• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Huraian Fiqh Sunnah: Waktu Solat Jumaat

WAKTU SOLAT JUMAAT

Kata Syed Sabiq RH:

ذهب الجمهور من الصحابة والتابعين إلى أن وقت الجمعة هو وقت الظهر.
لما رواه أحمد والبخاري وأبو داود والترمذي والبيهقي عن أنس رضي الله عنه، أن النبي ﷺ كان يصلي الجمعة إذا مالت الشمس. وعند أحمد ومسلم أن سلمة بن الاكوع قال: كنا نصلي مع رسول الله ﷺ الجمعة إذا زالت الشمس ثم نرجع نتتبع الفئ. وقال البخاري: وقت الجمعة إذا زالت الشمس. وكذلك يروى عن عمر وعن علي والنعمان بن بشير وعمرو بن حريث رضي الله عنهم. وقال الشافعي صلى النبي ﷺ وأبو بكر وعمر وعثمان والائمة بعدهم كل جمعة بعد الزوال.

Majoriti sahabat dan tabi’en berpandangan waktu Jumaat adalah waktu yang sama dengan Zohor berdasarkan riwayat Ahmad, al-Bukhari, Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Baihaqi daripada Anas RA: “Bahawa Nabi SAW dahulu sering menunaikan solat Jumaat apabila matahari condong (tergelincir).” Di sisi Ahmad dan Muslim bahawa Salamah bin al-Akwa’ berkata: “Kami dahulu bersama Rasulullah SAW seringkali menunaikan solat Jumaat apabila matahari tergelincir, kemudian kami pulang, dalam keadaan mencari-cari kawasan berteduh (bayangan).” Kata al-Bukhari: “Waktu Jumaat apabila matahari tergelincir. Demikian itulah yang diriwayatkan daripada ‘Umar, ‘Ali, al-Nukman bin Basyir dan ‘Umar bin Huraith RA.” Kata al-Syafi’e RH: “Nabi SAW, Abu Bakar, ‘Umar, ‘Uthman dan para imam selepas mereka menunaikan setiap solat Jumaat selepas waktu zawal (sebaik sahaja telah tergelincir matahari).”

Huraian

Perkataan Syed Sabiq yang menyebut: “Majoriti sahabat dan tabi’en berpandangan waktu Jumaat adalah waktu yang sama dengan Zohor” menunjukkan wujud perbezaan pendapat dalam kalangan ulama dalam permasalah ini. Pandangan pertama menyatakan waktu solat Jumaat adalah waktu yang sama dengan Zohor.

Inilah pandangan majoriti seperti yang dinyatakan oleh Syed Sabiq. Bahkan terdapat dakwaan telah berlaku ijmak dalam permasalahan ini seperti yang didakwa oleh Ibn al-Munzir dalam al-Awsath 3/48, Ibn ‘Abdil Barr dalam al-Tamhid 8/73, Ibn al-‘Arabiy dalam ‘Aridhah al-Ahwazi 2/292, Ibn Qudamah dalam al-Mughniy 2/219, al-Zailai’e dalam Tabyin al-Haqa’iq 1/219 dan al-Zarkasyi dalam Syarh al-Zarkasyi ‘Ala Mukhtasar al-Khiraqi 2/164.

Namun jelas wujud perbezaan pendapat dalam permasalahan ini seperti yang dinukilkan oleh para ulama dalam kitab-kitab mereka termasuk Syed Sabiq dalam kitab Fiqh Sunnah ini.

            Pandangan majoriti ulama ini juga mewakili pandangan para ulama mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi’e, termasuk pandangan Ibn Hazm dari mazhab Zahiri. al-Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ 4/511 menukilkan pandangan al-‘Abdari (العبدريُّ)  yang berkata:

قال العلماء كافَّةً: لا تجوزُ صلاة الجمعة قبل الزوال إلَّا أحمدَ

Maksudnya: “Kata para ulama kebanyakannya: tidak boleh solat Jumaat sebelum waktu zawal melainkan (pandangan) Ahmad.”

Ibn Rejab dalam Fath al-Bari 5/413 berkata:

وهو قولُ أكثرِ الفقهاء، منهم: الحسن، والنَّخَعي، والثوري، وأبو حنيفة، ومالك، والشافعي

Maksudnya: “Inilah pandangan kebanyakan fuqaha, antara mereka itu ialah al-Hasan, al-Nakhai’e, al-Thauri, Abu Hanifah, Malik dan al-Syafi’e.”

