???????????????????????????? ???????????????????????????????????????? ???????????????????????????????? ???????????????????????? ???????????? ???????????????????? (SIRI 3)
Khalifah ‘Uthman r.a Menjawab Tuduhan
Al-Tabari juga telah merakamkan riwayat daripada Sayf ibn ‘Umar yang menceritakan tentang pengikut ‘Abd Allah ibn Saba’ telah datang ke Madinah. Saiyyidina ‘Uthman telah memanggil mereka hadir ke masjid di hadapan khalayak para sahabat untuk beliau menjawab segala pertuduhan yang telah dibuat terhadapnya.
Sebelum ‘Uthman menjawab segala tuduhan tersebut, para sahabat yang mengetahui bahawa kebenaran adalah berpihak kepada ‘Uthman ada telah mencadangkan agar diambil tindakan hukuman bunuh ke atas para pemberontak. Namun dengan sikap lemah-lembut, bertolak ansur dan warak, Khalifah ‘Uthman telah mengatakan: “Bahkan kita memaafkan mereka dan kita akan melihat kesungguhan mereka. Kita tidak akan melaksanakan hudud melainkan sesiapa yang telah melanggar kesalahan yang boleh dikenakan hukum hudud atau sesiapa yang jelas daripadanya kekufuran.”
Kemudian ‘Uthman menjawab tuduhan-tuduhan yang telah dibuat terhadapnya:
Isu Solat Qasar
“Mereka menyatakan aku telah tidak mengqasarkan sembahyang pada waktu itu aku bermusafir. Jawapanku, aku mendatangi sebuah negeri (Makkah) yang kaum keluargaku tinggal di dalamnya maka dengan itu aku tidak menganggap diriku bermusafir, tidakkah begitu?”*
Para sahabat Nabi s.a.w lain yang hadir menjawab: “Ya betul!”
[* Apa yang dimaksudkan ialah dakwaan kononnya ‘Uthman telah mengubah sunnah Rasulullah s.a.w kerana beliau telah bersembahyang empat raka’at di Mina, sedangkan Rasulullah s.a.w sentiasa mengqasarkan solat empat raka’at ketika bermusafir. Perkara ini telah dibantah oleh sebahagian para sahabat. Jawapan terhadap masalah ini ialah, ‘Uthman ketika itu tidak menganggap dirinya bermusafir kerana beliau telah berkahwin di Makkah dan mendiami sebuah rumah di sana (Al-Dahlawi, Mukhtasar al-Tuhfah al-Ithma ‘Asyariyyah, hlm. 256). ‘Uthman sendiri menyebut: “Aku telah menjadi diriku sebagai penduduk Makkah” (Muhbib al-Din al-Khatib, Ta’liqat al-‘Awasim min al-Qawasim, hlm. 90). Hal ini khilaf dalam kalangan sahabah dan ulama tentang peruntukan solat qasar itu disebabkan musafir semata atau kerana hari-hari haji. Sebahagian berpendapat peruntukan itu untuk semua jamaah haji, berbeza dengan pendapat Uthman.]
Isu al-Hima
Mereka telah mengatakan bahawa aku telah membuat al-Hima.** Aku telah menyusahkan orang Islam dan kau telah mengambil tanah yang luas semata-mata untuk menjaga unta. Al-Hima telah ada sebelumku untuk unta-unta zakat dan jihad. Ia telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, Abu Bakr dan ‘Umar. Aku menambahkan berdasarkan unta zakat dan jihad. Aku tidak menghalang golongan fakir dikalangan orang Islam untuk menggembala di dalamnya. AKu tidak membuat semua itu untuk kepentingan ternakanku. Ketahuilah ketika aku dilantik menjadi khalifah, aku adalah orang ‘Arab yang paling banyak mempunyai unta dan kambing. Namun sekarang tidak ada bagiku melainkan dua ekor unta yang aku gunakan untuk menunaikan haji. Tidakkah begitu?”
[**Al-Hima bermaksud tanah mati yang dijadikan kawasan larangan oleh pemerintah kepada orang ramai daripada menggembala binatang di dalamnya. Kawasan khas ini dibuat untuk ternakan demi kepentingan rakyat (Wahbah al-Zuhayli, Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, jil. 5, hlm. 571).]
Jawab para sahabat: “Ya benar!”
Isu al-Quran
“Mereka mengatakan: Al-Quran dahulunya mempunyai banyak mushafnya. Aku telah jadikan ia satu. Ketahuilah al-Quran itu satu, datang pula daripada Yang Satu. Aku hanya mengikut apa yang dibuat oleh Abu Bakr dan para sahabat yang bersama-sama dengannya. Tidakkah begitu?”
Para sahabat menjawab: “Ya benar! Wahai ‘Uthman! Bunuhlah mereka!”
Isu al-Hakam
Kemudian ‘Uthman meneruskan penjelasannya.
