• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Hukum Permasalahan Solat Bagi Wanita Yang Suci Dari Haid

IRSYAD HUKUM SIRI 15

Hukum Permasalahan Solat Bagi Wanita Yang Suci Dari Haid

Soalan: Saya telah selesai mandi wajib kerana bersih dari darah haid pada pkul 7.25 Petang, akan tetapi waktu maghrib masuk pada pkul 7.30 malam, dan baki hanya tinggal 5 minit sahaja untuk saya tunaikan solat asar, persoalan saya adakah perlu untuk saya menunaikan solat asar walaupun baki hanya 5 minit masuk waktu  maghrib atau hanya menunggu masuknya solat maghrib dan menggantikan solat asar selepas itu?

Jawapan:

Dalam masalah ini, sekiranya saudari sudah bersuci dari darah haid ketika  waktu asar hampir habis lebih kurang 5minit sahaja, maka saudari hendaklah terus menunaikan solat asar berkenaan, dan andaikata ketika saudari sedang menunaikan solat asar tersebut dan sempat mendapat 1 rakaat, tiba-tiba kedengaran suara azan maghrib, maka saudari teruskan sahaja sehingga sempurna empat rakaat walaupun tiga rakaat lagi dikerjakan dalam waktu maghrib.

Hal ini kerana, terdapat satu hadis dari Abu Hurairah RA Rasulullah SAW bersabda,

مَنْ أَدْرَكَ رَكْعَةً مِنَ الصَّلاَةِ فَقَدْ أَدْرَكَ الصَّلاَةَ

“Sesiapa yang sempat mendapat satu rakaat solat (dalam waktu) maka ia telah menunaikan solat tersebit secara tunai. (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Maka, dalam isu ini fuqaha’ sepakat mengatakan bahawa saudari hendaklah menunaikan solat asar tersebut walaupun tempoh hanya berbaki 5 minit. Hal ini kerana, jika saudari sempat mendapatkan satu rakaat sebelum azan maghrib maka solat asar yang dilaksanakan oleh saudari itu telah dikira tunai, bukan qada’ kerana saudari dapat melakukan satu rakaat dalam waktu asar tersebut.

Oleh itu, penulis berpandangan sesiapa yang suci dari haid dan masih ada waktu solat yang berbaki, wajib melaksanakannya dan tidak menangguhkannya sehingga luput waktu. Allahu’alam.

Soalan: Assalamualaikum, saya ingin bertanya kondisi saya yang telah suci dari darah haid, selepas masuknya waktu asar. Dan saya pernah mendengar kuliah dari seorang ustazah, bagi wanita yang telah bersih dari darah haid pada waktu asar, maka dia juga perlu menqada’ solat zohor. Soalan saya, adakah perlu untuk saya menjama’kan kedua waktu solat zohor dan asar atau cukup sekadar saya solat asar sahaja?

Jawapan:

Wassalam wrm wbt,

Pada hukum asal, wanita yang kedatangan haid tidak wajib melaksanakan solat. Ini kerana haid adalah perkara yang mani` (penghalang) bagi kewajiban solat. Dalilnya adalah hadis Fatimah bin Abu Hubaisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَإِذَا أَقْبَلَتْ حَيْضَةُ  فاترُكي الصَّلاَةَ، فإِذَا ذَهَبَ قدرها فَاغْسِلِى عَنْكِ الدَّمَ وَصَلِّى

Maksudnya: “Ketika kedatangan haid, hendaklah kamu tinggalkan solat. Maka apabila tempohnya sudah berlalu hendaklah kamu mandi membersihkan diri daripada darah, dan dirikanlah solat. (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Akan tetapi, terdapat khilaf dikalangan para ulama’ adakah perlu menqadha'  (menggantikan) solat waktu pertama (zohor/maghrib) jika dia telah suci dari darah haid pada waktu yang kedua (asar/isyak). Berikut adalah pandangan mazhab yang 4:

1.Mazhab Hanafi

Mazhab Hanafi tidak menyebutkan secara jelas samada harus mengqadha’kan solat zohor dan solat maghrib jika terlewat atau tidak, akan tetapi mazhab ini hanya menyebutkan keumuman tidak wajib mengqadha’kan solat yang ia tinggalkan sepanjang tempoh haid.

As-Sarakhsi (w. 483 H) salah seorang ulama mazhab Hanafi di dalam kitabnya Al-Mabsuth menuliskan seperti berikut :

فَإِذَا طَهُرَتْ قَضَتْ أَيَّامَ الصَّوْمِ وَلَا تَقْضِي الصَّلَاةَ

Jika seseorang (wanita haid) telah suci, maka wajib baginya menggantikan puasa (puasa wajib) dan tidak ada kewajiban ke atasnya menggantikan solat. [As-Sarakhsi, Al-Mabsuth, jilid 3 hal 81.]

