-Quran ini, Allah SWT telah melarang dari berjual-beli apabila dilaungkan azan untuk menunaikan solat Jumaat. Tujuannya agar manusia tidak sibuk dengan urusan lain. Jika solat Jumaat itu tidak wajib, maka tidak ada keperluan ditegah berjual-beli yang harus, untuk menunaikan solat Jumaat.
Kata Syed Sabiq RH:
١ - ولما رواه البخاري ومسلم عن أبي هريرة رضي الله عنه أنه سمع رسول الله ﷺ يقول: نحن الاخرون السابقون يوم القيامة، بيد أنهم أوتوا الكتاب من قبلنا وأوتيناه من بعدهم، ثم هذا يومهم الذي فرض عليهم فاختلفوا فيه فهدانا الله. فالناس لنا فيه تبع: اليهود غدا والنصارى بعد غد
Maksudnya: “(1) berdasarkan riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RA yang pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Kita (umat Nabi SAW) kemudian dari sudut zaman, namun terawal pada hari kiamat (yang dijatuhkan hukuman dan masuk syurga). Melainkan mereka (umat terdahulu) diberikan kitab (Taurat dan Injil) sebelum daripada kita dan kita diberikan kitab (al-Quran) selepas mereka, kemudian hari ini (Jumaat) yang difardhukan ke atas mereka untuk mengagungkannya, namun mereka berbeza pandangan (mereka tidak mendapat hidayah untuk memilih hari Jumaat). Lalu kita (umat Nabi SAW) diberi hidayah oleh Allah (untuk memilih hari Jumaat). Maka umat lain menuruti kita (di belakang), Yahudi keesokannya, dan Kristian pada hari lusa.”
Huraian:
Terdapat beberapa pandangan ulama terhadap maksud yang dikehendaki dari kalimah السابقون yang diterjemahkan sebagai: “namun (kita, umat Nabi SAW) terawal atau terdahulu”. Sebahagian ulama berpandangan terdahulu atau terawal (السَبْق) yang dimaksudkan ialah memperolehi kelebihan hari yang mendahului hari lain pada keutamaan, iaitulah hari Jumaat. Ada pula ulama yang berpandangan terdahulu atau terawal tersebut merujuk kepada penerimaan dan ketaatan kepada Allah. Berbeza dengan Ahli Kitab yang menjawab apabila menerima arahan dengan ungkapan: سَمِعْنَا وَعَصَيْنَا yang bermaksud: “Kami dengar, namun kami menderhakainya.” Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan pandangan yang pertama adalah lebih kuat. (Lihat Fath al-Bari)
al-Qastallaniy (القسطلاني) dalam Irsyad al-Sari Li Syarh Sahih al-Bukhari 2/169 menyatakan: “Mereka yang berbeza pandangan padanya” setelah ditetapkan kepada mereka memilih hari untuk diagungkan (dengan syiar agama). Mereka tidak memilih hari Jumaat, sebaliknya melebihkan qiyas, lalu Yahudi mengagungkan hari Sabtu atas alasan ianya hari selepas diciptakan makhluk. Mereka menyangka hal itu satu kelebihan yang wajar menjadi sebab hari Sabtu perlu diagungkan. Manakala Nasara pula mengagungkan hari Ahad, kerana hari permulaan penciptaan makhluk. Lalu Allah memberi hidayah kepada kita (umat Nabi SAW) untuk mengungkan hari Jumaat dengan wahyu yang menyebut tentang keagungannya atau berdasarkan ijtihad yang bertepatan dengan apa yang dikehendaki.”
