• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Buya Hamka Dan Perlis

FB IMG 1572426047629Baru-baru semasa melawat Masjid Negeri di Arau, saya melihat gambar Prof Hamka semasa hayatnya yang pernah melawat Perlis. Gambar Buya Hamka menziarahi Perlis itu mengingatkan kita kepada perjuangan Buya Hamka membawa perubahan pemikiran dalam masyarakat Melayu. Hari ini lawatan Ketua Umum Muhammadiyyah Indonesia ke Perlis. Antara antara agenda yang dibincangkan ialah menubuhkan Universiti Hamka Muhammadiyyah Perlis.

Di Malaysia, ramai yang menyanjung Hamka. Namun mereka lupa semasa hidupnya Hamka menghadapi cabaran dituduh sebagai wahabi dan dilarang menyampaikan kuliah di beberapa negeri khususnya Johor. Tulisan Hamka yang khusus mengkritik pegangan Mufti Johor ketika itu ialah TEGURAN SUCI DAN JUJUR TERHADAP MUFTI JOHOR.

  1. Antara yang Prof Buya Hamka sebut dalam buku tersebut mengenai tuduhan wahabi:

    “Jika kami hendak dikatakan salah, adalah kerana kami yang mula-mula membuka mata, yang mula-mula menerangkan isi kitab yang tersembunyi, misalnya, sejak 1000 tahun dahulu, telah tertulis di dalam kitab-kitab termasuk juga kitab-kitab di dalam Mazhab Syafie, ada ulama’ menyatakan bahawa melafazkan “usolli” pada permulaan takbirat-ul-ihram tidaklah berasal dari Nabi, tidak dairpada sahabat-sahabat, tidak daripada tabi’in dan tidak daripada keempat-empat ulama’ ikutan kita, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Muhammad Idris asy-Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal. Sedang yang terajarkan lebih dahulu ialah memakai “usolli”.

    Maka, pada tahun 1911, dibukalah hal itu oleh asy-Syaikh Abdul Karim Amrullah (ayah beliau) dengan bukunya “al-Fawaid-ul-‘Aliyyah” dibukanya seperti biasa saja. Lalu, ulama’ yang lain terkejut. Ada yang menentang sebab orang awam telah biasa memakai “usolli”.

    Kemudian, ada yang marah kerana nas keterangan itu diambilnya pula daripada kitab “Zaad-ul-Ma’ad”, karangan Ibn-ul-Qayyim yang bermazhab Hanbali dan ada pula yang lebih marah, lalu memaki-hamun dan mencarut-marut mengatakan al-Haj Abdul Karim Amrullah (atau gelarannya, “Haji Rasul”) telah keluar dari mazhab! Bahkan ada yang gelap mata, lalu menuduh (beliau sebagai) Mu’tazilah dan Wahhabi sebab tuduhan Wahhabi adalah tuduhan berisi penghinaan”. (Hamka, TEGURAN SUCI DAN JUJUR TERHADAP MUFTI JOHOR, m/s 45, Pustaka Dini).


  2. Prof Hamka juga pernah mencerita pengalaman ayahnya yang dituduh wahabi dan keluar Mazhab Syafi’i dalam bukunya AYAHKU: “Sebelum beliau datang telah keluar fatwa Syeikhul Islam (gelaran mufti-pen) itu menyatakan bahawa akan datang ke mari seorang ulama yang sesat lagi menyesatkan, wahabi, kaum muda, tidak percaya kepada ulama-ulama dan keluar dari mazhab Syafi’i ” (Ayahku, m/s 160. Pustaka Dini)


  3. Prof Hamka dalam bukunya Ayahku juga menceritakan bagaimana beliau nekad seperti ayahnya: “Bahkan seketika terjadi pertemuan ulama Sumatera-Malaya yang diadakan Jepun pada tahun 1943 di Singapura, sengaja beberapa orang ulama Singapura menemui kami sebelum ke perjumpaan di mulai, menyatakan bahawa sekali-kali jangan dibawa ke mari fahaman-fahaman yang keluar dari Mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah dan keluar dari Mazhab Syafi’i. Ketika ada kawan-kawan yang nakal memberitahu bahawa saya anak Haji Rasul, mata ulama itu ‘melotot’ serupa biji rambutan melihat saya dan saya pun jadi nekad pula sebagai mana nekadnya ayah saya. Takut benar ulama-ulama di sana pada waktu itu bahawa Mazhab Syafi’i akan berubah lantaran Kaum Muda Sumatera atau Muhammadiyyah di Jawa...alangkah sempitnya, perkara pakaian pun mereka kaitkan dengan mempertahankan berfikir dalam satu mazhab” (m/s 162)


