• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Sejarah Pembunuhan Khalifah ‘Uthman ibn ‘Affan r.a. (siri 11)

(SIRI 11)

Apabila ‘Ali mengetahui bahawa ‘Aisyah, Talhah, al-Zubair dan para pengikut mereka menuju ke Basrah dalam satu angkatan, maka ‘Ali yang telah menyiapkan tentera untuk menghadapi kebangkitan penduduk Syam mengarahkan tenteranya agar menuju ke Basrah. Dikalangan pembesar sahabat ada yang membantah keputusan ‘Ali tersebut. Antara yang membantah ‘Ali ‘Abd Allah ibn Salam dan beberapa yang lain kerana memikirkan untuk menjaga kebaikan umat Islam. Bahkan anak Sayyidina ‘Ali iaitu Sayyidina al-Hassan sendiri tidak bersetuju dengan rancangan tersebut. Gabenor ‘Ali di Kufah iaitu Abu Musa al-Asy’ariy, juga membantah apabila ‘Ali menggesa penduduk Kufah supaya bangkit menghadapi tentera ‘Aisyah. Alasan Abu Musa ialah hadis Nabi s.a.w yang pernah didengarnya berbunyi:

سكون فتن القاعد فيها خير من القائم والقائم خير من الماشي والماشي فيها خير من الساعي


“Nanti akan berlaku fitnah. Orang yang duduk ketika itu lebih baik daripada orang yang berdiri. Manakala orang yang berdiri lebih baik daripada orang yang berjalan dan orang yang berjalan lebih baik daripada orang berlari”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim [Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, jil. 7, hlm. 247-249])

Hendaklah kita jelas bahawa Talhah, al-Zubair dan Umm al-Mukminin ‘Aishah tidak pernah bertujuan memerangi ‘Ali atau menentang kekhalifahannya. Apa yang mereka lakukan ialah mencari pembunuh Khalifah ‘Uthman bin ‘Affan. Apa yang kelihatan dalam riwayat sejarah yang sahih ialah ‘Ali yang membawa angkatan tentera menghadapi pergerakan mereka. Mungkin ‘Ali melihat pergerakan mereka itu tidak mengikut peraturan pentadbiran yang sepatutnya.

‘Ali mungkin merasa apakah patut dia sebagai khalifah berdiam diri melihat pergerakan yang berlaku di kalangan rakyat jelata tanpa sebarang tindakan. Apatahlagi di Basrah sudah ada gabenor sah yang dilantik oleh ‘Ali iaitu ‘Uthman bin Hunaif. Seakan, tiada erti gabenor yang dilantik jika pihak lain dapat bertindak tanpa melalui arahan rasmi. Atas alasan ini ‘Ali bertindak menghantar tenteranya ke Basrah bagi menghadapi kemungkinan tindakan ‘Aishah, Talhah dan al-Zubair.

 

‘Ali sendiri menjelaskan bahawa dia keluar menemui tentera ‘Aisyah demi memperbaiki keadaan. Ketika ‘Ali memberikan ucapan kepada orang ramai tentang keadaan yang sedang dihadapinya dan mengajak rakyat agar bersatu bersama-samanya untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku, Ibn Abi Rifa’ah ibn Rafi’, iaitu seorang sahabat ‘Ali sendiri bangun lalu bertanya: “Wahai Amir al-Mukminin! Apakah yang engkau mahu? Ke manakah engkau ingin membawa kami?”

Jawab ‘Ali: “Apa yang menjadi hasrat kita ialah al-Islah (membaiki) umat sekiranya mereka (‘Aisyah dan pengikutnya) menerima dan menyahut seruan kita.” Ibn Abi Rifa’ah bertanya lagi: “Kalau mereka tidak menyahut seruan kita?” Jawab ‘Ali: “Kita biarkan mereka bersama alasan mereka, kita berikan kepada mereka hak mereka dan kita bersabar.” Tanya Ibn Abi Rifa’ah lagi: “Jika mereka tidak bersetuju?” Jawab ‘Ali: “Kita biarkan mereka selagi mereka membiarkan kita.” Dia bertanya lagi: “Sekiranya mereka tidak membiarkan kita.” Dia bertanya lagi: “Sekiranya mereka tidak membiarkan kita.” Jawab ‘Ali: “Kita pertahankan diri kita (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, jil. 7, hlm. 246).

Jelas daripada ucapan di atas menunjukkan bahawa ‘Ali sama sekali tidak berniat untuk berperang dengan ‘Aisyah r.a (Amin al-Qudah, al-Khulafa’ al-Rasyidun, hlm. 93).

