FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

 
 الطهارة
 
Makna Al -Taharah
( Oleh : Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak ( Bahagian Buhuth Dan Istinbat )
 
Dari sudut bahasa, kalimah al-Taharah الطهارة bermaksud bersih dan suci dari kotoran-kotoran. Dari sudut syara’ pula ia bermaksud bersih dari hadas atau kotoran najis. 
Taharah terbahagi kepada dua: 
 
i. Taharah dari najis, dinamakan taharah hakikiyyah (الطهارة الحقيقية). 
ii. Taharah dari hadas, dinamakan taharah hukmiyyah (الطهارة الحكمية). 
 
Taharah Hakikiyyah
Taharah hakikiyyah ialah taharah dari najis. Oleh itu perlu diketahui terlebih dahulu jenis-jenis najis, bagaimana menghilangkannya dan seumpamanya. 
 
Jenis-jenis Najis
 
Pertama : Apa-apa yang keluar dari tubuh-badan manusia 
 
Kaedah mengenal najis jenis pertama ini ialah: “Setiap yang keluar dari badan insan, wajib berwudhu atau membasuh dengan sebab keluarnya, maka ia najis,” seperti air kencing, tahi, mazi1, wadi2 , darah haid, darah nifas, darah istihadhah, darah yang mengalir dari luka, dimaafkan jika darah yang sedikit sepertimana dimaafkan juga air luka bercampur darah dan nanah3.   
 
Para ulama berbeza pandangan tentang hukum mani. al-Imam Abu Hanifah dan al-Imam Malik RH berpandangan mani adalah najis. Manakala al-Imam al-Syafie, berdasarkan riwayat yang lebih sahih dari al-Imam Ahmad bin Hambal dan mazhab al-Zahiriyyah berpandangan mani adalah suci. al-Imam al-Nawawi RH pula menisbahkan pandangan kesucian mani adalah pandangan majoriti fuqaha. Beliau juga menisbahkan pandangan ini kepada ulama hadis dan menyatakan pandangan ini telah diriwayatkan dari pandangan Ali bin Abi Talib, Sa‘ad bin Abi Waqqas, Ibn ‘Umar dan ‘Aisyah RA. 
 
Kedua : Darah yang mengalir, iaitulah darah yang mengalir dari manusia sama ada lelaki mahupun wanita dan dari seluruh haiwan. 
 
Adapun darah pepijat dan kutu tidak termasuk dalam kumpulan najis. Darah yang kekal di dalam daging dan urat haiwan yang telah disembelih juga bukan najis. 
 
Ketiga : Apa-apa yang keluar dari badan haiwan ternak
 
Wujud perbezaan pendapat fuqaha berkaitan air kencing dan tahi haiwan ternak seperti berikut:
 
i.  Air kencing dan tahi haiwan yang tidak boleh dimakan dagingnya adalah najis.
 
ii. Air kencing haiwan yang halal dimakan dagingnya. Sebahagian ulama seperti al-Imam Abu Hanifah dan Abu Yusuf RH berpandangan ia najis. Manakala pandangan ramai dari kalangan fuqaha seperti Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani, al-Nakha‘ie, al-Auza‘ie, al-Zuhri, Malik dan Ahmad menyatakan air kencing haiwan ternak yang halal dimakan dagingnya adalah tidak najis. 
 
iii. Tahi haiwan yang halal dimakan dagingnya. Sebahagian ulama seperti Zufar dari kalangan ulama mazhab Hanafi dan pandangan al-Imam Malik RH mengatakan ia tidak najis. Manakala fuqaha lain berpandangan ia najis. 
 
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH mempertahankan pandangan yang mengatakan air kencing dan tahi binatang yang halal dimakan adalah tidak najis. Beliau juga telah mendatangkan banyak dalil bagi mempertahankannya. Demikian juga yang dilakukan oleh al-Imam al-Syaukani dan beliau berhujah dengan hukum asal adalah suci. Menghukum najis sesuatu perkara adalah termasuk di dalam hukum syar‘ie yang tidak boleh diterima melainkan dengan adanya bukti atau dalil syar‘ie. Malangnya dalil itu tiada. Maka wajib berpegang dengan hukum asal dan kaedah al-Bara-ah al-Asliyyah (البراءة الأصلية).
 
Keempat : Tahi ayam dan burung
 
Tahi haiwan seperti ayam dan itik adalah najis. Manakala tahi burung pula terbahagi kepada dua: 
 
i. Tahi burung yang berterbangan dan halal di makan seperti Merpati dan Ciak adalah suci. 
 
ii. Tahi burung yang berterbangan dan tidak halal dimakan seperti Helang dan seumpamanya adalah suci di sisi al-Imam Abu Hanifah dan Abu Yusuf disebabkan dharurah atau sukar dielak. Manakala Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani berpandangan tahinya najis. 
 