            Hadis Anas bin Malik yang terdapat ungkapan: إذا مالت الشمس yang diterjemahkan sebagai: “apabila matahari condong (tergelincir)”, seperti yang dijelaskan oleh al-‘Azhim Abadi dalam ‘Aun al-Ma’bud dan beliau menukilkan juga perkataan al-Tibiy yang berkata: أَيْ يَزِيد عَلَى الزَّوَال مَزِيدًا يُحِسّ مَيَلَانهَا maksudnya:  “iaitulah bertambah tergelincirnya (matahari) sehingga dapat dirasakan condongnya.” Dalam al-Mirqah pula dinyatakan: أَيْ مَالَتْ إِلَى الْغُرُوب وَتَزُول عَنْ اِسْتِوَائِهَا بَعْد تَحَقُّقِ الزَّوَال maksudnya: “Iaitu matahari condong ke barat dan tergelincir dari istiwa’nya, iaitulah setelah pasti tergelincir.”

            Kata al-Syeikh al-‘Arif, ‘Abd al-Qadir al-Jilani dalam Ghunyah al-Talibin:

فَإِذَا أَرَدْت أَنْ تَعْرِف ذَلِكَ فَقِسْ الظِّلّ بِأَنْ تَنْصِب عَمُودًا أَوْ تَقُوم قَائِمًا فِي مَوْضِع مِنْ الْأَرْض مُسْتَوِيًا مُعْتَدِلًا ثُمَّ عَلِّمْ عَلَى مُنْتَهَى الظِّلّ بِأَنْ تَخُطّ خَطًّا ثُمَّ اُنْظُرْ أَيَنْقُصُ أَوْ يَزِيد، فَإِنْ رَأَيْته يَنْقُص عَلِمْت أَنَّ الشَّمْس لَمْ تَزُلْ بَعْدُ، وَإِنْ رَأَيْته قَائِمًا لَا يَزِيد وَلَا يَنْقُص فَذَلِكَ قِيَامُهَا وَهُوَ نِصْفُ النَّهَار لَا يَجُوز الصَّلَاةُ حِينَئِذٍ فَإِذَا أَخَذَ الظِّلُّ فِي الزِّيَادَة فَذَلِكَ زَوَالُ الشَّمْسِ فَقِسْ مِنْ حَدّ الزِّيَادَة إِلَى ظِلّ ذَلِكَ الشَّيْء الَّذِي قِسْت بِهِ طُول الظِّلّ فَإِذَا بَلَغَ إِلَى آخِر طُوله فَهُوَ آخِر وَقْت الظُّهْر

Maksudnya: “Jika kamu mahu mengetahui waktunya (waktu tergelincir atau zawal matahari), maka ukurlah bayangan dengan cara kamu tegakkan suatu tiang atau kamu berdiri tegak di tempat yang lapang dan rata, kemudian tandakan pada hujung bayang yang ada dengan kamu gariskan satu garisan, kemudian perhatikan, apakah bayang itu berkurangan atau bertambah. Jika kamu lihat bayang itu berkurang, tahulah kamu bahawa matahari masih belum tergelincir (ke arah barat). Jika kamu lihat bayang itu tetap, tidak bertambah, tidak juga berkurangan, maka demikian itu berdiamnya matahari menandakan pertengahan siang hari (waktu rembang), tidak boleh solat ketika itu. Apabila bayang kembali bertambah, maka waktu itu adalah waktu zawal atau tergelincir matahari. Maka ukurlah dari had pertambahan bayang (ketika dia berhenti tetap) bersama panjang sesuatu yang ditegakkan itu dengan panjang bayang yang ada, jika ia mencecah sama, maka di situlah akhirnya waktu Zohor.”

            Hadis ini menunjukkan Nabi SAW melazimi menunaikan Jumaat apabila matahari tergelincir atau pada waktu Zawal. Kata al-Munziri: “Ia diriwayatkan oleh al-Bukhari dan al-Tirmizi dan kata beliau: “Hasan sahih.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud 3/300)

            Hadis Salamah bin al-Akwa’ RA, terdapat dalamnya kenyataan para sahabat menunaikan solat Jumaat bersama Rasulullah SAW ketika: إذا زالت الشمس ثم نرجع نتتبع الفئ yang bermaksud: “apabila matahari tergelincir, kemudian kami pulang, dalam keadaan mencari-cari kawasan berteduh (bayangan).” Ungkapan: الفَيءَ merujuk kepada bayang dinding-dinding di Madinah. Dalam hadis riwayat Muslim daripada Salamah bin al-Akwa’ terdapat tambahan: وما نَجدُ للحيطانِ فَيئًا نَستظِلُّ بِهِ maksudnya:  “Dan tidak kami dapati (banyak) dinding-dinding yang berbayang untuk kami berteduh.”

