FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

Hukum Beri Zakat Kepada Orang Tidak Solat atau Fasiq

SOALAN: Adakah boleh diberikan bantuan zakat kepada orang yang meninggalkan solat atau melakukan maksiat?

Jawapan Mufti Perlis Dato Dr MAZA:

1. Orang yang meninggalkan solat pada majoriti ulama -kecuali dalam Mazhab Hanbali- masih dihitung sebagai muslim selagi dia tidak mempersendakan atau meremehkan solat. Jika dia mempersendakan atau meremehkan solat seperti menganggap solat tidak berfaedah atau tidak wajib atau kemunduran atau seumpamanya, maka dia menjadi kafir. Demikianlah juga pelaku maksiat, dia masih dihitung sebagai muslim selagi dia tidak menghalalkan maksiat yang dilakukannya.

2. Golongan yang meninggalkan kewajipan amalan agama, atau melakukan dosa besar atau berterusan dalam dosa kecil, tanpa taubat dimasukkan dalam kategori fasiq (fasik / ahli maksiat) namun masih lagi muslim. Hukum-hakam yang membabitkan mereka itu, adalah hukum-hakam seorang muslim yang fasiq.

2. Mereka yang yang dihitung muslim sekalipun fasiq (ahli maksiat) itu, boleh diberikan zakat jika mereka layak seperti jika mereka fakir, miskin, muallaf, berhutang, terputus perjalanan dan seumpamanya. Kata al-Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi: “Pendapat yang kuat di sisi saya, orang fasiq yang tidak menyakiti kaum muslimin dengan kefasikannya, tidak mencabar mereka dengan kejahatan dan maksiatnya, tidak mengapa untuk diberikan zakat kepadanya. Sekalipun yang lebih afdal diberikan kepada mereka yang soleh dan berterusan mengamalkan agama. Adapun fasiq yang tergila-gila dan berbangga dengan maksiatnya, menzahirkan kefasikannya, maka tidak wajar untuk diberikan harta zakat kepadanya sehingga dia meninggalkan maksiatnya dan mengiklankan taubatnya. (Al-Qaradawi, Fiqh al-Zakah, 2/709. Beirut: Muassasah al-Risalah)

3. Jika jelas pemberian zakat membantu maksiat seperti jelas penerimanya menggunakan wang zakat untuk membeli arak, atau rokok, atau bahan-bahan haram yang lain maka haram diberikan kepadanya. Ini kerana Allah berfirman:

وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلَا تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٰنِۚ

(maksudnya) “Tolong menolonglah kamu semua atas kebaikan dan takwa, dan jangan kamu tolong menolong atas dosa dan permusuhan” (Surah al-Maidah, ayat 2).