Kelima : Arak 
 
Ibn Qudamah di dalam al-Mughniy menyatakan khamar ataupun arak adalah najis menurut pandangan kebanyakan ulama (عامة أهل العلم) kerana Allah SWT telah mengharamkan kerana ainnya. Maka ia najis sepertimana babi itu najis kerana diharamkan ainnya. Oleh itu semua yang memabukkan adalah haram dan ia dikira najis. 
 
Kebanyakan ulama juga berhujah berdasarkan firman Allah SWT : 
 
إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
 
Maksudnya: “…hanyasanya arak, judi, berhala dan bertenun nasib itu adalah kotor dari perbuatan syaitan, maka hendaklah kamu semua (orang-orang yang beriman) menjauhinya.” (al-Maidah: 90)
 
Kalimah رِجْسٌ yang bermaksud kotoran yang terdapat di dalam ayat ini difahami menunjukkan najis, kerana ia dari perkara yang ditegah, di mana perkara yang ditegah bukan kerana kemuliaannya menunjukkan kenajisan perkara tersebut yang menjadi sebab pengharaman dan tegahan.
 
Namun terdapat sekumpulan fuqaha lain memahami kalimah رِجْسٌ yang terdapat di dalam ayat bukan memaksudkan najis hissi. Sebaliknya ia merujuk kepada maksud maknawi iaitulah kotoran atau najis maknawi. Kefahaman ini dibuktikan dengan wujudnya perkara lain yang disebut sebaris dengan arak di dalam ayat yang mulia tersebut iaitulah judi, berhala dan bertenun nasib, di mana kesemuanya tidak memaksudkan najis hissi sebaliknya najis maknawi. Contohnya berhala, di mana apabila ayat memasukkan berhala sebagai perbuatan kotor dan najis, bukan bermaksud sesiapa yang menyentuhnya diwajibkan membersihkan tangan terlebih dahulu. Kata al-San‘ani RH di dalam Subul al-Salam: 
 
والحَقُّ أنَّ الأصْلَ فِي الأعْيانِ الطَّهارَةُ وأنَّ التَّحْرِيمَ لا يُلازِمُ النَّجاسَةَ، فَإنَّ الحَشِيشَةَ مُحَرَّمَةٌ طاهِرَةٌ، وكَذا المُخَدَّراتُ والسُّمُومُ القاتِلَةُ، لا دَلِيلَ عَلى نَجاسَتِها؛ وأمّا النَّجاسَةُ فَيُلازِمُها التَّحْرِيمُ، فَكُلُّ نَجِسٍ مُحَرَّمٌ ولا عَكْسَ، وذَلِكَ لِأنَّ الحُكْمَ فِي النَّجاسَةِ هُوَ المَنعُ عَنْ مُلابَسَتِها عَلى كُلِّ حالٍ، فالحُكْمُ بِنَجاسَةِ العَيْنِ حُكْمٌ بِتَحْرِيمِها بِخِلافِ الحُكْمِ بِالتَّحْرِيمِ، فَإنَّهُ يُحَرَّمُ لُبْسُ الحَرِيرِ والذَّهَبِ وهُما طاهِرانِ ضَرُورَةً شَرْعِيَّةً وإجْماعًا، فَإذا عَرَفْت هَذا فَتَحْرِيمُ الحُمُرِ والخَمْرِ الَّذِي دَلَّتْ عَلَيْهِ النُّصُوصُ لا يَلْزَمُ مِنهُ نَجاسَتُهُما، بَلْ لا بُدَّ مِن دَلِيلٍ آخَرَ عَلَيْهِ وإلّا بَقِيَتا عَلى الأصْلِ المُتَّفَقِ عَلَيْهِ مِن الطَّهارَةِ، فَمَن ادَّعى خِلافَهُ فالدَّلِيلُ عَلَيْهِ
 
Maksudnya: “Dan yang benar bahawa hukum asal pada sesuatu ain adalah suci, hukum haram kepada sesuatu tidak semestinya membawa maksud najis (perkara tersebut). Sesungguhnya ganja adalah benda haram yang suci. Demikian juga dadah dan racun yang membunuh, tiada dalil membuktikan kenajisannya. Adapun sesuatu yang najis, mesti dituruti dengan hukum haram. Maka setiap yang najis adalah haram, namun bukan sebaliknya. Demikian juga, hukum kenajisan (pada sesuatu perkara) adalah tegahan menyentuhnya dalam setiap keadaan. Maka hukum kenajisan ain itu, dalam masa yang masa adalah hukum pengharamannya. Berbeza dengan hukum haram. Telah diharamkan memakai sutera dan (perhiasan) emas (bagi lelaki), sedangkan kedua-duanya suci secara dharurah, secara syarak dan berdasarkan ijmak. Oleh itu, pengharaman kaldai dan arak berdasarkan nas-nas yang ada tidak semestinya menunjukkan kenajisan kedua-duanya. Bahkan perlu ada dalil lain yang menunjukkan kenajisannya. Jika tidak kedua-duanya kekal menurut hukum asal yang telah disepakati iaitulah suci. Maka sesiapa yang membuat dakwaan berbeza dengan perkara ini, maka hendaklah dia mendatangkan dalil.”   
 