Riwayat-riwayat ini menunjukkan, para sahabat dahulu di zaman Nabi SAW ketika pulang dari menunaikan solat Jumaat, dinding-dinding rumah atau seumpamanya di Madinah kebanyakannya masih belum memiliki bayang yang banyak atau panjang untuk berteduh, sedangkan ketika itu cuaca panas terik, kerana itu disebut dalam hadis: نَتَتَبَّعُ اْلفَيْءَ yang bermaksud: “Kami mencari-cari tempat-tempat yang terdapat bayang (ketika pulang dari Jumaat)”, agar kami dapat berteduh dan berehat.

Perkataan Syed Sabiq: وقال البخاري: وقت الجمعة إذا زالت الشمس maksudnya: “Kata al-Bukhari: “Waktu Jumaat apabila matahari tergelincir”, merujuk kepada salah satu Bab yang yang disebut oleh al-Imam al-Bukhari dalam kitab Sahih-nya: بابُ وقْتِ الجُمُعَةِ إذا زالَتِ الشَّمْسُ, “Bab berkaitan waktu Jumaat apabila telah tergelincir matahari.”

Badr al-Din al-‘Aini dalam ‘Umdah al-Qari 6/199 ketika menghuraikan perletakan bab ini oleh al-Bukhari menyatakan bab ini menerangkan tentang waktu solat Jumaat adalah apabila tergelincir matahari dari tengah langit. Sebahagian ulama menyatakan sebab al-Bukhari menyebut bab ini dalam bentuk jazam, sedangkan wujud perbezaan pendapat dalam perkara ini adalah kerana dalil bagi pandangan yang berbeza adalah lemah.

Menurut kenyataan Badr al-Din al-‘Aini, pandangan berbeza, yang mengatakan waktu Jumaat bermula sebelum waktu Zawal, bukan sahaja lemah di sisi al-Bukhari, bahkan lemah di sisi ulama lain yang lebih ramai.

Selepas menyebut bab di atas, al-Imam al-Bukhari menyatakan: “Demikian itulah yang diriwayatkan daripada ‘Umar, ‘Ali, al-Nukman bin Basyir dan ‘Umar bin Huraith RA.”

Riwayat-riwayat daripada ‘Umar, ‘Ali, al-Nukman bin Basyir dan ‘Umar bin Huraith RA yang melakukan Jumaat setelah matahari tergelincir boleh dirujuk kepada kitab-kitab syarah termasuk oleh al-‘Aini dalam ‘Umdah al-Qari.

Riwayat tentang al-Nukman bin Basyir, dikeluarkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam Musannafnya dengan sanad sahih: عَن عبيد الله بن مُوسى عَن سماك، قالَ: كانَ النُّعْمان يُصَلِّي بِنا الجُمُعَة بعد ما تَزُول الشَّمْس maksudnya: “Daripada ‘Ubaidillah bin Musa, daripada Sammak yang berkata: “Dahulunya al-Nukman seringkali menunaikan solat Jumaat bersama kami setelah matahari tergelincir.” Kata al-‘Aini: “Ketika itu al-Nukman adalah pemimpin di Kufah ketika awal zaman pemerintahan Yazid bin Mu‘awiah.”

Riwayat tentang ‘Amr bin Hurais RA juga oleh Ibn Abi Syaibah dalam Musannafnya daripada al-Walid bin al-‘Aizar (الوَلِيدِ بْنِ العَيْزارِ) yang berkata: ما رَأيْت إمامًا كانَ أحسن صَلاة للْجُمُعَة من عَمْرو بن حُرَيْث، فَكانَ يُصليها إذا زالَت الشَّمْس maksudnya: “Tidak pernah aku mendapati seoranh imam yang lebih baik solat Jumaatnya berbanding ‘Amr bin Huraith. Beliau menunaikan Jumaat apabila matahari tergelincir.”  Kata Ibn al-Mulaqqin: “Sanadnya jayyid.” (Lihat al-Taudhih 7/475)

