IRSYAD HUKUM 16
Persoalan Tentang Solat Sunat Isyraq Dan Solat Sunat Dhuha
Soalan:
Assalamu‘alaikum warahmatullah Jabatan Mufti Perlis.
Jika kita melaksanakan empat rakaat solat sunat Isyraq adakah bermakna kita telah melaksanakan empat rakaat Dhuha? Kerana ada yang berpandangan solat Isyraq itu adalah solat Dhuha di awal waktu.
Jawapan:
Sememangnya terdapat sebahagian ulama yang berpandangan solat sunat Isyraq adalah solat sunat Dhuha yang ditunaikan di awal waktu. Justeru, berdasarkan pandangan ini, empat rakaat solat sunat Isyraq yang saudara tunaikan itu adalah juga solat sunat Dhuha. Inilah pandangan muktamad di kalangan ulama mazhab Syafie.
Huraian:
- Sabit larangan dari Nabi SAW dari menunaikan solat selepas Subuh. ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhani RA berkata:
ثَلَاثُ سَاعَاتٍ كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَنْهَانَا أَنْ نُصَلِّيَ فِيهِنَّ، أَوْ أَنْ نَقْبُرَ فِيهِنَّ مَوْتَانَا: حِينَ تَطْلُعُ الشَّمْسُ بَازِغَةً حَتَّى تَرْتَفِعَ، وَحِينَ يَقُومُ قَائِمُ الظَّهِيرَةِ حَتَّى تَمِيلَ الشَّمْسُ، وَحِينَ تَضَيَّفُ الشَّمْسُ لِلْغُرُوبِ حَتَّى تَغْرُبَ
Maksudnya: “Tiga waktu, yang dahulunya Rasulullah SAW melarang kami menunaikan solat atau menguburkan jenazah pada waktu itu; (iaitulah) ketika jelas terbit matahari sehingga naik meninggi, ketika matahari di tengah langit (matahari rembang) sehingga matahari tergelincir dan ketika matahari tenggelam sehingga hilang di dalam ufuq.” (Riwayat Muslim)
- Sabit anjuran dari Nabi SAW untuk kekal berada di masjid sehingga matahari naik meninggi untuk menunaikan solat sunat dua rakaat. Anas bin Malik RA meriwayatkan, Nabi SAW bersabda:
مَنْ صَلَّى الغَدَاةَ فِي جَمَاعَةٍ ثُمَّ قَعَدَ يَذْكُرُ اللَّهَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ كَانَتْ لَهُ كَأَجْرِ حَجَّةٍ وَعُمْرَةٍ تَامَّةٍ تَامَّةٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang menunaikan solat al-Ghadah (solat Subuh) berjemaah, setelah itu dia kekal duduk berzikir kepada Allah sehingga terbit matahari, setelah itu dia menunaikan solat dua rakaat. Maka untuknya pahala seperti menunaikan haji dan umrah yang sempurna yang sempurna.” (Riwayat al-Tirmizi dan beliau berkata: “Hadis Hasan.”)
Hadis ini menunjukkan ada galakan menunaikan solat sunat sebaik sahaja tamat waktu larangan. Kelebihan bagi yang melaksanakannya adalah seperti menunaikan haji dan umrah yang sempurna.
Waktu matahari naik meninggi yang disebut di dalam hadis memaksudkan waktu matahari naik meninggi pada kadar rumh menurut penglihatan mata. al-Mubarakfuri di dalam Tuhfah al-Ahwazi menukilkan perkataan al-Tibi yang berkata:
أي ثم صلى بعد أن ترتفع الشمس قدر رمح حتى يخرج وقت الكراهة، وهذه الصلاة تسمى صلاة الإشراق، وهي أول صلاة الضحى
Maksudnya: "iaitulah; kemudian dia menunaikan solat selepas matahari meninggi kadar rumh (kadar tinggi satu galah) sehingga keluar waktu makruh (solat). Solat ini dinamakan solat al-Isyraq dan ianya seawal-awal (waktu) solat Dhuha." (Mir‘ah al-Mafatih)
Rumh yang diterjemahkan sebagai satu galah adalah merujuk kepada panjang sebilah lembing. Qadr Rumh dalam bahasa ‘Arab ialah kadar lembing-lembing orang Arab. Tingginya 12 jengkal lelaki sederhana tinggi. Dalam sebahagian hadis disebut waktu tegahan menunaikan solat itu sehingga hilang warna kemerahan matahari.[1] Di dalam Hasyiah al-Bujairami dinyatakan: “Qadr Rumh iaitulah lebih kurang tujuh hasta pada pandangan mata.”[2]
Berdasarkan ukuran semasa, Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan panjang rumh adalah 2.50M atau lebih kurang tujuh hasta pada pandangan mata. Manakala ulama mazhab Maliki pula berpandangan 12 jengkal.[3] Pada halaman lain[4] beliau berkata: “Sehingga matahari meninggi pada kadar rumh, iaitulah setelah terbitnya 1/3 jam (20 minit).”
