• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Bacaan Surah Yasin Untuk Orang Nazak

Bacaan Surah Yasin Untuk Orang Nazak

Soalan: Dalam masyarakat kita sering diajar untuk kita membaca Surah Yasin untuk orang yang hampir meninggal. Adakah terdapat hadis dalam perkara ini?

Jawapan Mufti Perlis Dato Dr MAZA:

1. Di sana ada hadis yang menyebut:

اقرَؤُوا عَلى مَوْتَاكُمْ يس

 “Bacalah Yaasin untuk mautakum (orang yang hampir mati kamu)” (Riwayat Ahmad, al-Nasai, Abu Daud, Ibn Majah dll).

Hadis ini disahihkan oleh Ibn Hibban, dan sebelum itu al-Imam Abu Daud juga tidak mendaifkan hadis ini dalam sunannya. Namun begitu para muhahqiq (penganalisa) kalangan ulama hadis termasuk al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) mendaifkan sanad hadis ini disebabkan padanya dua rawi yang majhul (tidak diketahui latar). (lihat: al-Nawawi, Al-Azkar, m.s 204. Damsyik: Maktabah al-Ghazali). Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) dalam Talkhis al-Habir juga menyimpulkan sanadnya daif disebabkan majhulnya dua rawi iaitu Abu Uthman dan bapanya. Bahkan berlaku kecelaruan dalam sanad al-Nasai dan Ibn Majah yang tidak menyebut bapanya dalam sanad. Pun begitu al-Hafiz Ibn Hajar kemudiannya menyebut riwayat-riwayat lain yang menyokong amalan bacaan Yasin kepada yang hampir meninggal. (lihat: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Talkhis al-Habir, 2/244. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah)

2. Maka, khilaf dalam penentuan taraf hadis ini sejak sekian lama. Walaupun kelihatan dari segi teknikal ilmu hadis riwayat ini daif, namun amalan salafussoleh menyokong isi kandungan riwayat tersebut. Ini memberikan nilai tambah secara tidak langsung pada isi kandungan riwayat tersebut.

3. Maka, seseorang boleh memilih pendapat yang dia yakini samada mengamalkannya atau tidak. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h. juga berpendapat bacaan Surah Yasin ke atas mereka yang hampir mati itu adalah digalakkan. (lihat: Ibn Taimiyyah, al-Fatawa al-Kubra, 5/363. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). Maka, kita tidak perlu membantah jika ada yang mengamalkannya dan juga tidak perlu dipertikaikan jika ada yang tidak mengamalkannya.

4. Suka diingatkan, tafsiran yang terpilih bagi perkataan  / موتاكم mautakum (orang yang mati kamu) dalam hadis tersebut ialah orang yang hampir mati, bukan yang sudah mati. Ini selaras dengan hadis lain:

لَقِّنُوا مَوْتَاكُمْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ

 “Sebutkan (ajarlah) pada mautakum La ilaha illa Allah” (Riwayat Muslim).

موتاكم / Mautakum di situ bermaksud mereka yang menghampiri maut kerana dia memerlukan itu sebelum kematiannya. Inilah pandangan yang lebih kuat. (lihat: Mulla ‘Ali al-Qari, Mirqah al-Mafatih, 3/1166. Beirut: Dar al-Fikr).

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 26
Semalam 1188
Minggu Ini 3286
Bulan Ini 21182

Keseluruhan 3093475

   Masa Capaian : 0.90 saat    Kemaskini :  09/12/2024