FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

Bolehkah Berdoa atau Jampi al-Quran Untuk Pesakit Non-Muslim?

 

Dr MAZA, kawan saya minta bertanya. Semasa dia merawat seorang bukan muslim, tiba-tiba bukan muslim itu minta dia baca doa dan baca Quran supaya penyakitnya sembuh. Mungkin bukan muslim itu nampak kawan saya tu macam orang kuat agama, maka dia pun minta macam tu. Kawan saya minta saya tanya Mufti Dr MAZA, bolehkah kalau dia baca doa atau surah apa-apa dan hembus kepada orang itu supaya dia sembuh? Apakah itu salah?

Kawan Doktor

Jawapan Dr MAZA:

Saudara, saya pernah menjawab soalan yang hampir sama dengan ini. Ringkasnya, saya sebutkan seperti berikut;

1. Dalam hadis yang sahih riwayat Ahmad, al-Nasai dan Abu Daud, sahabah Nabi s.a.w pernah menjampi seorang yang bukan muslim dengan Surah al-Fatihah sehingga sembuh. Ketua kabilah lelaki itu memberikan kepada sahabah berkenaan 100 ekor kambing. Nabi s.a.w membenarkan perbuatan itu. Hadis daripada Kharijah bin al-Solt al-Tamimi خارجةَ بنِ الصَّلْتِ التميميِّ daripada bapa saudaranya (‘Ilaqah bin Sohar علاقة بن صحار):

أنه أتى النبيَّ - صلَّى الله عليه وسلم - فأسلم، ثم أقبلَ راجعاً مِنْ عنده، فمرَّ على قومِ عندَهم رَجُلٌ مجنونٌ مُوثَقٌ بالحديدِ، فقال أهلُه: إنَّا حُدِّثْنا أن صاحبَكم هذا قد جاء بخيرٍ، فهلْ عندكم شيءٌ نُداويه؟ فرقَيتُه بفاتحةِ الكتابِ، فبرأ، فأعطَوني مئة شاةٍ، فأتيتُ رسولَ الله - صلَّى الله عليه وسلم - فاخبرتُه، فقال: "هل قلت غير هذا؟ " قلت: لا، قال: "خُذها، فَلَعَمْرِي لَمَن أكلَ برقيَةِ باطلِ لقد أكلتَ برُقْيَةِ حَقٍّ"

“Bahawa bapa saudaranya datang kepada Nabi s.a.w dan memeluk Islam. Kemudian, dia pulang ke tempatnya. (Ketika pulang) dia melintasi satu kaum yang terdapat bersama mereka seorang lelaki gila yang diikat dengan besi. Seorang kalangan mereka berkata: “Kami diberitahu  bahawa sahabat kamu (Nabi Muhammad s.a.w) tersebut membawa suatu kebaikan. Apakah kamu ada sesuatu yang boleh kami ubatinya?”. Maka aku (‘Ilaqah bin Sohar) menjampinya dengan Fatihah al-Kitab (Surah al-Fatihah), lalu dia sembuh. Mereka memberikan aku 100 ekor kambing biri-biri. Aku datang kepada Rasulullah s.a.w memberitahu baginda. Sabda Nabi: “Apakah engkau membaca (jampi) selain dari itu (Surah al-Fatihah)”. Aku berkata: “Tidak”. Sabda baginda: “Ambillah (100 ekor biri-biri tersebut). Selama ini orang memakan dari jampi yang batil, engkau memakan dari jampi yang sebenar”.

Jampi adalah sebahagian dari doa kepada Allah. Hadis ini menunjukkan boleh mendoakan kesembuhan dan kesihatan kepada mereka yang bukan muslim.

2. Dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim, -diringkaskan kisah- sekumpulan sahabat bermusafir. Mereka singgah di satu kawasan kabilah Arab. Mereka memohon untuk diterima sebagai tetamu. Malangnya, mereka ditolak. Tiba-tiba ketua kabilah tersebut disengat binatang bisa. Kabilah tersebut cuba mengubatinya, tetapi gagal. Lalu mereka mencadang supaya pergi mendapatkan bantuan para sahabah yang mereka tolak sebagai tetamu tadi. Salah seorang dari kalangan sahabat Nabi s.a.w tersebut telah sudi menjampi dengan mensyaratkan upah. Mereka bersetuju. Beliau membaca Surah al-Fatihah. Lalu ketua kabilah itu sembuh. Para sahabat ragu-ragu dengan upah yang mereka dapat. Mereka menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya baginda. Rasulullah s.a.w menjawab:

«وَمَا يُدْرِيكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ»، ثُمَّ قَالَ: «قَدْ أَصَبْتُمْ، اقْسِمُوا، وَاضْرِبُوا لِي مَعَكُمْ سَهْمًا» فَضَحِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

“Tahukah kamu bahawa ia (Surah Fatihah) merupakan jampi”. Kemudian baginda bersabda lagi: “Sesungguhnya (perbuatan jampi) kamu betul. Bahagikanlah (upah tersebut). Jadikan satu bahagian untukku”. Lalu, Rasulullah s.a.w ketawa.

Hadis juga menunjukkan boleh menjampi orang bukan muslim. Boleh juga meminta upah atas tugas tersebut. Rasulullah s.a.w meminta agar dimasukkan bahagian baginda sekadar untuk menunjukkan ia halal.

3. Bahkan lebih dari itu, mendoakan agar orang bukan muslim yang tidak memahami agama agar tidak ditimpa bala juga pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Kata Abdullah bin Mas’ud:

كَأَنِّي أَنْظُرُ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَحْكِي نَبِيًّا مِنَ الأَنْبِيَاءِ، ضَرَبَهُ قَوْمُهُ فَأَدْمَوْهُ، فَهُوَ يَمْسَحُ الدَّمَ عَنْ وَجْهِهِ، وَيَقُولُ: «رَبِّ اغْفِرْ لِقَوْمِي فَإِنَّهُمْ لاَ يَعْلَمُونَ»

“Aku seakan masih melihat Rasulullah s.a.w menceritakan tentang seorang dalam kalangan nabi a.s yang kaumnya memukulnya sehingga berdarah, sedangkan dia hanya menyapu darah di mukanya dan berdoa: “Ya Allah! Ampunkanlah kaumku kerana mereka itu tidak tahu”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan berdoa agar Allah memaafkan atau jangan menurunkan bala kepada golongan kafir yang jahil adalah harus. Dalam ertikata lain, diberi peluang untuk mereka. Ini sebenarnya, mendoakan agar mereka selamat dari bala yang Allah bakal turunkan.

4. Dalam riwayat-riwayat ini menunjukkan tidak salah kita membaca doa memohon kesembuhan dan keselamtan untuk bukan muslim. Demikian jugalah, doktor perubahan muslim, dia bukan sahaja boleh mengubati non-muslim, bahkan boleh berdoa memohon agar Allah menyembuhkan pesakitnya.