Ukuran 20 minit yang disebut oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili ini kerana mengambil langkah berhati-hati bagi mencapai tahap yakin telah masuk waktu dibenarkan solat.
Di dalam Hasyiah al-Jamal[5] dinyatakan:
قَوْلُهُ: كَرُمْحٍ: أَيْ قَدْرُهُ وَهُوَ سَبْعَةُ أَذْرُعٍ بِذِرَاعِ الْآدَمِيِّ اهـ بِرْمَاوِيٌّ وَتَرْتَفِعُ قَدْرُهُ فِي أَرْبَعِ دَرَجَاتٍ
Maksudnya: “Perkataan penulis (al-Syeikh Zakarian al-Ansori): “seperti rumh” beliau maksudkan kadar rumh, iaitulah tujuh hasta manusia.” - tamat nukilan dari Hasyiah al-Birmawi -, dan matahari meninggi pada kadar empat darjah.”
Empat darjah bersamaan dengan 16 minit berdasarkan pengiraan berikut:
- Pergerakan matahari sehari semalam = 360⁰.
- Jumlah jam sehari semalam = 24 jam / 1440 minit
- 1440 minit ÷ 360⁰ = 4 minit
Kata peneliti kitab al-Tashil[6]:
الذي سمعته من الأشياخ أنها قدرت بأربع درجات وكل درجة بأربع دقائق فيكون الزمن 16 دقيقة بعد طلوع الشمس
Maksudnya: “Apa yang aku dengar dari para syeikh, bahawa matahari naik meninggi pada kadar empat darjah dan setiap darjah bersamaan dengan empat minit, maka waktunyanya adalah 16 minit selepas terbit matahari.”
- Para ulama berbeza pendapat, dalam kalangan mereka ada yang menyatakan solat sunat Isyraq itu sama dengan solat sunat Dhuha. Di dalam al-Mausu‘ah al-Kuwaitiyyah dinyatakan:
الضُّحى: وأقَلُّها رَكْعَتانِ، وأكْثَرُها اثْنَتا عَشْرَةَ رَكْعَةً، ويُسَلِّمُ مِن كُل رَكْعَتَيْنِ. قال القَلْيُوبِيُّ تَعْلِيقًا عَلى قَوْلِهِ: (الضُّحى) هِيَ صَلاَةُ الأْوّابِينَ وصَلاَةُ الإْشْراقِ عَلى المُعْتَمَدِ عِنْدَ شَيْخِنا الرَّمْلِيِّ وشَيْخِنا الزِّيادِيِّ، وقِيل: كَما فِي الإْحْياءِ: إنَّها (أيْ صَلاَةُ الإْشْراقِ) صَلاَةُ رَكْعَتَيْنِ عِنْدَ ارْتِفاعِ الشَّمْسِ
Maksudnya: “Solat sunat Dhuha, minimumnya dua rakaat, maksimumnya 12 rakaat dilakukan dengan cara memberi salam pada setiap dua rakaat. Kata al-Qalyubi ketika memberi komentar berkaitan solat Dhuha, ianya adalah solat al-Awwabin dan solat al-Isyraq berdasarkan padangan mu’tamad di sisi syeikh kami al-Ramli dan al-Ziyadi. Dikatakan juga seperti yang terdapat di dalam al-Ihya’, solat Isyraq adalah solat dua rakaat ketika matahari naik meninggi (berbeza dengan solat sunat Dhuha).”[7]
_______________________
[1] Lihat Syarh al-Zarqani ‘Ala Mukhtasar Khalil, jilid 1/269, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut Lebanon
[2] Lihat Tuhfah al-Habib ‘Ala Syarh al-Khatib 2/118, Dar al-Fikr, Beirut Lebonan, cetakan
[3] Lihat Nota kaki al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh 1/519
[4] Ibid 1/594
[5] Hasyiah al-Jamal ‘Ala Syarh al-Manhaj (1/284)
[6] Tashil al-Masalik Ila Hidayah al-Salik Ila Mazhab al-Imam Malik 2/245 oleh al-Syeikh Mubarak bin ‘Ali bin Hamd al-Ahsa-ie al-Maliki (1230H) Tahkik oleh Dr. ‘Abd al-Hamid bin Mubarak Ali al-Syeikh Mubarak
[7] 27/132
(Panduan hukum ini yang dijawab oleh Unit Buhuth Jabatan Mufti Negeri Perlis adalah bukan merupakan keputusan rasmi Fatwa Negeri Perlis)