Hukum Mengibar Bendera Putih Meminta Sedekah?
Prof Madya Dato Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
Isu mengibarkan bendera putih sebagai tanda memerlukan bantuan makanan atau kewangan panas diperdebatkan. Hal ini satu inisiatif baharu yang dicadangkan oleh sesetengah pihak. Ada yang cuba melihatnya dari sisi politik, ada melihatnya dari segi budaya dan ada pula yang cuba melihatnya dari sisi agama. Saya cuba meringkaskan pandangan hukum agama dalam hal ini seperti berikut;
Hukum mengibar bendera di rumah?
1. Hukum mengibar bendera atau meletakkan apa-apa tanda di hadapan rumah adalah bergantung kepada tujuan ia dilakukan. Jika tujuannya untuk perkara yang salah di sisi syarak seperti isyarat atau seruan atau sokongan kepada kejahatan, maka hukumnya haram. Jika tujuan untuk kebaikan maka hukumnya mengikut hukum kebaikan tersebut. Jika ia membawa kepada sesuatu yang harus semata, maka demikianlah hukumnya. Ini di bawah kaedah yang disebut oleh para ulama usul: الوسائل لها أحكام المقاصد (Bagi wasilah-wasilah itu hukum hakam maqasid). Maksudnya, bagi wasilah iaitu cara atau jalan menuju ke sesuatu maksud hukumnya mengikut hukum maksud tersebut.
Hukum Meminta Bantuan atau Sedekah?
2. Setelah kita tahu bahawa tujuan bendera putih dalam konteks perbincangan kita ini adalah untuk memaklumkan orang yang tinggal dalam rumah berkenaan memerlukan bantuan makanan atau kewangan. Maka, atas kaedah tadi iaitu “bagi wasilah-wasilah itu hukum hakam maqasid”, kita mesti mengetahui terlebih dahulu apakah hukum meminta sedekah atau memohon bantuan kewangan, makanan atau benda dari pihak lain? Jika kita dapat menjawab persoalan ini, maka kita akan mengetahui hukum mengibarkan bendera putih untuk tujuan tersebut.
3. Kesimpulan mudahnya, hukum meminta sedekah itu mengikut keadaan diri yang meminta. Dalam hadis riwayat al-Imam Muslim daripada Qabisoh bin Mukhariq al-Hilali, Nabi s.a.w bersabda:
يَا قَبِيصَةُ، إِنَّ الْمَسْأَلَةَ لَا تَحِلُّ إِلَّا لِأَحَدِ ثَلَاثَةٍ: رَجُلٍ تَحَمَّلَ حَمَالَةً فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ، فَسَأَلَ حَتَّى يُصِيبَهَا، ثُمَّ يُمْسِكُ، وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ جَائِحَةٌ، فَاجْتَاحَتْ مَالَهُ، فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ، فَسَأَلَ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ " أَوْ قَالَ: سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ" وَرَجُلٍ أَصَابَتْهُ فَاقَةٌ، حَتَّى يَقُولَ: ثَلَاثَةٌ مِنْ ذَوِي الْحِجَى مِنْ قَوْمِهِ قَدْ أَصَابَتْ فُلَانًا الْفَاقَةُ، فَحَلَّتْ لَهُ الْمَسْأَلَةُ، فَسَأَلَ حَتَّى يُصِيبَ قِوَامًا مِنْ عَيْشٍ - أَوْ سِدَادًا مِنْ عَيْشٍ - ثُمَّ يُمْسِكُ، وَمَا سِوَاهُنَّ مِنَ المَسْأَلَةِ، يَا قَبِيصَةُ، سُحْتٌ يَأْكُلُهَا صَاحِبُهَا سُحْتًا
“Wahai Qabisoh! Sesungguhnya meminta-minta itu tidak halal kecuali untuk salah seorang dari yang tiga; (Pertama) seseorang yang menanggung bebanan hutang (kerana mendamaikan antara pihak yang bertelagah), maka halal untuknya meminta-minta. Dia boleh meminta sehingga dia dapat menyelesaikannya (hutang), kemudian dia hendaklah berhenti meminta. (Kedua) seseorang yang ditimpa bencana sehingga musnah hartanya. Maka halal untuk dia meminta-minta. Dia boleh meminta sehingga dia dapat menyelesaikan teras asas kehidupan” -atau baginda sebut: “memenuhi keperluan hidup”. (Ketiga) seseorang yang ditimpa kefakiran (keperluan hidup) sehingga tiga orang (saksi) yang rasional dari kaumnya menyatakan ‘si fulan ini telah ditimpa kefakiran’. Maka halal untuk dia meminta-minta. Dia boleh meminta sehingga dia dapat menyelesaikan teras asas kehidupan” -atau baginda sebut: “memenuhi keperluan hidup”. Kemudian dia berhenti (meminta). Adapun selain dari tiga ini, wahai Qabisoh! Adalah haram, pelakunya memakan yang haram”.
