• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Hukum Mendedahkan Kecurangan Pasangan di Media?

Hukum isteri dedah kecurangan suami di media sosial?

Soalan: Baru-baru ini tular di media sosial, seorang isteri membuat dakwaan suaminya curang dan melakukan zina dengan wanita lain dengan menyerbu rumah sewa suaminya dan menyebarkan klip video tersebut di alam maya. Apakah hukum si isteri berbuat demikian dengan mencanangkan perkara itu (tuduhan suami berzina) di media sosial dan boleh disaksikan di seluruh dunia? Bukankah perkara itu salah satu daripada membuka aib seseorang?

Jawapan Dr MAZA:

 

1. Islam mewajibkan kita menutup aib peribadi diri kita dan juga orang lain. Dosa antara seseorang dengan Allah haram didedahkan kepada umum. Ini seperti dosa zina, minum arak dan seumpamanya. Perbuatan itu dicegah dan dibantah, tapi bukan untuk dijadikan bahan perbualan ataupun tontonan orang lain. Pelaku dosa peribadi diminta bertaubat, tapi bukan untuk disebarkan cerita atau gambarnya kepada orangramai. Islam anti kepada gosip peribadi seperti itu.

 

2. Hanya boleh didedahkan jika jenis dosa itu membabitkan kezaliman terhadap pihak lain. Itupun untuk proses pengadilan, atau bertanya hukum (jika perlu disebut nama) atau memberi amaran agar pihak lain agar tidak menjadi mangsa seterusnya. Hal ini ditegaskan oleh Allah dalam al-Quran: Firman Allah:

لَّا يُحِبُّ ٱللَّهُ ٱلۡجَهۡرَ بِٱلسُّوٓءِ مِنَ ٱلۡقَوۡلِ إِلَّا مَن ظُلِمَۚ وَكَانَ ٱللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا

(maksudnya) “Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dizalimi, dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha mengetahui”. (Surah al-Nisa: ayat 148).

 

3. Bantahan terbuka terhadap sesuatu dosa peribadi dilakukan jika pelakunya melakukan dosa itu secara terbuka atau berkempen ke arahnya sehingga mencemarkan persekitaran kehidupan yang baik atau tindakan itu menggalakkan maksiat kepada orang awam. Al-Imam al-Ghazali (meninggal 505H) dalam kitabnya Ihya ‘Ulum al-Din telah menyebut mengenai al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahy ‘An al-Munkar:

الشرط الثالث أن يكون المنكر ظاهراً للمحتسب بِغَيْرِ تَجَسُّسٍ فَكُلُّ مَنْ سَتَرَ مَعْصِيَةً فِي داره وأغلق بابه لا يجوز أَنْ يُتَجَسَّسَ عَلَيْهِ وَقَدْ نَهَى اللَّهُ تَعَالَى عنه

“Syarat ketiga: Hendaklah kemungkaran tersebut zahir (jelas) kepada ahli hisbah (pasukan pencegah) tanpa perlu melakukan intipan. Sesiapa yang menutup sesuatu kemaksiatan di dalam rumahnya, dan mengunci pintunya maka tidak harus untuk kita mengintipnya. Allah Ta’ala telah melarang hal ini. (Al-Ghazali, Ihya ‘Ulum al-Din, 3/28, Beirut: Dar al-Khair 1990).

 

4. Perbuatan yang mendedahkan aib peribadi orang, lebih berdosa dibandingkan perbuatan zina atau khalwat itu sendiri. Apatahlagi menyebarkan hal itu di media sosial yang akan ditonton meluas pada zaman ini. Sabda Nabi s.a.w:

يَا مَعْشَرَ مَنْ أَسْلَمَ بِلِسَانِهِ وَلَمْ يُفْضِ الإِيمَانُ إِلَى قَلْبِهِ، لَا تُؤْذُوا المُسْلِمِينَ وَلَا تُعَيِّرُوهُمْ وَلَا تَتَّبِعُوا عَوْرَاتِهِمْ، فَإِنَّهُ مَنْ تَتَبَّعَ عَوْرَةَ أَخِيهِ المُسْلِمِ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ، وَمَنْ تَتَبَّعَ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ وَلَوْ فِي جَوْفِ رَحْلِهِ

“Wahai sekelian yang islam pada lidahnya tapi iman tidak memasuki jantung hatinya! Jangan kamu sakiti kaum muslimin, jangan kamu memalukan mereka, jangan kamu mencari-cari keaiban mereka. Sesungguhnya, sesiapa yang mencari-cari keaiban saudara muslimnya, Allah akan mendapatkan keaibannya. Sesiapa yang Allah mendapatkan keaibannya, Allah akan mendedahkannya walaupun keaiban itu berlaku di tengah rumahnya sendiri”. (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dll. Sahih)

 

