• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Sahkah Pengislaman Seorang Kanak-Kanak?

Sahkah Pengislaman Seorang Kanak-Kanak?

Mohon penjelasan berkaitan syarat-syarat yang wajib dipenuhi untuk menerima pengislaman kanak-kanak. Apakah perlu ditunggu usia 18 tahun?

Jawapan Prof Dato Dr MAZA:

1. Pada asasnya, sesiapa sahaja yang baligh dan berakal yang mengucap dua kalimah syahadah dalam keadaan faham dan yakin maksudnya, maka dia menjadi muslim. Dia dihitung sebagai seorang muslim yang mendapat kelebihan sebagai muslim di sisi masyarakat muslim. Dalam masa yang sama dia juga mempunyai tanggungjawab seperti muslim yang lain.

2. Syarat penting untuk kesahihan Islam seseorang ialah tidak dipaksa menganut Islam. Sesiapa yang dipaksa, maka Islamnya tidak sah. Keimanan tidak boleh dipaksa kerana ia keyakinan yang ada dalam dada seseorang. Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 256:

لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ

(maksudnya) “Tiada paksaan dalam (menganut) agama (Islam)”

3. Adapun kanak-kanak sudah mumaiyiz, jumhur (majoriti ulama) menganggap sah keislamannya. Mumaiyiz bermaksud sudah berupaya memahami dan membezakan. Kebiasaannya pada usia tujuh tahun dan ke atas. Jumhur tidak mensyaratkan baligh untuk kesahihan Islam. Mereka hanya mensyaratkan mumaiyiz dan sebahagian mereka menyebut berumur sepuluh tahun. Ia berbeza dengan Imam al-Syafii (meninggal 204H) dan tokoh besar Mazhab Hanafi al-Imam Zufar bin al-Huzail (meninggal 158H) yang mensyaratkan baligh. Disebutkan dalam al-Mughni:

وَالصَّبِيُّ إذَا كَانَ لَهُ عَشْرُ سِنِينَ، وَعَقَلَ الْإِسْلَامَ، فَأَسْلَمَ، فَهُوَ مُسْلِمٌ: وَجُمْلَتُهُ أَنَّ الصَّبِيَّ يَصِحُّ إسْلَامُهُ فِي الْجُمْلَةِ. وَبِهَذَا قَالَ أَبُو حَنِيفَةَ، وَصَاحِبَاهُ، وَإِسْحَاقُ، وَابْنُ أَبِي شَيْبَةَ، وَأَبُو أَيُّوبَ. وَقَالَ الشَّافِعِيُّ وَزُفَرُ: لَا يَصِحُّ إسْلَامُهُ حَتَّى يَبْلُغَ

“Kanak-kanak jika dia berusia sepuluh tahun, faham Islam lalu menganut Islam maka dia muslim. Kesimpulannya, bahawa kanak-kanak sah islamnya secara umum. Inilah pendapat Abu Hanifah, dua sahabatnya (al-Qadi Abu Yusuf dan Muhammad bin al-Hasan al-Syaibani), Ishaq  (bin Rahuyah/Rahawaih), Ibn Abi Syaibah dan Abu Ayyub. Berkata (al-Imam) al-Syafii dan (al-Imam) Zufar: “Tidak sah islamnya sehingga dia baligh” (Ibn Qudamah, al-Mughni, 9/13. Kaherah: Maktabah al-Qahirah).

4. Antara alasan jumhur bahawa syarat mumaiyiz memadai, ialah hadis Nabi s.a.w:

مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا، وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ

 “Perintahlah anak-anak kamu dengan solat pada umur tujuh tahun. Pukullah mereka (untuk didikan) jika mereka tidak menunaikan solat pada usia sepuluh tahun” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dll. Hadis hasan).

Ungkapan sepuluh tahun dalam hadis ini juga menyebabkan sebahagian fuqaha meletakkan sepuluh tahun menjadi syarat sah.

 5. Demikian juga antara alasan jumhur ulama ialah terdapat kanak-kanak yang menganut Islam pada zaman Nabi s.a.w seperti ‘Ali bin Abi Talib.

