• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Hormatilah Tokoh Agama, Tapi Janganlah Mandulkan Akal

HORMATILAH TOKOH AGAMA, TAPI JANGANLAH MEMANDULKAN AKAL

Prof Dato' Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

1. Islam adalah agama yang bina di atas hujah dan dalil. Sumber ajaran agung Islam adalah al-Quran dan al-Sunnah. Adapun rujukan lain seperti Ijmak dan Qiyas tetap berpaksi kepada al-Quran. Tiada hukum yang diputuskan oleh Ijmak atau Qiyas tanpa asasnya dari al-Quran dan al-Sunnah. Tiada Islam tanpa hujah dan dalil. Segala cakap kosong tanpa alasan tidak layak untuk dikaitkan dengan agama yang suci ini. Ini kerana Islam adalah agama Allah yang Maha Mencipta Lagi Maha Mengetahui. Justeru itu, mustahil terdapat dalam ajaran Islam sesuatu yang menyanggahi fakta yang benar dan hakikat ilmiah. Apa sahaja pendapat yang menggunakan nama Islam, namun tidak berpaksi hujah dan dalil maka ia bukan ajaran Islam sekalipun yang memberikan pendapat itu menyangkutkan pada dirinya berbagai gelaran agama, atau memakai bermacam pakaian yang dikaitkan dengan agama.

2. Demikian juga, apa sahaja pandangan yang dikaitkan dengan Islam jika terbukti secara realitinya bercanggah dengan hakikat alam atau fakta sains yang pasti, atau kemaslahatan hakiki insan secara nyata maka ia juga bukan dari ajaran Islam sama sekali. Kata sarjana besar Islam al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):

إن الشريعة الإسلامية مبناها وأساسها على الحِكم ومصالح العباد في المعاش والمعاد، وهي عدل كلها، ورحمة كلها، وحِكمة كلها، فكل مسألة خرجت عن العدل إلى الجور، وعن الرحمة إلى ضدها وعن المصلحة إلى المفسدة، وعن الحكمة إلى العبث، فليست من الشريعة وإن دخلت فيها بالتأويل

"Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia-sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun masuk ke dalam syariah (diberikan jenama syariah) dengan  takwilan". (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I'lam al-Muwaqqi'in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail).

3. Apa sahaja pandangan mengenai Islam yang menyanggahi al-Quran atau al-Sunnah atau fakta yang pasti atau asas-asas kemaslahatan yang menepati syariah adalah tertolak tanpa mengira siapa pun tokohnya. Maka pendapat setiap orang sekalipun dia mufti, atau tok guru atau ustaz boleh diterima atau ditolak, kecuali jika berpaksikan kaedah penghujahan yang betul dari al-Quran dan al-Sunnah. Pendapat sesiapa pun –sekali pun ulama besar- berhak untuk dipersoalkan jika bercanggah dengan nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Tiada siapa pun yang maksum dalam Islam melainkan rasul yang diutuskan. Setiap pandangan agama oleh seorang tokoh atau ustaz tidak ditelan bulat-bulat. Firman Allah dalam Surah al-Isra ayat 36:

وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَٰٓئِكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡ‍ُٔولٗا

(maksudnya): Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya.

4. justeru itu, al-Imam al-Syatibi (meninggal 790H) berkata: "Maka wajib bagi kita untuk mengikut orang yang terhalang daripada kesilapan (maksudnya RasululuLah S.A.W) dan berhenti daripada mengikut sesiapa yang tidak terhalang daripada silap apabila melihat kekeliruan pada ikutan tersebut. Bahkan kita bentangkan apa yang datang daripada para imam kepada al-Kitab dan al-Sunnah. Apa yang keduanya (al-Quran dan al-Sunnah) terima, maka kita terima, dan apa yang kedua tidak terima, kita tinggalkannya.”. (Al-Syatibi, Al-I’tisam, m.s 165, Beirut: Dar al-Kitab al-`Arabi).

5. Sekalipun menghormati dan beradab dengan ulama diperintahkan oleh nas-nas Islam, namun ini tidak pernah menghalang seseorang memberikan kritikan ilmiah atau mempersoalkan kembali pandangan diberikan oleh ulama dengan syarat menjaga disiplin dan adab seperti yang tuntut dalam agama dan adat kita.

6. Inilah cara para sarjana Islam yang muktabar sejak sekian lama. Lihat sahaja sarjana besar al-Hafizd al-Zahabi (meninggal 748H) yang mengkaji tokoh-tokoh umat Islam. Al-Zahabi ini ketika memperkatakan sirah tokoh ilmuan besar iaitu Waki’ Ibn al-Jarrah, beliau memuji kehebatan Waki'. Antaranya al-Zahabi menyebut “beliau antara lautan ilmu dan para imam huffaz (hadis)”. Kemudian beliau menyebut perkataan Yahya bin Aktham: “Aku bersahabat dengan Waki’ semasa di tempatnya dan musafir. Dia berpuasa al-dahr (setiap hari) dan mengkhatam al-Quran dalam satu malam”. Al-Zahabi mengulas perbuatan Waki' ini dengan katanya: "Aku katakan: Ini adalah ibadah yang dikagumi. Namun untuk dilakukan oleh seorang imam dari kalangan para imam hadis adalah tidak wajar. Sesungguhnya telah sahih larangan Nabi a.s berpuasa setiap hari dan membaca (mengkhatam) al-Quran kurang daripada tiga hari. Agama itu mudah. Mengikut sunnah adalah lebih utama. Semoga ALLAH meredhai Waki’. Mana hendak dicari orang (yang hebat) seperti Waki’?!  Namun begitu dia selalu meminum nabiz Kufah, yang memabukkan jika diminum banyak. Dia membuat takwilan dalam meminumnya (beliau tidak menganggap haram selagi tidak memabukkan). Jika dia meninggalkannya (tidak meminumnya) atas sikap warak adalah lebih baik untuknya. Ini kerana sesiapa yang menghindari syubhat maka selamatlah agama dan maruahnya. Sesungguhnya telah sahih larangan dan pengharaman nabiz berkenaan. Namun bukan di sini perbincangannya. Setiap orang boleh diambil dan ditinggalkan pendapatnya (kecuali RasululLah s.a.w). Tidak dijadikan contoh teladan kesalahan seseorang alim. ( Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 9/142-144 Beirut: Muassasah al-Risalah).

Lihatlah cara al-Hafizd al-Zahabi dalam petikan di atas, sekalipun al-Imam Waki' bin al-Jarrah ulama besar, namun kesilapan ilmiah mesti dinilai sebagai kesilapan ilmiah. Jelas, kita disuruh untuk menghormati orang lain terutama guru agama, namun ini tidak menghalang untuk kita bercakap benar beralaskan disiplin dan akhlak yang diajar oleh Islam.

7. Saya bincangkan tajuk ini, kerana sesetengah masyarakat tidak berani mempersoalkan seseorang yang dianggap ustaz atau guru atau kiyai atau orang alim sekalipun apa yang dinyatakan itu tidak berasas sama sekali.  Mereka seakan diberikan lesan yang begitu besar untuk bercakap apa sahaja atas nama agama sekalipun tanpa hujah atau alasan yang kukuh. Mereka cuba memandulkan akal masyarakat agar mematuhi mereka secara mutlak tanpa persoalan atas alasan orang awam itu jahil agama. Sedangkan, apa yang mereka lakukan jelas menyanggahi fakta-fakta yang diketahui.

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 1094
Semalam 2431
Minggu Ini 3525
Bulan Ini 35698

Keseluruhan 2959500

   Masa Capaian : 0.79 saat    Kemaskini :  14/10/2024