KEPUTUSAN MESYUARAT
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE-69/2024
14-15 JUN 2024 / 9-10 SAFAR 1446
Bil.2/69 TAHUN 2024
FATWA AJARAN SESAT BERUNSUR BATINIAH
Ajaran yang mempunyai kepercayaan berikut adalah batiniah sesat dan diharamkan:
- Mempercayai Tanasukh al-Arwah (perpindahan ruh daripada seseorang yang telah meninggal dunia kepada seseorang lain). Ini seperti mempercayai tokoh atau guru tertentu yang telah meninggal, ruhnya berpindah kepada pengikutnya atau individu lain yang masih hidup.
- Mempercayai individu atau guru mereka yang telah terbukti meninggal dunia masih lagi hidup secara ghaib dan akan muncul pada suatu waktu tertentu.
- Mempercayai individu atau guru tertentu adalah jelmaan Allah atau Rasul atau Malaikat yang wajib diagungkan atau ditaati tanpa boleh dipertikaikan.
- Mempercayai atau menafsirkan al-Quran secara simbolik yang bercanggah dengan kaedah Syarak dan Bahasa Arab.
- Mempercayai syariat boleh dipisahkan antara yang zahir dan batin (isi dan kulit) yang mana sebahagian manusia tidak terikat dengan syariat yang zahir kerana hanya berpegang kepada yang batin.
- Mempercayai individu atau guru (selain daripada Rasul) mendapat wahyu seperti yang diperoleh oleh para Rasul dan mengetahui hal-hal yang ghaib melalui wahyu sepertimana para Rasul.
- Mempercayai orang yang telah mati dapat memberi manfaat dan menolak mudharat bagi orang masih hidup.
- Mempercayai bahawa memohon pertolongan kepada orang yang telah mati itu sama seperti memohon pertolongan kepada Allah.
- Mempercayai tubuh pemimpin sama seperti tubuh Nabi SAW dari segi memperoleh keberkatan.
- Mempercayai kedudukan pemimpin di dalam beragama sama seperti kedudukan Allah dan Rasul atau lebih sehingga pujian dan ketaasuban kepada pemimpin mengambil tempat Allah dan Rasul.
- Mempercayai konsep sesat 'Nur Muhammad' yang dikatakan Qadim dan Azali serta terlebih dahulu sebelum dijadikan alam. Hal ini turut membawa kepada kepercayaan sesat bahawa Nur (cahaya) itu turun ke dalam badan Nabi Adam dan turun temurun ke dalam badan semua nabi-nabi dan seterusnya ke dalam badan imam-imam atau guru-guru dan berterusan hingga ke akhir yang tidak berakhir, bahkan termasuk mengaku dan mempercayai bahawa seseorang itu boleh berhubung terus dengan Allah melalui Nur Muhammad yang berada dalam dirinya.
Mana-mana Individu atau kumpulan sama ada melalui pertubuhan, persatuan atau syarikat yang mempunyai mana-mana unsur kepercayaan seperti di atas adalah dikategorikan sebagai ajaran batiniah sesat yang menyeleweng daripada Ahli al-Sunnah Wa al-Jamaah yang sebenar.
Sehubungan dengan itu, orang Islam adalah dilarang mengamalkan ajaran, pegangan atau fahaman yang disebutkan di atas termasuklah mengadakan ceramah, kelas pendidikan dan pembelajaran dengan apa-apa cara sekalipun termasuklah melakukan apa-apa perbuatan yang boleh disifatkan sebagai mengembang dan menyebarkan fahaman tersebut.
Orang Islam juga dilarang memiliki, menyimpan, mencetak dan menjual rakaman audio, buku, pamplet, majalah atau apa-apa terbitan risalah atau apa-apa dokumen lain yang mempunyai kaitan dengan ajaran atau fahaman yang disebutkan di atas.
- TAMAT -
KEHADIRAN DAN PERSETUJUAN OLEH:
- Sahibus Samahah Profesor Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin
- Sahibul Fadhilah Ustaz Tajul Urus bin Abdul Halim
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Muhamad Rozaimi bin Ramle
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Basri bin Ibrahim
- Sahibul Fadhilah Dr. Hj Zaharuddin bin Hj Abdul Rahman
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr. Azman Bin Mohd Noor
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Mohd Akram bin Dato’ Dahaman @ Dahlan
- Sahibul Fadhilah Dr. Ahmad Sufian bin Che Abdullah
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr Ahmad Wifaq Bin Mokhtar
- Sahibul Fadhilah Ustaz Syed Abu Bakar bin Syed Kamal Bharin
- Sahibul Fadhilah Dr. Muhammad Lukman bin Mat Sin
- Sahibul Fadhilah K.H Dr Zaitun bin Rasmin
- Sahibul Fadhilah Ustaz Aidil bin Abdul Rahman
- Al-Fadhil Ustaz Muhammad Khidhir bin Abdul Ghani – Setiausaha
DIPERAKUKAN dalam Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 5 / 2024 pada 13 September 2024.