• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Kerajaan Madani Wajar Menghapuskan Judi

KERAJAAN MADANI WAJAR MENGHAPUSKAN JUDI

Prof Dato Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

(Mufti Negeri Perlis)

Saya menyokong penuh hasrat Kerajaan Negeri Perlis untuk menghapuskan judi di negeri ini. Langkah ini bukan sahaja dilakukan oleh Kerajaan Perlis, tetapi ia telah dibuat oleh beberapa kerajaan negeri yang lain sebelum ini. Kelantan, Trengganu dan Kedah mendahului. Ini adalah nilai positif yang patut diberikan kepada kerajaan-kerajaan tersebut.

Saya percaya, titik tolak langkah ini adalah atas asas pegangan yang ada pada kerajaan-kerajaan tersebut. Ditambah lagi, judi merupakan sesuatu yang merosakkan individu dan masyarakat manusia. Setiap pengkaji yang insaf -tanpa mengira latar agama dan kaum- jika menggunakan akal yang seimbang dan waras akan akur bahawa kesan judi kepada masyarakat manusia adalah buruk. Banyak kajian di peringkat antarabangsa yang merentasi latar agama dan bangsa telah dibuat tentang kesan buruk judi terhadap individu dan masyarakat dari aspek kesihatan fizikal dan mental.

Maksud Judi

Secara umumnya, judi ialah pertaruhan daripada pihak-pihak yang bertanding di mana ia mengakibatkan keuntungan kepada sebelah pihak manakala pihak yang lain mengalami kerugian.

Kamus Dewan Perdana DBP memberikan maksud judi sebagai “permainan dengan mempertaruhkan wang, perempuan dan sebagainya” (Kamus Dewan Perdana, halaman 915, DBP, 2021)

Para ulama Islam memberikan takrifan yang lebih jelas tentang kesan judi itu sendiri. Ini seperti yang kita sebutkan di atas di mana judi bermaksud permainan yang boleh mengakibatkan kerugian salah satu pihak, dan keuntungan di pihak yang menang. Kata Abu al-Baqa al-Kafawi (meninggal 1094H) dalam memberikan maksud al-Qimar (القمار): “Setiap permainan yang mensyaratkan yang menang mengambil sesuatu daripada yang kalah maka itu judi”  (al-Kulliyat, halaman 698. Beirut: Muassasah al-Risalat 1413H)

Dalam ertikata lain,  syarat dinamakan judi mestilah ada pertaruhan yang mana akan ada pihak yang rugi dan ada pihak yang untung (sila rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 39/404. Kuwait: Wizarah al-Auqaf).

Jika semua mendapat bahagian yang sewajarnya dan tiada yang rugi, tidak dinamakan judi. Justeru, jual-beli tidak dinamakan judi kerana semua pihak mendapat haknya dan ia bukan pertaruhan nasib, sebaliknya jelas barang yang dibeli dan harga yang ditetapkan. Oleh kerana itulah Islam tidak membenarkan gharar dalam jual-beli. Gharar bermaksud sesuatu yang tidak pasti samada wujud atau tidak, atau dapat diperolehi atau tidak, atau tidak ketahui sifatnya. Ini seperti membeli burung yang masih terbang di udara atau anak binatang yang masih dalam perut ibunya, atau ikan dalam sungai yang belum ditangkap dan seumpamanya. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah:

لِأَنَّ الْغَرَرَ تَرَدُّدٌ بَيْنَ الْوُجُودِ وَالْعَدَمِ، فَنَهَى عَنْ بَيْعِهِ؛ لِأَنَّهُ مِنْ جِنْسِ الْقِمَارِ الَّذِي هُوَ الْمَيْسِرُ، وَاللَّهُ حَرَّمَ ذَلِكَ لِمَا فِيهِ مِنْ أَكْلِ الْمَالِ بِالْبَاطِلِ، وَذَلِكَ مِنَ الظُّلْمِ الَّذِي حَرَّمَهُ اللَّهُ تَعَالَى، وَهَذَا إِنَّمَا يَكُونُ قِمَارًا إِذَا كَانَ أَحَدُ الْمُتَعَاوِضَيْنِ يَحْصُلُ لَهُ مَالٌ، وَالْآخَرُ قَدْ يَحْصُلُ لَهُ وَقَدْ لَا يَحْصُلُ

