Sejarah Pembunuhan Khalifah ‘Uthman ibn ‘Affan r.a. (siri 10)
Merujuk riwayat sejarah, kita dapati bahawa Umm al-Mukminin isteri Nabi yang mulia, iaitu ‘Aisyah serta isteri-isteri Nabi s.a.w yang lain, telah keluar menunaikan haji pada masa kepungan pemberontak terhadap ‘Uthman kerana takutkan fitnah dan kejahatan para pemberontak. Mereka terus menetap di sana apabila mengetahui ‘Uthman telah dibunuh. Di Makkah, ‘Aisyah telah menggesa orang ramai agar bangkit mengambil tindakan terhadap pembunuh ‘Uthman. Talhah dan al-Zubayr pula telah meminta izin daripa ‘Ali untuk keluar dari Madinah menuju Makkah untuk menunaikan ‘umrah. Di sana mereka berkumpul bersama-sama ‘Aisyah. Ini diikuti oleh Ibn ‘Umar yang juga keluar dari Madinah menuju ke Makkah.
Akhirnya sebilangan besar daripada para sahabat telah berkumpul bersama-sama ‘Aisyah dan berjanji akan mengikuti ‘Aisyah ke mana sahaja beliau tuju dalam menuntut pembelaan ke atas darah Sayyidina ‘Uthman yang syahid. ‘Aisyah r.a telah berucap mengingatkan umat yang hadir bagaimana ‘Uthman telah dibunuh di Tanah Haram pada bulan Haram, maka tindakan bunuh balas mesti diambil.
Seterusnya para pembesar daripada kalangan sahabat dan orang ramai yang hadir berbincang tentang langkah yang mesti diatur bagi menunaikan tanggungjawab tersebut.
Dalam kalangan mereka ada yang mencadangkan agar mereka menuju ke Syam dan bergabung dengan Mu’awiyah tetapi cadangan ini ditolak. Ada pula yang mencadangkan agar mereka semua pergi ke Madinah meminta ‘Ali menyerahkan pembunuh ‘Uthman kepada mereka. Cadangan yang berikutnya ialah semua menuju ke Basrah bagi mengumpul kekuatan di sana. Seterusnya memulakan tindakan ke atas sesiapa sahaja di Basrah yang terlibat dalam pembunuhan ‘Uthman. Cadangan yang terakhir ini telah diterima sebulat suara.
Para isteri Nabi s.a.w yang lain dan juga Ibn ‘Umar, hanya bersetuju sekiranya mereka semua menuju ke Madinah. Oleh itu, isteri-isteri Nabi s.a.w tidak akan menyertai gerakan menuju ke Basrah kecuali Umm al-Mukminin ‘Aisyah r.a sahaja. Selain ‘Aisyah r.a, tokoh utama dalam pergerakan ini ialah Talhah dan al-Zubayr.
Asas yang dipegang oleh mereka ialah firman Allah S.W.T:
لا خير في كثير من نجوـهم إلا من أمر بصدقة أو معروف أو إصلح بين النا س...
(maksudnya) Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan daripada orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat ma’ruf atau mengadakan perdamaian dikalangan manusia. (Surah al-Nisa’: 114 [Ibn Kathir, Al-Bidayah wa al-Nihayah, jil. 7, hlm. 241-242; Ibn al-‘Arabi, Al-‘Awasim min al-Qawasim, hlm. 155-156])
Kata al-Muhallab : “Tidak ada seorang pun yang meriwayatkan bahawa ‘Aisyah r.a dan sesiapa yang bersama-sama dengannya ingin merebut jawatan khalifah daripada Sayyidina ‘Ali. Tidak ada seorang pun dikalangan mereka yang meminta agar dirinya dilantik sebagai khalifah. Apa yang ‘Aisyah dan mereka yang bersamanya bantah ialah sikap ‘Ali yang tidak mengambil tindakan terhadap pembunuh ‘Uthman dan meninggalkan hukuman qisas terhadap mereka” (Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jil. 14, hlm. 558).
Apa yang disebutkan oleh al-Muhallab itulah yang difahami oleh Ahli al-Sunnah. Di pihak Syi’ah da yang menghina para isteri Nabi s.a.w memetik peristiwa ini untuk menuduh Umm al-Mukminin, ‘Aisyah, sebagai perempuan jahat. Lebih daripada itu mereka mengadakan pelbagai gosip yang sangat jijik dan liar yang membabitkan peribadi isteri Nabi s.a.w ini.
Dalam perjalanan menuju ke Basrah, tentera ‘Aisyah telah sampai ke suatu tempat yang bernama al-Haw’ab iaitu suatu tempat air dalam perjalanan ke Basrah. Di situ ‘Aisyah terdengar bunyi salakan anjing. Maka ‘Aisyah terkejut dan berkata: “Aku rasa aku perlu pulang, kerana aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda kepada kami (isteri-isteri Baginda s.a.w):
"أيتكن تنبح عليها كلاب الحوأب. " فقال لها الزبير: ترجعين عسى الله عز وجل أن يصلح بك بين الناس."
(akan ada dikalangan kamu yang akan disalak oleh anjing-anjing al-Haw’ab. Kata al-Zubayr: “Apakah engkau akan pulang? Mudah-mudahan Allah akan mendamaikan manusia denganmu).”
Kata Ibn Hajar al-‘Asqalani: Riwayat ini telah diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Ya’la dan al-Bazzar. Diputuskan sebagai sahih oleh Ibn Hibban dan al-Hakim. Sanadnya memenuhi syarat al-Bukhari [Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jil. 14, hlm. 577]
Berdasarkan ijtihad ini, perjalanan ke Basrah diteruskan.
bersambung...