KEPUTUSAN FATWA
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE - 54 / 2021
8 - 9 SEPTEMBER 2021 / 1 - 2 SAFAR 1443
Bil. 5 / 54 TAHUN 2021
FATWA ISTERI TERLANJUR BERZINA DAN NASAB ANAK YANG DIKANDUNGNYA
- Zina atau persetubuhan luar nikah adalah satu perbuatan dosa besar, lebih-lebih lagi apabila ia dilakukan oleh seorang wanita yang bersuami. Apabila wanita yang bersuami terlanjur melakukan zina, maka dia diwajibkan segera bertaubat.
- Setelah bertaubat, dia tidak diwajibkan untuk mendedahkan perkara tersebut kepada suaminya. Ini seperti hadis riwayat daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
كُلُّ أُمَّتي مُعافًى إلَّا المُجاهِرِينَ، وإنَّ مِنَ المُجاهَرَةِ أنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ باللَّيْلِ عَمَلًا، ثُمَّ يُصْبِحَ وقدْ سَتَرَهُ اللَّهُ عليه، فَيَقُولَ: يا فُلانُ، عَمِلْتُ البارِحَةَ كَذا وكَذا،
وقدْ باتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ، ويُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عنْه
Maksudnya : Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘’Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’’. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.” (HR al-Bukhari)
- Isteri juga boleh melakukan hubungan persetubuhan dengan suaminya seperti biasa. Dia tidak dituntut melakukan ujian kehamilan atau ujian DNA untuk kenal pasti kehamilan dan status anak.
- Jika suami mengetahui isterinya telah berzina dan telah bertaubat, dia tetap boleh melakukan persetubuhan dengan isterinya tanpa perlu menunggu pembersihan rahim. Tidak salah seorang suami mengekalkan isteri yang pernah berzina tetapi telah bertaubat.
- Jika berlaku kehamilan selepas itu, anak tersebut dinasabkan kepada suami berdasarkan hadis: الولد للفراش yang bermaksud: “Anak yang dilahirkan itu adalah milik suami.” Ia juga bertepatan dengan kaedah fiqhiyyah : اليقين لا يزول بالشك yang bermaksud: “Sesuatu yang yakin tidak gugur dengan sesuatu keraguan.” Selain itu si isteri juga boleh melakukan sesuatu yang boleh mencegah kehamilan dengan mendapatkan nasihat doktor.
- Adapun jika si isteri meyakini kandungannya adalah hasil zina, maka menyembunyikan status anak tersebut adalah berdosa berdasarkan hadis daripada Wathilah bin al-Asqa’ r.a, Nabi SAW bersabda :
إنَّ مِن أعْظَمِ الفِرَى أنْ يَدَّعِيَ الرَّجُلُ إلى غيرِ أبِيهِ
Maksudnya : “Sesungguhnya termasuk dalam sebesar-besar pendustaan, dakwaan seseorang, nasabnya kepada bukan bapa sebenarnya”. (HR al-Bukhari)
7. Jika seseorang suami mengetahui perbuatan zina si isteri dilakukan tanpa bertaubat, maka si suami hendaklah menceraikan si isteri tersebut. Suami yang membiarkan isteri terus berzina adalah dayus. Daripada Ammar bin Yasar r.a, Nabi SAW bersabda :
( ثَلَاثَةٌ لَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ أَبَدًا : الدَّيُّوثُ وَالرَّجُلَةُ مِنَ النِّسَاءِ ، وَمُدْمِنُ الْخَمْرِ ) ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ أَمَّا مُدْمِنُ الْخَمْرِ فَقَدْ عَرَفْنَاهُ ، فَمَا الدَّيُّوثُ ؟ ، قَالَ : ( الَّذِي لَا يُبَالِي مَنْ دَخُلُ عَلَى أَهْلِهِ )
Maksudnya : "Tiga golongan yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu lelaki yang dayus, wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak." Lalu para sahabat berkata: “Wahai Rasulullah! Kami telah faham maksud orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu lelaki yang dayus?” Nabi SAW bersabda: "Iaitu orang yang tidak mempedulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya).” (HR al-Tabrani, sahih)
8. Seorang suami haram dan berdosa besar menuduh isterinya berzina tanpa bukti atau atas sangkaan semata atau atas cerita seseorang. Demikian juga suami tidak boleh menafikan nasab anak yang dikandung oleh isterinya berdasarkan perkara di atas.
9. Suami hanya boleh menuduh isteri berzina atau menafikan nasab anak melalui proses sumpah li‘an atau pembuktian tempoh perkahwinan yang kurang dari enam bulan di mahkamah.
-TAMAT-
Persetujuan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis :
- YBhg. S.S Prof Madya Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin - Mufti Negeri Perlis
- Sahibul Fadhilah Prof Dato’ Kaya Bakti Dr. Mohd. Radzi bin Haji Othman
- Sahibul Fadhilah Dato’ Dr. Johari Bin Mat
- Sahibul Fadhilah Profesor Dr.Basri bin Ibrahim
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr.Muhamad Rozaimi bin Ramle
- Sahibul Fadhilah Dr. Hj Zaharuddin Bin Hj Abdul Rahman
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr. Mohd Akram Bin Dato’ Dahaman @ Dahlan
- Sahibul Fadhilah Dr. Kamilin Jamilin @ Ahmad Kamil Jamilin
- Sahibul Fadhilah Dr Ahmad Sufian Bin Che Abdullah
- Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr Ahmad Wifaq Bin Mokhtar
- Sahibul Fadhilah Ustaz Syed Abu Bakar Bin Syed Kamal Bharin
- Ustaz Muhammad Khidhir Bin Abdul Ghani – Setiausaha
Diperakukan dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 4 / 2021 pada 14 September 2021.