“Kerana gharar itu tidak pasti antara wujud atau tidak, maka Rasulullah s.a.w melarang jual-beli tersebut. Ini kerana ia dari jenis judi yang dipanggil al-Maisir. ALLAH mengharamkan perkara itu kerana padanya berlaku memakan harta orang lain secara batil (tidak sah). Ini termsuk dalam kezaliman yang ALLAH mengharamkannya. Perkara ini hanya menjadi judi jika salah satu pihak yang terbabit dalam urusan akad itu mendapat harta sementara satu pihak lagi mungkin mendapatnya dan mungkin juga tidak mendapatnya” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah. Zad al-Ma‘ad, 5/824. Beirut: Muassasah al-Risalah 1410H)

Dengan itu kita faham bahawa judi itu permainan bersaing nasib atas untung ataupun rugi yang berlaku antara pihak-pihak yang terlibat dengan mempertaruhkan sesuatu yang ada nilai yang mana salah salah pihak pasti akan kerugian.

Kesan Judi

Antara kesan mendalam yang akan terbentuk dalam diri mereka yang terlibat dengan judi ialah kehendak untuk untung sekalipun atas kerugian dan penderitaan orang lain. Dalam usaha untuk untung, penjudi mesti berusaha mangalahkan pihak lain dengan maksud pihak itu mesti rugi barulah dia boleh beruntung. Ini satu sikap mementingkan diri yang dibentuk oleh hasil permainan judi. Kerugian orang lain, merupakan kebahagiaannya. Hanya dengan orang lain kalah atau rugi sahaja, barulah dia boleh beruntung. Nilai atau kebiasaan ini akan terbentuk dalam diri kaki judi. Oleh kerana itu, tidak hairan apabila kita mendengar kisah mereka yang ketagihan judi sanggup melakukan pelbagai perkara sekalipun menganiyai pihak yang lain kadang-kala termasuk ibubapa dan keluarga demi untuk berjudi atau dalam urusan kehidupan yang lain. Kesan ‘tarbiah’ judi sangat bahaya. Bayangkan, sekalipun bersama-sama terlibat dalam satu permainan, kerugian pihak yang dia bersama bermain itu tetap menjadi tujuannya demi untung menang.

Antara kesan judi juga, dalam diri kaki judi akan wujud sikap cenderung mempertaruhkan nasib untung dan rugi dalam hidup atas sesuatu yang bukan dari sesuatu yang tidak pasti atau atas nasib semata. Dia akan selalu mengharapkan kebetulan nasib buruk atau kerugian pihak lain supaya dia mendapat untung. Keuntungan hidup bagi kaki judi adalah nasib buruk pesaing yang bertaruh dengannya. Jika tidak, nasib buruk itu menimpa dirinya. Kekalahan judi adalah kerugian, rasa malu dan hina serta keinginan untuk kembali membalas kerugian tersebut. Ia akan menjadi ketagihan yang tiada penghujungnya.

Ikhtiar Terhormat

Islam agama yang menuntut ikhtiar dan usaha dalam hidup secara yang sewajarnya tanpa merugikan nasib pihak lain. Berusaha atau ikhtiar mencari untung dibenarkan oleh Islam tetapi hendaklah secara terhormat. Justeru itu, Islam mengharamkan judi dalam segala bentuknya, dan menghukumnya sebagai dosa besar. ALLAH SWT berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 90-91:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ وَٱلۡأَزۡلَٰمُ رِجۡسٞ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ إِنَّمَا يُرِيدُ ٱلشَّيۡطَٰنُ أَن يُوقِعَ بَيۡنَكُمُ ٱلۡعَدَٰوَةَ وَٱلۡبَغۡضَآءَ فِي ٱلۡخَمۡرِ وَٱلۡمَيۡسِرِ وَيَصُدَّكُمۡ عَن ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَعَنِ ٱلصَّلَوٰةِۖ فَهَلۡ أَنتُم مُّنتَهُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati ALLAH dan daripada mengerjakan solat. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?

