FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

Hukum Mendedahkan Dosa Peribadi Pihak Yang Dibenci

Prof Madya Dato Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

Mufti Negeri Perlis

Dalam kalangan manusia, khususnya kalangan ahli politik, golongan agama, aktivitis masyarakat dan mereka yang bersaing antara satu sama lain, ada yang cenderung membunuh karekter, atau mengaibkan isu peribadi pesaing. Ini khususnya apabila mereka terlalu marah atau dendam kepada pesaing mereka. Mungkin juga apabila mereka dapati pihak yang dibenci itu memang mempunyai kesalahan berkaitan hal awam, lalu mereka ambil kesempatan mendedahkan dosa peribadi antara dia dengan tuhannya. Padahal keaiban peribadi itu tiada kaitan secara langsung dengan kepentingan awam atau pihak lain. Malangnya, dalam kalangan mereka ada yang menggunakan nama agama dalam menjustifikasikan perbuatan mendedah aib peribadi pesaing atau musuh mereka. Untuk mereka ini saya ingin menyebut hal-hal berikut;

 

1. Dalam Islam, perbuatan mendedahkan keaiban peribadi sebagai senjata politik, atau senjata membunuh pesaing adalah perbuatan yang dilarang oleh Allah dan rasulNya. Ia haram dan satu dosa besar. Hanya mereka yang jahil nas-nas agama sahaja yang menyangka itu adalah suruhan syarak.

Amaran Nabi s.a.w 

2. Tuduhan atau pendedahan dosa-dosa peribadi seperti isu seks, arak, kaki judi dan seumpamanya menjadi mainan orang-orang jahat dan fasik. Mereka kononnya mendakwa hendak mencegah kemungkaran, padahal merekalah yang melakukan kemungkaran. Mereka melanggar apa yang Nabi s.a.w sebut:

يَا مَعْشَرَ مَنْ أَسْلَمَ بِلِسَانِهِ وَلَمْ يُفْضِ الإِيمَانُ إِلَى قَلْبِهِ، لَا تُؤْذُوا المُسْلِمِينَ وَلَا تُعَيِّرُوهُمْ وَلَا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ، فَإِنَّهُ مَنْ تَتَبَّعَ عَوْرَةَ أَخِيهِ المُسْلِمِ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ، وَمَنْ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ وَلَوْ فِي جَوْفِ رَحْلِهِ

“Wahai sekelian yang islam pada lidahnya tapi iman tidak memasuki jantung hatinya! Jangan kamu sakiti kaum muslimin, jangan kamu memalukan mereka, jangan kamu mencari-cari keaiban mereka. Sesungguhnya, sesiapa yang mencari-cari keaiban saudara muslimnya, Allah akan mendapatkan keaibannya. Sesiapa yang Allah mendapatkan keaibannya, Allah akan mendedahkannya walaupun keaiban itu berlaku di tengah rumahnya sendiri”. (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dll. Sahih)

Demikian amaran Nabi s.a.w terhadap golongan ini. Nabi s.a.w juga bersabda:

وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ يَوْمَ القِيَامَةِ

“Sesiapa yang menutup (keburukan) seorang muslim, Allah tutup (keburukannya) di dunia dan akhirat” (Riwayat Muslim). 

Islam Anti Gosip

3. Islam melarang kita mendedahkan aib peribadi yang tidak membabitkan kezaliman terhadap orang lain. Aib peribadi seperti zina, minum arak, berjudi dan seumpamanya hendaklah ditutup semampu mungkin. Jika hendak didakwa, hendaklah di mahkamah dan bukan untuk gossip orang ramai. Pun begitu, Islam mengetatkan syarat saksi dan proses pendakwaan. Bagi kes zina, jika gagal dipenuhi syarat, penuduh boleh dijatuhkan hukuman qazaf. Tujuannya, untuk mengelakkan perangai suka menuduh dan mendedahkan aib peribadi orang lain. Sebab itu penzina dihukum 100 sebatan dan yang menuduh tanpa empat orang saksi 80 sebatan. Kadar hukuman yang hampir sama bagi menunjukkan kesalahan menuduh tanpa empat orang saksi –sekalipun mungkin benar- adalah berat di sisi agama. Firman Allah

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

(maksudnya): “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik. (Surah al-Nur: ayat 4).

