FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks
Tazkirah Ringkas
  • Syurga Penawar Duka..

    Syurga Penawar Duka..

    Information
    21 September 2022
    Syurga Penawar Duka.. Jannah atau syurga merupakan khabar gembira dan pengubat dukacita insan terhadap apa sahaja kesakitan yang dilalui dalam kehidupan dunia ini. Segala derita dan keperitan dunia amatlah kerdil jika seseorang dapat memperolehi syurga. Betapa hebatnya keindahan dan kenikmatan yang maha agung yang dijanjikan oleh Allah kepada hamba-hambaNYA yang akan menghuni syurga. Apabila insan bangun setiap pagi di kesunyian malam yang akhir, membaca al-Quran dalam... Baca seterusnya

IRSYAD HUKUM SIRI 17

Adakah Wajib Berwudhu Sebelum Disimen Atau Dibalut Pada Anggota Wudhu Yang Patah?

Soalan:

Assalamu’alaikum

Adakah wajib berwudhu sebelum disimen atau dibalut pada anggota wudhu yang patah?

Jawapan:

Tidak disyaratkan berwudhu terlebih dahulu bagi membolehkan sapuan di atas balutan luka (العصابة) mahupun simeh anggota patah (الجبيرة). Inilah salah satu pandangan di sisi ulama Hambali dan Ibn Qudamah cenderong kepada pandangan ini.

Huraian

Wujud perbezaan pendapat di kalangan ulama berkaitan hukum wudhu sebelum mengenakan balutan pada bahagian luka atau patah, bagi membolehkan sapuan di atas balutan ketika bersuci.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH mendakwa pandangan yang mengatakan tidak wajib berwudhu adalah pandangan ulama yang teramai dan ia pandangan yang benar. Beliau berkata:

أنَّ الجَبِيرَةَ يَمْسَحُ عَلَيْها، وإنْ شَدَّها عَلى حَدَثٍ، عِنْدَ أكْثَرِ العُلَماءِ وهُوَ إحْدى الرِّوايَتَيْنِ عَنْ أحْمَدَ، وهُوَ الصَّوابُ. ومَن قالَ لا يَمْسَحُ عَلَيْها إلّا إذا لَبِسَها عَلى طَهارَةٍ لَيْسَ مَعَهُ إلّا قِياسُها عَلى الخُفَّيْنِ، وهُوَ قِياسٌ فاسِدٌ، فَإنَّ الفَرْقَ بَيْنَهُما ثابِتٌ مِن هَذِهِ الوُجُوهِ

Maksudnya: “al-Jabirah (balutan menyokong anggota patah) disapu di atasnya, sekalipun ketika membalutnya dalam keadaan berhadas di sisi pandangan ulama teramai. Ia juga adalah salah satu riwayat pandangan dari Ahmad dan ia yang benar. Sesiapa yang berkata tidak boleh disapu anggota yang berbalut melainkan jika waktu dikenakan balutan dalam keadaan suci (dari hadas kecil dan besar), tidak memiliki sandaran melainkan qiyas dengan hukum dua khuf. Qiyas ini adalah qiyas yang fasid (rosak), kerana sesungguhnya perbezaan antara keduanya wujud dari alasan-alasan yang telah dinyatakan…”[1]   

Di bawah ini, beberapa perbezaan antara pensyariatan sapuan di atas khuf dengan sapuan di atas balutan yang disebut oleh Ibn Taimiyyah RH bagi membuktikan melakukan qiyas sapuan di atas balutan dengan sapuan khuf adalah lemah dan qiyas yang dilakukan adalah tertolak, antara perbezaan tersebut:

  1. Sapuan di atas balutan adalah wajib, manakala sapuan di atas khuf adalah harus. Di mana seseorang yang memakai khuf ada pilihan sama ada hendak menyapu di atas khuf atau menanggalkan khuf dan membuat sapuan terus ke anggota wudhu kaki.
  2. Sapuan di atas balutan untuk hadas kecil dan besar. Manakal sapuan di atas khuf hanya boleh dilakukan untuk hadas kecil.
  3. Sapuan di atas balutan dibolehkan sehingga balutan dibuka tiada penentuan waktu kerana ia dibolehkan disebabkan wujud dharurah. Berbeza dengan sapuan di atas khuf yang memiliki batas waktu dibolehkan sapuan dalam keadaan biasa berdasarkan pandangan majoriti ulama.

Oleh itu, bagi sesiapa yang mengalami kecederaan pada anggota taharah, boleh menyapu di atas balutan atau simen ketika bersuci, sekalipun ketika balutan dikenakan anda bukan dalam keadaan suci. 

 __________________________

[1] al-Fatawa al-Kubra oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah W728H. tahkik Muhammad Abd al-Qadir ‘Atha dan Mustafa Abd al-Qadir ‘Atha 1/315. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut Lebanon, cetakan pertama 1987M/1408H

(Panduan hukum ini yang dijawab oleh Unit Buhuth Jabatan Mufti Negeri Perlis adalah bukan merupakan keputusan rasmi Fatwa Negeri Perlis)