Keenam : Bangkai, terbahagi kepada beberapa jenis:
 
1. Bangkai haiwan atau serangga yang tidak memiliki darah yang mengalir seperti lalat dan seumpamanya, tidak menjadi najis dengan kematiannya. Akan tetapi jika ia terbentuk dari najis seperti ulat atau cacing tandas, maka hukumnya najis sama ada ketika hidupnya mahupun setelah menjadi bangkai. 
 
2. Bangkai haiwan berdarah. Ia terbahagian kepada tiga: 
 
i. Semua haiwan laut yang tidak dapat hidup melainkan di dalam air, maka ia suci ketika hidup mahupun setelah menjadi bangkai.
 
ii. Haiwan yang tidak dihalalkan jika mati tanpa disembelih. Ia najis apabila mati tanpa disembelih. 
 
iii. Manusia4 dihukum suci sama ada ketika hidup atau sesudah mati. Para ulama dari mazhab Hambali berpandangan tiada perbezaan di antara orang muslim dan kafir dalam perkara ini. 
 
3. Bahagian-bahagian dari bangkai yang mempunyai darah di dalamnya seperi daging dan kulit adalah najis. Adapun bahagian bangkai yang tidak memiliki darah dan ia pula keras dan kuat seperti tanduk, tulang, gigi, kuku kuda, demikian juga rambut dan bulu dan seumpamanya, terdapat tiga pandangan fuqaha: 
 

i. Pandangan yang masyhur dari al-Imam al-Syafi‘ie mengatakan ia najis. Pandangan ini juga berdasarkan salah satu riwayat dari al-Imam Ahmad bin Hambal.


ii. Pandangan yang masyhur dari mazhab Malik dan Ahmad mengatakan tulang dan seumpamanya adalah najis. Manakala rambut dan seumpamanya adalah suci.


iii. Pandangan Abu Hanifah dan salah satu pandangan mazhab Malik dan Ahmad mengatakan semua perkara-perkara ini adalah suci. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah mengatakan pandangan ini adalah yang benar dan beliau telah mendatangkan banyak dalil yang menunjukkan benarnya pandangan ini.

4. Susu dan rennet (digunakan untuk penghasilan keju) bangkai adalah najis berdasarkan zahir mazhab Hambali. Ia juga pandangan Malik dan Syafi‘ie.


Terdapat riwayat dari Ahmad yang mengatakan susu dan rennet bangkai adalah suci. Sama seperti pandangan Abu Hanifah dan Daud (al-Zahiri). Hujah pandangan ini berdasarkan tindakan para Sahabat Nabi RA memakan keju yang terdapat di Parsi. Keju di Persi tersebut di buat dari rennet (الإنفحة) yang diambil anak kambing sedangkan sembelih orang-orang Parsi yang bukan Islam dihukum bangkai. Inilah pandangan yang rajih dan disokong oleh Ibn Taimiyyah dengan beliau mendatangkan dalil-dalil yang menunjukkan kerajihan pandangan ini.

5. Bahagian yang terpotong dari haiwan yang hidup adalah najis jika bahagian tersebut memiliki darah. Jika bahagian yang tidak memiliki darah seperti rambut dan bulu, maka ia suci.

_______________________________________

1 Di dalam al-Nihayah Fi Gharib al-Hadis wa al-Athar oleh Ibn al-Athir RH dinyatakan: “mazi ialah basahan yang melekit (البلل اللزَج), keluar dari zakar ketika bersenda gurau bersama wanita dan tidak wajib dibasuh.” Sayyid Sabiq di dalam Fiqh al-Sunnah pula menyatakan: “Mazi ialah air jernih melekit yang keluar ketika memikirkan jimak atau ketika bergurau senda antara seseorang lelaki dan isterinya. Ia berlaku kepada lelaki dan perempuan.”

2 Wadi (الودي) pula dinyatakan di dalam al-Nihayah sebagai air yang likat melekit, keluar setelah buang air kecil.

3 Namun kenajisan Air luka bercampur darah dan nanah ini berbeza dengan pandangan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH yang beranggapan tiada dalil yang dapat ditegakkan bagi menunjukkan kenajisannya.
4 Manusia termasuk dalam kategori haiwan atau disebut hayawan dalam bahasa ‘Arab yang bermaksud setiap yang memiliki ruh, berkata-kata atau tidak. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 18/235)