6. Adapun al-Imam al-Syafii (meninggal 204H) menyatakan baligh menjadi syarat kesahihan islam seseorang, tidak memadai sekadar mumaiyiz. Tanda telah baligh itu samada keluar mani, atau tumbuh bulu kemaluan, haid (bagi perempuan) atau berusia 15 tahun. Jika salah satu tanda ini ada, maka dikira sudah baligh. Baligh di sini tidak menunggu usia 18 tahun seperti yang difahami oleh sesetengah pihak. Antara alasan Mazhab al-Syafii ialah hadis:

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ، عَنِ الصَّبِيِّ حَتَّى يَبْلُغَ، وَعَنِ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ، وَعَنِ المَعْتُوهِ حَتَّى يَبْرَأَ

“Diangkat qalam (catatan kesalahan) dari tiga golongan: kanak-kanak sehingga baligh, orang yang lena sehingga jaga dan orang hilang akal sehingga sembuh” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud. sahih).

7. Pun begitu, dalam masa yang sama Mazhab al-Syafii tidak membenarkan kanak-kanak yang mengucap itu diserahkan kepada mereka yang bukan Islam. Ertinya, sekalipun mereka tidak mengesahkan keislaman kanak-kanak itu tetapi mereka menunggu sehingga dia baligh untuk disahkan keislamannya. Dalam tempoh itu, kepercayaan kanak-kanak tersebut sebelum baligh dipelihara agar tidak digugat. Ini disebutkan oleh al-Imam al-Syafii sebdiri dalam al-Umm:

وَإِنْ خَرَجَتْ إلَيْنَا مِنْهُمْ زَوْجَةُ رَجُلٍ لَمْ تَبْلُغْ، وَإِنْ عَقَلَتْ فَوَصَفَتْ الْإِسْلَامَ مَنَعْنَاهَا مِنْهُ بِصِفَةِ الْإِسْلَامِ

(“Jika datang kepada kita seorang isteri yang belum baligh dari kalangan mereka (bukan muslim), jika dia berakal dan mengistihar (menganut) Islam, maka kita halang dia diserahkan kepada suaminya” (5/269. Beirut: Ihya al-Turath al-‘Arabi).

Dalam al-Muhazzab kitab fekah Mazhab Syafii disebutkan:

فإنْ جاءِتْ صَبِيَّةٌ ووَصَفَتِ الإسْلامَ لَمْ تُرَدْ إليهم وإنْ لم يُحْكَم بِإسلامِها لأنّا نَرْجوُ إسْلامَها فإذا رُدَّتْ إليْهِم خَدَعُوها وَزَهَدُوها في الإسلام

“Jika datang seorang kanak-kanak perempuan dan mengistihar (menganut) Islam, maka dia tidak dikembalikan kepada mereka (orang kafir) sekalipun tidak dihukum (sah) islamnya. Ini kerana kita mengharapkan islamnya (semasa baligh). Jika dia dikembalikan kepada mereka, mereka akan menipunya dan menyebabkan dia meninggalkan Islam” (al-Syirazi, al-Muhazzab, 3/326. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Demikianlah kitab-kitab lain dalam Mazhab al-Syafii.

8. Kesimpulannya syarat untuk seorang kanak menjadi muslim; mengucap dua kalimah syahadah dengan pilihan sendiri tanpa paksaan. Dia seorang mumaiyiz (di sisi majoriti ulama) iaitu dalam keadaan berakal serta mampu memahami. Sebahagian meletakkan usia 10 tahun. Adapun Mazhab al-Syafii mensyaratkan baligh untuk kesahihan islam seorang kanak-kanak. Pun begitu, sekalipun Mazhab al-Syafii tidak mengesahkan islam kanak-kanak belum baligh, mereka tetap tidak benar menyerahkan kanak-kanak tersebut kepada pihak kafir yang akan memaksa kanak-kanak itu pengubah apa yang dia percaya.

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 60
Semalam 1090
Minggu Ini 1150
Bulan Ini 19046

Keseluruhan 3091339

   Masa Capaian : 0.87 saat    Kemaskini :  09/12/2024