Walimah: Kerana Sunnah atau Nak Menunjuk-Nunjuk?
Prof Dato Dr MAZA
1. Antara peruntuh nilai-nilai baik dalam kehidupan manusia hari ini adalah apabila dimudahkan yang haram dan disukarkan yang halal. Sedangkan Islam menyuruh kita membentuk suasana atau iklim kehidupan yang menyukarkan yang haram dan memudah yang halal. Itulah tanggungjawab pemerintah dan umat iaitu menegah yang makruf dan mencegah yang munkar. Menegak yang makruf itu adalah dengan cara menyuruh, memudah dan membantu ke arah tersebut. Sementara mencegah yang munkar adalah dengan cara menghalang, melarang dan menyukarkan jalan untuk sampai kepadanya. Namun, jika masyarakat hari ini menyusahkan yang halal dan menyenangkan yang haram, tanda kita begitu menjauhi ruh syariat islam yang hakiki yang diturunkan oleh Allah s.w.t.
2. Antara perkara yang selalu disusahkan adalah urusan perkahwinan. Kesusahan membina rumahtangga itu kadang-kala bermula dari keluarga sehingga birokrasi pihak berkuasa agama. Kerenah-keranah yang berbagai telah menyusahkan atau melewatkan hasrat pasangan untuk mendapat ‘nikmat seks’ secara halal. Lebih menyedihkan apabila kerenah-keranah itu wujud disebabkan kepentingan-kepentingan luar yang bukan kepentingan pasangan secara langsung.
3. Antara yang patut diberikan perhatian ialah urusan kenduri kahwin atau walimah. Kadang-kala ia telah dijadikan jambatan kesombongan ibubapa atau keluarga sehingga ditangguh perkahwinan bagi membolehkan kenduri besar-besaran dibuat demi menjaga taraf atau nama keluarga’. Hal ini menyebabkan ada pasangan yang terpaksa menangguh Hasrat perkahwinan setahun bahkan bertahun-tahun. Apatah jika keluarga membebankan semua belanja kepada bakal pengantin. Maka bakal pengantin terpaksa mengikat ‘nafsu seks’ hanya kerana hendak menjaga nafsu menunjuk-nunjuk keluarga. Walaupun kenduri kahwin itu disuruh, namun memadailah dengan kadar yang termampu. Tidak semestinya ‘ditumbangkan’ seekor lembu, atau dibayar catering yang mahal atau dipanggil orang sekampung atau sebandar, atau dijemput semua rakan taulan. Seseorang mengadakannya dengan kadar kemampuannya. Ini seperti sabda Nabi s.a.w:
أَوْلِمْ وَلَوْ بِشَاةٍ
“Buatlah walimah walaupun sekadar seekor kambing” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
4. Majlis perkahwinan Rasulullah s.a.w dengan Sofiyyah binti Huyyai dihidangkan tamar, susu kering (الأَقِطُ) dan lemak (ghee) yang dimakan oleh para tetamu. Ini seperti riwayat al-Imam Muslim:
وَجَعَلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلِيمَتَهَا التَّمْرَ وَالْأَقِطَ وَالسَّمْنَ
“Rasulullah s.a.w membuat menghidangkan untuk walimahnya (Sofiyyah binti Huyai) tamar, susu kering dan lemak”
شَهِدْتُ وَلِيمَتَيْنِ مِنْ نِسَاءِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ» قَالَ: «فَمَا أَطْعَمَنَا فِيهِمَا خُبْزًا، وَلَا لَحْمًا» قَالَ: فَمَهْ؟ قَالَ: «الْحَيْسَ - يَعْنِي التَّمْرَ - وَالْأَقِطَ بِالسَّمْنِ
Kata Anas bin Malik: Aku menghadiri 2 kali walimah isteri-isteri Nabi s.a.w. Kami tidak makan roti ataupun daging. Lalu ditanya Anas: “Apa yang kamu makan” ? Jawab Anas: “Tamar, susu masam dan lemak” (Riwayat Ahmad. hasan)
Dalam ertikata lain, tidak disyaratkan mesti makan besar atau mewah untuk walimah. Sekadar yang seseorang mampu. Jika hanya mampu kenduri laksa, atau bihun atau mee pun tidak mengapa. Apa yang penting perkahwinan yang halal telah dilunaskan. Janganlah macam sesetengah orang dulu apabila anaknya sebut ingin berkahwin, bapanya akan bertanya; ‘kau dah ada lembu ke nak buat kenduri?”. Maka bertangguhlah hasrat si anak. Padahal bukan anaknya ingin berkahwin dengan lembu, dia ingin berkahwin dengan kekasihnya. Sepatutnya si bapa bertanya: “kau dah ada pasangan ke?”. Itulah soalan yang betul. Lembu tidak termasuk dalam rukun nikah.
5. Lebih dukacita, ada yang sanggup berhutang bergolok bergadai yang akhir menjadi beban selepas habis majlis perkahwinan. Ada juga yang gagal atau lari dari membayar hutang kenduri sehingga pasangan yang berkahwin sudah beranak-pinak. Ini semua berpunca dari sikap ingin menunjuk-nunjuk atau menjaga status sehingga akhirnya terjerumus dalam perkara yang haram iaitu enggan membayar hutang. Padahal, jika tidak berkemampuan, kendurilah dengan kadar keupayaan diri. Lebih baik dihimpun wang diberikan kepada pasangan tersebut untuk memulakan kehidupan baharu mereka jika mereka memerlukan.
6. Di zaman ini, ada pihak yang menjadikan medan walimah sebagai pentas menunjuk-nunjuk kekayaan harta untuk dipertontonkan di media social atau bersaing dengan perkahwinan orang lain, atau meniru gaya kekayaan selebriti dan seumpamanya. Bukan salah untuk menjadikan hari perkahwinan itu istimewa, tetapi ukurlah keupayaan diri. Kehidupan yang baik selepas akad itu lebih penting daripada majlis perkahwinan yang hebat tetapi menanggung masalah selepas dari itu.
7. Ada juga yang majlis perkahwinannya dipenuhi dengan kesombongan dari segi jemputan. Dijemput hanya orang yang ‘berjenama’ dan ditinggalkan saudara-mara, kawan-rakan, jiran-tetangga yang tidak setaraf. Nabi s.a.w. bersabda:
بِئْسَ الطَّعَامُ طَعَامُ الْوَلِيمَةِ يُدْعَى إِلَيْهِ الْأَغْنِيَاءُ وَيُتْرَكُ الْمَسَاكِينُ
“Seburuk makanan adalah makanan walimah yang dijemput orang kaya dan ditinggalkan orang miskin..” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
8. Adapun jika seseorang itu berkemampuan, perbelanjaan besar untuk majlis perkahwinan itu tidak membebankannya, dilakukan pula dengan niat menunaikan sunnah walimah tanpa rasa bongkak dan takabur, maka itu adalah nikmat yang Allah kurniakan kepadanya.