IRSYAD HUKUM SIRI 23
Afdhal Solat Secara Qasar Daripada Secara Sempurna Ketika Musafir
Soalan:
- Mana yang lebih Afdhal, mengqasar solat atau solat secara sempurna?
Jawapan:
Wujud perbezaan pendapat di kalangan ulama dalam permasalahan ini. Pandangan majoriti fuqaha menyatakan yang afdhal (yang terbaik) bagi seseorang musafir adalah menunaikan solat secara qasar, berdasarkan perbuatan Nabi SAW dan para Khulafa al-Rasyidun yang sentiasa menunaikan solat secara qasar ketika bermusafir.
‘Imran bin Husain (عمران بن الحصين) RA berkata:
حَجَجْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَكَانَ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ رَكْعَتَيْنِ وَسَافَرْت مَعَ أَبِي بَكْرٍ فَكَانَ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ حَتَّى ذَهَبَ ، وَسَافَرْت مَعَ عُمَرَ فَكَانَ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ حَتَّى ذَهَبَ وَسَافَرْت مَعَ عُثْمَانَ فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ سِتَّ سِنِينَ ثُمَّ أَتَمَّ بِمِنًى
Maksudnya: “Daku pernah melaksanakan haji bersama Rasulullah SAW. baginda sentiasa menunaikan solat dua rakaat-dua rakaat (dalam permusafiran). Daku juga pernah bermusafir bersama Abu Bakr, beliau juga sentiasa menunaikan solat dua rakaat (secara qasar) sehinggalah pulang. Daku juga pernah bermusafir bersama ‘Umar dan beliau sentiasa menunaikan solat dua rakaat sehingga kembali pulang. Daku pernah bermusafir bersama ‘Uthman, beliau sentiasa solat dua rakaat pada enam tahun (yang awal pemerintahannya), setelah itu beliau menunaikan solat secara sempurna (empat rakaat) di Mina.” (HR al-Tirmizi dan beliau menilai hadis ini sebagai Hasan Sahih. Hadis yang semakna juga ada diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Ibn Mas‘ud dan Ibn ‘Umar RA)
al-Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’ 4/337:
قد ذَكَرْنا أنَّ مذهبَنا أن القصر والإتمام جائزانِ، وأنَّ القصر أفضلُ من الإتمام، وبهذا قال عثمانُ بن عفَّان، وسعد بن أبي وقَّاص، وعائشةُ، وآخَرون، وحكاه العبدريُّ عن هؤلاءِ، وعن ابن مسعودٍ، وابن عُمرَ، وابن عبَّاس، والحسن البصري، ومالكٍ، وأحمدَ، وأبي ثورٍ، وداود، وهو مذهبُ أكثرِ العلماء
maksudnya: “Telah kami sebutkan bahawa mazhab kami qasar dan itmam (solat secara sempurna empat rakaat) kedua-dua harus, dan qasar itu adalah terbaik (afdhal) berbanding itmam. Inilah pandangan yang dinyatakan oleh ‘Uthman bin ‘Affan, Sa‘ad bin Abi Waqqas, ‘Aisyah dan lainnya. Hal ini ada dihikayatkan oleh al-‘Abdari dari mereka semua, demikian juga pandangan yang sama diriwayatkan dari Ibn Mas‘ud, Ibn ‘Umar, Ibn ‘Abbas, al-Hasan al-Basri, Malik, Ahmad, Abu Thaur, Daud dan ia merupakan mazhab kebanyakan ulama.”
Namun, apabila seseorang musafir menunaikan solat berjemaah bersama imam muqim, maka hendaklah dia turut menunaikan solat secara tamam kerana mengikut Imam. Inilah pandangan keempat-empat Mazhab dan kebanyakan ulama. Bahkan terdapat nukilan yang mendakwa telah berlaku ijmak dalam permasalahan ini. Antara yang membuat dakwaan ijmak ini ialah al-Imam Ibn ‘Abd al-Barr di dalam al-Tamhid 16/315 yang berkata:
وقد أجمَعوا على أنَّ المسافر إذا أدرك ركعةً من صلاة المقيم لزِمَه الإتمامُ، بل قد قال أكثرهم: إنَّه إذا أحرم المسافرُ خلْفَ المقيم قَبل سلامه أنَّه تلزمه صلاةُ المقيم، وعليه الإتمام
Maksudnya: “Dan ulama telah ijmak bahawa seorang musafir apabila mendapati satu rakaat dengan solat seorang imam yang muqim, wajib orang yang musafir itu solat secara tamam. Bahkan kebanyakan ulama juga mengatakan: “Jika seseorang musafir bertakbiratul ihram di belakang imam muqim sebelum imam tersebut memberi salam, wajib ke atas seorang yang bermusafir itu menunaikan solat tersebut secara tamam.”
Demikian juga al-Imam al-Nawawi RH berkata:
ولأَنَّ العلماءَ أجمَعوا على أنَّ المسافر إذا اقتدَى بمقيمٍ لَزِمَه الإتمامُ
Maksudnya: “…dan kerana para ulama telah ijmak bahawa seorang musafir apabila mengikut solat imam muqim, wajib ke atasnya melakukan solat secara itmam.” (al-Majmu’ 4/341)
Ibn Hajar al-‘Asqalani RH di dalam Fath al-Bari 2/565 pula berkata:
احتجَّ الشافعيُّ على عدم الوجوب بأنَّ المسافر إذا دخل في صلاة المقيم صلَّى أربعًا باتِّفاقهم، ولو كان فرضُه القصرَ لم يأتمَّ مسافرٌ بمقيم
Maksudnya: “(al-Imam) al-Syafie berhujah tidak wajibnya (solat qasar ketika bermusafir) apabila seorang musafir yang mengikut solat imam Muqim, menunaikan solat tersebut empat rakaat (secara tamam) berdasarkan kesepakatan mereka (fuqaha). Sekiranya fardhu (wajib kepada orang yang bermusafir) qasar solat, tidak perlulah dia solat secara tamam ketika mengikut imam yang muqim.”
Antara dalil yang disebutkan oleh Jumhur Fuqaha ialah berdasarkan riwayat daripada Musa bin Salamah al-Huzali (مُوسى بنُ سلَمةَ الهُذليُّ) yang berkata:
كنَّا مع ابن عبَّاسٍ بمَكَّةَ، فقلتُ: إنَّا إذا كنَّا معكم صلَّيْنا أربعًا، وإذا رجَعْنا إلى رِحالنا صَلَّيْنا ركعتينِ، قال: تِلك سُنَّةُ أبي القاسِمِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم
Maksudnya: “Kami dahulu pernah bersama dengan Ibn ‘Abbas di Mekah. Daku pernah berkata kepada beliau: “Sesungguhnya kami ini apabila bersama dengan anda semua (jemaah solat bersama Ibn ‘Abbas), kami tunaikan solat empat rakaat (tanpa qasar). Apabila kami pulang ke kumpulan kami (tempat tinggal kami ketika dalam permusafiran), kami tunaikan solat dua rakaat (secara qasar).” Jawab Ibn ‘Abbas: “Demikian itulah sunnah Abu al-Qasim SAW.” (Diriwayatkan oleh Ahmad, bil: 1862. Isnadnya dinilai Sahih oleh Ahmad Syakir di dalam Tahkik al-Musnad 3/260 demikian juga al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil 571)
(Panduan hukum ini yang dijawab oleh Unit Buhuth Jabatan Mufti Negeri Perlis adalah bukan merupakan keputusan rasmi Fatwa Negeri Perlis)