Penebang Balak: Dilaknat dan Direndam Dalam Neraka
Prof Madya Dato Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
1. Dalam hadis, Nabi s.a.w memberikan amaran kepada sesiapa yang menebang pokok bidara yang menjadi teduhan orangramai. Baginda memberitahu bahawa sesiapa yang melakukan hal itu maka Allah akan merendahkan atau merendam kepalanya ke dalam neraka. Daripada ‘Aishah r.ha, sabda baginda s.a.w:
مَنْ قَطَعَ سِدْرَةً صَوَّبَ اللَّهُ رَأْسَهُ فِي النَّارِ
“Sesiapa yang memotong pokok bidara maka Allah merendahkan (menekan) kepalanya dalam neraka” (Riwayat Abu Daud, al-Nasai dalam al-Kubra, al-Baihaqi dll. Hadis sahih).
- Al-Imam Abu Daud al-Sijistani (meninggal 275H) empunya Sunan Abi Daud, ketika ditanya tentang maksud hadis ini, beliau berkata:
هَذَا الْحَدِيثُ مُخْتَصَرٌ، يَعْنِي مَنْ قَطَعَ سِدْرَةً فِي فَلَاةٍ يَسْتَظِلُّ بِهَا ابْنُ السَّبِيلِ، وَالْبَهَائِمُ عَبَثًا، وَظُلْمًا بِغَيْرِ حَقٍّ يَكُونُ لَهُ فِيهَا صَوَّبَ اللَّهُ رَأْسَهُ فِي النَّارِ
(Hadis ini diriwayatkan secara ringkas, ia bermaksud sesiapa dengan sia-sia (tiada alasan yang sah) dan zalim tanpa alasan yang benar memotong pokok bidara di tanah lapang yang mana pengembara dan binatang selalu berteduh di bawahnya, maka Allah merendahkan (menekan) kepalanya ke dalam neraka. (Abu Daud, Sunan Abi Daud, Bab Fi Qat’i al-Sidr).
3. Ertinya, hadis memberikan amaran sesiapa yang merosakkan tumbuh-tumbuhan yang dapat menjadi teduhan orangramai ataupun haiwan maka Allah akan merendahkan atau menekan atau merendamkan kepalanya dalam neraka. Hadis-hadis yang memberikan amaran yang dahsyat sebegini menunjuk perbuatan yang dilarang tersebut termasuk al-Kabair iaitu dosa-dosa besar.
4. Para ulama dahulu berbincang tentang maksud hadis ini. Ada yang kehairanan mengapa pula diharamkan memotong pokok bidara? Ada yang berpendapat ia khas untuk Mekah. Ada yang berpendapat hukum ini telah dimansuhkan. Namun, jawapan al-Imam Abu Daud itu memberikan makna yang dapat difahami tentang maksud hadis ini. Ia berkaitan mereka yang memusnah tempat berehat atau berteduh para musafir atau haiwan. Keadaan panas mendesak manusia dan haiwan mencari perlindungan. Pokok dan pohon yang rendang memayungi manusia dan haiwan dari kepanasan.
5. Pokok bidara dapat tumbuh di padang pasir. Ia mampu menghadapi cuaca kering dan panas. Maka di bawah pohonnya manusia berteduh. Buahnya pula boleh dimakan apabila memerlukan. Memelihara pohon bidara yang berfungsi dengan fungsi tersebut adalah menjaga keseimbangan dan peranan antara ciptaan Allah. Merosakkannya merosakkan anasir penting dalam keselamatan hidup manusia. (sila lihat: al-Qaradawi, Al-Sunnah masdaran li al-Ma’rifah wa al-Hadarah, 142. Kaherah: Dar al-Syuruq 1998).
6. Maka, sesiapa yang memusnahkan tempat perlindungan panas manusia dan haiwan ketika sangat memerlukan tanpa alasan yang benar pastilah termasuk dalam kalangan mereka yang sangat jahat. Tidak hairan jika kepalanya direndam ke dalam neraka.
