• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Sejarah Pembunuhan Khalifah ‘Uthman ibn ‘Affan r.a. (siri 9)

(SIRI 9)

Sebaik sahaja tamatnya bai’ah yang diberikan oleh para sahabat dan orang ramai kepada Sayyidina ‘Ali, tiba-tiba para pemberontak telah mengistiharkan diri bergabung dalam tenteranya. Sayyidina ‘Ali sudah pasti tidak dapat meneima keadaan ini, namun kekuatan yang dimiliki olehnya ketika itu belum membolehkan beliau menolak apa yang berlaku. Para sahabat telah menemui ‘Ali termasuk Talhah dan al-Zubayr meminta kepadanya: “Wahai ‘Ali! Kami mengisyaratkan agar engkau menegakkan hukum bunuh balas. Mereka adalah kaum yang terlibat dalam konspirasi pembunuhan ‘Uthman dan menghalalkannya.” Jawab ‘Ali: “Wahai saudaraku! Sesungguhnya aku bukannya jahil tentang apa yang kamu semua tahu. Namun apa yang boleh aku lakukan terhadap suatu kaum yang menguasai kita dan kita tidak mampu menguasai mereka. Hamba kamu dan golongan badawi yang ada telah menyertai mereka. Mereka berada di tengah-tengah kamu dan bertindak apa sahaja yang mereka suka. Apakah kamu melihat adanya kemampuan terhadap apa yang kamu mahu?” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil. 4, hlm. 437 melalui riwayat Sayf ibn ‘Umar).

Daripada ucapan ‘Ali tadi, dapatlah difahami bahawa suatu keadaan yang lebih kritikal telah berlaku, iaitu hamba sahaya dan orang badawi telah menyertai golongan pemberontak. Ini bererti kekuatan pemberontak bertambah kukuh dan secara langsung menyukarkan lagi untuk mengambil tindakan terhadap mereka.
Dari satu segi yang lain pula, peristiwa pembunuhan tersebut diselubungi dengan kekeliruan untuk menentukan saksi seperti yang dikehendaki oleh syarak dalam pelaksanaan hukum qisas atau bunuh balas. Tambahan lagi apabila ‘Ali menyatakan keinginannya untuk mengambil tindakan bunuh balas terhadap pembunuh ‘Uthman, dengan segera para pengikut ‘Abd Allah ibn Saba’ yang sudah mencapai bilangan puluhan ribu itu menghunus lembing dan mendakwa mereka semua adalah pembunuhnya (Al-Nadwi, Al-Murtadha, hlm. 142-143).

Namun begitu, ‘Ali sendiri telah menjelaskan kepada para sahabat bahawa beliau akan berusaha untuk melaksanakan hukuman ke atas pembunuh ‘Uthman apabila keadaan mengizinkan. Beliau telah memerintahakan agar hamba dan golongan badawi kembali ke tempat mereka. Malangnya arahan ‘Ali tidak ditaati, sebaliknya mereka lebih mengikut perintah para pengikut ‘Abd Allah ibn Saba’.

Dalam keadaan yang getir ini para sahabat dan umat ketika itu terbahagi kepada dua pendapat:
Pertama: Menangguhkan hukuman sehingga keadaan mengizinkan seperti yang dinyatakan oleh Sayyidina ‘Ali.
Kedua: Mesti disegerakan hukuman itu dan tidak boleh ditangguhkan (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil. 4, hlm. 437-438 melalui riwayat Sayf ibn ‘Umar).

Pendapat yang mengatakan agar hukuman tersebut mesti disegerakan ialah Talhah dan al-Zubayr yang meminta keizinan ‘Ali untuk keluar ke Kufah dan Basrah untuk mengumpulkan kekuatan tentera. Kemudian mereka berdua akan kembali ke Madinah untuk membantu ‘Ali mengambil tindakan terhadap pengikut ‘Abd Allah ibn Saba’ yang telah membunuh ‘Uthman. Namun ‘Ali tidak memberikan keputusan terhadap permintaan mereka. Sebaliknya meminta tempoh untuk memikirkannya (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil. 4, hlm. 438 melalui riwayat Sayf ibn ‘Umar).

Pendirian ‘Ali ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati Talhah dan al-Zubayr. Di sinilah detik bermulanya perselisihan antara ‘Ali dengan mereka berdua (Salah ‘Abd Fatah al-Khalidi, Qabasat Tarikhiyyah, hlm. 201, teks tulisan tangan asal pengarang yang ada dalam simpanan penulis).

Al-Mughirah ibn Syu’bah adalah antara senarai tokoh para sahabat. Beliau menyertai Bai’ah al-Ridhwan. Beliau pernah mengemukakan pendapatnya kepada ‘Ali agar tidak tergesa-gesa memecat para gabenor yang pernah dilantik oleh ‘Uthman sehinggalah mereka semua bersama-sama tentera mereka berjanji untuk taat kepada ‘Ali. Selepas ketaatan diberikan oleh mereka bolehlan ‘Ali membuat keputusan untuk mengekal atau memecat mereka. Kata al-Mughirah: “Adalah menjadi tanggungjawabku untuk taat dan menasihatimu. Pandangan yang dikemukakan pada hari ini adalah kerugian pada hari esok. Kekalkan Mu’awiyah dan Ibn ‘Amir sebagai gabenor serta semua gabenor yang ada sehingga mereka berjanji untuk taat kepadamu dan tentera mereka akan berbai’ah denganmu. Selepas itu engkau buat keputusan untuk mengekal atau menggantikan tempat mereka.” Jawab ‘Ali: “Biar aku fikirkan” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil. 4, hlm. 438 melalui riwayat Sayf ibn ‘Umar).