“Mereka mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah menghukum buang daerah terhadap al-Hakam*** tetapi aku telah mengembalikannya. Jawapanku, al-Hakam adalah orang Makkah, Rasulullah s.a.w telah membuangnya dari Makkah ke Taif. Kemudian Rasulullah juga yang mengembalikannya. Oleh itu, Rasulullah s.a.w yang mengeluarkannya dan Baginda juga yang mengembalikannya. Tidakkah demikian?”
[***Al-Hakam ibn al-‘As bapa saudara ‘Uthman ibn ‘Affan (Ibn Hajar, Al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, jil. 2, hlm. 28). Al-Hakam dikatakan telah dibuang daerah oleh Rasulullah s.a.w tetapi dikembalikan semula oleh ‘Uthman. Menurut Wali Allah al-Dahlawi: Rasulullah s.a.w mengeluarkan al-Hakam kerana sikapnya yang sukakan golongan Munafiqin. Beliau juga gemar menghidupkan fitnah di kalangan orang Islam dan bekerjasama dengan golongan kuffar. Selepas wafatnya Rasulullah s.a.w sikap nifaq dan kufur telah hilang dalam dirinya dan Islamnya pula bertambah kuat pada zaman pemerintahan Abu Bakr dan ‘Umar, maka tidak ada sebarang larangan untuk mengembalikannya. (Al-Dahlawi, Mukhtasar al-Tuhfah al-Ithna ‘Asyariyyah, hlm. 261).]
Jawab para sahabat Nabi s.a.w “Ya!”
Isu Pegawai Muda
“Mereka mengatakan bahawa aku melantik pegawai yang masih berusia muda. Jawapanku: Aku tidak melantik melainkan mereka yang berkemampuan dan disukai. Mereka adalah ahli dalam bidang tugas mereka, kamu semua tanyalah mereka. Mereka yang memerintah sebelumku pernah melantik orang yang lebih muda daripada itu. Rasulullah s.a.w sendiri ketika melantik Usamah pernah dipertikai lebih daripada apa yang berlaku terhadap diriku. Tidakkah begitu.”
Jawab para sahabat: “Ya! Benar. Mereka itu memburukkannya di hadapan orang ramai tanpa sebarang alasan.”
Isu Ibn Abi Sarh
Mereka mengatakan aku telah memberikan kepada Ibn Abi Sarh**** harta fai*****. Jawapanku: Aku telah memberikan kepadanya saguhati kerana jasanya membuka Afrika sebanyak satu per lima daripada hara fai yang Allah berikan kepadanya. Jumlahnya sebanyak seratu ribu. Sebelum ini pun, Abu Bakr dan ‘Umar pernah berbuat demikian. Namun begitu, para tentera tidak setuju. Tidakkah begitu?”
Jawab para sahabat: “Ya benar!”
[****‘Abd Allah ibn Abi Sarh adalah salah seorang sahabat Nabi s.a.w. Beliau juga adalah salah seorang daripada ketua tentera pada zaman ‘Uthman. ‘Abd Allah juga adalah saudara susuan ‘Uthman. Dia termasuk kalangan tokoh ahli bijak pandai pada zamannya (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubula’, jil. 3, hlm. 33).]
[*****Al-Fai adalah harta rampasan yang diambil oleh orang Islam daripada musuh mereka tanpa melalui peperangan. Harta tersebut sama ada daripada jenis yang boleh dipindah atau tidak. Ia dibahagikan kepada lima bahagian. Satu per lima diberi pada Rasul, kaum keluarga Rasul, anak yatim, orang miskin dan ibn sabil. Manakala empat per lima yang selebihnya dibelanjakan untuk kepentingan orang Islam, dengan syarat hendaklah yang paling utama untuk kepentingan mengangkat martabat mereka yang bekerja dalam ketenteraan iaitu tentera yang bersiap sedia untuk berjihad (Mustafa al-Khin, Al-Fiqh al-Manhaj, jil. 8, hlm. 136).
Isu Beri Harta Pada Keluarga
“Mereka mengatakan bahawa aku sayangkan kaum keluargaku dan memberikan mereka harta. Sebenarnya, perasaan sayangku kepada kaum keluargaku tidak menyebabkan aku bertindak kepada mereka adalah daripada hartaku sendiri. Aku tidak pernah menghalalkan harta benda orang Islam untuk diriku, tidak juga untuk sesiapa. Demi Allah! Aku tidak pernah mengambil sedikit pun harta atau cukai dari mana-mana wilayah. Sesungguhnya aku telah kembalikan kepada wilayah-wilayah tersebut segala harta yang datang kepadaku kecuali al-Khums (satu per lima daripada harta rampasan perang). Aku tidak pernah memperuntukkannya sedikit pun untukku. Aku juga telah melantik orang Islam untuk menguruskan pembahagian harta al-Khums tersebut kepada mereka yang berhak. Demi Allah! Aku tidak pernah mengambil daripada harta Allah sedikit pun. Aku tidak pernah memakan melainkan daripada hartaku sendiri.”
