Soalan: Apakah boleh saya sebagai seorang isteri meninggalkan rumah kerana sering dipukul oleh suami dan diperlakukan dengan cara yang tidak wajar? Dia juga melarang saya pulang menziarahi ibubapa saya. Bolehkah saya meninggalkan rumah bagi menyelamatkan diri sementara proses meminta fasakh?
Jawapan Dr MAZA: Semoga Allah menyelamatkan puan dari kezaliman. Semoga Allah membaiki urusan kehidupan puan. Adapun merujuk kepada soalan yang dikemukakan maka di sini dijelaskan perkara-perkara berikut;
- Asalnya seorang isteri tanpa sebab yang syar’i (diizinkan syarak) tidak boleh keluar dari rumah suami iaitu rumah kehidupan suami-isteri (bait al-zaujiyah) tanpa keizinan suami. Para ulama telah memberikan banyak dalil syarak yang membuktikan hal ini. Antaranya, hadis Nabi s.a.w:
إِذَا اسْتَأْذَنَكُمْ نِسَاؤُكُمْ بِاللَّيْلِ إِلَى المسْجِدِ، فَأْذَنُوا لَهُنَّ
“Apabila isteri-isteri kamu meminta keizinan kamu untuk ke masjid pada waktu malam maka izinkanlah mereka” (Riwayat al-Bukhari).
Dalam riwayat Muslim tidak disebut بالليل (pada waktu malam).
Hadis ini menunjukkan wanita hendaklah meminta izin keluar rumah sekalipun ke masjid.
Dalam Fath al-Bari disebutkan:
اسْتُدِلَّ بِهِ عَلَى أَنَّ الْمَرْأَةَ لَا تخرج من بَيْتِ زَوْجِهَا إِلَّا بِإِذْنِهِ
“Dijadikan hadis ini dalil bahawa wanita tidak boleh keluar dari rumah suaminya kecuali dengan izin suami” (Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/347. Beirut: Dar al-Ma’rifah). - Maka isteri hendaklah memohon keizinan suami untuk keluar rumah termasuk untuk pergi menziarahi kedua ibubapanya. Ini kerana dalam hadis isteri Nabi s.a.w iaitu Aishah r.aha memohon izin baginda untuk pulang ke rumah ibubapanya. Ini seperti riwayat dalam peristiwa hadis al-Ifk (peristiwa fitnah terhadap Aishah), Aishah berkata kepada Nabi s.a.w:
أَتَأْذَنُ لِي أَنْ آتِيَ أَبَوَيَّ؟ قَالَتْ: وَأُرِيدُ أَنْ أَسْتَيْقِنَ الخَبَرَ مِنْ قِبَلِهِمَا، قَالَتْ: فَأَذِنَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Adakah engkau mengizinkan daku mendatangi kedua ibubapaku? Kata Aishah -meriwayatkan peristiwa itu - : “Sebabnya aku ingin mendapatkan kepastian berita tersebut daripada kedua mereka”. Maka Rasulullah s.a.w mengizinkan daku. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). - Ertinya, jika suami tidak mengizinkan, sementara isteri juga tidak mempunyai alasan yang diiktiraf di sisi syarak, maka isteri tidak boleh keluar dari rumah suami. Jikalau agama memberikan kebebasan untuk isteri keluar rumah tanpa memerlukan keizinan suami sebagai ketua keluarga, sudah pastilah rumah tangga tidak mempunyai peraturan. Kehidupan suami isteri tidak dapat diwujudkan kerana isteri boleh berada di mana sahaja yang dia suka. Apakah ertinya perkahwinan jika demikian rupa?! Maka suami hendaklah ditaati dalam perkara yang tidak menyanggahi syarak.
- Namun begitu, ketaatan isteri kepada suami mempunyai batasannya. Jika ketaatan itu membawa kepada menyanggahi syariat Islam maka tiada ketaatan lagi di saat itu. Ini termasuklah jika suami menyuruh isteri menderhakai ataupun menyakiti ibubapa isteri, ataupun memutuskan silatur rahim, ataupun melakukan sesuatu yang memudaratkan diri isteri. Sabda Nabi s.a.w:
السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى المَرْءِ المُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ، مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَة
“Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) - Adapun menziarahi ibubapa dengan kadar yang munasabah dari segi uruf (kebiasaannya), maka suami tidak boleh menghalang isteri. Ini kerana halangan itu boleh menyebabkan putusnya hubungan anak dan ibubapanya. Jika halangan itu telah menyebabkan putusnya hubungan, maka suami melakukan dosa yang besar. Melainkan, jika suami mempunyai alasan yang kukuh bahawa kepulangan ke rumah ibubapa itu boleh membawa mudarat lain yang lebih besar seperti terbabit dalam kemunkaran ataupun merosakkan hubungan suami-isteri dan seumpamanya. Sementara isteri hendaklah meminta keizinan setiap kali hendak keluar. Jika suami tidak mengizinkan sehingga boleh memudaratkan hubungan dirinya dan ibubapanya, maka isteri boleh menziarahi ibubapa sekalipun tanpa keizinan.
