• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

KEMENANGAN YANG HAKIKI

KEMENANGAN YANG HAKIKI

(potongan Khutbah Hariraya Fitri 1445 yang ditulis oleh Dr MAZA)

 

الله أكبر الله أكبر لا إله إلا الله والله أكبر الله أكبر ولله الحمد

 

Suara takbir yang berkumandang pada hari ini, merupakan laungan kebesaran ALLAH sebagai tanda kita telah melalui Ramadan dengan ibadat dan taat. Takbir bukan sekadar irama atau bunyi suara yang syahdu semata, namun takbir merupakan ikrar yang kita lafazkan mengakui hanya ALLAH yang paling besar dalam jiwa kita. Segala-galanya kerdil apabila bertembung dengan kebesaran ALLAH. Tiada yang berhak untuk disembah selain ALLAH. Tiada sekutu bagiNYA.  BagiNYA jua segala pujian.

 

Saudara-saudari sekelian,

Kedudukan, pangkat, jawatan, keturunan, harta, kekuasaan, anak-pinak, kekayaan dan apa sahaja, amatlah kerdil apabila berhadapan dengan ALLAHU AKBAR! Itulah laungan yang kita angkat pada Hari Raya, dan laungan itulah jugalah yang kita mulakan setiap kali mengadap ALLAH dalam solat. Kita sentiasa akur di hadapan kebesaran dan keagunganNYA. Kita bahagia dengan melafazkannya. Dari lubuk jantung hati kita, sedalam-dalamnya perasaan kehambaan dengan suara yang penuh gementar dan gerun kepada zat yang Maha Berkuasa, Pencipta segala, maka kita lafaz setiap hari terutamanya pada hari ini ALLAHU AKBAR dengan penuh iman. Itulah kita, seorang hamba yang sentiasa bergantung kepada zat yang Maha Agung, Tuhan yang kita sembah dengan penuh rasa kehinaan diri, mengharapkan kurniaanNYA dalam kehidupan di dunia yang singkat ini, dan merintih keampunan dan syurga yang kekal abadi di Hari Akhirat nanti.

Dalam kehidupan, insan mengharapkan kemenangan. Orang yang beriman apabila memperolehi kemenangan, lidahnya mengucapkan kesyukuran serta melafazkan ALLAHU AKBAR. Itulah tanda bahawa seorang mukmin itu sentiasa akur bahawa segala yang dia perolehi hanya kurniaan ALLAH semata. Juga akur bahawa apa sahaja yang dianggap besar dalam jiwanya, ALLAH jua yang Maha Besar mengatasi segalanya. Justeru itulah, apabila kita berjaya menyempurnakan bilangan hari pada Bulan Ramadan, kita diperintahkan untuk bertakbir dan bersyukur kepada ALLAH. Firman Allah:

وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

(maksudnya) “…dan juga supaya kamu cukupkan bilangan (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah atas apa yang dia tunjukkan kamu (hidayahNYA), dan supaya kamu bersyukur". (Surah al-Baqarah: 185).

الله أكبر الله أكبر لا إله إلا الله والله أكبر الله أكبر ولله الحمد

 

Saudara-saudari sekelian,

Jika kita renungi, betapa pantasnya hari-hari dan waktu berlari dalam kehidupan kita ini. Sehingga kadang-kala, belum sempat kita menikmatinya, sedar tidak sedar kita sudah berada di daerah waktu yang baru. Sebentar rasanya cahaya mentari muncul di kaki langit, tiba-tiba tengahari sudah menjelma. Baru rasa masuknya waktu Zohor, tiba-tiba Maghrib sudah hadir menunggu tenggelam mentari di ufuk barat. Baru sahaja Isyak, tiba-tiba jam menunjukkan sudah tengah malam. Ketika kepala diletakkan di atas bantal, bicara kehidupan berhenti oleh lena, apabila mata dibuka, siang yang berikutnya sudah menanti kita. Baru sahaja Jumaat, sudah Jumaat semula. Baru sahaja Ramadan, sedar-sedar kita sudah pun di sini mendengar Khutbah Hari Raya sebagai tanda telah sebulan puasa berlalu meninggalkan kita. Melihat orang di sekeliling kita, yang dahulu muda, sudah pun meningkat usia, uban dan kedutan nampak di wajah mereka. Dahulu sihat, sekarang sudah ada yang jalan bertongkat. Dahulu kuat dan berkudrat, hari ini ada yang sudah penat dan tenat. Lebih daripada itu, dahulu dia ada bersama di dunia ini, hari ini sudah tiada. Bicara, suara dan cerita telah tamat, hanya tinggal apa yang tersemat dalam kenangan kita semata. Setiap kita akan mengadap ALLAH S.W.T membawa amalan masing-masing. Dalam kepantasan waktu berlalu, kesibukan menikmati dunia, sempatkah kita menghimpun pahala untuk dibawa ke hadapanNYA?

