IRSYAD HUKUM SIRI 6
HUKUM TIDAK MAHU MENGAMBIL VAKSIN COVID-19
Soalan : Apakah hukum saya tidak mahu mengambil vaksin Covid-19 ?
Jawapan :
الحمد لله وحدة والصلاة والسلام على من لا نبي بعده، أما بعد
- Tujuan sebenar pengambilan vaksin COVID-19 ialah untuk mencegah penularan penyakit tersebut. Selain itu, pengambilan vaksin ini juga telah disarankan oleh pakar-pakar kesihatan yang mengetahui dan memahami berkaitan bahaya dan cara pencegahan penyakit ini.
- Hukum asal mengubati penyakit ialah tidak wajib dan ia merupakan pilihan individu tersebut sama ada dia ingin berubat atau tidak. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitabnya Sahih Bukhari :
قَالَ عَطَاءُ بْنُ أَبِي رَبَاحٍ: قَالَ لِي ابْنُ عَبَّاسٍ: أَلاَ أُرِيكَ امْرَأَةً مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ؟ قُلْتُ: بَلَى، قَالَ: هَذِهِ المَرْأَةُ السَّوْدَاءُ، أَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: إِنِّي أُصْرَعُ، وَإِنِّي أَتَكَشَّفُ، فَادْعُ اللَّهَ لِي، قَالَ: «إِنْ شِئْتِ صَبَرْتِ وَلَكِ الجَنَّةُ، وَإِنْ شِئْتِ دَعَوْتُ اللَّهَ أَنْ يُعَافِيَكِ» فَقَالَتْ: أَصْبِرُ، فَقَالَتْ: إِنِّي أَتَكَشَّفُ، فَادْعُ اللَّهَ لِي أَنْ لاَ أَتَكَشَّفَ، فَدَعَا لَهَا
Maksudnmya : Atha’ bin Abi Rabah berkata: Ibn Abbas r.a. telah berkata kepadaku: “Adakah kamu mahu sekiranya aku tunjukkan kepadamu seorang wanita yang menjadi penghuni syurga?” Atha’ menjawab: “Sudah tentu aku ingin”. Ibn Abbas lalu berkata: “Wanita kulit hitam itu telah datang kepada Nabi SAW dan berkata: “Sesungguhnya aku sering kerasukan dan (ketika aku dirasuk), auratku sering terdedah. Doakanlah kepada Allah agar aku sembuh. Nabi SAW bersabda: Sekiranya kamu mahu, kamu bersabarlah dan kamu akan mendapat syurga. Dan jika kamu mahu, aku akan berdoa kepada Allah agar Dia menyembuhkanmu. Lalu wanita itu berkata: Aku (pilih untuk) bersabar. Wanita itu berkata lagi: Sesungguhnya auratku sering terbuka (ketika aku dirasuk), maka berdoalah kepada Allah agar auratku tidak terdedah. Maka Nabi berdoa untuknya”. (Riwayat al-Bukhari)
- Kesimpulannya melalui hadith ini, para fuqaha’ telah mengeluarkan pendapat bahawa hukum asal bagi mereka yang sakit ialah tidak wajib berubat.
- Namun apabila sesuatu penyakit itu merupakan penyakit berjangkit yang boleh tersebar kepada orang lain, dan apabila mereka yang terkena penyakit tidak mahu berubat. Maka ia berpotensi menyebabkan penyakit itu terus tersebar kepada orang lain sekaligus membahayakan nyawa. Maka hukumnya wajib seseorang itu berubat dan mengambil langkah pencegahan untuk tidak menyebarkan penyakit tersebut. Hal ini kerana ia telah melibatkan nyawa orang lain. Tambahan pula, perkara ini selaras dengan apa yang telah disebut dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW di dalam sebuah hadith berkaitan cara mendepani sesuatu wabak iaitu :
إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلاَ تَدْخُلُوهَا، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلاَ تَخْرُجُوا مِنْهَا
Maksudnya : Apabila kamu mendengar bahawa taun menimpa sesuatu tempat maka janganlah kamu masuk ke dalam kawasan tersebut. Dan apabila kamu berada di dalam kawasan yang terdapat padanya taun, janganlah kamu keluar daripadanya. (Riwayat Al-Bukhari)
- Selain itu juga, Rasulullah SAW juga mengarahkan untuk menjaga diri dari penyakit yang berjangkit seperti sabdanya :
وَفِرَّ مِنَ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنَ الأَسَدِ
Maksudnya : Dan larilah kamu dari pesakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri dari singa. (Riwayat Al-Bukhari)
- Hukum mengambil vaksin COVID-19 sepertimana yang telah diputuskan oleh Muzakarah Khas Jawatankuasa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-10 yang telah bersidang pada 3 Disember 2020 dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada 22 Februari 2021 bahawa hukumnya harus dan wajib diambil.
- Pengambilan vaksin COVID-19 ini adalah merupakan satu arahan daripada pihak kerajaan dan merupakan sebahagian dari usaha pihak kerajaan untuk menghentikan penularan wabak penyakit berjangkit itu dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, sebagai rakyat kita seharusnya mentaati arahan pihak kerajaan sekiranya ia berrkait dengan kebaikan dan bertepatan dengan suruhan agama. Allah SWT berfirman dalam surah al-Nisa’ ayat 59 :
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ أَطِيعُوا۟ ٱللَّهَ وَأَطِيعُوا۟ ٱلرَّسُولَ وَأُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنكُمْ ۖ فَإِن تَنَٰزَعْتُمْ فِى شَىْءٍۢ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْءَاخِرِ ۚ ذَٰلِكَ خَيْرٌۭ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلًا
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”
- Berdasarkan ayat ini, jelas menunjukkan kepada kita bahawa mentaati pemerintah pada perkara yang bertepatan dengan syarak ialah wajib. Progam pengambilan vaksin COVID-19 yang dilakukan oleh kerajaan ini juga jelas menunjukkan bagaimana pihak kerajaan telah meletakkan keutamaan dalam menjaga nyawa sekalian rakyatnya. Tambahan pula, sebarang tindak tanduk kerajaan pemerintah mestilah bersandarkan kepada maslahah (kebaikan) iaitu demi kepentingan dan kebajikan rakyat.
- Oleh yang demikian, setelah kita memahami konsep sebenar kenapa pihak kerajaan menyuruh dan menggalakkan kita untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19. Maka jelas bagi kita bahawa perbuatan sebahagian rakyat yang enggan untuk mengambil suntikan vaksin Covid-19 ialah merupakan satu perbuatan yang salah dan boleh menjatuhkan seseorang itu kepada dosa kerana telah melanggar perintah ulul amri (pemerintah) dalam perkara yang tidak mungkar.
Disediakan oleh : Ahmad Al Qarni Bin Edrus
(Panduan hukum ini yang dijawab oleh Unit Buhuth Jabatan Mufti Negeri Perlis adalah bukan merupakan keputusan rasmi Fatwa Negeri Perlis)