• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Hukum Solat Sunat Subuh Di Masjid Tanpa Menunaikan Solat Tahiyyatul Masjid Secara Berasingan

IRSYAD HUKUM SIRI 9

Hukum Solat Sunat Subuh Di Masjid Tanpa Menunaikan Solat Tahiyyatul Masjid Secara Berasingan

 

Soalan:

Apabila seseorang itu hadir ke masjid pada waktu Subuh adakah perlu untuk solat Tahiyyatul Masjid dan solat sunat Subuh atau memadai solat sunat Subuh sahaja?

Jawapan :

  1. Solat sunat Tahiyyatul Masjid ialah solat sunat yang dilakukan ketika mana seseorang itu masuk ke masjid. Daripada Abu Qatadah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda :

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يَجْلِسَ

Ertinya : “Jika salah seorang daripada kalian masuk ke dalam masjid maka solatlah sebanyak dua rakaat sebelum dia duduk.”  (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

  1. Imam Al-Nawawi rahimahullah (W.676H) menyebutkan bahawa para ulama telah bersepakat bahawa solat sunat Tahiyyatul Masjid adalah sunnah dan jika tiada keuzuran maka makruh hukumnya untuk duduk sebelum dilakukan solat dua rakaat. (al-Nawawi, Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, Jeddah: Maktabah al-Irshad, jil.3, ms.543)

Justeru, dapatlah difahami bahawa solat sunat Tahiyyatul Masjid adalah solat sunat yang dituntut sebelum daripada seseorang itu duduk di dalam masjid.

  1. Berkenaan dengan solat Tahiyyatul Masjid ini, ia merupakan suatu ibadat yang disebut oleh para ulama sebagai ibadah ghayr al-maqsudah bi dzatiha (عبادة غير مقصودة بذاتها) iaitu ibadat yang tidak dikhususkan oleh syara’ pelaksanaannya secara bersendirian dan ianya boleh digabungkan bersama dengan ibadah lain yang berbentuk khusus. Contohnya seseorang yang berpuasa sunat hari Asyura’ dan kebetulan ia jatuh pada hari Isnin, maka dia turut sama mendapat pahala puasa pada hari Isnin kerana puasa hari Isnin itu termasuk dalam jenis puasa yang boleh digabungkan dengan puasa yang khusus seperti puasa pada hari Asyura’.

Begitu juga solat Tahiyyatul Masjid adalah termasuk dalam jenis solat yang boleh digabungkan bersama-sama dengan solat khusus yang lain seperti solat-solat fardhu dan solat sunat Subuh. Dalam al-Mawsu‘ah al-Fiqhiyyah disebutkan:

إِنْ أَشْرَكَ عِبَادَتَيْنِ فِي النِّيَّةِ، فَإِنْ كَانَ مَبْنَاهُمَا عَلَى التَّدَاخُل، كَغُسْلَيِ الْجُمُعَةِ وَالْجَنَابَةِ، أَوِ الْجَنَابَةِ وَالْحَيْضِ، أَوْ غُسْل الْجُمُعَةِ وَالْعِيدِ، أَوْ كَانَتْ إِحْدَاهُمَا غَيْرَ مَقْصُودَةٍ، كَتَحِيَّةِ الْمَسْجِدِ مَعَ فَرْضٍ أَوْ سُنَّةٍ أُخْرَى، فَلاَ يَقْدَحُ ذَلِكَ فِي الْعِبَادَةِ، لأِنَّ مَبْنَى الطَّهَارَةِ عَلَى التَّدَاخُل، وَالتَّحِيَّةُ وَأَمْثَالُهَا غَيْرُ مَقْصُودَةٍ بِذَاتِهَا، بَل الْمَقْصُودُ شَغْل الْمَكَانِ بِالصَّلاَةِ، فَيَنْدَرِجُ فِي غَيْرِهِ

