FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

AMALAN KETIKA KEPENATAN

(Oleh : Ustazah Nor Faezah Binti Hassan(Pegawai Isnad)

 

           Penat itu adalah perkara biasa yang akan dilalui oleh semua orang. Terutama sekali bagi wanita yang bergelar suri rumah, ataupun wanita yang bekerjaya, tentu sekali akan merasai kepenatan melakukan pekerjaan atau rutin harian tidak kira sama ada di tempat kerja atau dirumah.

            Oleh itu, terdapat satu amalan yang boleh diamalkan oleh kita semua dalam apa juga pekerjaan yang kita lakukan agar kekal bertenaga pada keesokan harinya iaitu zikir yang diajarkan Rasulullah kepada anakndanya melalui hadis Baginda SAW;

         Dari ‘Ali bin Abi Thalib RA ketika menceritakan kisah Fatimah RA binti Muhammad SAW. Suatu hari, Fatimah RA mendatangi Nabi SAW untuk meminta diberi pembantu (hamba). Rasulullah SAW berkata kepada anaknya, Fatimah RA,

 

أَلاَ أَدُلُّكُمَا عَلَى مَا هُوَ خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ؟ إِذَا أَوَيْتُمَا إِلَى فِرَاشِكُمَا، أَوْ أَخَذْتُمَا مَضَاجِعَكُمَا، فَكَبِّرَا ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، وَسَبِّحَا ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، وَاحْمَدَا ثَلاَثًا وَثَلاَثِينَ، فَهَذَا خَيْرٌ لَكُمَا مِنْ خَادِمٍ

 

“Mahukah kamu berdua jika aku tunjukkan kepada sesuatu yang lebih baik daripada seorang pembantu? Jika kamu berdua hendak tidur, ucapkanlah takbir 33 kali, tasbih 33 kali, dan tahmid 33 kali. Maka ini adalah lebih baik daripada seorang pembantu.”

‘Ali RA berkata,

 

فَمَا تَرَكْتُهَا بَعْدُ

 

“Aku tidak pernah meninggalkan amal itu setelahnya (setelah ‘Ali RA mendengarnya dari Nabi SAW).”

Ditanyakan kepada ‘Ali bin Abi Thalib RA,

 

وَلاَ لَيْلَةَ صِفِّينَ؟

 

“Bagaimana ketika malam perang Shiffin?” (iaitu peperangan yang masyhur, yang terkadang melalaikan seseorang daripada berzikir kepada Allah Ta’ala).

 ‘Ali RA menjawab,

 

وَلاَ لَيْلَةَ صِفِّينَ

 

“Tidak sesekali (aku tinggalkan) walaupun ketika perang Shiffin.” (HR. Bukhari &  Muslim)

 

 Pengajaran daripada Hadis: 

  1. Nabi SAW tidak memberikan pembantu sepertimana yang diminta oleh anakndanya Fatimah RA, bukan kerana Nabi SAW tidak mampu untuk memberikan pembantu kepada anakndanya. Akan tetapi, antara hikmah mengapa Nabi SAW mengajarkan amalan zikir ini berbanding memberikan seorang pembantu adalah kerana, untuk mewarisi amalan ini kepada kita semua umat Baginda. Jika nabi hanya memberikan pembantu, pembantu itu hanya dapat memberikan manfaat kepada anakndanya sahaja, tetapi jika Nabi SAW memberikan wasiat dalam bentuk amalan, maka seluruh umatnya boleh mendapat manfaat dan mengamalkan dalam kehidupan seharian.
  1. Bacaan tasbih, tahmid, dan takbir adalah sebaik-baiknya bacaan zikir. Zikir ini boleh diamalkan sebelum tidur agar kita bertenaga untuk melakukan pelbagai pekerjaan pada keesokan harinya dengan izin Allah SWT.
  1. Betapa hebatnya amalan zikir ini sehingga Ali RA tidak meninggalkan amalan ini walaupun dalam peperangan. Hal ini menujukkan bahawa Para sahabat begitu semangat menjalankan sunnah Nabi SAW dan berusaha menjaganya.

Mudah-mudahan amalan yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada Fatimah RA ini menjadi amalan dalam kehidupan seharian kita agar kita kekal produktif dalam melaksanakan ibadah dan melakukan pelbagai pekerjaan dalam kehidupan seharian kita.