FAQHubungiMaklumbalasPeta Laman
Pilihan Bahasa
msen
Saiz Teks

 
Garis Panduan
 
KEPUTUSAN FATWA
JAWATANKUASA FATWA NEGERI PERLIS KALI KE - 54 / 2021
8 - 9 SEPTEMBER 2021 / 1 - 2 SAFAR 1443
Bil. 2/54 TAHUN 2021
                              
GARIS PANDUAN PERTUKARAN NAMA ORANG ISLAM NEGERI PERLIS
 
Tujuan
Garis panduan ini adalah sebagai rujukan umat Islam negeri Perlis bagi urusan yang berkaitan dengan permasalahan pertukaran nama sendiri atau tanggungannya seperti anak, yang memerlukan kepada sokongan daripada Pihak Berkuasa Agama Negeri Perlis. 
 
Panduan 
 
Pertukaran nama yang ingin dilakukan adalah melibatkan faktor dan hukum seperti berikut :
 
1. Nama yang digunakan membawa maksud yang diharamkan dalam Islam, maka wajib ditukar iaitu  :
 
a) Nama yang menunjukkan penyembahan kepada selain Allah SWT seperti Abdul Hajar (hamba batu), 
b) Nama yang khusus untuk Zat Allah SWT seperti Allah dan al-Rahman. 
(Permohonan akan disokong)
 
2. Nama yang membawa maksud yang menyalahi agama, akan tetapi uruf masyarakat tidak memaksudkan maksud yang salah itu, maka ia dibenarkan menggunakannya seperti nama Abdul Muttalib (hamba Muttalib): - (Permohonan akan disokong)
 
3. Nama yang tidak salah pada makna tetapi dianggap buruk pada sisi agama disebabkan ia telah digunakan kepada mereka yang menderhakai Allah SWT seperti Firaun, Qarun, Haman, Namrud, Azazil, Abu Lahab dan seumpamanya. Ini wajib ditukar. - (Permohonan akan disokong).
 
4. Nama yang boleh difahami dengan maksud yang kurang baik tetapi tidak ke peringkat haram, maka hukum menukarnya adalah Sunat iaitu mendapat pahala jika ditukar seperti nama Qaswah (keras hati) atau seumpamanya. - (Permohonan akan disokong).
 
5. Nama yang baik tetapi boleh menimbulkan kekeliruan atas faktor perbezaan masa dan tempat seperti nama dalam bahasa tertentu yang menyebabkan masyarakat di tempatnya menganggap dia bukan muslim. Hukum menukarnya adalah Sunat iaitu mendapat pahala jika ditukar. - (Permohonan akan disokong).
 
6. Nama baru adalah sama baik dengan nama asal, seperti menukar nama Ahmad kepada Muhammad, hukumnya adalah harus. Namun jika ada maslahat, maka hukumnya menjadi sunat. Ini seperti nama yang baik tetapi tidak sesuai dengan diri orang yang dinamakan. - (Permohonan akan dipertimbangkan).
 
7. Nama yang didaftarkan dengan ejaan secara tidak sempurna seperti Ya (Yahya), Pa (Mustapha), Som (Kalsom) dan seumpamanya. Hukum menukarnya adalah harus. - (Permohonan akan dipertimbangkan).
 
8. Nama asal bermaksud baik, tetapi ditukar kepada nama yang kurang baik, seperti menukar nama Sulaim kepada Ḥarb (perang), hukumnya adalah makruh. - (Permohonan tidak akan disokong).
 
9. Nama asal bukan dalam kategori yang salah tetapi ditukar kepada yang salah seperti menukar nama Rais kepada Abdul Syams (hamba matahari). Hukumnya adalah haram. - (Permohonan tidak akan disokong).
 
10. Sekiranya pertukaran nama untuk tujuan penipuan atau perlakuan jenayah yang menyalahi undang-undang, maka hukumnya adalah haram. –(Permohonan tidak akan disokong).
 
11. Menukar nama untuk menyembunyikan keaiban pada diri adalah dibolehkan. –(Permohonan akan disokong).
 
12. Sekalipun terdapat bukti yang menunjukkan di zaman Nabi SAW berlaku penasaban anak kepada ibu bukan bapa.  Perkara ini hanya terhad untuk gelaran sahaja, tidak kepada dokumen pengenalan diri yang dijadikan asas rujukan hukum-hakam berkaitan nasab pada hari ini.
 
-TAMAT-
 
Persetujuan Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis :
 
1. YBhg. S.S Prof Madya Dato’ Arif Perkasa Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin - Mufti Negeri Perlis
2. Sahibul Fadhilah Prof Dato’ Kaya Bakti Dr. Mohd. Radzi bin Haji Othman
3. Sahibul Fadhilah Dato’ Dr. Johari Bin Mat
4. Sahibul Fadhilah Profesor Dr.Basri bin Ibrahim
5. Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr.Muhamad Rozaimi bin Ramle
6. Sahibul Fadhilah Dr. Hj Zaharuddin Bin Hj Abdul Rahman
7. Sahibul Fadhilah Dr. Kamilin Jamilin @ Ahmad Kamil Jamilin
8. Sahibul Fadhilah Dr Ahmad Sufian Bin Che Abdullah
9. Sahibul Fadhilah Prof Madya Dr Ahmad Wifaq Bin Mokhtar
10. Sahibul Fadhilah Ustaz Syed Abu Bakar Bin Syed Kamal Bharin
11. Ustaz Muhammad Khidhir Bin Abdul Ghani - Setiausaha
 
 
Diperakukan dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 4 / 2021 pada 14 September 2021.