al-‘Aini, setelah menyenaraikan riwayat yang dimaksudkan oleh al-Imam al-Bukhari, menyatakan, tindakan al-Bukhari berpada menukilkan nama ‘Umar, ‘Ali, al-Nukman bin Basyir dan ‘Umar bin Huraith RA dan beliau tidak menambah nama lain dari kalangan ulama salaf, adalah kerana terdapat nukilan yang berbeza daripada Abu Bakar, ‘Umar dan Uthman yang menyatakan mereka juga turut pernah menunaikan solat Jumaat sebelum Zawal. Perkara ini dinyatakan oleh Ibn al-Mulaqqin (723-804H) dalam al-Taudhih Li Syarh al-Jami’ al-Sahih 7/472-473. Namun riwayat tersebut tidak thabit seperti yang dinyatakan oleh Ibn Battal.

Manakala riwayat daripada Ali RA daripada Ibn Abi Razin yang berkata: كنا نصلي مع علي الجمعة، فأحيانا نجد فيئا وأحيانا لا نجد maksudnya: “Kami dahulu menunaikan solat Jumaat bersama ‘Ali, kadang-kala kami dapati ada bayang, kadang-kala tiada bayang.” Kata Ibn al-Mulaqqin: “Isnadnya Jayyid.”  al-‘Aini menyatakan riwayat ini boleh difahami ‘Ali bersegera melaksanakan Jumaat sebaik sahaja tergelincir matahari. 

            Syed Sabiq  menukilkan perkataan al-Imam al-Syafie yang berkata: “Kata al-Syafi’e RH: “Nabi SAW, Abu Bakar, ‘Umar, ‘Uthman dan para imam selepas mereka menunaikan setiap solat Jumaat selepas waktu zawal (sebaik sahaja telah tergelincir matahari.”

Perkataan al-Imam al-Syafi’e ini menunjukkan maklumat yang sampai kepada beliau berkaitan perlaksanaan Jumaat dalam kalangan salaf dan khalaf ialah setelah tergelincir matahari. al-Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ 4/512, menyebut hadis Salamah bin al-Akwa’ yang berkata:

كُنّا نُجَمِّعُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ» إذا زالَتْ الشَّمْسُ ثم نرجع نتتبع الفئ

maksudnya: “Kamu dahulu melaksanakan Jumaat bersama Rasulullah SAW apabila matahari tergelincir, kemudian kami pulang, dalam keadaan mencari-cari kawasan berbayang.”  Riwayat Muslim. Setelah itu berliau berkata: وهذا هُوَ المَعْرُوفُ مِن فِعْلِ السَّلَفِ والخَلْفِ maksudnya: “Inilah yang dimaklumi dari perlaksanaan salaf dan khalaf.” Seterusnya al-Nawawi menyertakan perkataan al-Imam al-Syafi’e tersebut.

 

Kata Syed Sabiq RH:

وذهبت الحنابلة وإسحاق إلى أن وقت الجمعة من أول وقت صلاة العيد إلى آخر وقت الظهر، مستدلين بما رواه أحمد ومسلم والنسائي عن جابر قال: كان رسول الله ﷺ يصلي الجمعة ثم نذهب إلى جمالنا فنريحها حين تزول الشمس. وفي هذا تصريح بأنهم صلوها قبل زوال الشمس.

Maksudnya: “Ulama mazhab Hambali dan Ishak berpandangan waktu Jumaat bermula dari waktu dibolehkan solat hari raya sehingga akhir waktu Zohor. Mereka berdalilkan dengan riwayat Ahmad, Muslim dan al-Nasai’e daripada jabir RA yang berkata: “Dahulunya Rasulullah SAW seringkali menunaikan solat Jumaat, kemudian kami pergi kepada unta-unta kami dan merehatkannya ketika tergelincir matahari. Riwayat ini menerangkan dengan jelas mereka menunaikan solat Jumaat sebelum tergelincir matahari.”

Huraian

Syed Sabiq menyebut pandangan ulama kumpulan kedua yang menyalahi pandangan majoriti. Ulama kumpulan kedua ini adalah pandangan minoriti. Mereka berpandangan Jumaat boleh dilaksanakan lebih awal, sebelum tergelincir matahari sehingga akhir waktu Zohor.

Para ulama sepakat (ijmak) waktu Jumaat tamat dengan masuknya waktu Asar. Perbezaan pandangan wujud dalam menentukan waktu terawal boleh dilakukan Jumaat.  

