FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks
Tazkirah Ringkas
  • Syurga Penawar Duka..

    Syurga Penawar Duka..

    Information
    21 September 2022
    Syurga Penawar Duka.. Jannah atau syurga merupakan khabar gembira dan pengubat dukacita insan terhadap apa sahaja kesakitan yang dilalui dalam kehidupan dunia ini. Segala derita dan keperitan dunia amatlah kerdil jika seseorang dapat memperolehi syurga. Betapa hebatnya keindahan dan kenikmatan yang maha agung yang dijanjikan oleh Allah kepada hamba-hambaNYA yang akan menghuni syurga. Apabila insan bangun setiap pagi di kesunyian malam yang akhir, membaca al-Quran dalam... Baca seterusnya

Orang Sakit Minta Bantuan Berwuduk dan Jamak Solat

Soalan Seorang ibu kini terlantar sakit tenat di atas katil. Bagaimana cara bagi anak-anak memudahkan dia bersolat dan bolehkan dia jamakkan solatnya?

Jawapan Mufti Perlis Dr MAZA

1. Seseorang boleh meminta orang lain membantunya berwuduk seperti membawa air kepadanya atau mencurahkan air ke atas anggota wuduknya. Bahkan boleh meratakan air pada anggota wuduk orang yang memerlukan bantuan.

Dalam hadis al-Mughirah bin Syu’bah menceritakan:

أَنَّهُ كَانَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ، وَأَنَّهُ ذَهَبَ لِحَاجَةٍ لَهُ، وَأَنَّ مُغِيرَةَ «جَعَلَ يَصُبُّ المَاءَ عَلَيْهِ وَهُوَ يَتَوَضَّأُ، فَغَسَلَ وَجْهَهُ وَيَدَيْهِ، وَمَسَحَ بِرَأْسِهِ، وَمَسَحَ عَلَى الخُفَّيْنِ»

“Sesungguhnya beliau pernah bersama Rasulullah s.a.w dalam satu permusafiran. Baginda pergi membuang air. (Selepas itu) Mughirah menuang air untuk baginda semasa baginda berwuduk. Baginda membasuh wajahnya, kedua tangannya, menyapu kepalanya dan menyapu kedua khuf”  (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Al-Imam al-Bukhari meletakkan tajuk hadis ini:

بَابٌ: الرَّجُلُ يُوَضِّئُ صَاحِبَهُ

bab seseorang membantu temannya berwuduk’.

2. Hadis di atas menunjukkan boleh untuk kita meminta bantuan orang lain semasa berwuduk. Adapun menyapu atau meratakan air pada anggota wuduk dengan bantuan orang lain, kalangan para ulama memakruhkannya jika tiada keperluan berbuat demikian. Ini disebut oleh al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) dalam Syarh Sahih Muslim (lihat: 3/509. Beirut: Dar al-Khair)

3. Adapun waktu solat bagi orang sakit, jika tidak menjadi bebanan kepadanya untuk menunaikan setiap solat mengikut waktunya, maka hendaklah dia melakukan demikian. Ini kerana itulah kewajiban yang asal. Jika tidak, orang yang sakit boleh melakukan jamak (menghimpun dua solat) tanpa qasar (memendekkan).

4. Jamak itu bermaksud menghimpunkan dua solat pada satu waktu. Solat-solat yang diizinkan syarak untuk dihimpunkan itu ialah; Zohor bersama Asr dan Maghrib bersama Isyak. Boleh dihimpun pada waktu solat pertama atau yang kedua.

Adapun qasar bermaksud meringkaskan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat. Peruntukan qasar hanya diizinkan untuk mereka yang bermusafir, tidak untuk yang sakit.

5. Peruntukan jamak itu lebih luas. Di mana seseorang boleh menjamakkan solatnya sekalipun dia tidak bermusafir disebabkan keadaan-keadaan tertentu seperti hujan, ketakutan ancaman, kesibukan melampau dan seumpamanya.

