• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Sahkah Sujud Atas Kain Telekung?

Sahkah Sujud Atas Kain Telekung?

 

Soalan: Semasa solat, sering berlaku saya sujud atas telekung. Baru-baru ini ada video yang menyatakan solat atas telekung tidak sah. Benarkah hal tersebut? Bagaimanakah dengan solat saya selama ini?

Jawapan Dr MAZA:

1. Sebelum saya menjawab, perlu diketahui bahawa telekung bukan syarat sah solat bagi seorang wanita. Apa yang menjadi syarat ialah menutup aurat semasa solat. Tidak semestinya memakai telekung.

2. Adapun hukum sujud atas kain atau benda yang bersambungan dengan diri orang yang bersolat itu, para ulama khilaf (berbeza pendapat) tentang hal ini.

Pendapat Pertama; tidak sah sujud atas kain atau apa-apa bahan yang bersambungan dengan diri orang yang sedang solat tersebut jika kain atau bahan itu turut bergerak bersamanya. Ini seperti kopiah, balutan serban, ridak di bahu, jubah, tudung dan seumpamanya. Pada pandangan mereka jika itu berlaku bererti, seseorang tidak sujud atas tempat sujud sebaliknya terhalang dengan benda yang ada pada badannya sendiri. Ini merupakan pendapat dalam Mazhab al-Syafii. Ia merupakan pendapat minoriti.

Dalam kitab al-Umm, al-Imam Syafii (meninggal 204H) menyebut:

وَلَوْ سَجَدَ عَلَى جَبْهَتِهِ وَدُونَهَا ثَوْبٌ، أَوْ غَيْرُهُ لَمْ يَجْزِهِ السُّجُودُ إلَّا أَنْ يَكُونَ جَرِيحًا فَيَكُونُ ذَلِكَ عُذْرًا وَلَوْ سَجَدَ عَلَيْهَا وَعَلَيْهَا ثَوْبٌ مُتَخَرِّقٌ فَمَاسَّ شَيْئًا مِنْ جَبْهَتِهِ عَلَى الْأَرْضِ أَجْزَأَهُ ذَلِكَ لِأَنَّهُ سَاجِدٌ وَشَيْءٌ مِنْ جَبْهَتِهِ عَلَى الْأَرْضِ

 “Jika seseorang sujud dengan dahinya, sedangkan ada perantara kain, atau selainnya, maka sujud itu tidak sah untuknya, kecuali jika dia luka, maka itu satu keuzuran. Jika dia sujud atas kain yang terkoyak, lalu sedikit dari dahinya menyentuh bumi (tempat sujud), maka itu sah untuknya kerana dia sujud dan ada bahagian dahinya yang menyentuh bumi (tempat sujud)”. (Kitab al-Umm, 1/323-324. Beirut: Dar al-Ihya al-Turath al-‘Arabi).

Maka, inilah pegangan dalam Mazhab al-Syafii. Dalam Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i disebutkan: “Disyaratkan seseorang itu tidak sujud atas kain yang bersambungan dengannya: ini seperti bahagian tangan bajunya yang panjang, atau serbannya yang jika ia turut bergerak bersama dengan pergerakannya semasa berdiri dan duduk. Ini seperti lembaran kain yang ada atas bahunya. Jika dia sengaja melakukan hal itu, maka batal solatnya. Jika dia melakukan kerana lupa atau jahil, tidak batal, tapi diulang semula sujud itu. Namun, jika kain itu bersambungan dengannya tapi tidak bergerak dengan pergerakannya, maka itu dibolehkan kerana ia sama seperti hukum benda yang berpisah darinya. Demikianlah juga segala yang terputus (tidak bersambungan) darinya seperti tongkat di tangannya, maka tidak mencacatkan jika sujud atasnya. Jika dia sujud atas balutan luka disebabkan darurat, atau kepayahan untuk mengelakkannya, maka sah sujudnya. Tidak wajib ulang kerana seseorang itu tidak wajib ulang solat secara isyarat disebabkan keuzuran. Maka (keadaan) ini lebih wajar (untuk tidak wajib ulang)”. (al-Zuhaili, Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i,1/281. Damsyik: Dar al-Qalam).

Pendapat Kedua: Tidak batal sujud atas kain atau benda yang bersambungan dengan diri orang yang sedang bersolat itu. Ini pendapat jumhur ulama (majoriti). Cumanya, kalangan mereka menyatakan perbuatan itu makruh jika tidak ada sebab yang munasabah seperti kerana tempat sujud itu panas, atau sejuk atau tidak selesa atau seumpamanya.

Kata al-Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) dalam al-Mughni :

قَالَ الْقَاضِي: إذَا سَجَدَ عَلَى كُورِ الْعِمَامَةِ أَوْ كُمِّهِ أَوْ ذَيْلِهِ، فَالصَّلَاةُ صَحِيحَةٌ رِوَايَةً وَاحِدَةً. وَهَذَا مَذْهَبُ مَالِكٍ، وَأَبِي حَنِيفَةَ. وَمِمَّنْ رَخَّصَ فِي السُّجُودِ عَلَى الثَّوْبِ فِي الْحَرِّ وَالْبَرْدِ عَطَاءٌ، وَطَاوُسٌ، وَالنَّخَعِيُّ، وَالشَّعْبِيُّ، وَالْأَوْزَاعِيُّ، وَمَالِكٌ، وَإِسْحَاقُ، وَأَصْحَابُ الرَّأْيِ. وَرَخَّصَ فِي السُّجُودِ عَلَى كُورِ الْعِمَامَةِ الْحَسَنُ، وَمَكْحُولٌ، وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ يَزِيدَ. وَسَجَدَ شُرَيْحٌ عَلَى بُرْنُسِهِ