Ayat ini menjelaskan bahawa antara kesan judi ialah permusuhan dan kebencian sesama manusia. Mungkin ada yang berkata, mereka boleh sahaja bercakap baik selepas kalah. Namun, nilai-nilai buruk tadi tetap terbentuk dalam diri kaki judi, mementingkan diri sehingga sanggup melihat kerugian orang lain, bergembira dengan nasib buruk orang lain jika itu menguntungkan diri, timbulnya kebencian dan permusuhan terhadap pihak yang meraikan kemenangan atas kerugian yang dialami oleh diri yang terlibat dan sebagainya.

Kajian Akademik Kesan Judi

Ketagihan judi atau disebut sebagai gambling addiction atau compulsive gambling apabila terjadi akan menjadikan seseorang akan terus berjudi tanpa mengira apapun akibatnya. Dia akan sanggup mengorbankan apa sahaja demi untuk berjudi.

Begitu banyak kajian akademik bukan muslim sendiri di peringkat antarabangsa menunjukkan buruknya kesan judi kepada individu yang terlibat dengan ketagihan judi. Antaranya dalam artikel The Biopsychosocial Consequences of Pathological Gambling oleh Dr Timothy W. Fong menyebut: “Pathological gambling is a disorder that can have many diverse and unintended consequences. From a medical perspective, pathological gamblers are at increased risk to develop stress-related conditions, such as hypertension, sleep deprivation, cardiovascular disease, and peptic ulcer disease. Common psychiatric sequelae of pathological gambling include exacerbation and initiation of major depressive episodes, anxiety disorders, or substance use disorders. Unintended psychological consequences may also include intense levels of guilt and shame, deceptive practices, and heightened impulsivity/ impaired decision-making. Finally, the social consequences of pathological gambling can be enormous, often ranging from involvement with the legal system to lost productivity at work to strained interpersonal relationships”.  (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3004711/)

Ertinya, banyak kesan buruk ke atas mereka yang ketagihan judi dari sudut mental dan fizikal. Ancaman sudut perubatan dari tekanan jiwa yang membawa kepada pelbagai penyakit seperti darah tinggi, kurang tidur, penyakit kardiovaskular, penyakit ulser peptik dan seumpamanya. Ia juga membawa kepada berlaku secara teruk episod kemurungan, anxiety disorder (gangguan suasana perasaan), substance use disorder (SUD) yang membawa kepada gangguan otak yang menakutkan. Dari segi tekanan emosi atau gangguan jiwa dalam kehidupan bermasyarakat membawa kepada rasa bersalah, malu, keinginan menipu, perlanggaran kepada perundangan dan kehilangan produktiviti. Bahkan dalam beberapa kajian peratusan tinggi penagih judi membunuh diri.

Ancaman ketagihan judi sebenarnya tidak kurang bahayanya dari ketagihan jenis-jenis dadah. Sesiapa yang berminat, boleh membaca banyak pelbagai artikel tentang the effects of gambling addiction atau compulsive gambling yang begitu banyak dan mudah dicapai. Anda juga boleh menonton banyak dokomentari yang ada di youtube seperti yang bertajuk ‘Recognizing Compulsive Gambling’ oleh NJ Spotlight News atau ‘Inside the Brain of a Gambling Addict’ oleh BBC News.

 Apabila kita membaca kajian-kajian ini, kita akan tahu betapa benarnya Islam apabila mengharamkan perjudian. Betapa bahayanya judi kepada manusia sejagat.

Judi Ada Keuntungan?

Ramai mereka yang rendah nilai pertimbangan dalam diri menganggap judi sebagai satu perlambangan kemajuan terutama apabila dikaitkan dengan perjudian di kasino-kasino yang dianggap ‘high-class’ oleh golongan fussaq seperti Winstar World Casino di Oklohama, US, atau di kota kasino Macau China seperti Veretian, City of Dream. Demikian juga di Las Vegas Nevada US dan beberapa bandar lain di Eropah dan Afrika Selatan. Namun, jika diteliti, gejala keruntuhan dalaman masyarakat yang dipenuhi judi jauh lebih besar dari keuntungan ekonomi yang diharapkan. Ia hanya menimbulkan barah dalam kehidupan manusia dan kemanusiaan.