4. Dalam hadis di atas menunjukkan orang yang ditimpa bencana sehingga kehilangan harta, atau ditimpa kefakiran iaitu keperluan asas hidup (makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan seumpamanya) yang terbukti atau diketahui hal tersebut oleh pihak yang mampu menilai secara matang, maka mereka ini boleh meminta dan menerima sedekah apa yang diperlukan sahaja. Dengan itu, jika yang mengibarkan bendera putih dengan tujuan meminta sedekah atau bantuan keperluan hidup termasuk dalam kumpulan ini, maka dia boleh atau halal melakukan perbuatan tersebut. Ini dengan syarat dia hanya meminta dan mengambil apa yang diperlukan sahaja. Jangan meminta apa yang tidak diperlukan. Dalam hadis itu dinyatakan tentang tiga orang saksi yang rational dengan maksud hal itu diketahui sebagai benar.
5. Adapun jika seseorang itu tidak layak meminta-minta kerana tidak dalam keadaan terdesak tersebut, namun dia mengambil kesempatan mengibarkan bendera putih supaya dia mendapat pemberian orang yang terpedaya dengan tindakannya, maka dia melakukan perkara yang diharamkan. Banyak hadis yang memberikan amaran tentang perbuatan itu. Antaranya;
مَنْ سَأَلَ النَّاسَ أَمْوَالَهُمْ تَكَثُّرًا، فَإِنَّمَا يَسْأَلُ جَمْرًا فَلْيَسْتَقِلَّ أَوْ لِيَسْتَكْثِرْ
Sesiapa yang meminta-minta harta orang untuk membanyakkan hartanya, dia sebenarnya hanya meminta bara api (neraka). Silalah sedikitkan atau banyakkan (bara api neraka itu jika dia mahu). Riwayat Muslim.
إِنَّهُ مَنْ سَأَلَ وَعِنْدَهُ مَا يُغْنِيهِ، فَإِنَّمَا يَسْتَكْثِرُ مِنْ جَمْرِ جَهَنَّمَ
“Sesungguhnya sesiapa meminta-minta sedangkan di sisinya apa yang mencukupi, maka dia membanyakkan bara neraka Jahannam”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud. Dinilai sahih)
Hukum mereka yang memberikan sedekah pada rumah yang mengibar bendera putih?
6. Isyarat bendera putih dalam konteks ini ialah tanda permohonan sedekah. Maka, memberikan bantuan makanan atau kewangan kepada rumah yang mengibarkan bendera tersebut ialah memberikan sedekah kepada pihak yang meminta sedekah. Sudah pasti ia perbuatan yang terpuji dan berpahala.
7. Jika ada rumah yang mengibarkan bendera tersebut menipu padahal dia tidak layak sehingga pemberi sedekah terpedaya, pun begitu pahala sedekah itu tetap ada di sisi ALLAH. Ini seperti hadis sahih riwayat al-Bukhari di mana seorang yang sedekahnya diambil oleh mereka yang bukan sasaran sedekah. Namun, perbuatan sedekah tersebut tetap dipuji di sisi ALLAH. ALLAH tidak mensia-siakan niat yang baik.
8. Adapun mereka yang mengibarkan bendera tersebut dengan tujuan menipu keadaan sebenar, mereka melakukan dua dosa; pertama: meminta sedekah sedangkan dia tidak layak. Kedua, menipu pemberi sedekah.
Teladan dari Saidina ‘Umar bin al-Khattab
9. Kepimpinan kerajaan hari ini terdiri dari mereka yang sudah berpengalaman dalam pemerintahan dan juga yang baru. Mereka yang lama, ada yang tenggelam dengan gaya lama yang wajar ditinggalkan. Sementara yang baru, ada yang tenggelam dengan pengalaman baru nikmat kuasa sehingga terlupa slogan mereka selama ini. Dengan kita tidak menafikan ada yang penuh insaf dan bertanggungjawab dengan jawatan yang dipegang. Untuk semua yang berada di tampok kuasa, kita memohon melihat masalah rakyat ini dengan bersungguh-sungguh.
10. Di sini, sedikit coretan tentang Khalifah ‘Umar bin al-Khattab untuk sama-sama kita renungi. Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan ‘Am al-Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan. Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan keduanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?”. (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr). Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu diceduk masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang diceduk itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya: “Dari mana diperolehi ini?”. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir).