FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks
Tazkirah Ringkas
  • Syurga Penawar Duka..

    Syurga Penawar Duka..

    Information
    21 September 2022
    Syurga Penawar Duka.. Jannah atau syurga merupakan khabar gembira dan pengubat dukacita insan terhadap apa sahaja kesakitan yang dilalui dalam kehidupan dunia ini. Segala derita dan keperitan dunia amatlah kerdil jika seseorang dapat memperolehi syurga. Betapa hebatnya keindahan dan kenikmatan yang maha agung yang dijanjikan oleh Allah kepada hamba-hambaNYA yang akan menghuni syurga. Apabila insan bangun setiap pagi di kesunyian malam yang akhir, membaca al-Quran dalam... Baca seterusnya

 

IRSYAD HUKUM SIRI 20

PERLAKSANAAN QUNUT DALAM SOLAT WITIR

 

Terdapat beberapa pandangan ulama berkaitan perlaksanaan Qunut dalam solat Witir. Sebahagian pandangan tersebut adalah seperti berikut:

  1. Melakukan Qunut pada pertengahan Ramadan berdasarkan hadis Anas RA yang berkata:

كان رسول الله - ﷺ - يقنت في النصف من رمضان، إلى آخره

Maksudnya: “Dahulunya Rasulullah SAW melakukan Qunut pada sebahagian (akhir) Ramadan sehingga penghujung Ramadan.”[1]

Demikian juga berdasarkan riwayat Abu Daud yang menceritakan tindakan ‘Umar bin al-Khattab RA yang menghimpunkan orang ramai menunaikan solat Qiyam Ramadan berimamkan Ubai bin Ka‘ab RA dan dinyatakan:

فَكانَ يُصَلِّي لَهُمْ عِشْرِينَ لَيْلَةً ولاَ يَقْنُتُ بِهِمْ إلاَّ فِي النِّصْفِ الباقِي

Maksudnya: “Adalah beliau menunaikan solat bersama mereka selama 20 malam, dan beliau tidak melakukan Qunut melainkan pada separah bahagian akhir (Ramadan).”[2] 

Inilah pandangan Imam Syafie[3] dan Imam Ahmad[4] menurut salah satu riwayat daripada beliau. Juga pandangan Anas bin Malik, ‘Ali, Ubai bin Ka‘ab, Ibn ‘Umar, Ibn Sirin, al-Zuhri, al-Hasan dan Qatadah.[5]

  1. Melakukan Qunut dalam solat Witir bermula daripada awal Ramadan berdasarkan hadis al-Hasan bin ‘Ali RA yang berkata:

عَلَّمَنِيْ رَسُوْلُ اللهِ - ﷺ - كَلِمَاتٍ أَقُوْلُهُنَّ فِيْ قُنُوْتِ الْوِتْرِ...

Maksudnya:  “Rasulullah SAW telah mengajarkan kepadaku beberapa kalimat untuk daku ungkapkannya di dalam Qunut solat Witir…”[6]

            Di dalam hadis ini, Nabi SAW telah mengajarkan lafaz doa Qunut kepada al-Hasan tanpa mengkhususkan waktu tertentu. Inilah pandangan ulama mazhab Hanafi, satu wajah di sisi ulama Syafie dan pandangan al-Mazhab di sisi ulama mazhab Hambali. Juga pandangan ‘Umar, ‘Ali, Ibn Mas‘ud, Abu Hurairah, al-Hasan, ‘Atha’, Abu Thaur dan al-Nakhaie.[7]

  1. Tidak melakukan Qunut sama sekali di dalam solat Witir. Inilah pandangan yang diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Umar, Abu Hurairah dan ‘Urwah RA. Ibn Nasr al-Marwazi menyatakan, Abu al-Sya’tha’ al-Faqih (أبو الشعثاء الفقيه) berkata: “Aku bertanya kepada Ibn ‘Umar RA berkaitan Qunut. Beliau menjawab: “Tidak pernah aku melihat seseorang (dari kalangan Sahabat yang melakukannya.”[8]