Kemungkinan ada yang berkata: “Judi juga ada keuntungan dan hasil yang boleh digunakan, perolehan cukai untuk negara dalam sebagainya”. Memang, Al-Quran pun tidak menafikan arak dan judi ada manfaat tertentu dunia kepada manusia, tetapi ALLAH menegaskan itu hanya sedikit dibandingkan bencana dan mudarat yang akan berlaku akibat dari dua perkara tersebut. Judi apabila berleluasa dalam masyarakat, jiwa-jiwa yang terlibat dengan judi akan membentuk satu akhlak buruk yang bercambah dalam masyarakat. Kerosakan mental dan juga fizikal seperti dinyatakan tadi akan berlueuasa. Bayangkan jika sesuatu masyarakat dipenuhi atau ramai orang yang seperti ini. Justeru, keuntungan judi tidak berbaloi dibandingkan kesan buruk yang menimpa masyarakat hasil dari merebaknya judi. ALLAH SWT berfirman dalam Surah al-Baqarah ayat 219:

۞يَسۡ‍َٔلُونَكَ عَنِ ٱلۡخَمۡرِ وَٱلۡمَيۡسِرِۖ قُلۡ فِيهِمَآ إِثۡمٞ كَبِيرٞ وَمَنَٰفِعُ لِلنَّاسِ وَإِثۡمُهُمَآ أَكۡبَرُ مِن نَّفۡعِهِمَاۗ

Maksudnya:“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan JUDI. katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya”.

Keberkatan

Andainya sumber cukai yang menjadi perhitungan kerajaan-kerajaan yang enggan mengharapkan judi, padahal mereka itu muslim, maka hendaklah mereka kembali beriman kepada konsep barakah atau berkat yang diajar oleh ALLAH yang memberikan rezeki dan kehidupan untuk manusia.

Perkataan berkat yang orang melayu sebut itu diambil dari perkataan Arab iaitu barakah yang bermaksud bertambah atau berkembang. Juga boleh bermaksud berkekalan. Al-Imam Al-Asfahani  (الأصفهاني)menyatakan ia bermaksud kelangsungan kebaikan ilahi kepada sesuatu. (lihat: Al-Asfahani, Mufradat Alfaz al-Quran m.s 119, Damsyik: Dar al-Qalam). Maka barakah adalah penambahan atau kelangsung kebaikan atau kurniaan ALLAH kepada sesuatu. Ertinya, harta yang berkat akan menghasilkan pelbagai kebaikan dalam hidup seseorang. Kebaikan itu luas makna dan mendalam maksudnya. Dengan keberkatan, akan diberikan pelbagai kurniaan yang lain, samada harta, ketenangan, kebaikan dalam diri dan kehidupan, keimanan dan pelbagai hal yang kita sangka dan tidak sangka. Firman ALLAH:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

(maksudnya) “Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka  keberkatan-keberkatan dari langit dan bumi”. (Surah al-A’raf, ayat 96).

Kita memerlukan barakah dalam membangunkan masyarakat dan negara!!

Kerajaan Wajib Menghapuskan Kemudaratan

Islam apabila melarang sesuatu pasti ada keburukan dan mudaratnya. ALLAH yang mewahyukan Islam ialah Tuhan yang menciptakan segalanya. Dia Maha Mengetahui segala ciptaanNYA. Apabila ALLAH menyatakan buruk pada sesuatu hal, pastilah buruk. Itu merangkumi setiap hambanya tanpa mengira latar bangsa dan agama. Kesan buruk judi yang kita nyatakan tadi, bukan sahaja kepada orang Islam, ia juga kepada masyarakat bukan Islam. Ketagihan judi, merosakkan diri, keluarga, masyarakat dan negara merentasi latar agama dan kaum. Maka, peranan sesebuah kerajaan yang ALLAH berikan kuasa ialah untuk menegakkan perkara-perkara yang baik dan menghalang perkara-perkara yang buruk di bawah pentadbirannya. Ini selaras dengan firman ALLAH dalam Surah al-Hajj ayat 41:

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآَتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

(maksudnya): "Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kemungkaran. Dan (ingatlah) bagi ALLAH jualah kesudahan segala urusan."  