“Berkata al-Qadi (Abu Ya’la al-Farraa) jika seseorang sujud atas balutan serban, atau tangan bajunya, atau hujung kainnya, maka solat itu sah. Riwayat hanya satu (hanya pandangan al-Imam Ahmad bin Hanbal dalam hal ini). Ini juga pendapat Mazhab Malik dan Abu Hanifah. Antara mereka yang juga memberikan kelonggaran sujud atas kain semasa panas dan sejuk ialah ‘Ataa, Tawus, al-Nakha’i, al-Sya’bi, al-‘Auza’I, Malik, Ishaq  dan tokoh-tokoh al-rakyu ( aliran mengutamakan qiyas). Turut berpendapat kelonggaran sujud atas balutan serban ialah al-Hasan (al-Basri), Makhul dan ‘Abd al-Rahman bin Yazid. Syuraih pula sujud atas burnus (kopiah panjang yang dia pakai)”. (2/196. Kaherah: Hijr).

Alasan jumhur ulama bagi pendapat ini ialah hadis Anas bin Malik

كُنَّا نُصَلِّي مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي شِدَّةِ الحَرِّ، فَإِذَا لَمْ يَسْتَطِعْ أَحَدُنَا أَنْ يُمَكِّنَ وَجْهَهُ مِنَ الأَرْضِ بَسَطَ ثَوْبَهُ، فَسَجَدَ عَلَيْهِ

“Kami solat bersama Nabi s.a.w pada waktu yang sangat panas. Apabila seseorang kalangan kami tidak mampu meletakkan mukanya atas tanah, maka dia bentangkan kainnya, lalu sujud atasnya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) ketika mensyarahkan hadis ini:

قَوْلُهُ فَإِذَا لَمْ يَسْتَطِعْ أَحَدُنَا أَنْ يُمَكِّنَ جَبْهَتَهُ مِنَ الْأَرْضِ بَسَطَ ثَوْبَهُ فَسَجَدَ عَلَيْهِ فِيهِ دَلِيلٌ لِمَنْ أَجَازَ السُّجُودَ عَلَى طَرَفِ ثَوْبِهِ الْمُتَّصِلِ بِهِ وَبِهِ قَالَ أَبُو حَنِيفَةَ وَالْجُمْهُورُ وَلَمْ يُجَوِّزْهُ الشَّافِعِيُّ وَتَأَوَّلَ هَذَا الْحَدِيثَ وَشَبَهَهُ عَلَى السُّجُودِ عَلَى ثَوْبٍ مُنْفَصِلٍ

“Perkataan Nabi s.a.w “apabila seseorang kalangan kami tidak mampu meletakkan mukanya atas tanah, maka dia bentangkan kainnya, lalu sujud atasnya” itu menjadi dalil bagi sesiapa yang membolehkan sujud atas bahagian kain yang bersambungan dengan orang yang bersolat. Inilah pendapat Abu Hanifah dan jumhur (majoriti) ulama. Al-Syafi’i tidak membolehkan. Dia mentakwilkan hadis ini dan mengandaikan sujud atas kain yang terpisah”. (Syarah Sahih Muslim, 5/121. Beirut: Dar al-Turath al-‘Arabi).

Para ulama seperti al-Imam Ibn Daqiq al-‘Id menyatakan bahawa lafaz “kainnya” (ثوبه) memberikan maksud kain yang ada di tubuhnya. Dari segi lafaz ia selari dengan ayat selepas itu “lalu sujud atasnya”. Dari segi luar lafaz pula, pada zaman tersebut mereka tidak mempunyai banyak kain yang dibawa ke sana-sini. (lihat: al-Syaukani, Nil al-Autar, 2/301. Kaherah: Dar al-Hadith).

Oleh kerana dalam hadis tersebut dinyatakan ( فَإِذَا لَمْ يَسْتَطِعْ أَحَدُنَا أَنْ يُمَكِّنَ جَبْهَتَهُ مِنَ الْأَرْضِ بَسَطَ ثَوْبَهُ) “apabila seseorang kalangan kami tidak mampu meletakkan mukanya atas tanah”, maka ia memberi maksud para sahabat tidak melakukan hal itu melainkan jika ada keperluan sahaja. Jika mereka mampu sujud mereka tidak melakukannya. Maka, sebahagian ulama seperti al-Syeikh Muhammad Salih al-‘Uthaimin menyatakan adalah makruh sujud atas kain yang bersambungan dengan orang yang bersolat jika tiada keperluan berbuat demikian. (lihat: al-Uthaimin, al-Syarh al-Mumti’, 1/527. Kaherah: Dar Ibn al-Jauzi)

Kesimpulannya, sujud atas kain atau bahan yang bersambungan serta bergerak bersama dengan orang yang bersolat itu tidak membatalkan solat di sisi majoriti ulama. Cumanya, dalam kalangan majoriti yang memegang pendapat ini menganggap makruh jika tiada keperluan berbuat demikian. Adapun Mazhab al-Syafii menganggap tidak sah sujud sebegitu melainkan jika disebabkan balutan kecederaan.

Pada saya, pandangan jumhur lebih kuat untuk dipegang, namun makruh jika tiada alasan yang munasabah. Ini sesuai dengan hadis tersebut. Solat yang sah secara yakin, tidak wajar dianggap batal atas alasan yang tidak begitu kukuh. Pun bagitu, sesiapa yang dapat mengelakkannya, itu sesuatu yang baik. Namun, tidaklah batal perbuatan itu di sisi majoriti ulama.

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 5
Semalam 1188
Minggu Ini 3265
Bulan Ini 21161

Keseluruhan 3093454

   Masa Capaian : 0.89 saat    Kemaskini :  09/12/2024