• Nikmat Allah
    Information
    Dr Mohd Asri Bin Zainul Abidin | 25 April 2024
    Antara kesalahan insan apabila dia menganggap nikmat ALLAH itu hanya pada pakaian, makanan, tempat tinggal, kenderaan, harta dan duit sahaja. Dia lupa bahawa segala yang ada pada dirinya itu merupakan nikmat ALLAH. Samada yang zahir ataupun yang batin. Kesihatan, keamanan, keselamatan, kesembuhan, cinta, kasih, akal, ilmu pengetahuan, anak isteri dan seumpamanya merupakan nikmat yang besar yang tidak ternilai dengan harta dan wang. Lebih besar daripada itu; iman,... Baca Seterusnya

Sejarah Pembunuhan Sayyidina ‘Uthman ibn ‘Affan r.a. (siri 1)

Sejarah Pembunuhan Sayyidina ‘Uthman ibn ‘Affan r.a. (siri 1)

Prof Madya Dato Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

Ramai yang tidak mengetahui disiplin periwayatan sejarah, lalu mereka pun menerima apa sahaja yang dibaca atau disogokkan oleh sesetengah sumber yang telah memburukkan pemerintahan ‘Uthman dengan menyelewengkan dan menyembunyikan fakta yang sebenar, serta menampalkan fakta kabur dan palsu. Maka ‘Uthman pun digambarkan sebagai pemerintah yang lemah semenjak enam tahun terakhir pemerintahannya. Dia dikatakannya hanya mementingkan kaum kerabatnya sahaja, dan seumpamanya.

Perkara seperti ini sebenarnya telah menghina Khalifah al-Rasyid yang ketiga itu serta menyingkirkannya daripada keagungannya di pentas sejarah. Malangnya maklumat yang tidak ditapis ini termuat dalam buku sejarah yang ditulis, termasuk sebahagian bukubuku sukatan sekolah kita. Di samping itu, ada juga tokoh agama yang kurang teliti, lalu bercakap, mengulas atau menulis tentang sejarah bersumberkan maklumat yang tidak benar.

Dalam bab yang lalu, penulis telah menjelaskan punca utama kemasukan fakta palsu dalam riwayat sejarah ialah melalui para perawi yang bermazhab Syi’ah dan perawi yang diragui kebenarannya seperti Abu Mikhnaf dan al-Waqidi. Maka hendaklah kita sedar bahawa kewujudan sesuatu riwayat di dalam kitab sejarah bukanlah bukti ia benar sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Tabari dalam muqaddimah Tarikhnya. Sebaliknya setiap riwayat terdedah kepada semakan dan penilaian untuk menguji kebenarannya. (Tarikh al-Umam wa al-Muluk atau yang dikenali dengan Tarikh al-Tabari, hlm. 41).

Peristiwa pembunuhan Sayyidina ‘Uthman ibn ‘Affan r.a., adalah suatu detik paling hitam dalam sejarah umat Islam yang membawa kepada pertelingkahan dahsyat kalangan para sahabat. Memandangkan Sayf ibn ‘Umar adalah perawi yang boleh diterima dalam Tarikh al-Tabari, saya akan banyak memetik riwayat yang dikemukakan oleh beliau.


Justeru, riwayat yang akan dihidang kepada para pembaca dalam tullisan ini kebanyakannya adalah petikan daripada riwayat yang dibawa oleh Sayf ibn ‘Umar dalam Tarikh al-Tabari.

‘Uthman dibunuh secara zalim hasil daripada fitnah yang diadakan tanpa suatu alasan dan bukti. Fitnah itu dimainkan oleh ‘Abd Allah ibn Saba’, iaitu seorang Yahudi berasal dari San’a’, Yaman. Dia kononnya menganut Islam pada zaman ‘Uthman. ‘Abd Allah bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain di dunia Islam ketika itu untuk menyesat dan menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam. Gerakannya bermula di Hijaz, kemudian berpindah ke Basrah, ke Kufah dan seterusnya ke Syam. Di setiap tempat dia mendapati ada orang yang menyokongnya kecuali di Syam (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil. 4, hlm. 331,340). Inilah yang dapat difahami daripada riwayat yang dikemukakan oleh Sayf ibn ‘Umar dalam Tarikh al-Tabari.

