FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks
Tazkirah Ringkas
  • Hanya Permainan dan Sia-Sia

    Hanya Permainan dan Sia-Sia

    Information
    06 Januari 2023
    Peringatan al-Quran bahawa dunia ini hanya "permainan dan sia-sia" (Surah al-An'am ayat 32, Surah Muhammad ayat 36, Surah al-Hadid ayat 20) akan dapat kita lihat apabila kita benar-benar merenung kehidupan ini.   Masa berlari pergi, peristiwa-peristiwa yang terjadi dan baki kenangan yang tertinggal kini, benar-benar menjadi saksi bahawa kehidupan hanya sendiwara yang tidak pernah berhenti. Apa yang kita lihat, tidak seperti yang kita sangka. Apa yang kita sangka, mungkin hakikatnya sangat berbeda. Semalam tidak lagi sama seperti hari ini. Esok mungkin berubah lagi... Baca seterusnya

 

IRSYAD HUKUM SIRI 26

Benarkan Nabi SAW Menghulurkan Tangan Baginda Keluar Dari Kubur Untuk Bersalaman Dengan Syeikh Rifaie?

Soalan:

Benarkah Nabi SAW pernah menghulurkan tangan baginda dari dalam kubur untuk bersalaman dengan pengasas tarikat Rifaie seperti cerita yang diviralkan dalam kuliah sebahagian ustaz? Dikatakan kisah ini mutawatir.

Jawapan:

1. Cerita yang mengatakan Nabi SAW pernah menghulurkan keluar tangan dari kubur baginda dan bersalam dengan al-Syeikh Ahmad al-Rifa’ie adalah cerita yang direka oleh pengikut tarikat Rifa’iyyah untuk memuji dan mengagungkan guru mereka, Ahmad Rifaie. Demikian juga dakwaan kononnya kisah tersebut mutawatir juga adalah dakwaan palsu.

2. Kisah ini ada disebut di dalam beberapa kitab seperti Syawahid al-Haq dan Jaami’ Karamat al-Awliya’ oleh al-Nabhani. Demikian juga kitab Qiladah al-Jawahir oleh al-Shayadiy. Di dalam kitab-kitab ini dinyatakan peristiwa tersebut disaksikan oleh sekitar 90,000 orang lelaki dalam musim haji. Kesemua mereka menyaksikan tangan baginda SAW dalam peristiwa tersebut. Antara tokoh yang dikatakan berada dalam peristiwa tersebut ialah al-Syeikh Hayah bin Qais al-Harabiy dan al-Syeikh ‘Abd al-Qadir al-Jiliy. Bahkan di dalam Qiladah al-Jawahir halaman: 104 menyatakan, perbuatan mengingkari atau tidak percayakan kisah keramat ini adalah satu kekufuran.

3. al-Syeikh Ihsan Ilahi Zahir telah menyenaraikan beberapa kekarutan pada kisah ini, antaranya:

    1. Jumlah 90,000 orang itu adalah terlalu ramai dan tidak mungkin jemaah haji seramai ini dapat melihat peristiwa tersebut di maqam Nabi SAW dalam masa yang sama.
    2. Jika benar tokoh-tokoh yang disebutkan nama mereka itu sememangnya menyaksikan peristiwa tersebut, sudah tentu mereka akan menghikayatkannya di dalam kitab-kitab mereka. Namun penghikayatan itu tidak berlaku.
    3. Jika benar peristiwa itu pernah berlaku sudah pasti ia akan tercatit di dalam sejarah. Namun malangnya kisah tersebut hanya disebut di dalam kitab sufi terutamanya tarikat Rifaiyyah. Bahkan kitab al-Tabaqat al-Sufiyyah juga tidak menyebutkan kisah ini.  

4. al-Imam al-‘Allamah Abi al-Ma‘aliy Mahmud Syukri al-Alusi di dalam kitabnya Ghayah al-Amaniy Fi al-Radd ‘Ala al-Nabhaniy (1/292-296) juga menyebut kisah ini sebagai khurafat. Antara perkara yang disebut di dalam bantahan beliau ialah:

a. Berbagai tokoh sejarah dari aliran yang berbeza telah menyebut biografi al-Syeikh Ahmad Rifaie. Tiada seorangpun dari kalangan mereka yang menyebut kisah yang dinyatakan.

b. al-Imam al-Taj al-Subki di dalam kitabnya Tabaqat al-Subki ketika memuji Ahmad Rifaie, menyebutkan beberapa kisah berkaitan kezuhudan al-Rifaie seperti sanggup memotong lengan baju yang dipakainya kerana tidak mahu mengganggu seekor kucing yang sedang tidur di dalamnya. Demikian juga beliau menyebut kisah al-Rifaie membiarkan nyamuk mengambil darah di tangannya tanpa diganggu dan kisah-kisah lain, namun beliau tidak langsung menyebut kisah Nabi SAW menghulurkan tangan keluar dari kubur untuk bersalaman dengan al-Rifaie. Jika kisah tersebut benar dan mutawatir, sudah pasti al-Subki tidak akan ketinggalan menceritakannya.

c. Kisah ini direka oleh pengikut al-Syeikh Ahmad al-Rifaie beberapa tahun setelah kewafatan beliau. Mereka juga mendakwa al-Syeikh Ahmad Rifaie memiliki nasab sampai kepada Ibrahim al-Murtadha bin Musa Kazim, namun ia juga merupakan satu dakwaan yang tiada asas sama sekali. 

Kesimpulannya

Kisah Nabi SAW menghulurkan tangan dari kubur baginda untuk bersalaman dengan al-Syeikh Ahmad al-Rifaie adalah kisah rekaan dan palsu.

 

(Panduan hukum ini yang dijawab oleh Unit Buhuth Jabatan Mufti Negeri Perlis adalah bukan merupakan keputusan rasmi Fatwa Negeri Perlis)