Hampir mustahil empat orang yang baik menyaksikan perbuatan zina sedangkan penzina terus berzina di hadapan mereka. Kalau berlaku juga, memang pelaku zina tersebut yang sengaja mendedahkan maksiat mereka pada orangramai.

Taubat Sendirian

4. Nabi s.a.w sendiri mengelakkan aib peribadi itu didedahkan, bahkan disuruh pelakunya bertaubat secara sendirian; dengan solat dan istighfar. Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata:

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِىِّ -صلى الله عليه وسلم- فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّى عَالَجْتُ امْرَأَةً فِى أَقْصَى الْمَدِينَةِ وَإِنِّى أَصَبْتُ مِنْهَا مَا دُونَ أَنْ أَمَسَّهَا فَأَنَا هَذَا فَاقْضِ فِىَّ مَا شِئْتَ. فَقَالَ لَهُ عُمَرُ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ : لَقَدْ سَتَرَكَ اللَّهُ لَوْ سَتَرْتَ نَفْسَكَ. قَالَ : وَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- شَيْئًا فَقَامَ الرَّجُلُ فَانْطَلَقَ فَأَتْبَعَهُ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- رَجُلاً دَعَاهُ فَتَلاَ عَلَيْهِ هَذِهِ الآيَةَ (أَقِمِ الصَّلاَةَ طَرَفَىِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ) فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الْقَوْمِ : يَا نَبِىَّ اللَّهِ هَذَا لَهُ خَاصَّةً؟ قَالَ :« بَلْ لِلنَّاسِ كَافَّةً »

“Wahai Rasulullah, aku berasmara dengan seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya:Allah telah tutup keaibanmu mengapa tidak engkau tutup (aib) dirimu”. Nabi s.a.w tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi s.a.w menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya) “Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah Yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang Yang mahu beringat” (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: “Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi s.a.w: “Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.

Rakaman Dosa Peribadi

5. Di bawah penghukuman syarak, rakaman video bagi kes maksiat peribadi tidak boleh dijadikan asas bukti mahkamah. Bagi kes zina, hendaklah dengan empat orang saksi. Tiada keperluan dan suruhan agama untuk pencarian bukti sampingan. Itu soal dosa insan dengan Allah bukan dengan orang lain. Jika dia terlepas atau tidak dihukum di dunia, mahkamah Allah di mahsyar tetap ada, atau mungkin dia bertaubat. Allah Maha Penerima Taubat. Dosa peribadi diselesaikan dengan taubat tanpa perlu diberitahu atau memohon maaf kepada pihak lain. Tiada pihak yang rugi atau untung melainkan dirinya sendiri.

6. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi mengenai usaha mencegah kemungkaran: “Kemungkaran itu mesti nyata dan dilihat. Adapun jika pelakunya melakukannya secara sembunyian dari pandangan manusia dan menutup pintu rumahnya, maka tidak seorang pun boleh mengintipnya atau merakamnya secara diam-diam dengan menggunakan alat elektronik atau kamera video atau menyerbu rumahnya untuk memastikan kemunkarannya. Inilah yang ditunjukkan pada lafaz hadis "barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya….” Dikaitkan kewajipan mengubah itu dengan melihat atau menyaksikan kemunkaran. Tidak dikaitkan dengan mendengar tentang kemunkaran dari orang lain. Ini kerana Islam tidak menjatuhkan hukuman kepada orang yang mengerjakan kemungkaran secara bersembunyi dan tidak menampakkannya. Diserahkan hanya kepada Allah untuk menghisabnya pada hari kiamat. Hisab ini bukan menjadi wewenang seseorang di dunia. Sehinggalah dia melakukannya secara terang-terangan dan menyingkap keaibannya. Bahkan hukuman ilahi itu lebih ringan bagi orang yang telah menutup kemungkarannya dengan menggunakan tabir Allah dan tidak menampakkan kederhakaannya sebagaimana yang disebutkan dalam hadith sahih: (bermaksud):"Setiap umatku diberikan keampunan kecuali orang-orang yang menampakkan (dosanya)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Justeru, tiada seorang pun mempunyai wewenang untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyian. (Al-Qaradawi, Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, m.s. 124, Kaherah: Dar al-Syuruq).