الله أكبر الله أكبر لا إله إلا الله والله أكبر الله أكبر ولله الحمد

Lihat ke diri kita sendiri. Saban hari kita meningkat usia. Jika dahulu di usia kanak-kanak yang tidak memperdulikan apa krisis kehidupan di sekeliling, hari ini sudah matang dan terpaksa berfikir tentang cabaran hidup. Jika dahulu muda, hari ini mula dimamah usia. Jari jemari dan sendi menjadi tanda peringkat umur mula berganti . Kulit dan tenaga mula meriwayatkan perjalanan hari dan tahun yang telah kita lalu. Apa yang pasti, kehidupan ini, seindah mana pun, semanis apapun, ada tempohnya. Semalam senyuman, hari ini mungkin tangisan. Semalam sedih, hari ini mungkin tersenyum manis. Kemudian berubah lagi. Diri, isteri, anak-anak, ibubapa, teman, rakan dan jiran semuanya turut melalui proses kehidupan. Dimamah perjalanan hidup, dipukul gelombang kehidupan, dihentak kejadian dan peristiwa, ditempur oleh cabaran, diubah oleh pelbagai rasa dan perasaan. Maka, setiap hari ada yang bertukar. Hari ini tidak sama lagi seperti semalam. Esok akan berubah lagi. Demikianlah kehidupan, sehingga nafas terhenti. Kehidupan dunia benar-benar satu permainan dan kesenangan yang menipu. Tiada yang dapat kita pegang selama dan kekal tanpa berubah. Sekuat, atau sekaya atau sekuasa mana pun, insan tidak akan dapat mengekang permainan sendiwara dunia.

Maka, soalannya, apakah sebenarnya yang kita cari dalam kehidupan ini? Jika kita mencari kesenangan berkekalan, kita tidak akan temui di dunia ini. Jika kita mencari senyuman yang berpanjangan, itu hanya satu mimpi. Jika kita mencari nama semata, kita tetap akan dilupa jua. Jika pun diingat, sedangkan kita sudah tiada, apalah ertinya buat kita di sana?

Apakah sebenarnya kejayaan dan kemenangan dalam hidup ini? Siapakah insan yang berjaya dan menang dalam pertarungan kehidupan di dunia yang menipu dan memperdaya? Untuk menjawab hal itu, ALLAH Tuhan yang menciptakan dan menempatkan kita di dunia ini memberikan jawapan sejelas-jelasnya jawapan dalam al-Quran. Firman ALLAH dalam Surah Ali ‘Imran ayat 185:

كُلُّ نَفۡسٖ ذَآئِقَةُ ٱلۡمَوۡتِۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوۡنَ أُجُورَكُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَٰمَةِۖ فَمَن زُحۡزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدۡخِلَ ٱلۡجَنَّةَ فَقَدۡ فَازَۗ وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَٰعُ ٱلۡغُرُورِ ١٨٥

(maksudnya) Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.

Maka, berdasarkan firman ALLAH ini, kejayaan bagi seseorang ialah apabila dia selamat dari azab neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Itulah kejayaan dan kemenangan bagi seseorang insan yang hidup atas muka bumi ini. Sehebat mana pun pencapaian seseorang atas dunia ini, jika tidak berjaya selamat dari neraka dan masuk ke dalam syurga, maka kesemuanya itu sia-sia belaka.

