Bagaimanakah Nak bayar Hutang, jika Pemiutang Tidak Ditemui?
Soalan: Jika berhutang wang dalam jumlah tertentu dengan seseorang, kemudian orang itu berpindah dan pelbagai cara dilakukan untuk mencarinya, namun menemui jalan buntu. Bagaimana cara untuk saya membayar hutang tersebut?
Jawapan Prof. Madya Dato Dr MAZA:
1. Jika seseorang berhutang dengan niat untuk membayar kembali dan tidak sengaja melewatkan pembayarannya maka dia tidak berdosa. Jika sebaliknya, iaitu sengaja melewatkan pembayaran padahal mampu sehingga pemiutang (pemberi hutang) berpindah, maka itu termasuk dalam sabda Nabi s.a.w:
مَطْلُ الغَنِيِّ ظُلْمٌ
“Melewatkan pembayaran hutang oleh orang yang mampu adalah satu kezaliman”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ertinya dosa tersebut akan dibawa pada Hari Kiamat sebagai satu kezaliman kepada diri pemiutang.
2. Jika seseorang ingin membayar hutang, tetapi tidak ditemui pemiutang, dia hendaklah berusaha semampunya untuk mencarinya. Jika dia telah usaha, tiada jalan untuk mengetahui di mana pemiutang itu, maka para ulama yang membahaskan bab ini mencadangkan untuk dia bersedekah dengan kadar hutang berkenaan. Pahala sedekah itu diniatkan untuk pemberi hutang.
3. Jika suatu hari, pemiutang datang menuntut hutangnya setelah sedekah dilakukan, maka orang yang berhutang boleh memaklumkan kepadanya bahawa jumlah tersebut telah disedekahkan. Jika dia bersetuju dengan hal itu, maka hutang tersebut dianggap langsai. Jika dia tidak bersetuju dan menuntut kembali hutangnya, maka hendaklah dibayar kembali hutang tersebut. Adapun sedekah sebelum itu pahalanya kembali kepada pihak yang berhutang.