Jangan Dukacita Dengan Kata-Kata Manusia
Sebahagian besar dukacita insan dalam hidupnya adalah kerana terlalu memikirkan kata-kata orang lain terhadap dirinya. Lantas, segala kerunsingan dan usaha dipertaruhkan untuk menjaga mulut manusia sehingga melupai apa yang ALLAH mahu dalam hidup ini.
Padahal, kata-kata orangramai itu tidak mengubah hakikat seseorang. Manusia mengulas apa yang mereka suka dan sangka. Selera dan hawa manusia berbeza dan tidak sama. Ada yang suka, ada yang benci. Ada yang puja, ada yang keji. Kemudian mereka berubah lagi. Jika hendak dilayan tidak terlayan. Kemudian, berapa kerat yang benar-benar peduli, atau mengulas hal kita dari jiwa nurani. Selebihnya hanya sekadar santapan mengumpat bersama teman bagi menambah dosa masing-masing.
Adapun menumpukan usaha kepada kedudukan kita di sisi ALLAH jauh lebih jelas dan mudah. Jika kita salah, kita mohon keampunan kepadaNYA. Jika kita berhajat, kita berdoa kepadaNYA. DIA Maha Penerima Taubat dan Doa. Tiada siapa boleh menghasutNYA tentang kita dan tiada siapa boleh berbohong membuat cerita palsu. DIA benar-benar mengetahui hakikat diri setiap hamba.
Jika kita diterima dan mulia di sisiNYA, itu sudah memadai daripada segala. DIA Penentu darjat dunia akhirat. Sekalipun manusia memandang hina, itu tidak mengubah nilai kita sebagai hambaNYA yang DIA redha.
Jika di sisi ALLAH kita tidak mulia, seluruh pujian manusia tidak berguna. Bahkan pujian itu mungkin menjadi racun yang memusnahkan bahagia dalam jiwa dan menjadikan kita hilang arah dalam melihat kehidupan yang sebenar.