FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

Berdoalah Seperti Adam dan Hawwa’

(Oleh : Ustaz Mohd Shahril bin Mohd Shukri (Pegawai Isnad)

 

images.jpg

 

       Kisah Nabi Adam Alaihissalam tidak asing bagi kita, setelah Allah Azza Wa Jalla mencipta Nabi Adam Alaihissalam, diperintahkan kepada para malaikat dan jin untuk tunduk sujud hormat kepadanya. Dalam peristiwa ini, Iblis yang dilaknat itu enggan sujud hormat.

Rentetan dari kisah panjang tersebut, akhirnya menyebabkan Adam dan Hawwa’ terkeluar dari syurga akibat digelincirkan oleh syaitan. Lalu terakamlah satu doa yang indah diungkapkan oleh mereka berdua Alaihimassalam.

Allah Azza Wa Jalla berfirman dalam Surah Al-A’raf ayat 23:

 

قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ 

 

Maksudnya: Mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi".

 

Beberapa pengajaran besar boleh kita hayati dari doa ini. Antaranya, lihatlah bagaimana Nabi Adam tanpa lengah memohon keampunan kepada Allah atas kesilapan yang dilakukan. Dia sedar setelah melakukan kesalahan, Nabi Adam mesti segera memohon keampunan dari Allah SWT. Bandingkan pula dengan sikap iblis, dengan penuh angkuh dan sombong menyalahkan pula Allah SWT yang konon tidak memberikan petunjuk kepadanya.

 Peristiwa ini dirakamkan dalam Surah Al-A’raf ayat 16:

 

قَالَ فَبِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأَقْعُدَنَّ لَهُمْ صِرَاطَكَ الْمُسْتَقِيمَ

 

Maksudnya: Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus;

Bezakan ciri yang terdapat pada diri Nabi Adam Alaihissalam apabila melakukan kesalahan; bertaubat dan memohon ampun kepada Allah, dan sifat yang ada pada iblis; sombong dan angkuh setelah melakukan dosa. Sebagai manusia beriman, tauladan siapakah yang ingin kita ikuti?

Kata Syaikh Abdul Rahman As-Sa’di rahimahullah: “sesiapa yang memiliki ciri seperti Nabi Adam, dengan mengakui dosa yang dilakukan serta memohon ampun kepada Allah SWT dengan penuh sesal, Allah memilihnya termasuk dikalangan hambanya dan memberikan hidayah buatnya. Manakala yang memiliki ciri seperti iblis pula, yang setelah berdosa kekal terus menerus tenggelam melakukan lagi dosa, makin jauhlah kehidupannya dari Allah SWT”. 

Apapun sejarah kehidupan seseorang, janganlah sesekali berputus asa untuk bertaubat, sebaliknya contohilah sikap ibu dan bapa seluruh manusia ini yang sedar setelah melakukan kesalahan. Allah Azza Wa Jalla melarang hambanya dari berputus asa dengan rahmatNya.

Firman Allah SWT didalam Surah Az-Zumar ayat 53:

 

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

 

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Apabila kita berdoa dengan mengharapkan doa itu dimakbulkan Allah SWT ianya termasuk didalam pengertian kita mengharap rahmatNya. Cukuplah hadith ini memberikan semangat kepada kita untuk tidak jemu dan terus bersungguh-sungguh memohon keampunan dan berdoa sepeti Nabi Adam dan Hawwa’ ini.

Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam pernah bersabda, bahawa Allah Tabaraka Wa Ta’ala berfirman:

 

،قالَ اللَّهُ تبارَكَ وتعالى يا ابنَ آدمَ إنَّكَ ما دعوتَني ورجوتَني غفَرتُ لَكَ على ما كانَ فيكَ ولا أبالي

 

،يا ابنَ آدمَ لو بلغت ذنوبُكَ عَنانَ السَّماءِ ثمَّ استغفرتَني غفرتُ لَكَ

 

ولا أبالي، يا ابنَ آدمَ إنَّكَ لو أتيتَني بقرابِ الأرضِ خطايا ثمَّ لقيتَني لا تشرِكُ بي شيئًا لأتيتُكَ بقرابِها

 

مغفرةً

 

Maksudnya: “Wahai anak Adam, sesungguhnya tidaklah engkau berdoa kepadaKu dan berharap kepadaKu melainkan aku ampuni dosa yang ada padamu dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya dosa-dosamu telah mencapai setinggi langit, kemudian engkau meminta ampun kepadaKu nescaya Aku akan mengampunkanmu, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya engkau datang kepadaKu dengan membawa kesalahan sepenuh bumi, kemudian engkau menemuiKu (pada hari akhirat kelak) dengan tidak menyekutukan sesuatu denganKu nescaya Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi.” (Hadith riwayat At-Tirmizi).