- Dengan itu, dengan kadar yang sesuai pada adat kebiasaan dan kemunasabahan kedudukan isteri, dia boleh menziarahi ibubapanya sekalipun tanpa keizinan suami. Demikian juga jika ibubapa dalam keadaan uzur dan memerlukan khidmat anak, maka isteri boleh menziarahi ibubapanya untuk memberikan khidmat sekalipun tanpa keizinan suami. Inilah pendapat yang selaras dengan keinsanan dan kedudukan isteri sebagai insan yang mempunyai ibubapa dan perasaan. Ibn Nujaim al-Misri (meninggal 970H) dalam Bahr al-Raiq Sharh Kanz al-Daqaiq menyebut:
وَلَوْ كَانَ أَبُوهَا زَمِنًا مَثَلًا وَهُوَ يَحْتَاجُ إلَى خِدْمَتِهَا وَالزَّوْجُ يَمْنَعُهَا مِنْ تَعَاهُدِهِ فَعَلَيْهَا أَنْ تَعْصِيَهُ مُسْلِمًا كَانَ الْأَبُ أَوْ كَافِرًا، كَذَا فِي فَتْحِ الْقَدِيرِ. وَقَدْ اُسْتُفِيدَ مِمَّا ذَكَرْنَاهُ أَنَّ لَهَا الْخُرُوجَ إلَى زِيَارَةِ الْأَبَوَيْنِ وَالْمَحَارِمِ فَعَلَى الصَّحِيحِ الْمُفْتَى بِهِ تَخْرُجُ لِلْوَالِدَيْنِ فِي كُلِّ جُمُعَةٍ بِإِذْنِهِ وَبِغَيْرِ إذْنِهِ وَلِزِيَارَةِ الْمَحَارِمِ فِي كُلِّ سَنَةٍ مَرَّةً بِإِذْنِهِ وَبِغَيْرِ إذْنِهِ، وَأَمَّا الْخُرُوجُ لِلْأَهْلِ زَائِدًا عَلَى ذَلِكَ فَلَهَا ذَلِكَ بِإِذْنِهِ
Jika bapa isteri sakit umpamanya, dan dia berhajatkan kepada khidmatnya (anaknya) sedangkan suaminya melarang menziarahinya, maka hendaklah isteri melanggar larangannya. Ini sama ada bapa tersebut muslim ataupun kafir. Demikian yang disebutkan dalam Fath al-Qadir. Boleh disimpulkan juga daripada apa yang kami sebut ini bahawa bagi isteri hak untuk keluar menziarahi ibubapa dan mahramnya. Pendapat yang sahih yang difatwakan dengannya ialah isteri boleh keluar menziarahi kedua ibubapanya setiap Jumaat (seminggu sekali) sama ada dengan izin suami ataupun tanpa izinnya. Juga boleh menziarahi mahramnya setiap tahun sekali sama ada dengan izin suami ataupun tanda izinnya. Adapun keluar menziarahi keluarga melebihi dari yang demikian itu maka hendaklah mendapat keizinan”. (Ibn Nujaim, Bahr al-Raiq, 4/212. Beirut: Dar al-Kitab al-Islami).
Kadar jumlah ziarah yang beliau sebut itu ialah pandangan beliau berdasar uruf pada zaman dan tempat beliau ketika itu. - Adapun Mazhab Syafi’i, demikian juga Mazhab Hanbali memberikan hak kepada suami untuk menghalang isteri menziarahi ibubapa, saudara mara, bahkan berhak menghalang isteri dari menghadiri kematian (jenazah) ibubapa dan anak sendiri. Ini seperti yang disebut dalam Asna al-Matalib fi Sharh Raud al-Talib
وَلِلزَّوْجِ مَنْعُ زَوْجَتِهِ مِنْ عِيَادَةِ أَبَوَيْهَا وَمِنْ شُهُودِ جِنَازَتِهِمَا وَجِنَازَةِ وَلَدِهَا وَالْأَوْلَى خِلَافُهُ
“Bagi suami itu hak melarang isterinya dari menziarahi kedua ibubapanya (isteri), menghadiri jenazah keduanya dan jenazah anaknya. Namun yang lebih patut mengizinkannya”. (Zakaria al-Ansari, 2/239. Beirut: al-Maktab al-Islami).