Nasihat dan Saranan

Dalam permasalahan seperti ini, pihak masjid dinasihati memberi ruang kepada Imam untuk mengamalkan mana-mana pandangan dari ulama Ahli Sunnah wal Jama‘ah. Terutamanya terdapat di kalangan ulama yang berpandangan persoalan berkaitan Qunut di dalam solat Witir ini terdapat keluasan. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah[9] berkata:

وأما قنوت الوتر فللعلماء فيه ثلاثة أقوال: قيل: لا يستحب بحال، لأنه لم يثبت عن النبي صلى الله عليه وسلم أنه قنت في الوتر.وقيل: بل يستحب في جميع السنة، كما ينقل عن ابن مسعود وغيره، ولأن في السنن أن النبي صلى الله عليه وسلم علم الحسن بن علي ـ رضي الله عنهما ـ دعاء يدعو به في قنوت الوتر. وقيل: بل يقنت في النصف الأخير من رمضان، كما كان أبي بن كعب يفعل

Maksudnya: “Adapun Qunut Witir terdapat tiga pandangan ulama. Ada yang berpandangan ia tidak disunatkan kerana tidak sabit bukti menunjukkan baginda SAW pernah melakukan Qunut di dalam solat Witir. Ada pula yang berkata ia disunatkan sepanjang tahun sepertimana yang dinukilkan daripada Ibn Mas‘ud dan selainnya. Hal ini sedemikian kerana di dalam kitab Sunan ada meriwayatkan Nabi SAW pernah mengajarkan kepada al-Hasan bin ‘Ali RA doa qunut dalam solat Witir. Ada pula yang berpandangan qunut dilakukan pada separuh bahagian akhir Ramadan sepertimana yang dilakukan oleh Ubai bin Ka‘ab RA.”

 

[1] Diriwayatkan oleh al-Baihaqi di dalam al-Sunan dan Ibn ‘Adiy di dalam al-Kamil secara Mauquf dengan sanad yang lemah seperti yang terdapat di dalam al-Badr al-Munir 4/369

[2] Bazl al-Majhud Fi Hill Abu Daud 7/252. Al-Syeikh Muhammad Dhiya’ al-A’zhami di dalam Kitab Solat al-Tarawih menyatakan sanad hadis ini terdapat inqita’. Kitab atas talian: https://al-maktaba.org/book/12266/22#p1 capaian pada Selasa, 5/04/2022, 5:32 PTG.

[3] Berdasarkan riwayat al-Za’farani dan al-Muzani. Lihat al-Umm 1/143, al-Nawawi di dalam alMajmu’ 4/15. Di dalam al-Azkar 116,  al-Nawawi berkata: “Ia pandangan yang ma’ruf dari mazhab al-Syafi‘iyyah.”

[4] Lihat Ibn Abi ‘Umar di dalam al-Syarh al-Kabir 4/124 dan al-Mardawi di dalam al-Insaf 4/124.

[5] al-Walid bin Abdul Rahman al-Farayyan, al-Qunut Fi al-Witr, cetakan pertama, Dar al-Athir, 1430H/2009M, Riyadh Saudi, hal: 54-55

[6] Riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, bil: 1425, 1426 dan al-Tirmizi di dalam al-Jami’, bil: 464. Beliau berkata: “Hadis Hasan dan tidak kami ketahui daripada Nabi SAW tentang Qunut sesuatu yang lebih baik dari yang ini.”

[7] Ibid: 53

[8] al-Syeikh ‘Abd al-‘Aziz bin Salih al-Jarbu’, Qunut al-Witr hal: 25

[9] Majmu’ al-Fatawa Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah 22/271, cetakan 1425H/2004M, Mujamma’ al-Malik Fahd, Madinah, Saudi

(Panduan hukum ini yang dijawab oleh Unit Buhuth Jabatan Mufti Negeri Perlis adalah bukan merupakan keputusan rasmi Fatwa Negeri Perlis)