• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Hukum Isteri Mengiringi Jenazah Suami Ke Tanah Perkuburan

 

IRSYAD HUKUM SIRI 27

Hukum Isteri Mengiringi Jenazah Suami Ke Tanah Perkuburan

 

Menurut hukum syarak apabila isteri kematian seorang suami, maka diwajibkan ke atas isteri untuk menjalani iddah sejurus suaminya meninggal dunia. Berdasarkan Firman Allah swt:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا ۖ فَإِذَا بَلَغْنَ أَجَلَهُنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا فَعَلْنَ فِي أَنفُسِهِنَّ بِالْمَعْرُوفِ ۗ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ ﴿ ٢٣٤ )

Maksudnya: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis masa idahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu mengenai apa yang dilakukan mereka pada dirinya menurut cara yang baik (yang diluluskan oleh Syarak). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui dengan mendalam akan apa jua yang kamu lakukan. (Surah Al- Baqarah : 234)

Jelas di dalam ayat tersebut menyatakan tempoh iddah bagi isteri-isteri yang kematian suami adalah selama 4 bulan 10 hari. Hal ini dikuatkan dengan Hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah R.Anha:

لاَ يَحِلُّ لاِمْرَأَةٍ مُسْلِمَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ أَنْ تُحِدَّ فَوْقَ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ، إِلاَّ عَلَى زَوْجِهَا أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Ertinya: Tidak halal bagi perempuan yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat berkabung di atas kematian seseorang melebihi tiga hari melainkan apabila kematian suaminya. Dia hendaklah berkabung selama empat bulan dan sepuluh hari. (Riwayat al-Bukhari).

‘Iddah dari sudut bahasa bermaksud kiraan, hitungan atau bilangan. Ini kerana ia merangkumi bilangan suci daripada haid dan juga bilangan bulan. Dari segi istilah, ‘iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan.(Kitab al-Fiqh al-Manhaji jilid 3)

Oleh itu, sepanjang tempoh iddah bagi para wanita yang kematian suami hendaklah mematuhi larangan yang telah ditetapkan oleh syariat antaranya mengiringi jenazah suami ke kuburan berdasarkan riwayat daripada Umm Atiyyah R.Anha bahawa dia berkata:

نُهِينَا عَنْ اتِّبَاعِ الْجَنَائِزِ وَلَمْ يُعْزَمْ عَلَيْنَا

Ertinya: Kami (kaum wanita) dilarang daripada mengikut jenazah-jenazah (ke kekuburan) namun ia bukanlah perintah kepada kami. (Riwayat al-Bukhari).

Daripada hadis jelas menunjukkan tegahan Baginda SAW kepada para wanita mengikut jenazah ke kuburan, maka memadai bagi wanita yang kematian suami itu hanya menunggu di rumah dan tidak perlu mengikuti jenazah ke perkuburan. Manakala jika dia ingin solat jenazah, solatlah jenazah di rumah sebelum dibawa ke kubur. Hal ini sebagai menghormati hukum ihdad (berkabung) dalam tempoh iddah bagi wanita yang kematian suami sehingga tempoh iddah selesai.

Antara tujuan pensyariatan `iddah dan berkabung oleh Allah SWT ke atas kaum wanita adalah untuk menjaga kebajikan para wanita bermula dari perkahwinan sehinggalah terbubarnya perkahwinan tersebut semaada perceraian semasa hidup dan mati. Oleh itu, para wanita yang diuji dan bersabar diatas segala pensyariatan ke atas mereka. Maka, mudah-mudahan akan diberikan hikmah yang besar dan ganjaran atas kesungguhan dalam melaksanakan perintahNya. Allahu’alam.

 

(Panduan hukum ini yang dijawab oleh Unit Buhuth Jabatan Mufti Negeri Perlis adalah bukan merupakan keputusan rasmi Fatwa Negeri Perlis)

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 66
Semalam 1090
Minggu Ini 1156
Bulan Ini 19052

Keseluruhan 3091345

   Masa Capaian : 0.84 saat    Kemaskini :  09/12/2024