7. Jika memusnah pokok tempat berteduh semasa manusia kepanasan ketika berada dalam perjalananan atau luar rumah, direndam atau direndahkan kepala dalam neraka, bagaimanakah bagi yang menebang pokok-pokok secara rakus sehingga berlaku bencana yang menyebabkan manusia kehilangan dan kemusnahan rumah dan tempat tinggal?! Ia bukan sekadar manusia hilang tempat berteduh di luar rumah, ini menyebabkan manusia hilang rumah tempat menetap diri dan keluarga, sekolah, tempat kerja, masjid, rumah ibadah dan pelbagai. Bukan sekadar musafir yang melakukan perjalanan, bahkan manusia yang tinggal tetap di situ sejak sekian lama kehilangan segalanya. Apakah lagi kedajalan dan kejahatan yang lebih besar daripada itu?!
8. Jika memotong pokok bidara disembamkan kepala ke dalam neraka, bayangkan jika memotong balak sehingga ribuan manusia menderita dan berlaku kematian!! Potong pokok bidara yang menyebabkan musafir kehilangan tempat berteduh yang bukan milik peribadi sudah dihukum demikian rupa di akhirat. Apatahlagi jika menebang hutan dengan cara yang rakus yang menghilangkan harta peribadi manusia, bahkan membunuh nyawa dan kehidupan insan.
9. Golongan yang memotong pokok sehingga manusia musnah tempat tinggal layak menerima laknat manusia dan kelaknatan itu akan menimpa mereka. Ini seperti yang Nabi s.a.w sabda:
اتَّقُوا اللَّعَّانَيْنِ قَالُوا: وَمَا اللَّعَّانَانِ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: الَّذِي يَتَخَلَّى فِي طَرِيقِ النَّاسِ، أَوْ فِي ظِلِّهِمْ
“Takutlah kamu kepada dua perkara yang menyebabkan dilaknat”. Sahabat bertanya: “Apakah dia dua perkara tersebut?”. Sabda baginda: “Orang yang membuang air besar di laluan orang ramai dan di tempat teduh mereka”. (Riwayat Muslim).
Hadis ini menyebut tentang kelaknatan yang bakal menimpa seseorang disebabkan tindakannya sehingga mengganggu laluan manusia atau mengotorkan tempat teduhan orangramai. Menebang hutan secara tidak bertanggungjawab jauh lebih buruk kesannya daripada itu.
10. Sabda Nabi s.a.w dalam hadis yang lain:
مَنْ آذَى الْمُسْلِمِينَ فِي طُرُقِهِمْ وَجَبَتْ عَلَيْهِ لَعْنَتُهُمْ
“Sesiapa yang menyakiti kaum muslimin pada jalan-jalan mereka dia pasti mendapat laknat mereka” (Riwayat al-Tabarani dengan sanad yang hasan).
Al-Imam al-Son’ani menyatakan bahawa hadis-hadis di atas menunjukkan bahawa pelaku perbuatan tersebut layak menerima laknat. (lihat: al-Son’ani, Subul al-Salam, 1/108. Beirut: Dar al-Hadith).
11. Jika membuang najis di laluan atau tempat teduh orangramai akan menyebabkan terkena laknat manusia, apatahlagi mereka yang melakukan perbuatan sehingga segala rumah, pejabat, tempat rehat, tempat permainan, sekolah, masjid, surau dan lain-lain dimasuki bukan sekadar najis manusia bahkan pelbagai kotoran yang lain. Mereka itu lebih layak menerima laknat.
- Firman Allah:
وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا
(maksudnya) “dan mereka yang menyakiti perasaan orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka (yang menyakiti itu) telah memikul kesalahan secara dusta, dan berbuat dosa ang amat nyata”. (Surah al-Ahzab: 58).
13. Maka, perbuatan menebang hutan sehingga membinasakan kehidupan rakyat merupakan jenayah dunia dan akhirat. Tanpa mengira siapa pun pelakunya, samada golongan bawahan atau bangsawan, ahli politik atau ahli peniagaan, ke atas mereka laknat rakyat. Amaran Nabi s.a.w bahawa laknat itu akan menimpa mereka nanti. Mereka akan menemui padah itu dalam kehidupan dunia dan akhirat.