Hukum Memegang Tongkat Semasa Khutbah
Soalan: Saya melihat di negara kita khutbah Jumaat bertongkat. Di negara lain saya lihat ada yang tidak bertongkat. Sekarang ada juga khatib yang pegang tongkat dan ada yang tidak pegang. Apakah hukum khutbah seperti itu?
Jawapan Mufti Perlis Prof Dato’ Dr MAZA:
1. Tongkat bukan rukun khutbah dalam semua mazhab. Tidak mencacatkan khutbah sama ada khatib memegang atau tidak memegang tongkat. Hanya yang dibincangkan apakah ia sunnah ataupun tidak?
2. Kebanyakan ulama berpendapat memegang tongkat atau yang seumpamanya semasa khutbah adalah sunat. Dalam al-Umm, al-Imam al-Syafii r.h menyebut:
وَيَعْتَمِدُ الَّذِي يَخْطُبُ عَلَى عَصًا، أَوْ قَوْسٍ، أَوْ مَا أَشْبَهَهُمَا؛ لِأَنَّهُ بَلَغَنَا "أَنَّ النَّبِيَّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - كَانَ يَعْتَمِدُ عَلَى عَصًا"
“Orang yang berkhutbah itu berpegang pada tongkat, atau panah, atau apa sahaja yang menyerupai keduanya. Ini kerana telah sampai kepada kami bahawa Nabi s.a.w itu berpegang pada tongkat (ketika berkhutbah)”. [al-Umm, 1/519. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi. 1420H)
Maka, pada sisi al-Imam al-Syafi’i r.h disunatkan khatib memegang tongkat atau panah. Bahkan al-Imam al-Syafi’i menyatakan apa sahaja yang menyerupai tongkat atau panah, dikira sebagai sunat memegangnya. Ertinya, memegang tongkat ataupun panah, atau apa-apa yang seakan tongkat atau panah, dianggap sunat di sisi al-Imam al-Syafii r.h.
3. Dalam masa yang sama, dalam kalangan ulama ada yang berpendapat tidak perlu memegang sesuatu seperti tongkat atau panah ketika berkhutbah. Mereka ini berpendapat hal itu makruh kerana berbeda dengan sunnah. Ini seperti yang disebut dalam Mazhab Hanafi. Kata Ibn Mazah al-Hanafi (meninggal 616H) dalam al-Muhit al-Burhani المحيط البرهاني :
وكذلك إذا خطب متكئاً على عصا أو على قوس جاز، إلا أنه يكره، لأنه خلاف السنّة
“Demikian itu harus (dibolehkan) apabila (khatib) berkhutbah memegang pada tongkat atau pada panah, melainkan ia makruh kerana berbeda dengan sunnah” [2/75. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Imiyyah. 1424H]
4. Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) berpendapat Nabi s.a.w hanya memegang panah atau tongkat ketika berkhutbah sebelum dibuatkan untuk baginda mimbar. Semasa peringkat awal, seperti yang kita tahu dari riwayat-riwayat yang sahih, Nabi s.a.w berkhutbah atas batang tamar. Ketika itu baginda memegang panah atau tongkat. Mungkin sesuai dengan kedudukan atas batang tamar tersebut. Apabila mimbar telah dibuat, baginda s.a.w tidak lagi memegang tongkat atau panah semasa berkhutbah. Kata al-Imam Ibn Qayyim dalam Zad al-Ma’ad :
“Nabi s.a.w tidak pernah memegang pedang atau selainnya (ketika berkhutbah). Hanya baginda memegang panah atau tongkat sebelum dibuat mimbar. Baginda (ketika berkhutbah) dalam peperangan memegang panah dan ketika Jumaat memegang tongkat. Tidak pernah diriwayatkan bahawa baginda memegang pedang. Apa yang sesetengah golongan jahil sangka bahawa baginda sentiasa memegang pedang sebagai tanda bahawa Islam ditegakkan dengan pedang adalah kejahilan yang teramat. Tidak pernah diriwayatkan bahawa baginda selepas dibuatkan mimbar menaikinya dengan pedang, atau panah atau selainnya. Tidak juga sebelum dibuat mimbar baginda memegang pedang di tangannya sama sekali. Hanya baginda memegang tongkat atau panah”. (Zad al-Ma‘ad, 1/439).
5. Pendapat bahawa tidak disunatkan memegang tongkat atau selainnya semasa khutbah itu turut disokong oleh sebahagian muhaqqiqin. Antaranya, al-Syeikh Muhammad Salih al-‘Uthaimin, di mana beliau menyebut:
“Adapun (pendapat yang menyatakan sunat) khatib dalam keadaan memegang sesuatu semasa khutbah seperti panah atau tongkat, maka ini perkara yang khilaf dalam kalangan ulama rahimahumullah. Kalangan mereka ada yang berpendapat bahawa adalah sunnah untuk khatib memegang tongkat, atau panah atau pedang. Namun yang sahih, ia bukan sunnah. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w memegangnya ketika berkhutbah disebabkan beliau memerlukannya ketika berkhutbah atas batang tamar. Namun, apabila dibuatkan untuk baginda mimbar, baginda tidak berpegang lagi (pada tongkat). Atas alasan ini kita menyatakan bahawa bukan sesuatu yang sunnah untuk khatib memegang sesuatu. Adapun jika seseorang itu memerlukan untuk memegang (sesuatu) maka kita kata bahawa dia wajar memegangnya, bukan kerana khutbah tetapi kerana simpati kepada keadaan dirinya. Ini kerana seseorang wajar kasihani dirinya sendiri dan jangan dibebankan”. [ Ibn al-‘Uthaimin: al-Durus al-Fiqhiyyah, 1/560. Saudi: Muassasah al-Syeikh Muhammad bin Salih al-‘Uthamin al-Khairiyyah]
6. Kesimpulannya, masalah ini adalah khalafiyyah yang muktabar. Setiap pihak mempunyai alasan dan sisi pandang yang tersendiri. Maka, sesiapa yang ingin memegang tongkat atau panah atau seumpamanya, maka dia boleh melakukannya. Ia sunnah di sisi sebahagian besar ulama. Sesiapa yang tidak berpendapat demikian, maka dia tidak perlu melakukannya. Tiada perbalahan dalam hal ini. Namun, jika ada arahan rasmi ulul amri untuk mereka yang bertugas secara rasmi, maka dipatuhi arahan ulul amri tersebut. Jika, tiada arahan atau dia berkhutbah dalam premis sendiri, maka hal itu terpulang kepadanya. Adapun Fatwa Negeri Perlis adalah seperti berikut: “Fatwa Perlis mentarjihkan tidak termasuk sunnah untuk khatib memegang tongkat ketika berkhutbah. Melainkan jika ada keperluan seperti khatib yang uzur atau seumpamanya”. (Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa ke-36 / 2018).