Pandangan ini juga disokong oleh Sufyan At-tsauri dan Hasan Al-Basri.

2.Mazhab Maliki

Para ulama mazhab Maliki sepakat bahawa jika seorang perempuan suci pada waktu petang, iaitu di akhir waktu zohor menjelang waktu asar. Jika masih ada waktu yang cukup untuk mengerjakan kira-kira 5 rakaat, maka wajib baginya mengerjakan solat zohor, dan kemudian melaksanakan solat asar setelah masuk waktunya.

Akan tetapi jika waktu yang berbaki pada petang itu hanya cukup untuk mengerjakan kira-kira 4 rakaat atau kurang dari itu, maka baginya hanya wajib mengerjakan solat asar tanpa mengerjakan solat zohor karena waktunya dianggap sudah berlalu.

Ibnul Jallab (w. 378 H) salah seorang ulama mazhab Maliki dalam kitab At- Tafri’ fi Fiqhil Imam Malik bin Anas menuliskan sebagai berikut :

وليس على الحائض قضاء ما فات و فكذلك أيضًا، وذلك إذا تطهرت من حيضتها، وقد بقي عليها من النهار قدر خمس ركعات، فيجب عليها أن تصلي الظهر والعصر لإدراكها آخر وقتها. وإن كان الذي بقي علقته من الصلوات، وعليها أن تصلي ما أدركت وقته من الصلوات. فإن أدركت أول الوقت وجب عليها الأداء، وإن أدركت آخرهيها من النهار قدر أربع ركعات أو ما دونهن إلى ركعة واحدة، صلت العصر لإدراكها آخر وقتها، وسقط الظهر عنها لفوات وقتها.

Tidak ada kewajiban bagi seorang wanita yang haid mengqadha’kan solat yang terlewat, akan tetapi kewajibannya hanya melaksanakan solat pada waktunya. sekiranya dia suci di awal waktu solat, maka wajib baginya mengerjakan solat itu, begitu juga jika dia suci di akhir waktu solat.

Manakala, jika Wanita itu suci di siang hari (akhir waktu zohor), dan masih ada waktu solat kira-kira 5 rakaat, maka wajib baginya solat zohor dan solat asar kerana dia masih mempunyai tempoh waktu dalam waktu solat (zohor). Dan jika waktu yang berbaki di siang hari itu hanya cukup untuk mengerjakan solat 4 rakaat atau kurang, maka dia hanya wajib solat asar kerana berada diakhir waktu zohor (menjelang asar) dan gugur kewajiban solat zohor kerana waktunya sudah berlalu. [Ibnul Jallab, At- Tafri’ fi Fiqhil Imam Malik bin Anas, jilid 1 hal 111]

3. Mazhab Syafie

Ulama dari mazhab Syafie mengatakan, jika seorang wanita yang suci dari haid dan masih ada waktu (secara mutlak) maka wajib baginya menggantikan solat zohor dan melaksanakan solat asar.

Imam Al-Haramain (w. 478 H) salah seorang ulama dalam mazhab Syafie di dalam kitabnya Nihayatul Mathlab fi Diraayatil Mazhab menuliskan sebagai berikut :

ثم يتفق انقطاعُ الحيض في آخر النهار، فيجب قضاءُ الظهر مع العصر

ulama mazhab Syafie sepakat jika darah haid berhenti di akhir siang, maka wajib baginya qadha’ solat zohor dan Asar. [Imam Al-Haramain, Nihayatul Mathlab fi Diraayatil Mazhab, jilid 1 hal 39].

Begitu juga, menurut Imam Nawawi (w. 676 H) menyebutkan:

وإن كان ذلك (الطهر) في وقت العصر أو في وقت العشاء، قال في الجديد: يلزمه الظهر بما يلزم به العصر ويلزم المغرب بما يلزم به العشاء. (المجموع شرح المهذب 3/ 64(

Jika dia suci pada waktu asar dan waktu isyak, maka imam syafie dalam qaul jadid: mewajibkan wanita untuk menqadha’kan solat zohor dan asar atau menqadha’kan solat maghrib dan solat isyak.

Ini kerana waktu Asar adalah waktu uzur bagi solat Zohor dan waktu Isyak adalah waktu uzur bagi solat Maghrib. Waktu uzur di sini boleh diertikan sebagai ‘waktu kecemasan’ iaitu waktu yang dibenarkan penangguhan solat fardhu ke waktu solat fardhu yang lain disebabkan suatu keuzuran dan kepayahan seperti musafir. 