Pada pandangan kita, pendapat ini dianggap tidak begitu selaras jika dinilai di sudut keadilan dan ehsan yang Allah perintahkan. Demikian ia bercanggah dengan arahan pergaulan yang baik antara suami isteri yang diperintahkan oleh al-Quran dan hadis. Perkahwinan bukan penjara yang menyiksa kehidupan seorang wanita. Hubungan suami isteri yang diakadkan setelah isteri itu dewasa tidak sepatutnya menjadi pemutus kepada hubungan anak dan ibubapa serta adik beradik yang wujud sejak awal kehidupannya. Ini melainkan jika suami mempunyai alasan yang kukuh seperti ziarah itu membawa kepada kerosakan yang lain.
Dalam Al-Mufassal fi Ahkam al-Marah, Dr Abd al-Karim al-Zaydan menyatakan: “jika suami melarang isteri tanpa alasan yang diterima syarak sedangkan adanya keperluan-keperluan untuk menziarahi seperti yang saya sebut, maka boleh bagi isteri untuk menderhakai suami dan tidak mentaatinya dalam larangan tersebut” (7/295. Beirut: Muassasah al-Risalah). - Adapun isteri melarikan diri dari rumah disebabkan bahaya ataupun kemudaratan maka hal ini tentunya lebih utama dari menziarahi ibubapa dan mahramnya. Jika isteri dibolehkan keluar rumah disebabkan ibu ataupun bapa sakit dan memerlukannya, sudah pasti isteri dia boleh keluar rumah jika dia sendiri disakiti serta dalam bahaya.
- Allah melarang seseorang mencampakkan diri dalam kebinasaan. Ini seperti firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 195:
وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ
(maksudnya) “Jangan kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan”.
Membiarkan diri diseksa dan dipukul oleh suami adalah satu kezaliman terhadap diri sendiri dan mencampakkan diri ke dalam kebinasaan. - Nabi s.a.w bersabda:
لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ
“Tiada mudarat dan memudaratkan” (Riwayat Malik, Ahmad, Ibn Majah, al-Hakim dll).
Antara maksud hadis ini yang disyarahkan oleh para ulama ialah seseorang tidak boleh memudaratkan diri sendiri ataupun memudaratkan orang lain. - Bahkan al-Imam Ibn Hazm al-Andusia ketika membahaskan larangan membiarkan diri dizalimi oleh pemerintah menyebut:
فَإِذا كَانَ هَذَا كَذَلِك فيقين لَا شكّ فِيهِ يدْرِي كل مُسلم أَن أَخذ مَال مُسلم أَو ذمِّي بِغَيْر حق وَضرب ظَهره بِغَيْر حق إِثْم وعدوان وَحرَام قَالَ رَسُول الله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم إِن دماءكم وَأَمْوَالكُمْ وَأَعْرَاضكُمْ حرَام عَلَيْكُم فَإذْ لَا شكّ فِي هَذَا وَلَا اخْتِلَاف من أحد من الْمُسلمين فالمسلم مَاله للأخذ ظلما وظهره للضرب ظلما وَهُوَ يقدر على الِامْتِنَاع من ذَلِك بِأَيّ وَجه أمكنه معاون لظالمه على الْإِثْم والعدوان وَهَذَا حرَام بِنَصّ الْقُرْآن وَأما سَائِر الْأَحَادِيث الَّتِي ذكرنَا
Jika demikian maka sesuatu yang yakin tanpa syak yang diketahui oleh setiap muslim bahawa mengambil harta muslim ataupun zimmi tanpa cara yang sebenar dan memukul belakangnya tanpa kesalahan yang sebenar adalah dosa, permusuhan dan haram. Sabda Nabi s.a.w: "Sesungguhnya darah kamu, harta kamu, maruah kamu adalah haram antara kamu (untuk dicemari)”. Maka tiada syak dan tiada perbezaan pendapat kalangan muslimin bahawa orang yang menyerahkan hartanya untuk perampas secara zalim, memberikan belakangnya untuk dipukul secara zalim sedangkan dia mampu untuk menghalang hal itu dengan apa cara yang mungkin, maka itu adalah pertolongan kepada orang yang menzaliminya atas dosa dan permusuhan, dan ini haram dengan nas al-Quran dan segala hadis yang kami telah sebut..” (Ibn Hazm, Al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa wa al-Nihal, 4/133. Kaherah: Maktabah al-Khaniji).