al-Mubarakfuri dalam Mir‘ah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih 4/420 menyatakan pemilihan hari Jumaat adalah berdasarkan ijtihad para sahabat dikuatkan dengan riwayat ‘Abd al-Razzaq dengan sanad yang sahih daripada Muhammad bin Sirrin yang berkata:
جَمَّع أهل المدينة قبل أن يقدمها رسول الله ﷺ وقبل أن تنزل الجمعة فقالت الأنصار: إن لليهود يومًا يجتمعون فيه كل سبعة أيام وللنصارى كذلك، فهلم فلنجعل يومًا نجتمع فيه فنذكر الله تعالى ونصلي ونشكره، فجعلوه يوم العروبة، واجتمعوا إلى أسعد بن زرارة فصلى بهم يومئذٍ، وأنزل الله تعالى: بعد ذلك. ﴿إذا نودي للصلاة من يوم الجمعة﴾ [٩:٦٢] الآية، وهذا وإن كان مرسلًا، فله شاهد بإسناد حسن. أخرجه أحمد وأبوداود وابن ماجه، وصححه ابن خزيمة وغير واحد من حديث كعب بن مالك قال: كان أول من صلى بنا الجمعة قبل مقدم رسول الله - ﷺ - المدينة أسعد بن زرارة- الحديث. فمرسل ابن سيرين يدل على أن أولئك الصحابة اختاروا يوم الجمعة بالاجتهاد
Maksudnya: “Penduduk Madinah berhimpun sebelum ketibaan Rasulullah SAW dan sebelum turunnya surah al-Jumu‘ah. Berkata orang Ansar: “Sesungguhnya bagi orang Yahudi itu satu hari yang mereka akan berhimpun pada setiap minggu, demikian juga bagi orang Nasara. Maka mari kita jadikan satu hari untuk kita berkumpul mengingati Allah, menunaikan solat dan bersyukur kepada-Nya. Lalu mereka memilih hari al-‘Arubah (Jumaat), mereka berhimpun di tanah milik As‘ad bin Zararah, beliau menunaikans solat bersama mereka pada hari tersebut. Lalu selepas itu Allah menurunkan firman-Nya: “Apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat.” Sanad hadis ini sekalipun mursal, ia memiliki sokongan dengan sanad yang hasan. Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah. Dinilai sahih oleh Ibn Khuzaimah dan lainnya dari hadis Ka‘ab bin Malik yang berkata: “Dahulunya orang pertama yang menunaikan solat Jumaat dengan kami sebelum ketibaan Rasulullah SAW (ke Madinah) di Madinah ialah As‘ad bin Zararah…” Mursal Ibn Sirin menunjukkan para sahabatlah yang memilih hari Jumaat berdasarkan ijtihad mereka.”
Berdasarkan riwayat dalam Musannaf ‘Abd al-Razzaq 3/159 adalah seperti berikut:
جَمَّعَ أهْلُ المَدِينَةِ قَبْلَ أنْ يُقْدِمَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ وقَبْلَ أنْ تَنْزِلَ الجُمُعَةُ وهُمُ الَّذِينَ سَمَّوْها الجُمُعَةَ، فَقالَتِ الأنْصارُ لِلْيَهُودِ: يَوْمٌ يَجْتَمِعُونَ فِيهِ كُلَّ سَبْعَةِ أيّامٍ، ولِلنَّصارى أيْضًا مِثْلُ ذَلِكَ، فَهَلُمَّ فَلْنَجْعَلْ يَوْمًا نَجْتَمِعُ ونَذْكُرُ اللَّهَ ونُصَلِّي ونَشْكُرُهُ فِيهِ، أوْ كَما قالُوا: فَقالُوا: يَوْمُ السَّبِتِ لِلْيَهُودِ، ويَوْمُ الأحَدِ لِلنَّصارى، فاجْعَلُوهُ يَوْمَ العُرُوبَةِ، وكانُوا يُسَمُّونَ يَوْمَ الجُمُعَةِ يَوْمَ العُرُوبَةِ، فاجْتَمَعُوا إلى أسْعَدَ بْنِ زُرارَةَ فَصَلّى بِهِمْ يَوْمَئِذٍ وذَكَّرَهُمْ فَسَمَّوْهُ الجُمُعَةَ، حَتّى اجْتَمَعُوا إلَيْهِ، فَذبَحَ أسْعَدُ بْنُ زُرارَةَ لَهمُ -[١٦٠]- شاةً فَتَغَدَّوْا وتَعَشَّوْا مِن شاةٍ واحِدَةٍ، وذَلِكَ لِقِلَّتِهِمْ»، فَأنْزَلَ اللَّهُ فِي ذَلِكَ بَعْدَ ذَلِكَ: ﴿إذا نُودِيَ لِلصَّلاةِ مِن يَوْمِ الجُمُعَةِ فاسْعَوْا إلى ذِكْرِ اللَّهِ﴾
