Apakah Maksud Sultan Bayangan ALLAH?
SS Prof Madya Dato Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
Hari ini saya dihujani soalan tentang ungkapan “Sultan adalah bayang ALLAH di bumi”. Ini rentetan ada pihak yang menyiarkan hadis tersebut. Di sini saya ingin huraikan secara ringkas berkaitan hadis berkenaan;
1. Hadis tersebut mempunyai banyak lafaz riwayat. Ada yang palsu, ada yang sangat daif (daif jiddan), ada yang daif dan ada yang dihasankan oleh sebahagian pengkaji hadis . Namun secara umum lafaz “al-Sultan bayangan Allah di bumi” tidak dibantah oleh para ulama silam dan diterima kesabitannya oleh beberapa pengkaji hadis. Adapun tambahan selepas lafaz tersebut ada yang daif, sangat daif dan palsu. Ada juga yang dinilai sebagai sabit.
Apakah maksud ‘al-Sultan’ dalam hadis?
2. Perkataan al-Sultan dalam hadis ini bukanlah bermaksud pemerintah yang memakai gelaran ‘sultan’. Jika tidak sudah pasti al- Khulafa al-Rasyidin menggunakan gelaran sultan. Sultan bermaksud pihak yang berkuasa. Ertinya ia merangkumi semua mereka yang mempunyai kuasa pemerintahan tanpa mengira apapun gelarannya. Abu Bakr al-Siddiq naik memerintah selepas Rasulullah memakai gelaran ‘Khalifah Rasulillah’, kemudian pada zaman ‘Umar mula diperkenalkan gelaran ‘Amir al-Mukminin. Secara umumnya dipanggil keempat sahabat pemerintah itu dengan khalifah. Semasa Umawiyyah dan ‘Abbasiyyah dikekalkan gelaran khalifah. Selepas itu beberapa dinasti seperti Ayyubiah, Mamalik dan ‘Uthamaniyyah memakai gelaran sultan. Mereka itu kebanyakannya bukan arab. Ada juga yang memakai al-Malik iaitu ‘raja’ dan sebagainya.
- Ada juga riwayat dalam al-Jami’ al-Saghir oleh al-Sayuti (meninggal 911H) yang menyebut:
“al-Sultan bayangan Allah di bumi. Jika seseorang kamu memasuki sesuatu negeri yang tiada sultan padanya, janganlah dia tinggal dalamnya”.
Jangan pula ada yang menggunakan riwayat yang daif ini untuk melarang orang tinggal di negeri-negeri yang tiada sultan seperti Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak. Di Negara Arab pula hanyalah Negara Oman yang boleh tinggal dalamnya sebab masih ada Sultan Qabos. Selainnya sudah tiada sultan. Indonesia pun tidak boleh tinggal dalamnya kerana sudah tiada sultan. Hanya Brunei yang sesuai. Janganlah sampai begitu pulak tafsiran kita.
4. Maka hendaklah jelas, perkataan sultan dalam hadis merujuk kepada ulul amri iaitu mereka yang berkuasa memerintah. Jangan hanya tumpu pada gelaran yang manusia boleh pilih, tetapi pada maksud yang terkandung padanya. Ertinya, semua penguasa merupakan bayangan ALLAH dalam istilah yang dipakai oleh hadis tadi.
5. Jadi, kita wajar bertanya apakah maksud bayangan Allah? Apakah kita memahami seperti golongan literalis yang akan melihat sultan atau raja atau penguasa atau presiden sebagai benar-benar bayangan Allah yang kemudian mungkin dijustifikasikan segala tindakannya. Apakah jika mereka itu kejam, zalim, rasuah atau salahguna kuasa mereka tetap bayangan Allah?
Bayangan Allah?
6. Saya suka membawa pembaca mengetahui bahawa hanya Nabi Adam dan Nabi Daud sahaja disebut sebagai ‘Khalifah ALLAH”. Selain untuk Adam dan Daud, jumhur para ulama tidak suka gelaran itu diberikan. Al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) menyebut dalam kitabnya AL-AZKAR tentang majoriti para ulama yang melarang hal itu. Beliau juga menyebut alasan-alasannya termasuk riwayat Saidina Abu Bakar al-Siddiq dan ‘Umar bin ‘Abd al-Aziz yang telah menolak penggunaan gelaran itu. Bahkan al-Imam al-Mawardi menyatakan jumhur ulama menisbahkan orang menyebut “khalifah ALLAH’ itu sebagai jahat. Di samping itu terdapat ulama yang mengizinkan gelaran itu (Khalifah ALLAH) dengan maksud mereka melaksanakan hak-hak hamba-hamba ALLAH yang lain. (sila lihat: al-Nawawi, Al-Azkar, m.s 484-485. Damsyik: Maktabah al-Ghazali).