Pandangan minoriti ini juga disebut oleh al-Nawawi dalam al-Majmu’ 4/511 dengan katanya:

نقَل الماورديُّ في الحاوي عن ابنِ عبَّاس كقولِ أحمدَ، ونقَلَه ابنُ المنذر عن عَطاءٍ وإسحاقَ، قال: ورُوي ذلك بإسنادٍ لا يَثبُت عن أبي بكرٍ، وعُمرَ، وابنِ مَسعودٍ، ومعاويةَ

Maksudnya: “al-Mawardi telah menukilkan dalam al-Hawi daripada Ibn ‘Abbas pandangan yang sama seperti pandangan Ahmad. Ibn al-Munzir juga menukilkan pandangan tersebut daripada ‘Atha dan Ishak. Beliau juga menukilkan demikian itu dengan sanad yang tidak sabit daripada Abu Bakar, ‘Umar, Ibn Mas‘ud dan Mu‘awiah.”

            Ulama kumpulan yang kedua ini pula berbeza pandangan dalam menentukan permulaan waktu boleh menunaikan Jumaat. al-Syaukani dalam Nail al-Autar 3/309 berkata:

واخْتَلَفَ أصْحابُهُ فِي الوَقْتِ الَّذِي تَصِحُّ فِيهِ قَبْلَ الزَّوالِ هَلْ هُوَ السّاعَةُ السّادِسَةُ أوْ الخامِسَةُ أوْ وقْت دُخُولِ وقْتِ صَلاةِ العِيدِ

Maksudnya: “Para sahabat (sahabat Ahmad bin Hambal) berbeza pandangan tentang waktu boleh melaksanakan Jumaat sebelum Zawal, apakah ia waktu yang keenam atau kelima, atau waktu bermulanya boleh menunaikan solat hari raya.”

Waktu keenam atau kelima yang dimaksudkan oleh al-Syaukani, merujuk kepada pembahagian waktu siang hari di zaman Nabi SAW kepada 12 bahagian atau sa‘ah (الساعة). Perkara ini berdasarkan hadis Jabir bin Abdillah RA, Nabi SAW bersabda:

يَوْمُ الْجُمُعَةِ ثِنْتَا عَشْرَةَ لَا يُوجَدُ مُسْلِمٌ يَسْأَلُ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ شَيْئًا إِلَّا أَتَاهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ فَالْتَمِسُوهَا آخِرَ سَاعَةٍ بَعْدَ الْعَصْرِ

Maksudnya:  “Hari Jumaat terdapat 12 (merujuk kepada 12 sa‘ah atau pembahagian waktu), tiada seorang muslim yang meminta kepada Allah ‘Azza wa Jalla sesuatu melainkan Allah akan kurniakan kepadanya. Maka dapatkanlah waktu itu pada akhir waktu selepas ‘Asar.” (Riwayat Abu Daud, al-Nasai’e dan al-Hakim dengan kata beliau: “Sahih berdasarkan syarat Muslim.” al-Munziri dalam al-Targhib wa al-Tarhib menyatakan: “Ia seperti yang dinyatakan oleh al-Hakim.” Hadis ini juga dinilai sahih oleh al-Albani dalam Sahih Abi Daud.)

Kata Ibn Rajab dalam Fath al-Bari oleh Ibn Rejab 5/356:

وظاهر الحديث: يدل على تقسيم نهار الجمعة إلى اثنتي عشرة ساعةً، مع طول النهار، وقصره، فلا يكون المراد به الساعات المعروفة من تقسيم الليل والنهار إلى أربعة وعشرين ساعة؛ فإن ذَلِكَ يختلف باختلاف طول النهار، وقصره

Maksudnya: “Zahir hadis ini menunjukkan pembahagian siang hari Jumaat kepada 12 sa‘ah (bahagian), sama ada ketika waktu siang lebih panjang atau lebih pendek berbanding malam. Ia tidak memaksudkan pembahagian bahagian-bahagian yang sedia dimaklumi kepada 24 sa‘ah, yang berbeza menurut tempoh siang hari sama ada lama atau pendek.”