Maksudnya: “Penduduk Madinah berhimpun sebelum ketibaan Rasulullah SAW dan sebelum turunnya surah al-Jumu‘ah. Mereka (para sahabatlah yang menamakan hari tersebut hari Jumaat. Berkata orang Ansar: “Bagi orang Yahudi itu satu hari yang mereka akan berhimpun pada setiap minggu, demikian juga bagi orang Nasara. Maka mari kita jadikan satu hari untuk kita berkumpul mengingati Allah, menunaikan solat dan bersyukur kepada-Nya. Lalu mereka memilih hari al-‘Arubah. Mereka dahulu (sebelum kedatangan Islam) menamakan hari Jumaat sebagai hari al-‘Arubah. Mereka berhimpun di tanah milik As‘ad bin Zurarah, beliau menunaikan solat bersama mereka pada hari tersebut. Beliau memberi peringatan kepada mereka, Lalu mereka menamakan hari itu sebagai hari Jumuah. Untuk mereka berhimpun, As‘ad bin Zurarah menyembelih seekor kambing, mereka makan tengahari di situ dan makan malam dengan seekor kambing yang disembelih tersebut. Perkara itu sedemikian disebabkan bilangan mereka yang sedikit. Lalu Allah menurunkan firman-Nya: “Apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kepada mengingat Allah.”
al-Mubarakfuri juga menyatakan, tiada halangan juga pemilihan hari Jumaat itu berdasarkan wahyu kepada Nabi SAW ketika baginda masih di Mekah. Namun baginda masih belum dapat melaksanakannya di sana. Terdapat hadis daripada Ibn ‘Abbas RA di sisi Daraqutniy. Kerana itu sahabat yang sampai awal di Madinah menghimpunkan mereka semua pada hari Jumaat seperti yang dihikayatkan oleh Ibn Ishak dan selain beliau. Semua ini menunjukkan petunjuk memilih hari Jumaat diperolehi dari dua bentuk iaitulah melalui bayan (penjelasan wahyu) dan taufiq (ketepatan ijtihad). (Lihat Mir‘ah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih 4/420)
Kata Syed Sabiq RH:
٢ - وعن ابن مسعود رضي الله عنه أن النبي ﷺ قال لقوم يتخلفون عن الجمعة: (لقَدْ هَمَمْتُ أَنْ آمُرَ رَجُلًا يُصَلِّي بالنَّاسِ، ثُمَّ أُحَرِّقَ علَى رِجَالٍ يَتَخَلَّفُونَ عَنِ الجُمُعَةِ بُيُوتَهُمْ) رواه أحمد ومسلم.
Maksudnya: “(2) Daripada Ibn Mas‘ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda kepada satu kumpulan mereka yang tidak hadir solat Jumaat: “Sesungguhnya aku berhasrat untuk mengarahkan seorang lelaki agar menununaikan solat mengimamkan orang ramai, kemudian aku pergi membakar rumah orang yang tidak hadir Jumaat.” Riwayat Ahmad dan Muslim.