7. Tujuan jumhur melarang adalah kerana bimbang disalahgunakan ungkapan itu dan akhirnya akan merendahkan keagungan ALLAH.
8. Jika kita faham makna khalifah, ia bermaksud pengganti ataupun wakil. Apabila kita menyebut khalifah Allah bermaksud pengganti Allah di bumi. Ketika menafsirkan Surah al-Baqarah ayat 30, al-Imam al-Baidawi berkata:
والخليفة من يخلف غيره وينوب منابه والمراد به آدم عليه الصلاة والسلام لأنه كان خليفة الله في أرضه، وكذلك كل نبي استخلفهم الله في عمارة الأرض وسياسة الناس وتكميل نفوسهم وتنفيذ أمره فيهم، لا لحاجة به تعالى إلى من ينوبه
“Khalifah itu dari bermaksud (segi bahasa) sesiapa yang menggantikan tempat pihak yang lain atau menjadi penggantinya. Maksud khalifah dalam ayat ini adalah Adam a.s. kerana beliau merupakan khalifah Allah di bumiNya. Demikian sekelian nabi yang Allah lantik mereka sebagai pengganti (khalifah) bagi memakmurkan bumi, menguruskan manusia, menyempurnakan jiwa mereka dan melaksanakan perintah Allah ke atas mereka. Tidak kerana Allah berhajat kepada pembantu ” (Al-Baidawi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Takwil, 1/68. Beirut: Dar Ihya al-Turath).
9. Maka, makna yang sama merujuk kepada sultan ataupun penguasa itu bayangan Allah di bumi. Ia bermaksud tugasan penguasa untuk melakukan keadilan dan melaksanakan hak-hak rakyatnya. Justeru al-Imam al-Munawi (meninggal 1031H) dalam Faidh al-Qadir ketika menafsir maksud: “Al-Sultan bayangan Allah di bumi” beliau berkata
إنما شبهه بالظل لأن الناس يستريحون إلى برد عدله من حر الظلم
“dibandingkan dengan bayang kerana manusia berehat (berlindung) pada kesejukan keadilannya dari panas kezaliman” dia memelihara manusia dari keburukan seperti bayang memelihara dari panas matahari” (jilid 4, ms 142. Mesir: al-Maktabah al-Tijariyah al-Kubra).
10. Ini sama dengan ungkapan hadis “ulama itu pewaris para Nabi”, ia bermaksud tugasan ulama yang sebenarnya membawa agama sama seperti yang diajar oleh para Nabi s.a.w. Itulah makna waris atau mempusakai. Namun, pada realitinya betapa ramai para ulama yang tidak melakukan tugasan pewarisan yang sepatutnya. Demikianlah maksud pemerintah itu ‘bayang ALLAH’ ialah bermaksud melaksanakan tugas keadilan yang ALLAH amanahkan kepada mereka.
11. Untuk ingatan, jika tidak berhati-hati, ungkapan sultan ataupun penguasa bayangan Tuhan boleh disalahtafsirkan seperti yang berlaku dalam sejarah politik pelbagai bangsa. Akibatnya, penguasa menyalagunakan nama Tuhan. Jika hendak memahami maksud penguasa bayangan Tuhan dalam Islam, fahamilah ucapan Abu Bakr al-Siddiq apabila dilantik menjadi khalifah: "Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat….taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan RasulNya. Jika aku derhakakan Allah dan RasulNya, maka tiada ketaatan untukku" (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).
12. Jika ungkapan “bayang ALLAH” itu disalahgunakan maka hal itu adalah patut dilarang. Ini mengambil iktibar sepertimana jumhur melarang penggunaan ‘khalifah ALLAH’. Namun jika digunakan dalam konteks yang betul, maka bersesuaian dengan ungkapan hadis tadi.