• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Benarkah Janda Tidak Perlu Wali?

Benarkah Janda Tidak Perlu Wali?

Soalan: Ada orang berkata, seorang janda tidak perlukan wali jika ingin berkahwin. Sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut, adakah wali hanya diwajibkan kepada anak dara?

Jawapan Mufti Perlis Dato' Dr MAZA:

1. Jumhur (majoriti) ulama mensyaratkan wali dalam akad nikah samada anak dara atau janda, kecuali Mazhab Hanafi yang tidak mensyaratkan wali. Pendapat jumhur itu dari segi dalil lebih kukuh, namun perincian perlaksanaan berlaku khilaf dalam kalangan ulama.

2. Pendapat yang tidak mensyaratkan persetujuan wali pula berbeza tentang pendetilan bab tersebut. Apa yang menjadi pendapat terpilih dalam Mazhab Hanafi ialah jika wanita berkahwin tanpa wali dan suami itu sekufu, maka sah nikahnya. Jika tidak sekufu maka tidak sah. Pendapat lain pula, sah nikah sekiranya wanita itu memang tidak mempunyai wali, tetapi tidak sah jika dia mempunyai wali.

3.Hujah utama jumhur yang mensyaratkan wali ialah firman Allah:

فَلَا تَعۡضُلُوهُنَّ أَن يَنكِحۡنَ أَزۡوَٰجَهُنَّ

(maksudnya) “jangan kamu (wali-wali wanita) menghalang mereka mengahwini (bekas) suami-suami mereka..” (Surah al-Baqarah ayat 232)

Jika wali bukan syarat sah, mengapa perlu Allah melarang mereka dari enggan mengizinkan pernikahan?! Ini menunjukkan keabsahan akad nikah bergantung kepada persetujuan wali. Dalam hadis pula Nabi s.a.w bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ نَكَحَتْ بِغَيْرِ إِذْنِ وَلِيِّهَا فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ، فَنِكَاحُهَا بَاطِلٌ

 “Mana-mana wanita yang bernikah tanpa izin walinya, maka nikahnya batil, nikahnya batil dan nikahnya batil”. (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dll. Sahih)

4. Perlu kita faham, peranan wali ialah untuk menjamin keselamatan wanita apabila memasuki kehidupan di bawah jagaan pihak lain (suami). Di smping,  pernikahan juga menjadi penghubung antara keluarga wali dengan keluarga suami anak perempuannya. Sudah pasti dia wajar mempunyai hak dalam membuat persetujuan.

5. Maka berdasarkan pendapat jumhur, wanita janda iaitu yang telah berkahwin dan bersetubuh tetap disyaratkan wali semasa akad nikah. Cumanya, berdasarkan hadis-hadis Nabi s.a.w, wali tidak mempunyai hak untuk menentukan pilihan wanita janda. Seorang janda berhak sepenuhnya menentukan siapakah pilihannya dengan membuat persetujuan secara jelas. Maksudnya, walinya tidak boleh menikahkannya sekalipun dengan yang sekufu sehinggalah jelas dia bersetuju. Jika dia ingin berkahwin dengan seseorang, walinya hendaklah bersetuju.

6. Jika wali enggan, seorang janda tetap berhak untuk berkahwin dengan wali yang lain, atau wali hakim. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w:

الثَّيِّبُ أَحَقُّ بِنَفْسِهَا مِنْ وَلِيِّهَا

“Janda lebih berhak ke atas dirinya dibandingkan walinya” (Riwayat Muslim, al-Nasai, Abu Daud dll).

Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) ketika mensyarahkan hadis di atas:

وَاعْلَمْ أَنَّ لَفْظَةَ أَحَقُّ هُنَا لِلْمُشَارَكَةِ مَعْنَاهُ أَنَّ لَهَا فِي نَفْسِهَا فِي النِّكَاحِ حَقًّا وَلِوَلِيِّهَا حَقًّا وَحَقُّهَا أَوْكَدُ مِنْ حَقِّهِ فَإِنَّهُ لَوْ أَرَادَ تَزْوِيجَهَا كُفُؤًا وَامْتَنَعَتْ لَمْ تُجْبَرْ وَلَوْ أَرَادَتْ أَنْ تَتَزَوَّجَ كُفُؤًا فَامْتَنَعَ الْوَلِيُّ أُجْبِرَ فَإِنْ أَصَرَّ زَوَّجَهَا الْقَاضِي فَدَلَّ عَلَى تَأْكِيدِ حَقِّهَا وَرُجْحَانِهِ

“Ketahuilah bahawa ungkapan “lebih berhak” di sini menunjukkan perkongsian. Maksudnya, bagi janda itu hak dirinya dalam nikah, dan walinya juga ada hak. Namun, haknya lebih kuat dibandingkan hak walinya. Jika walinya ingin menikahkannya dengan lelaki yang sekufu tetapi dia tidak mahu, maka dia tidak boleh dipaksa. Jika dia ingin bernikah dengan lelaki yang sekufu, walinya enggan mengizinkan, maka walinya itu dipaksa untuk setuju. Jika berterusan enggan setuju, kadi menikahkannya. Maka itu menunjukkan kukuh haknya dan mengatasi yang lain” (Syarh Sahih Muslim, 9/204. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi).

Kesimpulannya, janda tetap perlu wali tetapi tidak boleh ditentukan pilihan oleh walinya dan jika walinya menolak pilihannya, dia tetap boleh dikahwinkan juga dengan wali seterusnya atau wali hakim.

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 57
Semalam 1090
Minggu Ini 1147
Bulan Ini 19043

Keseluruhan 3091336

   Masa Capaian : 0.87 saat    Kemaskini :  09/12/2024