PERCAYA BIBLE SUDAH BERUBAH? AL-QURAN BUKAN DARIPADA ALLAH?
- Kita semua tidak boleh memaksa orang yang berbeza agama menerima kepercayaan kita. Setiap agama mempunyai kepercayaannya yang tersendiri. Dalam sebuah negara yang majmuk, kita tidaklah dituntut untuk menjadikan kepercayaan kita semua sama. Kita pasti berbeza dan bertentangan dari segi kepercayaan. Apa yang perlu, kita menghormati hak orang lain untuk percaya mengikuti ajaran yang dia pilih untuk dirinya dengan tidak melakukan provokasi yang menimbulkan ketegangan antara penganut agama. Kita perlu faham bahawa mengiktiraf hak pihak lain mempercayai sesuatu kepercayaan bukanlah bererti mengakui kebenaran apa yang dipercayai. Dalam bahasa lain, mengiktiraf hak untuk wujud tidak bermaksud mengiktiraf benarnya pihak yang wujud itu.
- Sebagai muslim dalam negara yang berbilang agama ini, saya tidak akan memaksa penganut agama lain mempercayai Nabi Muhammad s.a.w sebagai rasul (utusan) yang ALLAH utuskan. Keimanan itu hanya rukun untuk orang muslim. Agama lain berhak mempunyai kepercayaan mereka yang berbeza mengenai Nabi Muhammad s.a.w. Mereka mungkin tidak percaya Nabi Muhammad itu sebagai utusan Tuhan. Itu hak mereka.
- Saya mempercayai Nabi Isa (Jesus) sebagai rasul ALLAH (utusan ALLAH). Saya mencintai Jesus dan beriman dengannya sebagai rasul yang mendapat wahyu daripada ALLAH. Namun, saya tidak percaya dia sebagai anak ALLAH. Saya menolak kepercayaan itu. Bahkan, saya meyakini kepercayaan itu amat salah dari segi akidah Islam dan lojik yang waras. Itu hak saya mempercayai apa yang saya yakini, dan menolak kepercayaan yang saya tidak yakini. Orang Kristian mempercayai Jesus sebagai anak Tuhan dan Muhammad bukan rasul Tuhan. Itu kepercayaan mereka. Saya iktiraf hak mereka untuk mempercayai perkara tersebut, walaupun saya tidak iktiraf kebenaran kepercayaan tersebut.
- Sebagai muslim, saya beriman dengan al-Quran. Saya meyakini tanpa syak al-Quran daripada ALLAH. Saya percaya, apa sahaja yang menyanggahi al-Quran adalah salah dan tidak benar. Itu keimanan saya. Dalam masa yang sama, saya tidak marah jika orang bukan muslim tidak mempercayai al-Quran. Itu adalah hak mereka kerana al-Quran bukan kitab suci mereka.
- Sebagai muslim, berdasarkan maklumat dari al-Quran dan al-Sunnah, saya mempercayai ALLAH menurunkan Kitab Injil kepada Nabi Isa (Jesus) a.s. Saya beriman dengan kebenaran Injil yang asal yang diturunkan kepada Nabi Isa kerana ia bersumberkan daripada ALLAH. Apabila saya membaca Bible yang ada hari ini, terdapat perkara yang bertentangan dengan fakta yang dinyatakan oleh al-Quran. Saya percaya al-Quran dengan Injil yang asal tidak mungkin kontradik dalam soal kepercayaan kerana keduanya datang dari sumber yang satu. Jika terdapat percanggahan dengan Bible, saya percaya Injil yang asal bukan sedemikian. Saya percaya ketulenan beberapa fakta telah diubah. Itu kepercayaan saya. Saya tidak memaksa oleh lain mempercayai apa yang saya percayai. Saya tahu, penganut Kristian percaya kepada Bible sebagai Injil yang asal. Itu hak mereka dalam berakidah. Sementara hak saya mempercayai kitab suci saya. Mereka juga ada hak untuk tidak percaya bahawa al-Quran itu daripada ALLAH.
- Maka,saya percaya al-Quran benar dari sisi ALLAH sementara penganut agama lain mempercayai bahawa al-Quran tidak benar. Itu hak masing-masing dalam kepercayaan. Saya percaya terdapat kandungan Bible telah berubah dari teks asal Injil. Penganut Kristian pula percaya Bible itu asli dari Jesus.
- Apa yang penting, kita menghormati hak setiap pihak untuk mempercayai agama yang dia pilih. Kita tidak boleh memaksa orang lain mengungkapkan seperti kepercayaan kita. Namun, dalam masa yang sama kita tidak boleh menimbulkan ketegangan dan provokasi melampau apabila berbicara kepada golongan yang berlainan agama. Adapun perbincangan akademik dan ilmiah dalam batasan menjaga kemaslahatan negara majmuk masa terbuka berkaitan agama-agama yang ada.
- Maka, tidak perlu bertegang dan bermusuhan jika orang bukan muslim berpendapat al-Quran bukan daripada ALLAH. Demikian, tidak perlu bermusuhan jika muslim menyatakan Injil yang asal telah pun diubah dan berubah. Apa yang penting tiada provokasi untuk mencetuskan pergaduhan dan korban antara agama dalam negara.