Isu Pembahagian Tanah
“Mereka juga mengatakan bahawa aku telah memberikan tanah kepada orang tertentu. Jawapanku: Golongan Muhajirin, Ansar dan selain mereka telah terlibat dalam pembukaan tanah tersebut. Apabila tanah itu dibuka oleh Mujahidin yang berjihad, kalangan Mujahidin ada yang menetap di situ dan ada pula yang pulang ke tempat mereka. Bagi sesiapa yang pulang, aku jualkan tanah-tanah tersebut dengan persetujuan mereka, lalu aku berikan kepada mereka bahagian masing-masing. Oleh itu bahagian tersebut berada di tangan mereka dan bukan di tanganku.”
Hujah Yang Jelas
Hujah yang begitu jelas dikemukakan ini menyebabkan mereka yang sengaja mencari kesalahan ‘Uthman terdiam di hadapan khalayak ramai. Para sahabat dan orang ramai meminta agar ‘Uthman mengambil tindakan membunuh mereka. Namun seperti yang menjadi kelaziman ‘Uthman, beliau tidak akan menerima pandangan yang sedemikian, bahkan terus sahaja memaafkan mereka (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil. 4, hlm. 348).
Munir al-Ghadhban mengatakan: “Penjelasan yang dikemukakan oleh ‘Uthman ini kalau ingin dicatatkan dengan tinta emas sekalipun masih lagi tidak memadai. Ia lahir daripada jantung hati seorang Amir al-Mukminin yang dibuat dalam keadaan terpaksa. Bagi ‘Uthman, dia inginkan agar semua perkara ini tersimpan antara dirinya dengan Allah sahaja. Beliau seorang yang pemalu untuk mengeluarkan kata pujian terhadap dirinya, bahkan malaikat juga malu kepadanya.” (Munir al-Ghadhban, Mu’awiyah ibn Abi Sufyan, hlm. 141)
Tidak Berasas
Isu-isu lain yang dibangkit sebenarnya tidak berasas. Umpamanya, isu perlantikan keluarga Bani Umayyah yang merupakan kabilah ‘Uthman dalam kerajaan adalah isu yang lemah. Jika dilihat kebanyakan yang dilantik oleh ‘Uthman pernah diberikan jawatan sebelum ‘Uthman menjadi khalifah. Mereka telah dilantik oleh Rasulullah s.a.w, Abu Bakar dan ‘Umar. Bani Umayyah terkenal dengan keahlian di bidang politik pentadbiran. Ramai tokoh politik kalangan mereka. Pun begitu jumlah mereka yang dilantik pada zaman ‘Uthman hanya lima orang sahaja. Itupun bukan pada satu waktu. Ada juga yang ‘Uthman sendiri memecatnya iaitu al-Walid bin ‘Uqbah. Bahkan secara perbandingan, Bani ‘Umayyah yang dilantik oleh Khalifah ‘Uthman lebih sedikit dibandingkan yang dilantik oleh Nabi s.a.w. Hakikatnya, Bani Umayyah merupakan kabilah Quraish yang paling ramai diberikan jawatan oleh Nabi s.a.w. Jika dilihat pada fakta juga, semasa pemerintahan ‘Uthman begitu ramai mereka yang bukan dari Bani Umayyah yang diberikan jawatan dan hanya sedikit kalangan mereka mendapat jawatan. (lihat: ‘Uthman Khamis, Hiqbah min al-Tarikh, hlm 85-89)
Itulah Agenda Syiah
Namun lihatlah kejelikan golongan yang terpengaruh dengan agenda ‘Abdullah ibn Saba’. Sehingga hari ini penulisan mereka terus memfitnah Khalifah ‘Uthman dengan fitnah yang yang sama, sekalipun ia telah dijawab sejak lebih 1400 tahun yang lalu. Alangkah baiknya sekurang-kurang mereka menyebut bahawa keputusan-keputusan pentadbiran pemerintah ‘Uthman adalah ijtihadnya. Kita berbeza boleh dengan ijtihad beliau , atau mempunyai pandangan yang lain tetapi tidak akan mentohmah khalifah yang mulia itu. Sehingga hari ini golongan Syiah termasuk di Malaysia masih menimbul cerita yang sama mengenai Saiyyidina ‘Uthman bin ‘Affan.
Hasil daripada penjelasan yang dapat menghapus memadamkan segala keraguan ini, menyebabkan wakil para pemberontak tidak dapat menjawab dan diam membisu. ‘Uthman pula memaafkan mereka dan mengizinkan mereka pulang kepada kaum mereka dalam keadaan berputus asa. Mereka tidak mendapat sebarang faedah yang diharapkan daripada finah yang dilontarkan itu (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, jil. 4, hlm. 179).
Bersambung...