IRSYAD HUKUM SIRI 25
Hukum Menipu Dalam Membuat Tuntutan Elaun
Soalan melalui email jabatan:
Menipu Dalam Membuat Tuntutan Elaun
Soalan:
Salam
Saya seorang guru yang berkhidmat di sekolah kerajaan.
Saya telah diarahkan untuk menjalankan kelas tambahan selepas sesi persekolah tamat dan boleh membuat tuntutan.
Saya telah menipu dalam membuat tuntutan tersebut.
Saya menyesal dan ingin bertaubat
Apakah status wang elaun yang saya tuntut itu melalui penipuan?
Apakah perlu saya buat dengan duit tersebut?
Bolehkah saya menggunakan duit itu untuk
i) membeli peralatan sekolah untuk manfaat guru dan murid-murid seperti projektor, papan putih, alat tulis, buku dan sebagainya?
ii) sedekahkan duit tersebut pada pihak yang memerlukan
iii) menyerahkan semua duit tersebut pada pihak baitulmal?
Jawapan:
Menipu dalam membuat tuntutan adalah perbuatan dosa. Ia termasuk dalam salah satu cara mendapatkan harta secara batil. Bayaran yang diterima tersebut termasuk dalam sesuatu yang diperolehi dengan cara yang salah dan haram. Allah SWT berfirman:
وَلا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالإِثْمِ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang batil. Jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada para hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan berbuat dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (al-Baqarah: 188)
Justeru, wang tersebut hendaklah dikembalikan untuk tujuan asal peruntukannya. Maka dipulangkan kepada pihak kerajaan. Jika tidak dilakukan secara terus, disalurkan kepada tempat yang menjadi tujuan asal pihak kerajaan.
Jika tidak dapat lagi berbuat demikian, wang tersebut bolehlah digunakan untuk kepentingan sekolah, manfaat guru dan murid-murid.
(Panduan hukum ini yang dijawab oleh Unit Buhuth Jabatan Mufti Negeri Perlis adalah bukan merupakan keputusan rasmi Fatwa Negeri Perlis)