IRSYAD HUKUM SIRI 4
HUKUM SOLAT SUNAT SUBUH SESUDAH MELAKSANAKAN SOLAT FARDHU SUBUH
Soalan: Apakah boleh seseorang yang tidak sempat menunaikan solat sunat Subuh untuk menunaikannya sesudah menunaikan solat fardhu Subuh?
Jawapan:
الحمد لله وحده والصلاة والسلام على من لا نبي بعده، أما بعد
- Solat sunat dua rakaat yang dilakukan sebelum daripada solat fardhu Subuh mempunyai fadhilat dan keistimewaan yang tertentu sepertimana sabda Rasulallah SAW:
رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا
Maksudnya: “Dua rakaat fajar adalah lebih baik daripada dunia dan seisinya”. (Riwayat Muslim)
Malah Baginda Nabi SAW amat menjaga dan menitikberatkan tentang solat sunat ini melebihi solat-solat sunat yang lain sepertimana yang diriwayatkan oleh Aishah RA:
لَمْ يَكُنْ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى شَيْءٍ مِنْ النَّوَافِلِ أَشَدَّ مِنْهُ تَعَاهُدًا عَلَى رَكْعَتَيْ الْفَجْرِ
Maksudnya: “Tidaklah Nabi SAW betul-betul mengambil berat tentang sesuatu solat sunat sepertimana (beliau mengambil berat) terhadap solat sunat dua rakaat (sebelum) Subuh”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Oleh demikian kita dituntut untuk melaksanakannya sebelum daripada menunaikan solat fardhu Subuh disebabkan fadhilatnya yang tertentu dan ia merupakan daripada kebiasaan dan sunnah Nabi SAW.
- Apabila seseorang itu datang ke masjid dan mendapati bahawa iqamah telah dilaungkan untuk menunaikan solat fardhu Subuh maka hendaklah ditunaikan terlebih dahulu solat fardhu walaupun dia masih belum melaksanakan solat dua rakaat sebelum Subuh. Perkara ini berdasarkan kepada sabda Rasulallah SAW:
إذا أُقِيمَتِ الصَّلاةُ فلا صَلاةَ إلَّا المَكْتُوبَةُ
Maksudnya: “Apabila telah dilaungkan iqamah maka tiada sebarang solat melainkan solat fardhu”. (Riwayat Muslim)
- Namun bolehkah seseorang itu menqadha atau melaksanakan solat sunat sebelum Subuh setelah dia menunaikan solat fardhu Subuh? Dalam hal ini majoriti para fuqaha’ (ulama’ fekah) mengharuskannya untuk menqadha solat sunat sebelum Subuh setelah daripada menunaikan solat fardhu Subuh jika seseorang itu tidak sempat menunaikannya. Namun bagi sebahagian besar daripada para fuqaha’ Mazhab Hanafi mereka berpandangan bahawa tidak boleh untuk menunaikan solat sunat tersebut disebabkan masa untuk menunaikannya telah tamat. Telah berkata salah seorang tokoh Mazhab Hanafi iaitu al-Sarakhsi (W.483H):
وَإِنْ انْفَرَدَتْ -أَي سُنةُ الْفَجْرِ- بِالْفَوَاتِ : لَمْ تُقْضَ عِنْدَ أَبِي حَنِيْفَةَ وَأَبِيْ يُوْسُفَ رَحِمَهُمَا اللهُ تَعَالَى؛ ِلأَن مَوْضِعَهَا بَيْنَ الأَذَانِ وَاْلإقَامَةِ ، وَقَدْ فَاتَ ذلِكَ بِالْفَرَاغِ مِنَ الْفَرْضِ
Maksudnya: “Jika tempoh solat sunat Subuh itu telah tamat maka ia tidak diqadha di sisi Abu Hanifah dan Abu Yusuf RH; kerana waktunya itu adalah antara azan dan iqamah, dan telah tamat ia sesudah mana selesai solat fardhu (Subuh)”. (al-Sarakhsi, al-Mabsut, Beirut: Dar al-Ma‘rifah, jil.1, ms.162).
- Bagi majoriti para fuqaha’ mereka mengharuskan untuk diqadhakan solat sunat sebelum Subuh jika ia tidak ditinggalkan secara sengaja. Keharusan ini juga adalah bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:
نَامَ عَنْ رَكْعَتَيِ الْفَجْرِ فَقَضَاهُمَا بَعْدَ مَا طَلَعَتِ الشَّمْسُ
Maksudnya: “Telah tertidur (Rasulallah SAW) daripada menunaikan dua rakaat (sebelum) Subuh maka Baginda menqadhanya setelah mana terbitnya matahari”. (Riwayat Ibn Majah, disahihkan oleh al-Albani).
Daripada Qais bin ‘Amr al-Ansari RA kata beliau:
رَأَى رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا يُصَلِّي بَعْدَ صَلَاةِ الصُّبْحِ فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : صَلَاةُ الصبْحِ رَكْعَتَانِ فَقَالَ الرجُلُ إِني لَمْ أَكُنْ صَليْتُ الركْعَتَيْنِ اللتَيْنِ قَبْلَهُمَا فَصَلَّيْتُهُمَا الآنَ فَسَكَتَ رَسُولُ اللهِ صلَّى اللهُ عَلَيْهِ وسلَّمَ
Maksudnya: “Rasulallah SAW telah melihat seorang lelaki menunaikan solat selepas solat fardhu Subuh maka telah bersabda baginda: Solat Subuh dua rakaat; maka jawab lelaki tersebut: Sesungguhnya aku belum solat dua rakaat sebelumnya (yakni solat sunat Subuh) maka aku solatlah kedua-dua rakaatnya sekarang; maka Rasulallah SAW senyap”. (Riwayat Abu Dawud dengan sanad yang sahih).
Daripada hadis ini dapat difahami bahawa senyapnya Baginda SAW menunjukkan bahawa ia adalah dibenarkan kerana jika ia salah sudah tentu Baginda akan melarang lelaki tersebut dari menunaikannya.
Kesimpulannya bagi sesiapa yang tidak sempat untuk solat sunat sebelum Subuh disebabkan oleh keuzuran-keuzuran tertentu seperti mengutamakan solat Subuh berjemaah bersama imam, maka diharuskan untuk menqadhanya setelah daripada dia menunaikan solat fardhu Subuh. Namun menunaikannya setelah daripada terbitnya matahari adalah lebih baik berdasarkan kepada perbuatan Rasulallah SAW sepertimana yang disebutkan dalam hadis riwayat Ibn Majah sebelumnya.
Panduan hukum ini yang dijawab oleh Unit Buhuth Jabatan Mufti Negeri Perlis adalah bukan merupakan keputusan rasmi Fatwa Negeri Perlis