Walau bagaimanapun jika dirujuk riwayat yang yang datang daripada al-Waqidi dan Abu Mikhnaf, didapati mereka ini cuba menggambarkan kepada pembaca bahawa punca pembunuhan ‘Utman adalah hasil daripada hasutan para sahabat yang berada disekeliling ‘Uthman. Antaranya seperti Talhah, al-Zubayr, ‘Aisyah, ‘Amr ibn al-‘As, Muhammad ibn Abi Bakr, Huzaifah dan ‘Ammar ibn Yasir. Mereka cuba digambarkan sebagai golongan yang terlibat dalam konspirasi membangkitkan kemarahan rakyat kepada ‘Uthman. Namun cukup dengan hanya kita mengenali siapakah Abu Mikhnaf dan al-Waqidi sebagai alasan untuk menolak riwayat tersebut. (Dalam siri yang lain nanti in sha Allah, saya akan jelaskan siapakah rawi-rawi bermasalah tersebut).

Bahkan kalau difikirkan sedikit, apakah logiknya Talhah, al-Zubayr, ‘Aisyah dan ‘Amr ibn al-‘As terlibat dalam menggerakkan fitnah dan membakar api kemarahan pihak yang terlibat, sedangkan pada masa yang sama mereka jugalah yang bertegas terhadap Khalifah ‘Ali agar menuntut hukuman balas terhadap pembunuhan ‘Uthman? Sekiranya benar mereka terlibat tentulah pembunuh ‘Uthman yang menyertai tentera ‘Ali akan berhujah bahawa mereka adalah punca sebenar pembunuhan terjadi. Namun berdasarkan riwayat yang ada, keadaan ini adalah sebaliknya.

Hasutan ‘Abd Allah ibn Saba ’

Sebelum meneruskan, perlu diketahui bahawa tokoh-tokoh syi’ah cuba menafikan kewujudan ‘Abd Allah ibn Saba’ dengan menyatakan ianya peribadi khayalan yang tidak wujud di dalam sejarah, sebaliknya ia hanyalah suatu rekaan golongan yang kemudian. Sebenarnya kewujudan ‘Abd Allah bin Saba’ disokong oleh fakta yang kuat yang bersumberkan kitab-kitab Ahl Sunnah dan Syi’ah sendiri. Dr. Muhammad Amhazun dalam buku Tahqiq Mawaqif al-Sahabah, telah membukti kekukuhan fakta kewujudan peribadi tersebut. (jld 1, hlm 284-317)

‘Abdullah ibn Saba’ adalah pengasas pemikiran Syi’ah dalam isu pertelingkahan sahabah ini. Sesiapa yang membaca sejarah dengan teliti akan dapat melihat bahawa asas pemikiran Syi’ah dalam isu ini secara jelas adalah datang daripadanya. Beliau adalah seorang Yahudi yang mengaku Islam dan mencetuskan fitnah terhadap Khalifah ‘Uthman. Fitnahnya itu dipegang dan dipercayai oleh sesetengah golongan, terutama Syi’ah sehingga hari ini . Antara kempen yang dilancarkan oleh ‘Abd Allah ibn Saba’ kepada penduduk Mesir adalah dengan mengatakan: “Sungguh menghairankan orang yang mendakwa bahawa ‘Isa itu akan kembali tetapi tidak mempercayai bahawa Muhammad akan kembali sedangkan Allah telah berfirman:


إن الذي فرض عليك القرأن لرآدك إلى معاد
(maksudnya): “Sesungguhnya yang mewajibkan ke atas kamu (melaksanakan) al-Quran benar-benar akan mengembalikan kamu kepada tempat kembali”. (Surah al-Qasas: 85)***

(***perhatian: maksud ayat sebenar ialah: ialah Allah S.W.T akan mengembalikan Nabi s.a.w ke Makkah setelah dikeluarkan oleh penduduknya. Sila lihat: Al-Baghawi, Ma’lim al-Tanzil, jil. 3, hlm. 458).