Pandangan yang diberikan oleh al-Mughirah ini sebenarnya baik jika dilihat kepada suasana fitnah yang berlaku. Apatah lagi apabila para pengikut ‘Abd Allah ibn Saba’ cuba merancang agar sampainya berita fitnah ke Syam dengan menuduh ‘Ali juga turut terlibat dalam pembunuhan ‘Uthman (Amin al-Qudah, Al-Khulafa’ al-Rasyidan, hlm. 92).

Dalam hal ini ‘Ali juga bertanya pendapat Ibn ‘Abbas. Ibn ‘Abbas juga menyokong pendapat al-Mughirah. Bahkan Ibn ‘Abbas berpendapat sepatutnya semasa pembunuhan ‘Uthman, ‘Ali keluar ke Makkah dan tinggal di sana. Apabila orang ramai tidak dapat mencari pengganti khalifah mereka akan mencari ‘Ali dan menjemputnya ke Madinah lalu melantiknya sebagai khalifah. Ini tentu tidak akan menimbulkan sebarang sangkaan buruk Bani Umayyah. Namun apa yang berlaku sekarang ialah ‘Ali menggantikan jawatan khalifah yang dibunuh ketika beliau sendiri berada di Madinah. Sudah tentu ada pihak yang menganggap ‘Ali perlu dipertanggungjawabkan (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil. 4, hlm. 438-439 melalui riwayat Sayf ibn ‘Umar).

Di pihak ‘Ali, sebagai seorang khalifah beliau berhak untuk membuat keputusannya sendiri dalam pemerintahannya walaupun mungkin ia berbeza daripada pandangan orang lain. Apatah lagi kalau keputusan tersebut tidak bercanggah dengan ketetapan Allah S.W.T dan Rasul-Nya. Ini adalah hak keistimewaan sebagai khalifah. Dengan itu, ‘Ali telah memecat para gabenor ‘Uthman dan digantikan dengan gabenornya yang baharu. Hasilnya, ramalan yang disebutkan oleh al-Mughirah dan Ibn ‘Abbas benar-benar terjadi. Prasangka buruk terhadap ‘Ali telah timbul. Umat Islam telah berpecah kepada tiga golongan.

Pertama: Pihak yang memberikan bai’ah kepada Sayyidina ‘Ali dan berjanji untuk taat kepadanya.

Kedua: Pihak yang tidak mahu memberikan bai’ah dan taat kepadanya sehinggalah beliau mengambil tindakan terhadap pembunuh ‘Uthman. Mu’awiyah adalah salah seorang yang termasuk di dalam pihak yang kedua ini.

Ketiga: Pihak yang berkecuali dan melihat sahaja keadaan (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil. 4, hlm. 442-444 melalui riwayat Sayf ibn ‘Umar).

Menurut al-Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari: “Setelah dibai’ah ‘Ali ibn Abi Talib r.a, orang ramai pun berselisih pendapat tentang kedudukannya. Ada yang menentang kepimpinannya, ada yang berkecuali dan ada pula yang berpendapat bahawa kepimpinannya adalah sahih serta menerima kekhalifahannya”. (Al-Asy’ari, Maqalat al-Islamiyyin, jil. 1, hlm.54, muhaqqiq: Muhammad Muhyi al-Din ‘Abd al-Hamid)

Pada zaman tersebut tidak ada media massa yang serba canggih yang membolehkan khalifah menyampaikan berita sebenar kepada rakyat dengan tepat dan pantas. Perhubungan pula agak begitu jauh. Orang ramai hanya berpegang kepada berita yang sampai ke telinga mereka sahaja. Tidak ada telefon atau fax atau e-mail atau sistem perhubungan canggih seperti hari ini untuk membolehkan ‘Ali di Madinah menghubungi Mu’awiyah di Syam untuk menjelaskan keadaan sebenar. Banyak desas-desus itu sukar dijelaskan dengan segera. Apa yang ingin saya nyatakan di sini ialah, ketika kita membaca sesuatu teks sejarah, hendaklah khayalan kita menggambarkan suasana, keadaan dan persekitaran pada hari berlakunya peristiwa tersebut. Ini mengelakkan kita daripada menilai sesuatu suasana dengan andaian yang ada pada zaman kita, sedangkan mereka berada pada suatu zaman yang lain. Cara ini juga dapat membantu kita untuk memahami hakikat peristiwa yang berlaku dengan lebih masak dan matang.

bersambung...

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 678
Semalam 982
Minggu Ini 2750
Bulan Ini 20646

Keseluruhan 3092939

   Masa Capaian : 0.86 saat    Kemaskini :  09/12/2024