  4. Prof Hamka dalam buku Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor membela diri tentang tuduhan wahabi yang dilemparkan kepada gerakan pembaharuan ketika itu. Kata Hamka “Memang apabila orang kehabisan hujah dan alasan, mereka pun kembali memakai perkakas fitnah. Dan inilah yang menyebabkan pecah belah umat Islam, berkaum tuan berkaum muda. Bagi kami yang dikatakan kaum muda itu tidaklah keberatan jika dituduhkan Wahabi. Kalau 20 atau 30 tahun yang lalu semasa pengetahuan agama hanya boleh dipercayai oleh mufti-mufti sahaja, mungkin orang takut dikatakan Wahabi. Tetapi sekarang orang telah tahu bahawa Wahabi tidak lain adalah daripada penganut Mazhab Hanbali dan memang mazhab Hanbali terkenal mazhab yang keras mempertahankan sunah. Dan yang berpengaruh memperbaharui faham Mazhab Hanbali itu ialah Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah dan Ibnu Qayyim. Oleh sebab itu bagi kami dituduh Wahabi bukanlah satu penghinaan.” (76-77).


  5. Dalam buku ‘Teguran Suci dan Jujur Terhadap Mufti Johor’, Hamka mengingatkan para penentang gerakan pembaharuan agar berubah sikap. Kata Hamka: “Maka orang tua yang dahulunya berusaha keras mempertahankan gelaran itu dengan segala daya upaya, menuduh sesat, zindiq, Wahabi, mulhid, orang tua itu sekarang masih hidup untuk menyaksikan dengan kepalanya sendiri kemenangan yang sekian kalinya dari gerakan kaum-muda! Akhirnya, semua orang hendak dikafirkannya”

    Katanya juga: “Maka pengalaman kita sejak 50 tahun patutlah menjadi ikhtibar kita sekarang, banyak isi kitab yang tersembunyi dikeluarkan. Dan banyak tumbuh masalah baru yang hendak kita kiasi dan kita tapis! Jangan marah tetapi telek baik-baik, bicara dengan tenang. Kerana kalau disambut hanya dengan marah, tentu yang mengeluarkan pendapat itu marah campur pula orang awam. Maka bahas berganti jadi jidal, tumbuhlah permusuhan! Pengalaman 50 tahun jadi pelajaran bagi kita. Hanya kucing saja yang tidak berubah kerana pengalaman walaupun bermukim di Mekah 20 tahun. Memang ada juga orang yang tidak suka berebut-rebut. Jangan buka-buka masalah baru. Biarkan orang tinggal bodoh seperti dahulu dan kalau adapun fatwa dari mufti, hendaklah terima dengan: Na’am! Tetapi orang itu sudah sangat jauh ditinggalkan keretapi!” (m/s 48-49).


  6. Maka, dengan itu Prof Hamka membela tokoh-tokoh reformis ketika itu yang dituduh wahabi dan keluar Mazhab Syafi’i , antaranya Syeikh Abu Bakar al-Ashaari dari Perlis. Kata buya Hamka dalam bukunya ‘Dari Hati ke Hati’ : “Pada tahun 1957, H. Abu Bakar Asy’ariy dari Perlis mengeluarkan sebuah buku berjudul Ibadat Rasulullah, pun dia mengeluarkan pendapat-pendapat yang baru bagi kaum taqlid, tetapi soal biasa bagi orang yang berpandangan luas, dari Johor jugalah keluar larangan membaca dan mengedarkan buku itu” (m.s 95. Pustaka Dinie)

    Dalam buku ‘Teguran Suci dan Jujur’, Hamka juga menyebut nama Syeikh Abu Bakar al-‘Ashaari dengan berkata: ‘Di Malaya timbul pula al-Ustaz yang dinamai Kaum Muda itu berusaha menuangkan ilmu yang ada padanya, bintang-bintang yang berkelap-kelip di langit Malaya, seumpama alUstaz al-Fadhil Abu Bakar Ashaari, al-Ustaz al-Fadhil Mustafa Abdul Rahman, dan lain-lain” (m.s 51)


  7. Banyak lagi yang ditulis oleh Buya Hamka. Rakyat Malaysia patut membacanya. Malanglah bagi satu masyarakat jika orang yang berfikir luas dan terbuka seperti Buya Hamka dituduhnya wahabi. Itu konotasi kepada fikiran sempit. Sementara yang sempit dan tidak terbuka untuk melihat kepelbagaian pendapat dalam agama, mereka itu memanggil diri Ahlussunnah Wal Jamaah yang sebenar.

Dr. MAZA

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 383
Semalam 1090
Minggu Ini 1473
Bulan Ini 19369

Keseluruhan 3091662

   Masa Capaian : 0.82 saat    Kemaskini :  09/12/2024