5. Nabi s.a.w sendiri mengelakkan aib peribadi itu didedahkan, bahkan disuruh bertaubat secara sendirian; dengan solat dan istighfar. Dalam riwayat Muslim, seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنِّى عَالَجْتُ امْرَأَةً فِى أَقْصَى الْمَدِينَةِ وَإِنِّى أَصَبْتُ مِنْهَا مَا دُونَ أَنْ أَمَسَّهَا فَأَنَا هَذَا فَاقْضِ فِىَّ مَا شِئْتَ. فَقَالَ لَهُ عُمَرُ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ : لَقَدْ سَتَرَكَ اللَّهُ لَوْ سَتَرْتَ نَفْسَكَ. قَالَ : وَلَمْ يَرُدَّ عَلَيْهِ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- شَيْئًا فَقَامَ الرَّجُلُ فَانْطَلَقَ فَأَتْبَعَهُ النَّبِىُّ -صلى الله عليه وسلم- رَجُلاً دَعَاهُ فَتَلاَ عَلَيْهِ هَذِهِ الآيَةَ (أَقِمِ الصَّلاَةَ طَرَفَىِ النَّهَارِ وَزُلَفًا مِنَ اللَّيْلِ إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ذَلِكَ ذِكْرَى لِلذَّاكِرِينَ) فَقَالَ رَجُلٌ مِنَ الْقَوْمِ : يَا نَبِىَّ اللَّهِ هَذَا لَهُ خَاصَّةً؟ قَالَ :« بَلْ لِلنَّاسِ كَافَّةً »

 “Wahai Rasulullah, aku berasmara dengan seorang wanita di hujung bandar. Aku telah melakukan kepadanya (seks), cuma aku tidak menyetubuhinya. Inilah aku, maka hukumlah aku apa yang engkau mahu. Lalu ‘Umar (Ibn Khattab) berkata kepadanya: “Allah telah tutupi keaibanmu jika engkau menutupi dirimu”. Nabi s.a.w tidak berkata apa-apa. Lalu lelaki itu bangun dan pergi. Nabi s.a.w menyuruh seorang lelaki memanggilnya dan membaca kepadanya firman Allah (maksudnya) “Dan dirikanlah sembahyang pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu yang berhampiran dengannya dari malam. Sesungguhnya kebaikan itu menghapuskan kejahatan. Perintah-perintah Allah Yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang Yang mahu beringat” (Surah Hud ayat 114). Maka ada seorang bertanya: “Wahai Nabi Allah, ini khas untuknya sahajakah? Jawab Nabi s.a.w: “Bahkan untuk manusia keseluruhannya”.

 

6. Islam mengetatkan syarat saksi dan proses penyaksian bagi kes zina. Jika gagal dipenuhi syarat, penuduh boleh dijatuhkan hukuman qazaf. Tujuannya, untuk mengelakkan perangai suka menuduh dan mendedahkan aib peribadi orang lain. Sebab itu penzina dihukum 100 sebatan dan yang menuduh tanpa empat orang saksi 80 sebatan. Kadar hukuman yang hampir sama bertujuan menunjukkan kesalahan menuduh yang tiada empat orang saksi –sekalipun mungkin benar- adalah berat di sisi agama. Hampir mustahil empat orang yang baik menyaksikan perbuatan zina sedangkan penzina terus berzina di hadapan mereka. Kalau berlaku juga, memang pelaku zina tersebut yang sengaja mendedahkan maksiat mereka pada orangramai. Dalam ertikata lain, memang Islam tidak mahu hal seperti ini menjadi perbualan gossip dalam masyarakat.

 

7. Tindakan isteri mendedahkan aib peribadi suami kepada awam adalah satu dosa besar. Dia tidak boleh menghalalkan tindakan itu dengan alasan suaminya pun berbuat dosa. Satu dosa tidak menghalalkan dosa yang lain. Mendedahkan keaiban suami hanya merosakkan nama diri sendiri dan juga anak-anak. Demikian suami juga tidak boleh melakukan hal yang sama kepada isteri.

 

8. Jika isteri ingin membantah perbuatan curang suami boleh membantah terus kepada suami, atau kes itu boleh dibawa ke mahkamah untuk pengadilan. Jika beliau sudah tidak dapat menerima suaminya, dia boleh menuntut fasakh atau perpisahan dengan mengemukakan alasan di mahkamah. Demikianlah jika suami meyakini isterinya curang, beliau menuduhnya di mahkamah secara li’an atau beliau boleh terus menceraikannya. Menjadikan nitizen sebagai ‘mahkamah’ menilai dosa peribadi adalah perbuatan yang haram. Ini kerana, dosa tersebut tiada kaitan dengan nitizen dan tiada keperluan untuk mereka tahu.

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 759
Semalam 982
Minggu Ini 2831
Bulan Ini 20727

Keseluruhan 3093020

   Masa Capaian : 0.84 saat    Kemaskini :  09/12/2024