            Pembahagian waktu kepada 24 bahagian sehari semalam sememangnya dimaklumi di zaman Nabi SAW. Kata Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari 11/348:

والأصْلُ فِيها قِطْعَةٌ مِنَ الزَّمانِ وفِي عُرْفِ أهْلِ المِيقاتِ جُزْءٌ مِن أرْبَعَةٍ وعِشْرِينَ جُزْءًا مِنَ اليَوْمِ واللَّيْلَةِ وثَبَتَ مِثْلُهُ فِي حَدِيثِ جابِرٍ رَفَعَهُ يَوْمُ الجُمُعَةِ اثْنَتا عَشْرَةَ ساعَةً

Maksudnya: “Asalnya (al-Sa‘ah/الساعة) adalah potongan daripada masa, dan pada kebiasaan ahli miqat ia adalah satu bahagian daripada 24 bahagian sehari semalam. Telah sabit sesuatu sepertinya dari hadis Jabir yang beliau rafa’kan (kepada Nabi SAW), siang hari Jumaat itu terdapat 12 al-Sa‘ah.”

Kata Ibn al-Manzhur dalam Lisan al-‘Arab 8/169:

واللَّيْلُ والنَّهارُ مَعًا أربع وعِشْرُونَ ساعَةً، وإذا اعْتَدَلا فَكُلُّ واحِدٍ مِنهُما ثِنْتا عَشْرَةَ ساعَةً

Maksudnya: “Malam dan siang, kedua-duanya 24 sa‘ah (bahagian waktu). Apabila kedua-duanya seimbang (tempohnya). Setiap satunya pula terdapat 12 sa‘ah.”

Kata al-Syaukani dalam Fath al-Qadir 2/484:

واليَوْمُ يَتَحَصَّلُ مِن ساعاتٍ مَعْلُومَةٍ هِيَ أرْبَعٌ وعِشْرُونَ ساعَةً لِلَّيْلِ والنَّهارِ قَدْ يَكُونُ لِكُلِّ واحِدٍ مِنهُما اثْنَتا عَشْرَةَ ساعَةً فِي أيّامِ الِاسْتِواءِ، ويَزِيدُ أحَدُهُما عَلى الآخَرِ فِي أيّامِ الزِّيادَةِ وأيّامِ النُّقْصانِ

Maksudnya: “Sehari semalam terhasil dari beberapa sa‘ah (bahagian waktu) yang sedia dimaklumi iaitulah sebanyak 24 sa‘ah (bahagian waktu) sehari semalam. Kadang-kala berlaku 12 sa‘ah bagi setiap waktu siang dan malam ketika seimbang hari-harinya (sama panjang waktu siang dan malam), dan boleh juga salah satu waktu (sama ada siang atau malam) lebih atau berkurang bergantung bertambah waktu atau berkurangan (berbeza kadar siang dan malam hari).”

Berdasarkan maklumat-maklumat ini, untuk mengetahui waktu keenam atau kelima yang dimaksudkan adalah dengan cara membahagikan waktu siang iaitulah bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari kepada 12 bahagian. Pada bahagian keenam atau kelima itu adalah bermulanya waktu boleh melaksanakan Jumaat menurut salah satu pandangan dalam kalangan ulama mazhab Hambali.   

Hadis Jabir bin ‘Abdillah RA yang disertakan oleh Syad Sabiq dalam kenyataannya di atas termasuk dalam hadis infirad Muslim. Ungkapan نذهب إلى جمالنا فنريحها yang bermaksud: “kami pergi kepada unta-unta kami dan merehatkannya” dalam riwayat lain dengan kalimah: نَواضِحَنا pada tempat جِمالنا yang bermaksud: “unta-unta kami.” Manakala ungkapan: فنريحها dijelaskan oleh Abu al-‘Abbas al-Qurtubi dalam al-Mufhim Lima Asykala Min Talkhis Kitab Muslim 2/496 sebagai: نروِّحها لتستريح bermaksud: “Kami memasukkan unta-unta ke dalam kandang unutk berehat.”  Dalam Mu’jam al-Ghaniy disebutkan: ترويح المواشي: إدخالها إلى الحظائر في الرواح “(ungkapan) tarwih al-Mawashi: memasukkannya ke kandang (atau tempat yang dilingkari dengan sesuatu untuk haiwan ternakan berehat) pada waktu rawah (antara tergelincir sehingga terbenam matahari).”