Kata Abdullah bin Saba lagi: "Muhammad lebih berhak kembali daripada ‘Isa.” Beliau juga berkata: “Sesungguhnya Allah telah melantik seorang Nabi, dan bagi setiap Nabi itu wasiy (orang yang diwasiatkan oleh Nabi s.a.w sebagai imam dan khalifah). ‘Ali adalah orang yang diwasiatkan oleh Muhammad. Muhammad adalah penutup segala Nabi dan ‘Ali adalah penutup segala wasiy. Siapakah yang lebih zalim daripada mereka yang tidak melaksanakan wasiat Rasulullah s.a.w dan mengetepikan orang yang diwasiatkan oleh Rasulullah s.a.w”

Kemudian dia berkata lagi: “Sesungguhnya ‘Uthman telah mengambil sesuatu yang bukan haknya. Ini dia (‘Ali) wasiy Rasulullah s.a.w. Bangkitlah kamu semua dan sebarkan perkara ini. Mulakanlah dengan mencerca pemimpin-pemimpin kamu. Laksanakanlah al-Amr bi al-Ma’ruf dan al-Nahy ‘an al-Munkar. Mintalah sokongan orang ramai dan serulah mereka kepada perkara ini” (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil. 4, hlm. 340-341).

Namun, hasil daripada rancangan dan seruan jahat ini, lahirlah golongan jahil yang sanggup mencerca kepimpinan ‘Uthman dan memfitnah gabenor mereka. Cerita tentang keburukan kepimpinan ‘Uthman serta para gabenornya semakin hari semakin meluas sehingga tersebar ke wilayah yang lain.

Usaha Awal Saiyyidina Uthman

Akhirnya, berita ini sampai kepada pengetahuan Sayyidina ‘Uthman sendiri. Beliau amat terperanjat dengan berita-berita yang menjadi buah mulut orang ramai itu. Lalu Sayyidina ‘Uthman berbincang dengan para sahabat Nabi s.a.w yang lain. Keputusan yang diambil oleh ‘Uthman ialah menghantar wakil ke setiap wilayah untuk menyelidiki apakah tuduhan terhadap para gabenor yang dilantiknya itu benar atau tidak.

Untuk tujuan itu, maka Sayyidina ‘Uthman mengutuskan Muhammad ibn Maslamah ke Kufah. ‘Uthman juga mengutuskan Usamah ibn Zayd ke Basrah, ‘Ammar ibn Yasir ke Mesir dan ‘Abd Allah ibn ‘Umar ke Syam. Mereka pulang membawa keputusan yang sama bahawa gabenor ‘Uthman telah melakukan keadilan kepada rakyat jelatanya. Mereka mengatakan: “Tidak ada umat Islam dan masyarakat awam mempertikaikan, ….kepimpinan mereka telah melakukan keadilan dan melaksanakan undang-undang ke atas mereka.”

Namun ‘Ammar ibn Yasir lewat pulang ke Madinah sehingga disangkakan ‘Ammar telah dibunuh. Tiba-tiba sampai surat daripada gabenor ‘Uthman, ‘Abd Allah ibn Sa’id ibn Abi Syarh yang menyatakan bahawa ‘Ammar telah cuba dipengaruhi di Mesir dan dihalang daripada bertemu dengannya oleh para pendokong fitnah, iaitu ‘Abd Allah ibn Saba’, Khalid ibn Muljam, Sudan ibn Humran dan Kinanah ibn Bisyr (Al-Tabari, Tarikh al-Tabari, jil. 4, hlm. 341).

bersambung... (in sha ALLAH)

JABATAN MUFTI

PAUTAN KERAJAAN

PAUTAN DALAMAN

STATISTIK

Hari Ini 425
Semalam 1090
Minggu Ini 1515
Bulan Ini 19411

Keseluruhan 3091704

   Masa Capaian : 0.89 saat    Kemaskini :  09/12/2024