الله أكبر الله أكبر لا إله إلا الله والله أكبر الله أكبر ولله الحمد

Saudara-saudari sekelian,

Maka, cita-cita utama bagi setiap kita ialah mendapatkan syurga dan bebas dari azab neraka. Harapan dan kerinduan kepada syurga, sentiasa memenuhi jiwa dan fikiran seorang yang beriman. Ia tidak pernah padam dan terhenti. Sekalipun, mungkin cita-cita lain dalam kehidupan itu kadang-kala berakhir dengan perubahan usia, masa dan keadaan. Namun, cita-cita untuk mendapatkan  syurga tetap kekal dalam jiwa insan bahkan ia akan dibawa bersama selepas kematian. Segala keindahan dunia terlalu kerdil dibandingkan nikmat syurga dan segala kesukaran dan kesusahan dunia terpadam dan tiada lagi ingatan dengan hanya satu imbasan dalam syurga yang indah. Firman ALLAH dalam Surah al-An’am ayat 32:

وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا لَعِبٞ وَلَهۡوٞۖ وَلَلدَّارُ ٱلۡأٓخِرَةُ خَيۡرٞ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَۚ أَفَلَا تَعۡقِلُونَ ٣٢

(maksudnya) Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan satu permainan dan hiburan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?

Untuk itulah, seorang yang beriman terus membawa cita-cita syurga sepanjang perjalanan hidupnya. Cita-cita itu tidak pernah tua bersama usia, tidak pernah terhenti disebabkan kejadian dan peristiwa. Bahkan, semakin banyak usia, semakin membara cita-cita itu. Ketika dunia dan nikmatnya mula tawar, ingatan kepada syurga bertambah mekar.

Inilah rahsia yang tidak difahami oleh mereka yang tidak beriman mengapa seseorang sanggup mengorbankan kesenangan dunia untuk agamanya. Ketika manusia sedang nyenyak tidur orang mukmin bangun bersolat, beristighfar, berzikir dan berdoa. Ketika orang lain makan, orang mukmin sanggup berpuasa. Harta dan tenaga digunakan mencari redha Yang Maha Esa. Dalam keletihan usia, kesibukan masa, kepenatan kerja, tetap menghadirkan diri di tempat yang ALLAH suka. Kehidupannya adalah perlumbaan mendapatkan keampunan ALLAH dan syurga yang dijanjikan. Bukan menolak nikmat dunia, tetapi dunia hanya laluan sementara diambil yang halal darinya, sementara akhirat adalah perjuangan yang tidak pernah padam selamanya. Inilah yang ALLAH perintahkan dalam kitabNYA, dalam Surah Ali ‘Imran ayat 133:

۞وَسَارِعُوٓاْ إِلَىٰ مَغۡفِرَةٖ مِّن رَّبِّكُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَٰوَٰتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِينَ ١٣٣

(maksudnya) Dan segeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu dan Syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa;

الله أكبر الله أكبر لا إله إلا الله والله أكبر الله أكبر ولله الحمد

Saudara-saudari sekelian,

Allah tidak mengharamkan nikmat dunia yang halal untuk kita. Bahkan kita disuruh memohon agar kehidupan kita di dunia baik, dan di akhirat pun baik. Ini seperti doa yang ALLAH ajar agar kita berdoa:

رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا حَسَنَةٗ وَفِي ٱلۡأٓخِرَةِ حَسَنَةٗ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ ٢٠١

(maksudnya) "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka".

Manusia yang rugi ialah mereka yang mengejar dunia sehingga terlupa kehidupan dan nikmat yang hakiki iaitu syurga. Insan yang terbaik, insan yang mendapatkan nikmat dunia yang halal yang berikan, dalam masa yang sama perlumbaannya ke syurga tidak pernah terhenti. Seakan dia hidup di syurga dunia yang sementara dan dia juga mendapat tempat di syurga sebenar di akhirat yang kekal abadi.

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 1103
Semalam 2431
Minggu Ini 3534
Bulan Ini 35707

Keseluruhan 2959509

   Masa Capaian : 0.84 saat    Kemaskini :  14/10/2024