(SIRI 8)
Peristiwa pembunuhan ‘Uthman telah dihuraikan sebelum ini. Tidak ada hati Mukmin yang tidak berduka lara di atas peristiwa yang telah berlaku. Inilah detik yang disepakati oleh para pengkaji sebagai detik bermulanya pertembungan antara para sahabat sesama sendiri (Al-Kubaysi, Sahabah al-Rasul fi al-Kitab wa al-Sunnah, hlm. 306).
‘Uthman dibunuh secara zalim. Ini adalah suatu hakikat yang dinyatakan sendiri oleh Baginda Nabi s.a.w ketika Baginda menyebut tentang fitnah yang akan berlaku. Lalu Baginda s.a.w bersabda kepada ‘Uthman: “Orang ini akan dibunuh pada hari tersebut secara dizalimi”. (Riwayat al-Tirmizhi dan Ahmad, kata al-Tirmizhi “Hadis ini Hasan Gharib”, kata al-Syeikh Ahmad Syakir: Sanad Ahmad Sahih [Musnad Ahmad, tahqiq Ahmad Syakir, jil. 5, hlm. 312])
Tidak ada dikalangan para sahabat yang redha di atas apa yang telah berlaku. Mereka telah bersiap sedia untuk bertindak balas ke atas peristiwa pahit tersebut. Inilah situasi yang akan dihadapi oleh pimpinan khalifah yang keempat, Sayyidina ‘Ali ibn Abi Talib.
???????????????????????????????????? ‘???????????? ???????????????????????????? ????????????????????????????????
Apabila ‘Uthman dibunuh, umat Islam tinggal dalam keadaan yang tanpa diterajui oleh khalifah selama lima hari. Kepimpinan ketika itu dipegang oleh ketua pemberontak yang disebutkan namanya sebelum ini, iaitu al-‘Afiqi ibn Harb al-‘Akki. Semasa tempoh tersebut para pengikut ‘Abd Allah ibn Saba’ mencari para sahabat untuk diserahkan jawatan sebagai khalifah. Mereka sendiri sedar bahawa kepimpinan mereka mustahil diterima oleh dunia Islam pada ketika itu.
‘Ali, Talhah dan al-Zubayr dipujuk oleh mereka agar menerima jawatan sebagai khalifah. Namun ketiga-tiga sahabat yang mulia ini telah menolak cadangan tersebut. Akhirnya mereka mengugut penduduk Madinah bahawa mereka akan melakukan pertumpahan darah dengan ‘Ali, Talhah, al-Zubayr dan orang ramai. Keputusan ini diambil jika penduduk Madinah tidak membuat keputusan segera tentang siapa yang akan menggantikan tempat ‘Uthman.
Melihatkan keadaan ini, para sahabat di Madinah ketika itu telah membuat keputusan memilih dengan ‘Ali ibn Abi Talib sebagai khalifah keempat bagi menggantikan ‘Uthman ibn ‘Affan. Maka bai’ah pun diberikan kepadanya (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil. 4, hlm. 433-434).
‘Ali terpaksa menerima bebanan tanggungjawab yang besar ini demi menjaga kepentingan umat Islam agar keadaan tidak bertambah buruk.
Kata Abu al-Hassan ‘Ali al-Nadwi: “Pelantikan Sayydina ‘Ali sebagai khalifah dibuat dalam keadaan yang paling gawat dan penuh dengan ujian getir dalam sejarah. Ini kerana apabila ‘Ali dilantik sebagai pimpinan kerajaan dan masyarakat atau dibai’ah sebagai khalifah dalam keadaan peristiwa syahidnya Khalifah al-Muslimin ‘Uthman ibn ‘Affan r.a baharu sahaja berlaku dengan cara yang paling keji, kejam dan ganas. Pada zaman itu terkumpul faktor-faktor negatif seperti ketidakpuasan hati, sentuhan perasaan dan jiwa. Banyak pula khabar angin, persoalan dan salah faham yang timbul. Perasaan ingin tahu dan meminta penjelasan semakin melonjak-lonjak. Berita syahidnya ‘Uthman menjadi tajuk perbualan di mana-mana. Suara orang ramai kedengaran di sana-sini meminta pelaksanaan hukuman bunuh balas terhadap pembunuh ‘Uthman. Begitulah keadaan masyarakat manusia pada setiap masa dan zaman apabila berlakunya kejadian yang asing bagi mereka. Maka hilanglah ketenteraman dan ketenangan”. (Al-Nadwi, Al-Murtadha, hlm. 141)
Huraian di atas jelas memberikan gambaran besar tentang suasana yang dialami oleh umat pada ketika itu. Inilah hakikat yang terpaksa dilalui oleh Sayyidin ‘Ali sebagai khalifah dalam tempoh yang gawat.
bersambung..