Tanggungjawab Kerajaan

Sudah pasti, judi termasuk dalam perkara mungkar dan sesiapa yang berkuasa wajib menghilangkan kemungkaran tersebut. Sesebuah kerajaan yang bertamadun hendaklah menegakkan segala nilai atau unsur kebaikan. Konsep kebaikan itu luas. Itulah tanggungjawab ‘menyuruh kepada yang makruf’ yang dinyatakan oleh al-Quran. Dalam masa yang sama hendaklah menegah segala kemungkaran iaitu hal-hal yang menyanggahi kemaslahatan yang telah tetapkan oleh syariat. Judi antara yang utama untuk dinyahkan.

Ketiadaan Judi Bukan Kerugian

Tiada kaum atau agama yang akan menderita kerana tiada aktiviti perjudian. Hanya pemikiran yang rosak sahaja yang menganggap tanpa judi kehidupan tidak dapat berjalan dengan sempurna. Sebaliknya, judilah punca yang merosakkan kehidupan manusia.

Saya tidak boleh terbayang mana-mana penganut agama boleh tampil mempertahankan judi atas alasan agama kami menyukai judi. Saya tidak fikir ada agama yang konyol seperti itu. Saya juga tidak boleh terbayang jika ada ahli politik atau wakil kaum yang akan berkata ‘bangsa kami mencintai judi’ atau ‘judi budaya hidup kami’. Saya tidak percaya Tuhan mencipta kaum yang seburuk itu sehingga judi dijadikan tidak boleh berpisah dari kaumnya. Jika ada yang mendakwa demikian bererti mereka telah sampai ke peringkat ketagihan judi yang disebut dalam pelbagai kajian antarabangsa itu. Setiap kaum diciptakan dengan penuh ciri-ciri kemanusiaan yang baik.

Kerajaan Hendaklah Menghapuskan Judi

Justeru, saya ingin menyeru kepada kerajaan-kerajaan negeri yang lain dan Kerajaan Pusat untuk turut mengambil langkah menyahkan lesen judi. Apakah ertinya kita mendakwa sebagai masyarakat muslim tiba-tiba ada pusat perjudian berlesen secara nyata ada di tempat kita. lebih sedih lagi, ada yang sibuk dengan khilaf mazhab dan khilaf cabang perbahasan akidah, tetapi mendiamkan diri dengan pusat judi besar yang ada di negerinya. Mufti-mufti dan golongan agama hendaklah bersuara dalam hal ini.

Malaysia Madini dan Judi

Kerajaan semasa telah melaungkan slogan Malaysia Madani. Perkataan ‘madani’ mungkin diambil dari Madinah Nabawiyyah iaitu Bandar Nabi s.a.w. atau sekadar perkataan madinah yang dalam Bahasa Arab bermaksud bandar. Dalam ertikata lagi, nilai-nilai ketamadunan yang hendak diangkat dalam slogan tersebut. Apapun, kedua-dua tafsiran itu menuntut supaya judi dihapuskan. Jika ia bukan sekadar slogan politik, saya mengharapkan kerajaan semasa mengambil langkah-langkah ke arah penegakan makruf dan pencegahan mungkar secara yang lebih komprehensif.

Malaysia Madani akan lebih bererti jika usaha ke arah penghapusan judi itu dimasukkan dalam agendanya. Ini kerena, isu judi bukan isu khilaf fekah, ia adalah sesuatu yang jelas haram di sisi agama Islam dan amat jelas keburukannya kepada rakyat tanpa mengira latar agama dan bangsa. Kita tidak menuntut untuk dihapuskan dalam masa sehari dua, tetapi usaha ke arah itu hendaklah dilakukan secara berterusan. Jika itu berlaku, kita bersama menyokong hasrat itu.

Harapan kita, agar negara kita ini seperti yang ALLAH sebut dalam al-Quran dalam Surah Saba ayat 15:

كُلُواْ مِن رِّزۡقِ رَبِّكُمۡ وَٱشۡكُرُواْ لَهُۥۚ بَلۡدَةٞ طَيِّبَةٞ وَرَبٌّ غَفُورٞ

(maksudnya) "Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadaNya; (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun!»

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 713
Semalam 982
Minggu Ini 2785
Bulan Ini 20681

Keseluruhan 3092974

   Masa Capaian : 0.81 saat    Kemaskini :  09/12/2024