Elak Membawa Kes ke Mahkamah

7. Lebih daripada itu, pemerintah hendaklah mengelakkan daripada diangkat kes aib peribadi yang dibawa kepada pengadilan. Dalam hadis, Rasulullah s.a.w menolak berulang kali pengakuan zina Ma’iz bin Malik al-Aslami. Al-Imam Muslim meriwayatkan dalam sahihnya:

أَنَّ مَاعِزَ بْنَ مَالِكٍ الْأَسْلَمِيَّ، أَتَى رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنِّي قَدْ ظَلَمْتُ نَفْسِي، وَزَنَيْتُ، وَإِنِّي أُرِيدُ أَنْ تُطَهِّرَنِي، فَرَدَّهُ، فَلَمَّا كَانَ مِنَ الْغَدِ أَتَاهُ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنِّي قَدْ زَنَيْتُ، فَرَدَّهُ الثَّانِيَةَ، فَأَرْسَلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى قَوْمِهِ، فَقَالَ: «أَتَعْلَمُونَ بِعَقْلِهِ بَأْسًا، تُنْكِرُونَ مِنْهُ شَيْئًا؟» فَقَالُوا: مَا نَعْلَمُهُ إِلَّا وَفِيَّ الْعَقْلِ مِنْ صَالِحِينَا فِيمَا نُرَى، فَأَتَاهُ الثَّالِثَةَ، فَأَرْسَلَ إِلَيْهِمْ أَيْضًا فَسَأَلَ عَنْهُ، فَأَخْبَرُوهُ أَنَّهُ لَا بَأْسَ بِهِ، وَلَا بِعَقْلِهِ

Sesungguhnya Maiz bin Malik al-Aslami datang kepada Rasulullah s.a.w lalu berkata: “Wahai Rasulullah! Aku telah menzalimi diriku sendiri. Aku telah berzina. Aku mahu engkau membersihkan daku. Rasulullah s.a.w menolak pengakuannya. Keesokannya dia datang lagi dan berkata: “Wahai Rasulullah! Sesungguhnya aku telah berzina.” Baginda menolak pengakuannya kali kedua. Rasulullah s.a.w menghantar wakil ke kaumnya lalu bertanya: “Apakah kamu tahu dia ada masalah pada akalnya, ada sesuatu yang kamu rasa ganjil?” Jawab mereka: Apa yang kami tahu dia sempurna akalnya dan kami lihat dia dari kalangan orang soleh kami.” Keesokan harinya, Maiz datang lagi kepada Rasulullah kali ketiga. Baginda sekali lagi menolak pengakuannya dan menghantar lagi wakil ke kaumnya. Mereka memberitahu bahawa Maiz tiada masalah pada diri dan akalnya….”

Dalam riwayat Ibn Hibban, Rasulullah memerintah agar Maiz dihalau keluar dari datang kepada baginda (فَأَمَرَ بِهِ فَطُرِدَ، فَأُخْرِجَ) supaya tidak terus membuat pengakuan zina tersebut. Hal ini sangat berbeza dengan mentaliti sesetengah pihak berkuasa agama atau selain mereka yang suka mencari-cari dosa peribadi ini.

Dosa Yang Mengancam Pihak Lain

8. Ia berbeza dengan kes jenayah atau dosa yang mengancam pihak lain seperti bunuh, menyebar hadis palsu, ajaran sesat, curi, rompak, rogol, meliwat secara paksa, rasuah, penipuan harta awam dan seumpamanya. Kes-kes ini perlu disiasat dan diambil tindakan demi keadilan terhadap mangsa. Rakaman dalam kes-kes ini perlu diusahakan. Islam mengizinkan, bahkan menyuruh didedahkan bahaya atau kezaliman yang dilakukan yang boleh memudaratkan orang ramai dan rakyat jika mereka tidak diberitahu. Jika ada perasuah, atau perompak, atau perogol maka hendaklah diberi amaran kepada orang yang mungkin menjadi mangsa. Itupun hendaklah atas asas bukti yang kukuh, bukan sekadar andaian atau tuduhan rambang. Demikian juga boleh mendedahkan kepada pihak yang berkaitan seperti hakim, pihak berkuasa atau bakal mangsa tentang kezaliman yang boleh berlaku. Firman Allah:

لا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ إِلا مَنْ ظُلِمَ وَكَانَ اللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا (١٤٨)إِنْ تُبْدُوا خَيْرًا أَوْ تُخْفُوهُ أَوْ تَعْفُوا عَنْ سُوءٍ فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ عَفُوًّا قَدِيرًا (١٤٩)

(maksudnya) “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha mengetahui.Jika kamu melahirkan sesuatu kebaikan, atau menyembunyikannya, atau kamu memaafkan kesalahan (yang dilakukan terhadap kamu), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Pemaaf lagi Maha Berkuasa”. (Surah al-Nisa: ayat 148-149).