Di Basrah pula, gabenor ‘Ali ‘Uthman ibn Hunayf dan ‘Imran Ibn Husayn datang berjumpa Umm al-Mukminin ‘Aisyah r.a. Mereka meminta izin dan memberi salam lalu menemui Umm al-Mukminin serta berkata dengan penuh hormat: “Ketua kami telah menghantar kami menemui puan. Apakah tujuan perjalanan puan? Sudikah puan memberitahu kamu?”

Jawab ‘Aisyah: “Demi Allah! Orang yang sepertiku tidak bergerak dengan suatu perkara yang disembunyikan dan menyimpan berita daripada memberitahu anak-anaknya . Golongan yang bodoh yang datang dari beberapa negeri dan para pemberontak kebilah telah memerangi tanah suci Rasulullah s.a.w dan melakukan beberapa perkara di dalamnya. Mereka telah menempatkan di dalamnya orang luar. Mereka sebenarnya telah mengundang laknat Allah dan Rasul-Nya. Apatah lagi mereka telah membunuh imam orang Islam tanpa kesalahan dan alasan. Mereka telah menghalalkan darah yang haram lalu mereka menumpahkannya. Mereka mengambil harta yang haram dan juga menghalalkan tanah yang haram. Mereka telah mengoyak maruah dan nilai. Mereka mendiami negeri yang penduduknya membenci mereka tinggal di dalamnya. Ini kerana mereka memberi mudarat dan tidak memeberi manfaat”.

Kata ‘Aishah lagi: “Penduduk Madinah tidak mampu menghalang dan mereka merasa tidak aman lagi. Aku pun keluar di tengah-tengah orang Islam untuk memberitahu apa yang dilakukan oleh para pemberontak itu dan kewajipan mereka untuk bangun membaiki keadaan.” Lalu ‘Aisyah membaca firman Allah S.W.T:

خير في كثير من نجوـهم إلا من أمر بصدقة أو معروف أو إصلح بين النا س...

(maksudnya) “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat ma’ruf atau mengadakan perdamaian dikalangan manusia”. (Surah al-Nisa’: 114)

Kata ‘Aisyah lagi, “Kami bangkit untuk mengadakan perdamaian seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w. Inilah sikap kami, kami mengajak kamu kepada yang ma’ruf dan menggalakkannya. Menghalang kamu daripada yang mungkar dan menggusa supaya kamu memperbaikinya” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil.4, hlm. 461-462 melalui riwayat Sayf ibn ‘Umar). Inilah penjelasan yang nyata dan terang daripada ibu para Mukminin, ‘Aisyah r.a.

Akhirnya, Sayyidina ‘Ali telah menghantar pula al-Qa’qa’ ibn ‘Amr bertemu dengan ‘Aisyah dan bertanya lagi tujuan kedatangannya. Kata al-Qa’qa’: “Wahai ibu! Apakah yang menyebabkan engkau datang ke sini?”

Jawab ‘Aisyah: “Wahai anakku! Kedatanganku adalah untuk mengadakan perdamaian dikalangan manusia.” Lalu al-Qa’qa’ meminta Talhah dan al-Zubair hadir seraya berkata: “Aku telah bertanya Umm al-Mukminin tentang tujuan kedatangannya, beliau mengatakan bahawa tujuannya adalah untuk mengadakan perdamaian antara manusia.” Jawab Talhah dan al-Zubayr: “Kami juga demikian.”

Kata al-Qa’qa’: “Beritahulah aku apakah bentuk perdamaian itu dan bagaimanakah ia boleh dilaksanakan, Demi Allah! Sekiranya kami dapat menerima kita akan melaksanakannya. Sebaliknya jika kami tidak dapat menerima, kita tidak akan mengadakannya.?” Jawab Talhah dan al-Zubair: “Membunuh pembunuh ‘Uthman, jika ini tidak dilaksanakan bererti kamu telah mengabaikan al-Quran.”

Jawab al-Qa’qa’: “Hasrat kamu semua ingin membunuh pembunuh ‘Uthman memanglah baik, tetapi kesan kerosakannya lebih besar daripada itu. Sebagaimana kamu tidak mampu menangkap salah seorang yang memberontak epada ‘Uthman di Basrah, iaitu Harqud ibn Zuhair disebabkan enam ribu orang yang menjaganya, demikian jugalah ‘Ali tidak dapat melaksanakannya sekarang tetapi menunggu masa yang sesuai.”

Hasil perbincangan ini, akhirnya ‘Aisyah, al-Zubair, Talhah dan semua para pengikut mereka bersetuju untuk memberikan janji setia kepada ‘Ali. Mereka juga bersetuju menyerahkan tugas mengambil tindakan terhadap pembunuh ‘Uthman kepadanya apabila keadaan mengizinkan (Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, jil. 7, hlm. 248-249).

bersambung..

Boost Post

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 405
Semalam 1090
Minggu Ini 1495
Bulan Ini 19391

Keseluruhan 3091684

   Masa Capaian : 0.87 saat    Kemaskini :  09/12/2024