Hadis ini menjadi dalil kepada ulama minoriti mengatakan pernah dilakukan Jumaat di zaman Nabi SAW sebelum waktu matahari tergelincir berdasarkan perkataan Jabir yang menyatakan mereka memasukkan unta ke kadang ketika matahari tergelincir selepas menunaikan solat Jumaat.

al-Imam al-Nawawi memahami hadis ini sebagai satu pemberitahuan bahawa aktiviti solat Jumaat dan pergi merehatkan unta ke dalam kandang kedua-duanya berlaku ketika waktu zawal atau sekitar waktu zawal (tidak terjauh jauh dari waktu setelah bergelincir matahari), bukan bermaksud solat Jumaat berlaku sebelum tergelincir matahari. Ia seperti sabda Nabi SAW: صَلّى بِي العَصْرَ حين كان كل شئ مِثْلَ ظِلِّهِ  “(Jibril) solat ’Asar bersama denganku ketika setiap bayang seumpama objeknya.” yang bermaksud sekitar waktu atau tidak terlalu jauh dari waktu bayang sama panjang dengan objek.

Kata Syed Sabiq RH:

واستدلوا أيضا بحديث عبد الله بن سيدان السلمي رضي الله عنه، قال: شهدت الجمعة مع أبي بكر فكانت خطبته وصلاته قبل نصف النهار، ثم شهدتها مع عمر فكانت صلاته وخطبته إلى أن أقول انتصف النهار، ثم شهدتها مع عثمان فكانت صلاته وخطبته إلى أن أقول زوال النهار فما رأيت أحدا عاب ذلك ولا أنكره، رواه الدارقطني والامام أحمد في رواية ابنه عبد الله واحتج به، وقال: وكذلك روي عن ابن مسعود وجابر وسعيد ومعاوية أنهم صلوها قبل الزوال فلم ينكر عليهم. فكان الاجماع.

وأجاب الجمهور عن حديث جابر بأنه محمول على المبالغة في تعجيل الصلاة بعد الزوال من غير إبراد، أي انتظار لسكون شدة الحر، وأن الصلاة وإراحة الجمال كانتا تقعان عقب الزوال.

كما أجابوا عن أثر عبد الله بن سيدان بأنه ضعيف، قال الحافظ ابن حجر: تابعي كبير غير معروف العدالة.

وقال ابن عدي: يشبه المجهول. وقال البخاري: لا يتابع على حديثه وقد عارضه ما هو أقوى منه. فروى ابن أبي شيبة عن سويد بن غفلة أنه صلى مع أبي بكر وعمر حين زالت الشمس، وإسناده قوي.

Maksudnya: “Mereka (ulama minoriti) berdalilkan juga dengan hadis ‘Abdullah bin Sidan al-Sulami RA yang berkata: “Daku menyertai Jumaat bersama Abu Bakar, khutbah dan solat Jumaat dilaksanakan sebelum pertengahan siang (sebelum waktu zawal). Aku juga menyertai Jumaat bersama ‘Umar (di zaman pemerintahannya), solat dan khutbah Jumaat beliau (selesai), sehingga dapat aku katakan pertegahan siang (sebelum waktu zawal. Aku juga menyertai Jumaat bersama ‘Uthman, solat dan khutbah Jumaat beliau (selesai), sehingga dapat aku katakan waktu tergelincir matahari (sebelum tergelincir matahari). Tidak aku dapati seseorangpun yang menganggap buruk dan membantah perbuatan itu.” Diriwayatkan oleh al-Daraqutni dan Imam Ahmad berdasarkan riwayat anaknya Abdullah dan beliau berhujah dengan hadis ini. Demikian itu juga berdasarkan sesuatu yang diriwayatkan daripada Ibn Mas‘ud, Jabir, Sa‘ed dan Mu‘awiah, kesemua mereka menunaikan solat Jumaat sebelum zawal dan tiada sebarang pengingkaran terhadap perbuatan mereka ini, maka ia suatu ijmak.

            Majoriti ulama menjawab penghujahan dengan hadis Jabir dengan mengatakan ia membawa maksud tindakan bersungguh-sungguh segera menunaikan solat Jumaat sebaik sahaja tergelincir matahari tanpa perlu menunggu atau melewatkannya sehingga waktu hilang panas terik matahari. Aktiviti solat dan memasukkan unta ke kandang, kedua-duanya berlaku berturutan setelah waktu zawal

Majoriti ulama juga menjawab athar Abdullah bin Sidan tersebut sebagai dhaif. Kata al-Hafidz Ibn Hajar (tentangnya): “Seorang tabi’e yang mulia, namun tidak dapat dikenalpasti keadilannya. Kata Ibn ‘Adiy: “Dia menyamai seorang yang tidak dikenali.” Kata al-Bukhari: “Tiada penguat untuk hadisnya. Hadisnya pula telah menyalahi riwayat yang lebih kuat.” Ibn Abi Syaibah pula meriwayatkan daripada Suwaid bin Ghafalah yang pernah menunaikan solat (Jumaat) bersama Abu Bakar dan ‘Umar ketika matahari telah tergelincir dan isnadnya kuat.” .    