Dalam hadis al-Imam Muslim, daripada Sa’id bin Jubair meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, katanya:

صَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الظُّهْرَ وَالْعَصْرَ جَمِيعًا بِالْمَدِينَةِ، فِي غَيْرِ خَوْفٍ، وَلَا سَفَرٍ قَالَ أَبُو الزُّبَيْرِ: فَسَأَلْتُ سَعِيدًا، لِمَ فَعَلَ ذَلِكَ؟ فَقَالَ: سَأَلْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ كَمَا سَأَلْتَنِي، فَقَالَ: أَرَادَ أَنْ لَا يُحْرِجَ أَحَدًا مِنْ أُمَّتِه

“Rasulullah s.a.w bersolat Zuhur dan ‘Asar secara jamak di Madinah tanpa sebab ketakutan atau musafir”. Kata Abu Zubair: “Aku bertanya Sa’id mengapa Rasulullah s.a.w berbuat demikian?”. Jawabnya: “Aku pun pernah bertanya Ibn ‘Abbas seperti mana engkau bertanyaku, jawab Ibn ‘Abbas: “Baginda tidak mahu membebankan seorang pun umatnya”.Dalam riwayat Muslim yang lain,  lafaznya:

جَمَعَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ بِالْمَدِينَةِ فِي غَيْرِ خَوْفٍ وَلَا مَطَرٍ

“RasululLah s.a.w solat Zohor dan Asr, Maghrib dan Isyak secara jamak di Madinah tidak kerana ketakutan, juga tidak kerana hujan”.

6. Hadis tersebut menunjukkan Nabi s.a.w telah menjamakkan solat bukan hanya disebabkan hujan ataupun ketakutan, juga disebabkan hal-hal yang lain. Maka, kalangan fuqaha (ulama fekah) menyimpulkan bahawa solat jamak boleh dilakukan disebabkan keuzuran-keuzuran tertentu, seperti sakit yang menyusahkannya, atau hujan bagi mereka bersolat jamaah di masjid, kesempitan waktu disebabkan urusan dan seumpamanya. Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H):

وَذَهَبَ جَمَاعَةٌ مِنَ الْأَئِمَّةِ إِلَى جَوَازِ الْجَمْعِ فِي الْحَضَرِ لِلْحَاجَةِ لِمَنْ لا يتخذه عادة وهو قول بن سِيرِينَ وَأَشْهَبَ مِنْ أَصْحَابِ مَالِكٍ وَحَكَاهُ الْخَطَّابِيُّ عَنِ الْقَفَّالِ وَالشَّاشِيُّ الْكَبِيرُ مِنْ أَصْحَابِ الشَّافِعِيِّ عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ الْمَرْوَزِيِّ عَنْ جَمَاعَةٍ مِنْ أصحاب الحديث واختاره بن المنذر ويؤيده ظاهر قول بن عباس أراد أن لا يُحْرِجَ أُمَّتَهُ فَلَمْ يُعَلِّلْهُ بِمَرَضٍ وَلَا غَيْرِهِ

“Sejumlah para imam (ulama) berpendapat boleh menjamakkan solat ketika di tempat tinggal (tidak bermusafir) jika ada keperluan bagi sesiapa yang tidak menjadikannya kebiasaan. Ini merupakan pendapat (Muhamamad) Ibn Sirrin, Ashhab (bin ‘Abd al-‘Aziz) dari murid-murid Malik (bin Anas). Juga al-Khattabi menyebut pendapat ini daripada al-Qaffal (al-Marwazi) dan al-Shashi al-Kabir (Muhammad bin ‘Ali) kalangan tokoh ulama Mazhab al-Syafii, daripada Abi Ishaq al-Marwazi, daripada sejumlah ahli hadis. Ibn Munzir memilih pendapat ini dan ia disokong oleh apa yang zahir dari perkataan Ibn ‘Abbas “Baginda tidak mahu membebankan seorang pun umatnya”. Beliau (Ibn ‘Abbas) tidak memberikan alasan sakit atau selainnya”. (al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 5/335).

Maksudnya, para ulama ini melihat keizinan jamak itu luas merangkumi segala keadaan yang sukar. Tujuannya bagi meringankan bebanan umat ini. Menurut Ibn ‘Abbas itulah tujuan kenapa Nabi s.a.w melakukan jamak di Madinah. Namun, para ulama ini meletakkan syarat agar tidak dijadikan kebiasaan. Ertinya, dilakukan apabila ada keperluan sahaja samada sakit atau selainnya.

Maka, orang yang sakit yang sukar untuk menunaikan solat, atau berwuduk, boleh menjamakkan solat jika dia mahu.