• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Bilakah Belajar Agama Dihumban ke Neraka?

Bilakah Belajar Agama Dihumban ke Neraka?

Prof Madya Dato Dr Mohd Asri b. Zainul Abidin

1. Sesungguhnya ikhlas adalah asas utama dalam setiap amalan. Niat yang betul dan baik menjadikan seseorang itu mulia di sisi Allah. Niat yang buruk pula menjadikan seseorang itu hina di sisi Allah walaupun kelihatan hebat di sisi manusia. Ilmu agama dipelajari untuk mendapat keredhaan Allah. Atas niat mencari keredhaan Allah, pengajian agama melahirkan ulama yang berprinsip, berpegang kepada manhaj ilmu dan tidak menjual kebenaran hanya kerena kepentingan dunia. Sebaliknya, jika penuntut ilmu agama itu bertujuan mendapat kedudukan di dunia, maka agama akan dijadikan bahan dagangan. Prinsip akan dikorbankan dan ilmu agama menjadi mainan. Justeru, menuntut ilmu agama untuk tujuan dunia merupakan satu dosa yang besar.

Ilmu Agama Untuk Dunia

  1. Bagi memelihara ilmu agama dari dijadikan mainan mereka yang berkepentingan, Nabi s.a.w telah memberikan amaran tentang hal ini;

عَنْ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ  سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «مَنْ طَلَبَ العِلْمَ لِيُجَارِيَ بِهِ العُلَمَاءَ أَوْ لِيُمَارِيَ بِهِ السُّفَهَاءَ أَوْ يَصْرِفَ بِهِ وُجُوهَ النَّاسِ إِلَيْهِ أَدْخَلَهُ اللَّهُ النَّارَ.

(maksudnya): Daripada Ka’b bin Malik R.A., katanya: Aku mendengar RasululLah S.A.W bersabda: “Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama, atau berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu tersebut wajah orangramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka”.

(Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah dari Ibn ‘Umar, Jabir, Huzaifah dan Abu Hurairah. Al-Hakim meriwayatkan daripada Jabir dan menilainya sahih. Ini disetujui oleh al-Zahabi (lihat: Al-Mustadrak 1/272, Beirut: Dar al-Ma’rifah). Sanad hadis ini daif, namun hadis ini mempunyai syahid (pembuktian daripada riwayat lain) yang menguatkan antara satu sama lain). Ini yang boleh mengangkat kedudukannya kepada hasan atau sahih).

  1. Dalam hadis yang lain, Nabi s.a.w bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مَنْ تَعَلَّمَ عِلْمًا مِمَّا يُبْتَغَى بِهِ وَجْهُ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ لَا يَتَعَلَّمُهُ إِلَّا لِيُصِيبَ بِهِ عَرَضًا مِنَ الدُّنْيَا لَمْ يَجِدْ عَرْفَ الْجَنَّةِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ يَعْنِي رِيحَهَا

(maksudnya): Daripada Abu Hurairah; Sabda Rasulullah S.A.W.: “Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dengannya dicari redha Allah Azza wa Jalla, tetapi dia tidak mempelarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat”.

(Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dll. Hadis sahih. Dinilai sahih oleh al-Nawawi, al-‘Iraqi, al-Albani, al-Arnaut dll)

 

Tujuan Ilmu Agama

4. Tujuan menuntut ilmu agama adalah untuk mengetahui perintah dan larangan Allah. Demikian juga melalui ilmu agama kita akan mengetahui ajaran, panduan dan pelbagai ilmu lain untuk kebaikan kehidupan di dunia dan akhirat. Ilmu agama mengeluarkan kita daripada kejahilan kepada cahaya. Ilmu menjadikan pemiliknya mengetahui kebenaran dan membelanya. Itulah tugasan dan tanggungjawab penuntut ilmu (طالب العلم) dan ulama.

5. Menuntut ilmu khususnya ilmu agama adalah ibadah dan jihad. Ia membawa insan muslim ke syurga. Namun jika seseorang ingin bermegah-megah dengan ilmu agamanya, bukan untuk kebenaran tetapi sekadar untuk menaikkan diri dan kedudukannya sahaja, maka dia telah menyimpang dari tujuan sebenar. Niat itu berisiko besar membawa agama diselewangkan.

 

Bersaing Dengan Ulama

6. Dalam hadis di atas disebut : لِيُجَارِيَ بِهِ الْعُلَمَاءَ iaitu untuk bersaing dengan ulama. Kata al-Imam Ibn Athir ابن الأثير (wafat 606H): “Maksudnya untuk dia bersama ulama di dalam perbahasan dan perdebatan bagi menzahirkan ilmunya kepada orang ramai dengan tujuan  riyak dan sum`ah سمعة (inginkan kemasyhuran)”. (rujukan: Ibn al-Athir, Al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa Al-Athar النهاية في غريب الأثر, 1/256. Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).

7. Turut berbincang dan berbahas dalam majlis ulama atau dengan para ulama bukanlah suatu kesalahan jika tujuannya mencari keredhaan Allah. Apatah lagi lagi jika seseorang itu memiliki pengetahuan dalam perkara yang dibahaskan. Islam menggalakkan kebangkitan ilmu dan perkembangan intelektual yang bertujuan mencari kebenaran. Islam mengalu-alukan ijtihad yang baik yang memenuhi syarat-syarat keilmuan. Namun yang salah ialah apabila tujuan atau niat ingin menjadikan ilmu sebagai jambatan kesombongan dan ketakaburan. Ilmu yang sepatutnya membawa diri kepada syukur dan insaf dijadikan sebagai punca sikap bangga diri dan menunjuk-nunjuk.