Ertinya: “Jika seseorang itu menggabungkan dua ibadah pada niat, maka jika sifat keduanya itu adalah boleh digabungkan seperti mandi sunat jumaat bersama mandi junub, atau mandi junub bersama dengan mandi setelah keringnya haid, ataupun mandi sunat jumaat bersama dengan mandi sunat hari raya; mahupun pada masa yang sama salah satu antara dua ibadah itu adalah ibadah yang tidak dikhususkan seperti solat sunat Tahiyyatul Masjid bergabung bersama dengan solat fardhu ataupun bergabung dengan solat sunat yang lain, maka kesemua ini tidak mencacatkan ibadah kerana makna bersuci itu adalah ia boleh bergabung antara satu sama lain, dan Tahiyyatul Masjid serta seumpamanya itu tidaklah dimaksudkan dengan pengkhususan solat tersebut, bahkan yang dimaksudkan ialah menghidupkan tempat dengan menunaikan solat, maka ia juga boleh digabungkan (dengan solat) selainnya.” (al-Mawsu‘ah al-Fiqhiyyah, Kuwait: Wizarah al-Awqaf Wa al-Syu’un al-Islamiyyah, jld.12, ms.24).

  1. Berkenaan dengan solat sunat dua rakaat sebelum subuh, ia merupakan solat sunat yang amat diambil berat oleh Baginda Nabi SAW. Perkara ini jelas berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a :

لَمْ يَكُنِ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى شَىْءٍ مِنَ النَّوَافِلِ أَشَدَّ مِنْهُ تَعَاهُدًا عَلَى رَكْعَتَىِ الْفَجْرِ

Ertinya: “Nabi SAW sangat mengambil berat dan menjaga dua rakaat Solat Sunat Subuh, lebih daripada solat sunat yang  lain.” (Riwayat al-Bukhari & Muslim)

  1. Persoalannya, jika seseorang itu masuk ke dalam masjid setelah azan Subuh berkumandang apakah perlu untuk dia menunaikan solat sunat Tahiyyatul Masjid dan diikuti oleh solat sunat Subuh atau memadai dengan melaksanakan solat sunat Subuh 2 rakaat?. Daripada apa yang kita bincangkan sebelum ini dapatlah difahami bahawa jika seseorang itu menunaikan solat sunat Subuh maka telah memadai untuk memperolehi pahala Tahiyyatul Masjid kerana dia telah memuliakan masjid dengan tidak duduk melainkan setelah melaksanakan ibadah solat.
  1. Malah dengan hanya melaksanakan solat sunat dua rakaat sebelum Subuh itu adalah lebih bertepatan dengan perbuatan Rasulullah SAW. Daripada Hafsah r.a kata beliau:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ ‏‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏إِذَا طَلَعَ الْفَجْرُ لَا ‏‏يُصَلِّي إِلَّا رَكْعَتَيْنِ خَفِيفَتَيْ

Ertinya: Adalah Rasulallah SAW apabila terbitnya fajar tidaklah Baginda solat melainkan dua rakaat yang ringan (solat sunat Subuh). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

  1. Ibrahim al-Nakha‘i rahimahullah (W.96H ) telah berkata:

كَانُوا يَكْرَهُونَ إذَا طَلَعَ الْفَجْرُ أَنْ يُصَلُّوا إلَّا رَكْعَتَيْنِ

Ertinya: Mereka para sahabat tidak menyukai apabila telah terbitnya fajar untuk solat melainkan dua rakaat (sebelum Subuh). (Riwayat Ibn Abi Shaybah dalam Sunan beliau)

  1. Daripada hadis dan athar sahabat yang telah disebutkan dapatlah difahami bahawa daripada petunjuk Rasulallah SAW dan perbuatan para sahabat, mereka tidak solat selepas masuknya waktu Subuh melainkan dua rakaat sunat Subuh sahaja.
  1. Bagi yang ingin melaksanakan solat selain daripada dua rakaat sebelum Subuh seperti solat Tahiyyatul Masjid maka tidak menjadi suatu kesalahan kerana tiada sebarang larangan khusus dalam hal tersebut. Namun yang terbaiknya adalah dengan melaksanakan solat sunat Subuh sahaja.
  1. Imam al-Nawawi rahimahullah (W.676H) telah berkata dalam hal ini:

لَا تَدْخُل الْكَرَاهَة حَتَّى يُصَلِّي فَرِيضَة الصُّبْح, وَهَذَا هُوَ الصَّحِيح عِنْد أَصْحَابنَا, وَلَيْسَ فِي هَذَا الْحَدِيث دَلِيل ظَاهِر عَلَى الْكَرَاهَة إِنَّمَا فِيهِ الْإِخْبَار بِأَنَّهُ كَانَ صَلَّى اللَّه عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يُصَلِّي غَيْر رَكْعَتَيْ السُّنَّة وَلَمْ يَنْهَ عَنْ غَيْرهَا

Ertinya: “Tidaklah menjadi sesuatu yang makruh (iaitu solat selain dua rakaat sunat Subuh) sehinggalah ditunaikan solat fardhu Subuh. Inilah yang sahih di sisi ashab kita (ulama al-Shafi‘iyyah). Tiada dalam hadis sebarang dalil yang jelas tentang kemakruhan tetapi padanya khabar bahawa Rasulullah SAW tidak solat melainkan dua rakaat sunat Subuh dan tidak pula melarang selainnya.”  (al-Nawawi, al-Minhaj Sharh Sahih Muslim, Kaherah: al-Matba‘ah al-Masriyyah, jil.6, ms.3)

  1. Imam Ibn Taimiyyah rahimahullah (W.728H) pula menjelaskan:

فَإِذَا قِيلَ: لَا سُنَّةَ بَعْدَ طُلُوعِ الْفَجْرِ إلَّا رَكْعَتَانِ فَهَذَا صَحِيحٌ وَأَمَّا النَّهْيُ الْعَامُّ فَلَا

Ertinya: “Maka apabila disebutkan: Tiada solat sunat selepas terbitnya fajar melainkan dua, maka ia adalah benar, manakala melarang secara umum (dalam melaksanakan solat selainnya) maka ianya tiada sama sekali.” (Ibn Taymiyyah, Majmu‘ al-Fatawa, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, jil.14, ms.96)

  1. Daripada huraian kedua tokoh ini dapatlah difahami bahawa tiada juga larangan untuk melaksanakan selain daripada solat dua rakaat sunat Subuh. Oleh itu, jika seseorang menunaikan solat Tahiyyatul Masjid dan diikuti pula solat sunat Subuh maka ia bukanlah suatu kesalahan. Namun bagi sesiapa yang telah menunaikan solat sunat Subuh di rumah dan datang ke masjid untuk solat fardhu Subuh secara berjemaah maka janganlah dia duduk melainkan solat dahulu sunat Tahiyyatul Masjid.
  1. Kesimpulannya, bagi sesiapa yang hadir ke masjid untuk solat fardhu Subuh secara berjemaah maka memadai untuk dia menunaikan solat dua rakaat sebelum Subuh dan pada masa yang sama ia turut dikira sebagai sunat Tahiyyatul Masjid. Perbuatan ini juga lebih menghampiri sunnah Baginda SAW. Namun bagi yang ingin melaksanakan sunat Tahiyyatul Masjid dan juga solat sunat Subuh secara berasingan juga tidak menjadi kesalahan kerana tiada larangan secara umumnya dalam hal tersebut. Wallahu a‘lam.

(Panduan hukum ini yang dijawab oleh Unit Buhuth Jabatan Mufti Negeri Perlis adalah bukan merupakan keputusan rasmi Fatwa Negeri Perlis)

 

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 448
Semalam 1090
Minggu Ini 1538
Bulan Ini 19434

Keseluruhan 3091727

   Masa Capaian : 0.87 saat    Kemaskini :  09/12/2024