Huraian:
Dalam riwayat Abu Daud tentang hasrat Nabi SAW mahu membakar rumah mereka yang tidak hadir solat berjemaah di masjid dengan lafaz: فَأُحَرِّقُ عَلَيْهِمْ بُيُوْتَهُمْ بالنار, di mana فَأُحَرِّقُ menunjukkan hasrat ingin membakar dengan bersungguh dan bersangatan. Manakala عَلَيْهِمْ بُيُوْتَهُمْ menunjukkan yang hendak dibakar itu bukan terhenti sekadar membakar rumah yang berupa harta mereka, bahkan ia merujuk kepada membakar perkara yang dimaksudkan iaitulah al-Qatinin (القاطنين) atau penghuni rumah tersebut.
Hadis ini boleh difahami hasrat Nabi ini umum, merangkumi sesiapa yang sahaja yang sengaja tidak hadir Jumaat dan jemaah di zaman baginda. Boleh juga membawa maksud merujuk kepada golongan munafik yang ada di zaman baginda. Namun yang jelas ialah ia dimaksudkan kepada golongan munafik di zaman baginda yang sengaja tidak hadir menunaikan solat Jumaat. Hal ini sedemikian kerana tidak ada orang yang sengaja tidak hadir solat berjemaah di zaman Nabi SAW melainkan orang yang jelas kemunafikannya. Inilah pandangan al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani.
Namun al-‘Azhim Abadi menyatakan yang dimaksudkan dengan munafik di sini ialah munafik maksiat (نِفَاق الْمَعْصِيَة) bukan munafik kufur (نِفَاق الْكُفْر). Buktinya berdasarkan riwayat Yazid bin al-Asam (يَزِيد بْن الْأَصَمّ) daripada Abu Hurairah RA di sisi Abu Daud: ثُمَّ آتِي قَوْمًا يُصَلُّونَ فِي بُيُوتهمْ لَيْسَتْ بِهِمْ عِلَّة maksudnya: “Kemudian aku mendatangi kaum yang menunaikan solat di rumah mereka, tiada bersama mereka sebarang alasan (tidak hadir berjemaah).” Riwayat ini menunjukkan kemunafikan tersebut merujuk kepada kemunafikan maksiat, bukan kemunafikan kufur. Ini kerana kemunafikan kufur menjadikan seseorang itu tidak solat di rumahnya bersendirian, sebaliknya solat yang ditunaikannya hanya di masjid kerana riyak dan mahukan kemasyhuran. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud)
Kata Syed Sabiq RH:
٣ - وعن أبي هريرة وابن عمر أنهما سمعا النبي ﷺ يقول على أعواد منبره: (لَيَنْتَهينَّ أقْوامٌ عن ودْعِهِمُ الجُمُعاتِ، أوْ لَيَخْتِمَنَّ اللَّهُ علَى قُلُوبِهِمْ، ثُمَّ لَيَكونُنَّ مِنَ الغافِلِينَ) رواه مسلم ورواه أحمد والنسائي من حديث ابن عمر وابن عباس.
Maksudnya: “(3) Daripada Abu Hurairah dan Ibn ‘Umar RA, bahawa mereka berdua pernah mendengar Nabi SAW bersabda ketika berada di atas mimbar baginda: “Hendaklah berhenti mereka dari meniggalkan solat Jumaat atau pasti Allah akan mengunci mati jantung hati mereka, kemudian pasti mereka akan tergolongan dalam golongan orang yang lalai.” Riwayat Muslim, Ahmad da al-Nasai’e dari hadis Ibn ‘Umar dan Ibn ‘Abbas.”
Huraian:
al-Imam al-Nawawi dalam syarahnya kepada Sahih Muslim menyatakan pada hadis ini terdapat petunjuk sunatnya mengadakan mimbar untuk berkhutbah dan hukum ini adalah suatu yang telah disepakati atau ijmak. Hadis ini juga menunjukkan solat Jumaat itu wajib.