8. Kesannya niat buruk sangat bahaya; orang yang seperti ini hanya mementingkan dirinya sahaja, bukan kesahihan fakta. Dia hanya ingin menegakkan hujahnya untuk menaikkan namanya, bukan untuk mencari kebenaran yang Allah redhai. Jika dia melihat kebenaran di pihak lain, dia akan menolak dan mencari dalih yang baru demi menjaga kemasyhuran diri. Maka, tempat orang seperti ini di dalam neraka kerana telah cabul terhadap amanah ilmu. Ramai boleh tersesat jika niat seperti ini menguasai keadaan. Kata al-Imam al-Tibi الطيبي (wafat 743H): “Maksud hadith ini ialah dia tidak menuntut ilmu kerana Allah, sebaliknya untuk dia berkata kepada para ulama: “Aku ini berilmu seperti kamu”, kemudiannya dia takabur dan meninggikan diri pada orang ramai. Ini semuanya (sifat) yang tercela dan azab siksa akan dikenakan kepadanya”. (rujukan: Al-Tibi, Syarh al-Tibi `ala al-Miskah al-Masabih, 1/420. Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah)

 

Bertengkar Dengan Orang Jahil

9. Niat buruk kedua yang disebut dalam hadis tadi ialah: لِيُمَارِيَ بِهِ السُّفَهَاءَ untuk bertengkar dengan orang jahil. Kata Imam al-Munawi (meninggal 1031H): “Maksudnya ialah untuk dia berhujah dan bertengkar dengan mereka secara sombong dan membanggakan diri”. (Al-Munawi, Faidh al-Qadir فيض القدير, 6/176. Mesir: al-Maktabah al-Tijariyah al-Kubra).

10. Tujuan ilmu ialah untuk menyelamatkan orang jahil agar menemui ilmu dan kebenaran bukan untuk bertengkar kesombongan. Ini kerana pengetahuan golongan yang jahil sangat terhad dan memerlukan bimbingan. Adalah satu niat yang buruk jika seseorang menuntut ilmu agama untuk berlagak di hadapan orang jahil, bukan untuk membimbing mereka. Orang jahil yang tiada ilmu pasti menyangka dia hebat. Mungkin juga tertipu dengan persembahan ilmunya yang penuh bongkak. Mereka mungkin juga menganggap ilmu agama tidak memberikan manfaat kerana tidak dapat memandu akhlak orang menuntutnya, sebaliknya mereka hanya melihat kesombongan sahaja.

11. Sebenarnya berbahas, atau berhujah, atau berdebat itu sendiri bukanlah perkara yang terlarang dalam syariat, tetapi ia mestilah dengan tujuan dan cara yang baik serta hasrat membela kebenaran. Ia bukan untuk kesombongan dan ketakburan, tetapi untuk membimbing manusia kembali kepada hidayah . Firman Allah dalam Surah al-Nahl ayat 125:

ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ

(maksudnya) Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan) dan nasihat pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lebih mengetahui siapa yang mendapat hidayah petunjuk.

 

Cari Kedudukan Jual Agama

12. Niat buruk ketiga yang disebutkan dalam riwayat ini ialah يَصْرِفَ بِهِ وُجُوهَ النَّاسِ إِلَيْهِ (agar dengan ilmu itu dia menjadikan wajah orang ramai tertumpu kepadanya). Ertinya, dia menjadikan pengetahuan agama untuk mencari populariti atau mendapat kedudukan dan jawatan. Menjadikan orang ramai tertarik kepadanya. Orang yang seperti ini sebenarnya menjadikan ilmu agama sebagai matawang yang dia berdagang dengannya mendapat kedudukan, nama dan jawatan. Mereka akan menjual prinsip dan kebenaran hanya untuk mencapai tujuan keduniaan. Dari niat inilah lahirnya ulama jahat yang mempertaruhkan ilmu agama untuk mencari redha manusia. Di zaman ini, termasuk dalam golongan ini mereka yang berjuang untuk mendapatkan “likes” di media social sekalipun melanggar prinsip ilmu yang sahih.

13. Kesalahan penuntut ilmu atau golongan ulama bukan kerana mereka mendapat habuan dunia atau kemasyhuran dari ilmu mereka, tetapi niat untuk memburu dunia dengan mempergunakan agama. Jika mereka menuntut ilmu agama kerana Allah, kemudian atas kurniaan Allah mereka mendapat habuan dunia seperti pangkat, harta dan kemasyhuran, maka mereka tidak salah. Ini kerana niat mereka bukan hal-hal tersebut, sebaliknya kerana redha Allah. Itu adalah anugerah Allah. Apa yang penting mereka tidak menggadaikan ilmu agama kerana dunia.

Kesimpulan

14. Jika tiga niat buruk ini berada dalam jiwa pemegang amanah ilmu maka ilmu tidak lagi menjadi cahaya yang menerangi kegelapan, sebaliknya ilmu akan dijadikan jualan untuk mendapatkan habuan dunia semata. Oleh itu Nabi s.a.w menjanjikan tiga niat buruk ini dengan neraka.

15. Justeru itu, semua para penuntut ilmu syarak di semua peringkat hendaklah membersihkan niat asal mereka dalam menuntut ilmu. Jika golongan ilmuan Islam dapat dipulihkan niat mereka agar bersih dan mencari redha Allah s.w.t pastinya Islam akan terbela dan ilmu Islam akan dipandang mulia lagi terhormat.

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 451
Semalam 1090
Minggu Ini 1541
Bulan Ini 19437

Keseluruhan 3091730

   Masa Capaian : 0.85 saat    Kemaskini :  09/12/2024