9. Ertinya, pendedahan kelemahan peribadi boleh dibuat jika ada keperluan khusus untuk pihak yang terlibat sahaja. Nabi s.a.w pernah mendedahkan kepada wanita yang dipinang hal pihak yang meminang bagi kemaslahatan wanita tersebut. Dalam kisah Fatimah binti Qais yang dipinang oleh Abu Jahm dan Muawiyah bin Abi Sufyan, Nabi s.a.w memberitahu kepada Fatimah binti Qais:

أَمَّا أَبُو جَهْمٍ، فَلَا يَضَعُ عَصَاهُ عَنْ عَاتِقِهِ، وَأَمَّا مُعَاوِيَةُ فَصُعْلُوكٌ لَا مَالَ لَهُ، انْكِحِي أُسَامَةَ بْنَ زَيْدٍ

“Adapun Abu Jahm, dia tidak meletakkan tongkat dari bahunya (ditakwilkan bermaksud sering memukul isteri). Sementara Mu’awiyah seorang yang terlalu miskin, tiada harta padanya. Kahwinilah Usamah bin Zaid” (Riwayat Muslim).

Dalam hadis ini Nabi s.a.w mendedahkan kelemahan mereka demi menjaga kemaslahatan pihak yang terbabit iaitu Fatimah binti Qais. Hal yang didedah mempunyai kaitan dengan bakal isteri, bukan selain itu.

Peringatan al-Imam al-Ghazali r.h

10. Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya ‘Ulum al-Din telah menyebut mengenai rukun-rukun perlaksanaan Hisbah. Hisbah bermaksud perlaksanaan al-Amr bi al-Ma’ruf (menyuruh kepada makruf) apabila ia nyata ditinggalkan, dan al-Nahy ‘An al-Munkar (pencegahan kemunkaran) apabila ia nyata dilakukan. Rukun ketiga yang disebut oleh al-Imam al-Ghazali ialah: “Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini. Kisah ‘Umar dan ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf mengenai perkara ini sangat masyhur. Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan). Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa ‘Umar r.a. telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah ‘Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakaiNya pada tiga perkara. ‘Umar bertanya: “Apa dia?”. Dia berkata: Allah ta’ala telah berfirman (maksudnya: Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain). Sesungguhnya engkau telah melakukannya. Allah berfirman: (maksudnya: Masukilah rumah melalui pintu-pintunya). Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung. Allah berfirman: (maksudnya: janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam. Maka ‘Umar pun meninggalkannya…Maka ketahuilah bahawa sesiapa yang mengunci pintu rumahnya dan bersembunyi di sebalik dindingnya, maka tidak harus seseorang memasuki tanpa izin daripadanya hanya kerana ingin mengetahui perbuatan maksiat. Kecuali jika ia (perbuatan maksiat itu) nyata sehingga diketahui oleh sesiapa yang berada di luar rumah tersebut..”(Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).

Darurat

11. Ertinya, perbuatan mendedahkan maksiat peribadi bukanlah suruhan agama. Ia berbeza dengan maksiat yang mengancam keselamatan atau harta awam ataupun berbahaya kepada sesuatu pihak maka hendaklah diberi ingatan pada yang terbabit. Itu adalah darurat yang dibuat dengan kadar keperluan atas kaedah: الضرورة تقدر بقدرها (darurat itu dinilai mengikut kadar keperluannya).

Balasan Allah

12. Marilah kita sedar bahawa antara perbuatan yang Nabi s.a.w menyifatkannya sebagai ciri munafik ialah “Apabila berbalah, dia (bertindak) jahat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Amaran Nabi s.a.w adalah benar, sesiapa yang mendedahkan aib peribadi orang, Allah akan mededahkan aib dia nanti. Dia hanya perlu menunggu, harinya pula akan tiba. Kesalahan seseorang dalam satu perkara, tidak menghalalkan kita menzaliminya dalam hal antara dia dengan Allah semata. Doa orang yang dizalimi akan tunaikan oleh Allah sekalipun dia seorang fasik.