Ertinya, jika isteri membiarkan diri dipukul dan diseksa sedangkan dia boleh melepaskannya, maka dia boleh termasuk dalam membantu suaminya melakukan kezaliman ke atas dirinya sendiri. Maka, hendaklah isteri apabila melihat kezaliman ke atas itu melampaui batas menyelamatkan dirinya. - Kalangan para ulama ada yang menyenaraikan sebab-sebab yang membolehkan isteri keluar dari rumah suami. Antaranya apabila ketakutan akan bahaya yang menimpanya jika dia terus berada dalam rumah tersebut. Antara yang disenaraikan oleh Ibn Hajar al-Haitami (meninggal 974H):
...أَوْ يُهَدِّدُهَا بِضَرْبٍ مُمْتَنِعٌ فَتَخْرُجُ خَوْفًا مِنْهُ فَخُرُوجُهَا حِينَئِذٍ غَيْرُ نُشُوزٍ لِلْعُذْرِ فَتَسْتَحِقُّ النَّفَقَةَ مَا لَمْ يَطْلُبْهَا لِمَنْزِلٍ لَائِقٍ فَتَمْتَنِعُ وَيَظْهَرُ تَصْدِيقُهَا فِي عُذْرٍ ادَّعَتْهُ إنْ كَانَ مِمَّا لَا يُعْلَمُ إلَّا مِنْهَا كَالْخَوْفِ مِمَّا ذُكِرَ، وَإِلَّا احْتَاجَتْ إلَى إثْبَاتِهِ
“…ataupun suami mengancam dengan satu pukulan yang tidak sewajarnya lalu dia (isteri) keluar kerana takut kepadanya. Maka keluarnya isteri ketika itu tidak dikira sebagai nusyuz disebabkan keuzuran tersebut. Isteri juga berhak mendapat nafkah selagi mana suami tidak menuntut kembali ke sebuah rumah yang sesuai namun isteri membantah. (Isteri berhak keluar rumah dan mendapat nafkah) selagi zahir kebenarannya dalam alasan yang dia dakwa sekiranya hal itu tidak dapat diketahui melainkan daripadanya (isteri) seperti ketakutan yang disebutkan. Jika tidak dia memerlukan bukti (Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj bi Sharh al-Minhaj, 327. Mesir: al-Maktabah al-Tijariyah). - Maka dengan itu, isteri boleh meninggalkan rumah suami apabila dia merasa terancam ataupun dalam keadaan bahaya. Ini termasuklah jika suaminya mempunyai penyakit yang merbahaya seperti aids dan penyakit kelamin yang lain. Ataupun suami terlibat dengan aktiviti yang merbahaya seperti dadah, jenayah dan seumpamanya. Demikian juga jika suami menempatkan di sebuah rumah yang merbahaya atau mempunyai ancaman yang membahayakan diri isteri.
- Untuk makluman, isteri walaupun tidak boleh keluar dari rumah jika tidak ada ancaman bahaya atau hal lain yang diizinkan syarak, namun boleh dia tetap menuntut cerai ataupun faraq (pemisahan oleh hakim) sekiranya suaminya mencerca ataupun melayaninya dengan cara yang tidak wajar sebagai seorang insan sekalipun tidak memukulnya. Dr Karim ‘Abd al-Karim Zaidan ketika mambahaskan tentang memisahkan (tafriq) suami dan isteri disebabkan mudarat menyebut dua jenis mudarat yang memboleh isteri menuntut untuk dia dipisahkan. Satunya, mudarat dari segi fizikal seperti suami memukul, atau membuatkan sesuatu yang menyebabkan kecederaan. Kedua, segi jiwa atau psikologi seperti suami memakinya, atau tidak lagi mahu bersetubuh dengannya, atau menengkingnya atau enggan berbicara dengannya. Dr. Zaidan juga memetik apa yang disebut oleh al-Dardir dalam al-Syarh al-Kabir: “Bagi isteri boleh menuntut dipisahkan dari suami disebabkan mudarat yang dilakukannya; iaitu apa yang tidak diizinkan oleh syarak untuk dia buat seperti meninggalkan isteri atau memukulnya tanpa sebab yang dibenarkan syarak. Atau memaki dia atau bapanya seperti menyebut: Wahai anak anjing, atau wahai anak kafir! Atau wahai anak orang yang dilaknat. Ini seperti yang berlaku dalam kalangan mereka yang tidak senonoh. Di samping itu tambahan kepada dipisahkan, dia patut dihukum untuk diadabkannya. Ini seperti jika dia meliwat isteri”. Dr Zaidan seterusnya memetik apa yang disebut oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah: “Maka dianggap memberi mudarat kepada isteri yang boleh dipisah (difasakh) apabila suami meninggalkan persetubuhan dalam apa keadaan sekalipun. Samada suami sengaja atau tidak sengaja”. (Dr Zaidan, al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah 8/439. Beirut: Muassasah al-Risalah).