Soalan:
Saya biasa mendengar beberapa ustaz berkata tanah dan jalan yang dilalui oleh kenderaan dan orang ramai hukumnya adalah suci, boleh sembahyang di atasnya. Kemusykilan saya bagaimana tanah dan jalan yang dilalui orang ramai itu dihukum suci sedangkan kawasan yang sama sudah tentu bercampur dengan najis-najis haiwan termasuk anjing dan seumpamanya. Mohon penjelasan dari pihak ustaz.
Jawapan:
Apa yang anda dengar dari beberapa ustaz yang mengatakan tanah dan jalanan yang dilalui kenderaan dan orang ramai itu suci adalah benar. Inilah yang dinyatakan oleh majoriti ulama berkaitan hukum kesucian tanah dan jalan. Hukum berkaitannya dibina atas dasar memberi keringanan. Justeru tanah atau permukaan bumi dan jalanan yang pada zahirnya tidak terdapat najis, dihukum sebagai suci, tanpa perlu diselidiki atau mencari-cari kesan najis padanya.
Demikian juga tanah atau permukaan bumi dan jalanan yang diyakini terkena najis, namun kesan najis telah hilang, sehingga tiada lagi rasa, warna dan bau najis, ia juga dihukum sebagai suci.
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH dalam Majmu’ al-Fatawa 21/479-482 menyatakan tanah-tanah jalanan, asas hukumnya adalah sama dengan persoalan apakah permukaan bumi yang terkena najis menjadi suci jika najis itu hilang dengan sebab angin, pancaran matahari dan seumpamanya?
Setelah menyebut perbezaan pandangan ulama dalam permasalahan ini, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH menyatakan pandangan yang benar ialah permukaan bumi yang telah hilang kesan najis di atasnya dengan sebab angin, cahaya matahari dan seumpamanya, adalah suci, boleh ditunaikan solat di atasnya dan boleh juga digunakan untuk bertayammum. Antara alasan yang diberikan adalah;
- Berdasarkan hadis sahih daripada Ibn ‘Umar RA yang berkata:
أَنَّ الْكِلَابَ كَانَتْ تُقْبِلُ وَتُدْبِرُ وَتَبُولُ فِي مَسْجِدِ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ وَلَمْ يَكُونُوا يَرُشُّونَ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ
Maksudnya: “Bahawa anjing-anjing dahulunya (di zaman Nabi SAW) datang dan pergi di dalam masjid Rasulullah SAW[1] dan para sahabat tidak membersihkannya (kawasan dalam masjid yang dimasuki anjing) sama sekali[2].” (HR al-Bukhari, Ahmad dan Abu Daud)
- Sabda Nabi SAW:
إِذَا أَتَى أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ، فَلْيَنْظُرْ فِي نَعْلَيْهِ، فَإِنْ وَجَدَ بِهِمَا أَذًى، فَلْيُدَلِّكْهُمَا بِالتُّرَابِ، فَإِنَّ التُّرَابَ لَهُمَا طَهُورٌ
Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu datang ke masjid, maka perhatikan di bawah dua belah seliparnya. Jika dia mendapati ada kotoran (Najis), maka sapukan kedua-duanya ke tanah. Ini kerana tanah itu dapat membersihkan kedua-dua belah selipar itu.” (HR Ahmad. Team pentakhrij al-Musnad berkata: “Isnadnya sahih berdasarkan syarat Muslim.” Diriwayat juga oleh Abu Daud, Ibn Khuzaimah dan al-Hakim. Beliau juga menilai hadis ini sebagai sahih. Penilaian sahih al-Hakim ini dipersetujui oleh al-Zahabi)
- Hadis Ummu Salamah RA yang pernah di tanya oleh Ibu Ibrahim bin ‘Abdul Rahman bin ‘Auf RA dengan katanya:
إِنِّي امْرَأَةٌ أُطِيلُ ذَيْلِي، فَأَمْشِي فِي الْمَكَانِ الْقَذِرِ، فَقَالَتْ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: يُطَهِّرُهُ مَا بَعْدَهُ
Maksudnya: “Daku seorang wanita yang melabuhkan kainku, Daku pula melalui kawasan yang terdapat kotoran.” Jawab Ummu Salamah: “Rasulullah SAW bersabda: “Apa-apa (tanah dan pasir) di hadapannya membersihkan kotoran yang terkena pada kain tersebut.” (HR Ahmad. Team pentakhrij al-Musnad berkata: “Sahih lighairih.” Diriwayatkan juga oleh Abu Daud dan al-Tirmizi. Kata al-‘Uqaili dalam al-Dhu‘afa’ 2/275: “Isnad hadis ini soleh jayyid daripada Ummu Salamah.”
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah RH setelah menyertakan dua hadis ini (2 & 3) menyebut, jika Nabi SAW menjadikan tanah itu dapat membersihkan bahagian bawah selipar dan labuhan kain, baginda juga menamakan tanah sebagai tahur (alat bersuci), maka termasuk dalam perkara yang lebih utama ialah tanah dapat menjadi suci dengan sendirinya. Oleh itu, najis yang telah hilang kesannya di tanah, maka tanah itu dihukumkan sebagai suci.
Beliau juga menyatakan, tanah-tanah jalanan yang tidak terdapat bukti bernajis, maka ia dikira sebagai suci. Jika diyakini terdapat najis yang sedikit padanya, ia termasuk dalam perkara yang diberi kemaafan. Hal ini berdasarkan tindakan para sahabat dahulu yang bergelumang dengan lumpur ketika bekerja, kemudian mereka masuk ke dalam masjid menunaikan solat tanpa membasuh kedua belah kaki terlebih dahulu. Perkara ini suatu yang dimaklumi berlaku kepada ‘Ali bin Abi Talib RA dan selain beliau dari kalangan para sahabat RA. Imam Malik juga menyebut jika terdapat kotoran najis yang sedikit, ia termasuk dalam perkara yang diberi kemaafan. (Lihat Al-Qaradhawi RH dalam Mausu‘ah al-A’mal al-Kamilah 11/70-71)
[1] Al-Tibiy menyatakan anjing memasuki masjid Nabi SAW berlaku secara nadir (jarang berlaku) kerana masjid baginda ketika itu tidak memiliki pintu yang dapat menghalang anjing-anjing dari memasuki dan melintasinya. (Lihat al-Mula ‘Ali al-Qari dalam Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih 2/472)
[2] “Para sahabat tidak membersihkannya”, di mana ungkapan: يَرُشُّونَ dalam hadis adalah bermaksud يَغْسِلُونَ atau membersihkan. Iaitulah para sahabat tidak mencurahkan air ke atas permukaan bumi dalam masjid bagi tujuan membersihkannya di sebabkan anjing yang datang dan pergi. (Lihat al-Mula ‘Ali al-Qari dalam Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih 2/472)
Al-Mubarakfuri menyatakan ungkapan: يَرُشُّونَ yang asalnya bermaksud merenjis digunakan dalam hadis ini bagi menunjukkan bersungguh-sungguh dalam penafian. Dengan kata lain, jika renjisan tidak dilakukan, maka sudah tentu membasuh dengan mencurahkan air juga tidak dilakukan. (Mir‘ah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih 2/210)