Huraian

Riwayat Abdullah bin Sidan telah dinyatakan oleh Syed Sabiq sebagai hadis yang dhai’eh. Bahkan al-Nawawi dalam Khulasah al-Ahkam 2/773 menyatakan riwayat daripada ‘Abdullah bin Sidan (عبد الله بن سيدان) al-Sulami yang berkata: شهِدت الجُمُعَة مَعَ أبي بكر الصّديق رضي الله عنه، فَكانَت خطبَته وصلاته قبل الزَّوال  maksudnya: “Daku menyertai Jumaat bersama Abu Bakar al-Siddiq RA, khutbah dan solat Jumaat beliau dilakukan sebelum zawal.” Kemudian Ibn Sidan menyebut perkara yang sama daripada ‘Umar dan ‘Uthman dan berkata: فَما رَأيْت أحدا عابَ ذَلِك، ولا أنكرهُ  maksudnya: “Tidak aku (Ibn Sidan) dapati ada seseorang (dari kalangan mereka) yang menganggap aib dan mengingkari perbuatan itu.” Kata al-Nawawi berikutnya: “Riwayat al-Daraqutni dan selain beliau. Mereka (para ulama hadis sepakat akan lemahnya hadis ini dan lemahnya Ibn Sidan.”  

            Athar Suwaid bin Ghafalah yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah disebut juga oleh al-Mubarakfuri dalam Tuhfatuh al-Ahwazi 3/17 bersama kenyataan “Isnadnya qawiy (kuat)”. Seterusnya al-Mubarakfuri menyatakan, sebahagian ulama minoriti juga berdalilkan dengan sabda Nabi SAW: إنَّ هَذا يَوْمٌ جَعَلَهُ اللَّهُ عِيدًا لِلْمُسْلِمِينَ maksudnya: “Sesungguhnya hari ini (Jumaat) adalah satu hari yang Allah jadikannya hari raya untuk orang Islam.” Kata mereka, apabila Nabi SAW menamakan Jumaat sebagai hari raya, maka harus melaksanakannya pada waktu yang sama dengan waktu solat hari raya Fitri dan Adha. Namun alasan ini ditolak oleh majoriti ulama dengan mengatakan tidak semestinya dengan menamakan hari Jumaat sebagai hari raya, menunjukkan ia mengambil semua hukum-hakam hari raya dengan alasan wujud perbezaan hari raya diharamkan puasa secara mutlaq, sama ada dituruti dengan puasa sebelum atau selepasnya. Perkara ini berbeza dengan hari Jumaat.  

            Dari susunan Syed Sabiq berkaitan waktu Solat Jumaat ini, kemungkinan besar beliau memegang pandangan majoriti. Namun terdapat juga pandangan lain yang mengatakan pandangan majoriti itu mewakili kebiasaan Jumaat yang dilakukan di zaman Nabi SAW, manakala pandangan minoriti jika diamalkan juga tidak mengapa.

Abdullah al-Bassam dalam Taudhih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram 2/568 menyatakan hadis Anas bin Malik dalam Sahih al-Bukhari yang menjadi hujah di sisi majoriti ulama tidaklah saling bertentangan dengan hadis Jabir ini yang terdapat dalam Sahih Muslim. Kedua-dua hadis ini menunjukkan Baginda SAW kadang-kala menunaikan solat Jumaat sebelum waktu zawal dan kadang-kala pula baginda menunaikannya selepas waktu zawal. Namun yang lebih utama (afdhal) ialah melaksanakan Jumaat setelah waktu zawal, berdasarkan kebiasaan perbuatan Nabi SAW, selain bolehnya melakukan Jumaat pada waktu tersebut termasuk dalam perkara yang telah disepakati (ijmak) oleh seluruh umat Islam.

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 26
Semalam 1188
Minggu Ini 3286
Bulan Ini 21182

Keseluruhan 3093475

   Masa Capaian : 0.87 saat    Kemaskini :  09/12/2024