Dalam konteks haid, wajib bagi wanita itu qadha’ waktu pertama bukan hanya kerana ianya bersifat afdhal (lebih baik) tetapi wajib kerana waktu kedua adalah waktu uzur bagi solat pertama.

Buktinya seperti kata Imam al-Syirazi Rahimahullah dalam kitab al-Muhazzab: “Dalilnya ialah bahawa waktu Asar bersama waktu Zohor, dan waktu Isyak bersama waktu Maghrib adalah hak orang yang uzur yakni musafir. Maka, mereka yang berada dalam kategori uzur (seperti wanita berhaid apabila suci, orang gila apabila sedar dan lain-lain), waktu kedua itu adalah waktu solat pertama di sisi mereka.”

4. Mazhab Hambali

Dalam permasalahan ini, ulama mazhab Hambali dengan jelas mengatakan kewajiban bagi seorang wanita menggantikan solat zohor dan maghrib dan melaksanakan solat asar dan isya’ walaupun waktu yang berbaki dari waktu solat tersebut hanya sebentar.

Berkata Ibnu Qudamah (w. 620 H) ulama dari kalangan mazhab Hambali di dalam kitabnya Al-Mughni menuliskan sebagai berikut :

ولنا ما روى الأثرم، وابن المنذر، وغيرهما، بإسنادهم عن عبد الرحمن بن عوف، وعبد الله بن عباس، أنهما قالا في الحائض تطهر قبل طلوع الفجر بركعة تصلي المغرب والعشاء، فإذا طهرت قبل أن تغرب الشمس، صلت الظهر والعصر جميعا

Dalam mazhab kami (Hanbali), seperti apa yang diriwayatkan Al-Atsram, dan ibnu mundzir, dari yang lainnya dengan sanad dari Abdurrahman bin 'Auf, dan Abdullah ibnu Abbas, dalam masalah haid. Jika ia bersuci sebelum terbit fajar (akhir waktu isya) masih ada waktu satu rakaat: maka hendaklah dia menunaikan solat maghrib dan isya’, maka apabila wanita itu suci sebelum terbenamnya matahari (akhir waktu asar), maka hendaklah dia  menjama'kan solat zohor dan Asar. [Ibnu Qudamah, Al-Mughni, jilid 1 hal 287].

Oleh itu, daripada huraian para ulama dari empat mazhab di atas, maka dapat difahami bahawa para ulama dari mazhab Syafie dan Hambali berpendapat  kewajiban mengqadha’kan solat zohor bagi wanita yang suci di waktu asar. Begitu juga, wajib mengqadha'kan solat maghrib jika dia suci pada waktu isya'.

Walaupun demikian, mazhab Hanafi tidak mewajibkan mengqada’kan solat yang berlalu. Manakala, mazhab Maliki mensyaratkan sekiranya ada waktu yang cukup di akhir waktu solat untuk melaksanakan solat, maka hendaklah segera menunaikannya selepas suci dari haid.

Oleh itu, penulis cenderung memilih pandangan tidak mengapa sekiranya wanita yang telah suci dari haid hanya menunaikan solat pada waktu semasa ketika ia telah suci sahaja, hal ini berdasarkan dalil hadis Aisyah RA:

كَانَ يُصِيبُنَا ذَلِكَ، فَنُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّوْمِ، وَلَا نُؤْمَرُ بِقَضَاءِ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Perkara itu (haid) adalah (ketetapan) yang ditimpakan ke atas kita (kaum wanita). Maka kita diarahkan untuk menggantikan puasa (kerana haid) dan tidak diperintahkan untuk menggantikan solat (fardu yang ditinggalkan pada waktu haid). (Riwayat Muslim)

Akan tetapi bagi mereka yang mengambil jalan untuk berhati-hati dengan mengqadha’ (menggantikan) solat pertama iaitu solat zohor atau maghrib jika telah suci haid pada waktu kedua iaitu solat asar atau isyak. Maka, ianya juga tidak menjadi halangan kerana terdapat dalil yang membenarkannya menurut mazhab Syafie dan Hambali. Allahu’alam.

(Panduan hukum ini yang dijawab oleh Unit Buhuth Jabatan Mufti Negeri Perlis adalah bukan merupakan keputusan rasmi Fatwa Negeri Perlis)

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 460
Semalam 1090
Minggu Ini 1550
Bulan Ini 19446

Keseluruhan 3091739

   Masa Capaian : 0.86 saat    Kemaskini :  09/12/2024