Maksud ungkapan hadis: “pasti Allah akan mengunci mati jantung hati mereka” dari kalimah al-Khatm (الْخَتْم) yang bermaksud cop (الطَّبْع) atau penutupan (التَّغْطِيَة). Ia seumpama kalimah al-Rain (الرَّيْن). Terdapat ulama yang mengatakan penutupan jantung hati ada tiga kategori, al-Rai (الرَّيْن) adalah yang sedikit dari cop (الطَّبْع), al-Tab’ (الطَّبْع) adalah yang sedikit dari kuncian-kuncian (الْأَقْفَال) dan kuncian-kuncian (الْأَقْفَال) adalah penutupan jantung hari yang paling dahsyat.
Para ulama berbeza pandangan berkaitan maksud kuncian ini. Sebahagian mereka mengatakan ia memaksudkan kepada hukuman hilang dari jantung-hatinya kelunakan dan sebab-sebab memperolehi kebaikan. Kebanyakan mereka pula berkata ia merujuk kepada ciri-ciri kekufuran mula ada pada jantung hatinya. Terdapat juga yang mengatakan ia berupa penyaksian atas keburukan pada jantung hati mereka dan sebahagian yang lain menyatakan ia berupa tanda atau alamat yang diciptakan oleh Allah berada pada jantung hati mereka untuk dikenali oleh para malaikat, siapakah mereka yang dipuji dan siapa pula yang layak dicela. (Lihat Syarah Sahih Muslim oleh al-Nawawi )
Kata Syed Sabiq RH:
٤ - وعن أبي الجعد الضمري، وله صحبة، أن رسول الله ﷺ قال: (مَنْ تَرَكَ ثَلَاثَ جُمَعٍ تَهَاوُنًا طَبَعَ اللهُ عَلَى قَلْبِه) رواه الخمسة ولاحمد وابن ماجه من حديث جابر نحوه، وصححه ابن السكن.
Maksudnya: “(4) Daripada Abi al-Ja’d al-Dhamri, beliau memiliki hubugan sahabat, bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sesiapa yang meninggalkan Jumaat kerana meringankannya, Allah akan mengunci mati jantung hatinya.” Riwayat al-Khamsah. Dari riwayat Ahmad dan Ibn Majah, hadis dari Jabir yang seumpama dengan riwayat ini. Dinilah sahih oleh Ibn al-Sakan.”
Huraian:
al-Sindi, dalam Hasyiahnya kepada Sunan al-Nasai’e menyatakan تَهَاوُنًا yang diterjemahkan sebagai “meringankan” membawa maksud kurang memberi perhatian, bukan menganggap ringan dengan kefardhuan dari Allah. Ini kerana perbuatan meringankan atau menganggap ringan kefardhuan Allah adalah satu kekufuran.
Ungkapan طَبَعَ اللهُ عَلَى قَلْبِه yang diterjemahkan sebagai “Allah akan mengunci mati jantung hatinya” ialah jantung hatinya akan dicop, ditutupi dan terhalang dari unsur-unsur kelembutan. Kalimah طَبَعَ jika kata namanya الطَّبْعُ dengan sukun huruf “Ba” ialah cop. Manakala jika dengan الطَّبَعُ dengan huruf “Ba” berbaris fathah, merujuk kepada kotoran dan najis yang menutupi permukaan pedang. Setelah itu ia digunakan merujuk kepada dosa-dosa, keburukan dan kekejian. al-‘Iraqi pula menyatakan yang dimaksudkan dengan “meringankan” dalam hadis ialah meninggalkan Jumaat tanpa sebarang keuzuran. Manakala طَبَعَ pula membawa maksud jantung hatinya menjadi jantung hati orang munafik.
Hadis-hadis ini menunjukkan kepentingan dan kebesaran solat Jumaat dan bahaya yang bakal menimpa sesiapa yang meninggalkannya tanpa sebarang keuzuran yang dibenarkan oleh syarak. Hadis Ibn Mas‘ud yang menyatakan Nabi SAW berhasrat membakar rumah mereka yang tidak menunaikan solat Jumaat, menunjukkan kemarahan baginda kepada sesiapa yang tidak hadir menunaikan solat Jumaat sampat ke tahap kemuncak. Jika tidak, mustahil baginda memiliki hasrat seperti itu.