Bolehkah Mengubah Tujuan Asal Penderma?
Soalan: Bolehkah saya menggunakan duit lebihan derma untuk kos rawatan isteri yang menghidap kanser payudara tahap 2A yang diterima daripada orang ramai untuk kelangsungan hidup seperti makan, minum, bayar hutang dan sebagainya?
Jawapan Prof Dato Dr MAZA:
1. Seseorang yang diberikan amanah untuk menguruskan derma wajib menunaikan amanah itu mengikut kehendak pemberi derma. Kedudukan saudara sebagai mengurus derma yang diberikan oleh pihak lain kepada isteri saudara ialah kedudukan seorang wakil yang tidak boleh bertindak melainkan dengan keizinan pihak yang diwakili. Jika tidak, ialah termasuk dalam perbuatan khianat kepada amanah dan itu merupakan satu dosa yang besar. Ini telah Allah beri ingatan dalam Surah al-Anfal ayat 27, firman Allah:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَخُونُواْ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَ وَتَخُونُوٓاْ أَمَٰنَٰتِكُمۡ وَأَنتُمۡ تَعۡلَمُونَ
(maksudnya) “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”.
2. Saudara hanya boleh menggunakan wang tersebut dengan tujuan yang lain dengan syarat mendapat keizinan penderma. Jika tidak mendapat keizinan penderma, saudara hendaklah mengembalikan derma tersebut kepada pemberinya. Jika tidak mampu mengembalikan kepada para penderma kerana kesukaran pengurusan atau seumpamanya, maka hendaklah menyalurkan derma itu kepada perkara yang serupa dengan maksud penderma.
3. Jika wang derma itu telah digunakan berbeza dari tujuan penderma, maka hendaklah digantikan kembali jumlah yang telah digunakan itu. Jika tidak, itu dimasukkan dalam dosa mengkhianati amanah.
4. Jika pemberian dari pihak penderma itu bersifat umum, atau difahami dari ungkapan perkataannya atau pengalaman bergaul dengannya bahawa memang untuk pesakit dan keperluan keluarga pesakit termasuk diri saudara, maka ia boleh digunakan pada perkara yang boleh dimasukkan dalam maksud penderma tersebut.
5. Jika wang pemberian itu daripada zakat yang wajib, maka wang itu boleh digunakan untuk perkara-perkara lain yang layak menggunakan harta zakat termasuk membeli makanan dan minuman untuk orang miskin. Jika saudara dalam kategori fakir atau miskin, saudara boleh menggunakannya. Ini kerana zakat wajib boleh disalurkan ke mana-mana pihak yang layak. Zakat yang wajib bukan milik pengeluar zakat untuk dikembalikan kepadanya, sebaliknya milik mereka yang layak menerima zakat.